Thursday 10 June 2021

Bila profesor Melayu kata wanita kena bodoh-bodoh sikit...

 A. Kadir Jasin

Almarhum Abdullah Abdul Kadir @ Munshi Abdullah pernah berkata:

"Kamu (orang Melayu) dibesarkan oleh orang tua yang menanam benih pembodohan. Sumpahan paling besar ke atas bangsa ini adalah mewarisi pembodohan yang ditanam sendiri oleh datuk nenek. Inilah sumpahan paling hina."

Itu dulu. Zaman guru (Munshi) Abdullah (1797-1853), seorang kacukan Arab, Tamil dan Melayu sedang hebat mengkritik dan menasihati masyarakat Melayu feudal.

Sampai hari ini, masih ada "cendekiawan" Melayu bertelinga nipis membenci beliau kerana dituduh memandang rendah orang Melayu lantas dilabelkannya tali barut penjajah.

Tetapi Pendeta Zaaba @ Zainal Abidin bin Ahmad (1895 -1973) juga mengatakan hal yang lebih kurang sama dalam hubungan orang Melayu sebagai orang Islam.

Katanya: "Agama yang telah diajar oleh orang Melayu kepada orang Melayu menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang tidak boleh bangkit."

Alhamdulillah, orang tua dan datuk nenek saya tidak seperti itu. Sebaliknya mereka menyemai benih kecerdikan dan mengajar saya agama yang membuka mata dan minda.

Saya terbaca dua petikan pahit tetapi sangat tepat di atas dalam satu hantaran WhatsApp beberapa hari lalu dan kebetulan semalam terserlah kebenaran kenyataan dua cendekiawan agung itu.

Tular di media arus perdana dan sosial "tesis" seorang profesor Melayu mengenai dua perkara. Pertama, wanita tidak boleh terlalu berdikari dan perlu tunjuk sikap perlukan bantuan daripada lelaki. Kedua, kalau hendak cepat mendapat jodoh, wanita kena "bodoh-bodoh" sikit.

Saya tidak mahu menyebut nama profesor itu sebab saya tidak bertujuan memuliakan atau mentertawakan dia. Boleh jadi niat dia baik dan tesis dia betul cuma cara penyampaian dia menjatuhkan darjat wanita dan boleh menghilangkan semangat mereka untuk berjaya.

Kita sepatutnya memberi galakan dan memperkukuhkan keyakinan wanita terhadap keistimewaan kejadian mereka apatah lagi dalam suasana sekarang di mana wanita semakin cemerlang dalam pelajaran dan pekerjaan.

Bukan salah wanita Melayu jika mereka menguasai kerusi di institusi pengajian tinggi kerana banyak lelaki Melayu memilih untuk memasuki pusat serenti. Boleh jadi lelaki keluaran pusat serenti inilah yang mahukan isteri bodoh.

Saya gembira melihat banyak orang Melayu, perempuan dan lelaki, bangkit menyanggah, menyangkal dan memperbetulkan kenyataan sang profesor itu. Orang Melayu mesti berani bersuara.

Sumber: Malaysiakini bertarikh 10 Jun 2021.


Sunday 6 June 2021

Kisah Melah dan Imam Piee

Abdullahjones 

Salam Bahagia. Semoga semua pembaca budiman telah divaksin. Jika belum tetapi telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, semoga semua kamu tidak percaya dengan cerita karut kononnya sesiapa yang mendapatkan suntikan itu akan meninggal dunia dua tahun kemudian.

Sebagai makluman - jika kamu tidak tahu - bukan sahaja mereka yang divaksin akan mati. Kita semua macam mana pun akhirnya akan meninggalkan dunia ini. Malah dunia ini sendiri akan musnah.

Sementara semua itu belum terjadi, adalah elok jika seluruh penduduk bumi datar ini divaksin bagi tujuan kelangsungan hidup yang sementara ini.

Patuhi semua cadangan kerajaan bagi membendung wabak berbahaya ini. Jangan terlalu sibuk mahu pulang ke kampung walaupun kamu berasal dari Kelantan.

Dalam artikel sebelum ini, kami memulakannya dengan semacam penerangan kepada pembaca bagi tujuan memahamkan apa yang akan mereka baca. Lalu kami dapati sebahagian besar daripada mereka mulai faham apa yang ingin kami sampaikan.

