Sunday, 15 August 2021

Riwayat sebuah kerajaan gagal

 Lim Hong Siang

Mustahil apa yang bermula dengan kebatilan, boleh berakhir dengan kebenaran.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) misalnya, bermula dengan pengkhianatan beberapa orang wakil rakyat terhadap mandat yang diberikan pengundi dalam PRU14. Ia lahir dalam suasana di mana retorik “Islam terancam” digembar-gemburkan, dan DAP (atau sebenarnya Cina) pula disasarkan sebagai musuh Melayu. Kesemua ini dicaturkan untuk mengolah restu agar masyarakat Muslim-Melayu membisu, jika bukan mengangguk kepada Langkah Sheraton.

Pertama, PN tidak memiliki majoriti yang meyakinkan sebermulanya, dengan dua undi sahaja bezanya ketika meluluskan usul agar Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat. Kedua, tidak dinafikan bahawa wujudnya perbezaan pandangan dari komuniti etnik yang berlainan, juga tindak-tanduk dan kenyataan sesetengah pemimpin DAP yang kurang sensitif sepanjang tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), namun ia jelas meleset jikalau dikatakan wujudnya satu konspirasi daripada politikus dan tauke Cina untuk mengambil alih, atau mendominasi politik negara ini.

Maka bermulalah riwayat sebuah kerajaan gagal. Lebih tragis, kerajaan ini telah menggagalkan beberapa eksperimen politik yang sedang diusahakan, sebelum dirinya menjadi gagal.

Apa yang digagalkan PN?

Pertama, Langkah Sheraton telah menggagalkan satu eksperimen formula politik baru, yang sedang diterokai potensinya. Kita sedia maklum, formula BN dengan pemimpin dan parti mewakili kaum masing-masing menjadi satu-satunya model politik selepas tahun 1969. PH mencuba sesuatu di luar kerangka ini, dengan PKR, DAP dan Amanah memposisikan dirinya sebagai “parti untuk semua”, ditambah dengan Bersatu sebagai parti Melayu, untuk meyakinkan sesetengah golongan Melayu yang gusar jika kepentingannya tidak terjamin, atau kedudukannya tergugat.

Ia masih dalam proses pencambahan dan pertumbuhan. Pelantikan bukan Muslim untuk menyandang beberapa jawatan penting seperti menteri kewangan, peguam negara, ketua hakim negara dan sebagainya, memperlihatkan tekad untuk melaksanakan dasar buta warna kulit. Andainya pemegang jawatan berkenaan berjaya mereformasikan sistem yang pincang sebelum ini, sudah pasti ia memberi nafas baru kepada Malaysia. Sementara kaum Melayu menggilap imejnya dengan sistem perundangan dan pengagihan ekonomi yang adil, kaum bukan Melayu turut merasa dirinya diiktiraf atas tanahair ini. Barangkali Malaysia boleh bermegah sebagai model untuk diteladani dunia antarabangsa, apa tidaknya?

Sudah tentu pemegang jawatan tersebut tidak sempurna, lantas kita diperuntukkan hak dalam sistem demokrasi untuk menukar mereka apabila tiba masanya. Persoalannya, eksperimen ini ditamatkan serta-merta selepas 22 bulan, atas alasan yang direka-reka. Tepuk dada tanya selera, apakah kes Muhammad Adib yang gagal diselesaikan Tommy Thomas, kini diselesaikan Idrus Harun? Dan bayangkan, andainya Lim Guan Eng gagal membelikan 150,000 buah komputer riba yang dijanjikan Tengku Zafrul Aziz untuk pelajar, apa yang akan terjadi?

Kedua, PN telah menggagalkan transformasi BN, terutamanya Umno yang tumbang setelah 61 tahun berkuasa. Keputusan PRU14 merupakan peluang terbaik untuk Umno bermuhasabah, menyesuaikan diri dengan peranan sebagai pembangkang, di samping menjana pembersihan dalaman dengan menyingkirkan pemimpin yang terpalit dengan skandal rasuah. Kini, proses ini terkandas. Pimpinan tertinggi Umno masih didominasi pemimpin yang tercalar imejnya, sementara pemimpin yang lebih positif imejnya seperti Khairy Jamaluddin belum sempat melonjakkan diri untuk menerajui parti. Umno dibiarkan terumbang-ambing, sementara Bersatu masih terkapai-kapai.

Hujah bahawa kerajaan Muhyiddin Yassin berprinsip dan tidak tunduk ketika berdepan dengan kes Najib Razak dan Zahid Hamidi agak rapuh. Hakikatnya, membentuk kerajaan PN dengan bilangan kerusi Bersatu yang lebih rendah berbanding Umno, menjurus kepada kebergantungan Muhyiddin terhadap Umno. Ia menjelaskan ketidakstabilan yang berlaku sekarang. Andainya PH masih kekal berkuasa dengan majoriti yang dimilikinya sebelum Langkah Sheraton, apakah kluster mahkamah mampu menggugat kestabilan kerajaan persekutuan?

Ketiga, apapun yang mahu digelar, sama ada tebuk atap, mahupun masuk melalui pintu belakang, penubuhan kerajaan dengan taktik sebegini, memusnahkan integriti pemimpin yang terlibat. Azmin Ali, Saifuddin Abdullah dan sebagainya, adalah pemimpin politik Melayu yang berpotensi. Namun, dengan pengkhianatan yang sukar dimaafkan ini, masa depan mereka malap begitu sahaja.

Andai kita ingat, ketika menerajui kerajaan negeri Selangor pada tahun 2018, Azmin selaku menteri besar telah menyentak Adun Umno dengan penjelasan isu tanah Ijok dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, menggunakan satu carta. Ramai yang terbeliak dan kagum dengan kepetahannya berhujah pada waktu itu. Baru-baru ini, apabila Azmin cuba mengulangi “kehebatannya” dalam Dewan Rakyat, ia dipatahkan secara mudah oleh Gobind Singh, hanya dengan menggunakan bahasa pasar. Azmin dijirus begitu sahaja ke dalam longkang atas kepalanya.

Bukan sahaja Azmin, malah integriti Khairy Jamaluddin juga tercalar. Pemimpin muda ini pernah cuba menampilkan perwatakan bahawa dirinya bermuhasabah, dengan mengakui dirinya menyesal kerana tidak bercakap benar kepada Najib Razak sebelum PRU14. Namun, azam bertaubat tidak diukur dengan sejauh mana kusutnya jambang pada wajah, tetapi sejauh mana seseorang itu tidak mengulangi kesilapan. Sifat oportunis Khairy terserlah apabila menyertai kerajaan PN sebermulanya, dan sehingga kini beliau masih tidak berani berkata benar kepada Muhyiddin Yassin yang melantiknya sebagai menteri.

Keempat, bukan sahaja integriti politikus, tetapi individu-individu lain yang berpengaruh turut terjejas lantaran PN. Mereka yang lantang dengan kalimat-kalimat seperti “Mereka (Cina) semakin berani!”, kini diam seribu bahasa setelah menyaksikan kegagalan kerajaan yang direstui mereka sendiri. Ilham mereka tidak bertebing untuk berpuisi (terutamanya pada pagi Jumaat), menyemarakkan kempen BMF (Buy Muslim First), tetapi air liur terus kering dan kontang apabila kerajaan negeri Kelantan menyahut dengan “Buy Mercedes First”. Itu pun belum ditambah dengan menteri besar Kedah yang mana gurauannya lebih kasar daripada bunga tayar Raptor.

Sesetengah mereka menyebarkan retorik “Islam terancam” ketika zaman PH memerintah, tetapi buat-buat bodoh apabila iklan judi menggoda menjelang Hari Raya Aidilfitri. Bayangkan, andainya iklan dengan belaian “Kanda~~” ini berkumandang ketika zaman PH, apakah yang akan diperkatakan mereka? Bukankah ia sesuatu yang munafik, apabila mengambil pendekatan “double standard” sedemikian? Apakah tiada sehiris rasa kesal, atau sekurang-kurangnya serba salah dalam diri mereka, setelah menyaksikan belasan ribu nyawa melayang kerana terjangkit Covid-19, lantaran kegagalan sebuah kerajaan gagal, yang direstui dirinya ketika penubuhan? Dengan perwatakan sedemikian, apakah individu-individu ini masih layak disanjung tinggi dalam masyarakat?

Itu pun belum lagi penjawat awam, yang dijadikan tunggak sandaran sebelum ini. Satu ketika dahulu, Dr Noor Hisham Abdullah menjadi tokoh yang paling dipercayai masyarakat Malaysia, kerana sikap profesionalnya ketika mengendalikan wabak Covid-19. Namun, integriti dan kredibiliti yang dimiliki beliau terhakis juga akhirnya di mata awam, sehingga ada peserta demonstrasi yang mengangkat playcard, “DG Hisham berhenti jadi boneka #kerajaangagal” baru-baru ini, lantaran beberapa kenyataannya yang dilihat cuba menyelamatkan nyawa PN.

Cetus krisis untuk menutup krisis

Demikianlah riwayat sebuah kerajaan gagal. Ia membohong untuk menutup pembohongan pertamanya, dan berakhir dengan pembohongan demi pembohongan yang sukar disorok lagi. Ia mencetuskan satu krisis lain untuk menyelamatkan diri dari krisis yang melandanya, berakhir dengan semakin banyak krisis yang melambak.

Asalnya PN kehilangan majoriti, maka dicari dalih untuk menangguhkan sidang Dewan Rakyat, kerana takut tidak teruji jikalau diuji. Dengan ini, PN mencetuskan perselisihan dengan istana. Kemudian, Dewan Rakyat dipanggil bersidang untuk menjunjung titah YDPA, tetapi menteri di Jabatan Perdana Menteri pula mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan. Akhirnya hubungan antara kerajaan dengan istana semakin meruncing, lantas mencetuskan pula krisis perlembagaan.

Kekalutan ini bermula dengan sebuah kerajaan gagal, yang ditakdirkan gagal. Ia sewajarnya dielakkan, ketika kita berdepan dengan wabak Covid-19, dan kemelesetan ekonomi yang menyusul. Kini, segala tumpuan dialih untuk merungkaikan masalah yang berserabut, sementara ada yang masih bermati-matian menegakkan benang basah. Tiada perancangan jangka panjang mampu disediakan, malah SOP di depan mata pun kelam-kabut.

Sememangnya ia gagal. Lebih dikesali, sebelum ia menjadi gagal, ia berjaya menggagalkan Malaysia.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).


Sumber : Malaysiakini bertarikh 15 Ogos 2021. 

Popular Posts