Bagaimanapun kami tidak pasti sama ada editor portal ini bersetuju dengan kami.

Namun demikian masih ramai yang menganggap apa saja yang kami tulis adalah berbentuk provokasi. Bagi mereka, kami adalah keldai tunggangan DAP.

Tak pernah panggil walaun

Untuk makluman sekali lagi, semasa portal ini TIDAK mengadakan mesyuarat dengan semua penulis bagi menerangan agenda politiknya, kami tidak hadir. Jadi tidaklah kami ketahui kalau ada agenda portal ini mengagungkan DAP dan menghentam Melayu.

Melayu ini suatu bangsa yang amat benci kepada Yahudi namun pada masa sama dengan bangga ada yang mengaku mereka berasal dari bani Israel yang dikatakan hilang itu.

Mereka percaya apabila keluarnya Imam Mahadi nanti, bangsa merekalah yang pertama-tama disapa dan diajak berarak di bawah panji-panji hitam. Mereka memang gemar berangan-angan.

Bangsa Melayu ini apabila bercakap seolah-olah mereka tidak ada tulang punggung. Kentut saja yang lebih, beraknya tidak juga. Kerana itu kali ini kami juga akan menerangankan mengenai apa yang ingin kami tulis.

Pertamanya kami akan bercerita sedikit kisah silam mengenai siri pengorbanan yang dilakukan orang terdahulu demi masa depan keturunan akan datang. Setelah itu kami akan mengutuk PAS.

Mungkin kamu tidak percaya apabila kami katakan bahawa walapun dituduh sebagai DAPig, tidak pernah sekali pun di mana-mana kami mengelar pendukung PAS sebagai walaun. Begitulah sucinya hati kami dalam menghormati mereka.

Malah setiap kali berpeluang ke Terengganu, kami akan ke Masjid Rusila bagi melihat sama ada ianya telah disiapkan atau pun tidak.

Diharap semua pembaca faham apa yang ingin kami sampaikan.

Haji Ismail pada zaman gagahnya banyak membuka tanah untuk dijadikan sawah ladang. Hasil daripada itu beliau menjadi orang kaya dan menghantar kesemua tujuh orang anaknya bersekolah ketika zaman itu sekolah adalah semacam penanda aras kekayaan terutama untuk anak-anak perempuan.

Haji ismail hanya mempunyai seorang anak lelaki daripada tujuh anaknya itu.

Melah ialah anak sulung Haji Ismail. Mungkin kerana melihat ketokohan yang ada pada Melah, Haji Ismail memberikan satu pot (satu tin susu) barangan kemas kepada Melah.

Tak pernah menang kerusi

Ini tentu saja menjadi punca kecemburuaan adik-adik beliau namun kerana taat akan ibu bapa, anak-anak Haji Ismail bersetuju. Sementelah pula semua daripada mereka mendapat habuan beratus relong sawah setelah orang tua itu meninggal dunia.

Berkat kegigihan berkerja, anak cucu Haji ismail masih menikmati hasil daripada sawah ladangnya itu sehingga hari ini, yakni setelah lebih 40 tahun beliau meninggal dunia.

Melah kemudiannya berkahwin dengan Imam Piee. Imam Piee dan Melah menyerahkan seluruh jiwa raga mereka untuk menyampaikan syiar agama. Lalu seperti siapa pun yang mahukan kegemilangan agama pada masa itu, jalan politik merupakan pilihan yang tidak dapat dielakkan.

Imam Piee ialah seorang lelaki yang agak pendiam, lalu beliau beruntung kerana memperisterikan Melah. Seperti yang kami katakan, Melah memang telah dilihat ketokohannya sejak kecil. Lantaran itu semasa Imam Piee mahu menjadi calon mewakili partai PAS, Melah adalah orang yang bertanggungjawab memberikan pidato berapi-api bagi pihak Imam Piee.

Bukan itu saja, Melah malah menghabis semua satu pot barangan kemas warisan Haji Ismail itu sebagai perbelanjaan suaminya demi kebajikan agama.

Setelah dua kali pilihan raya, Imam Piee tidak berjaya memenangi sebarang kerusi. Namun beliau dan isteri puas kerana berusaha sehabisnya melakukan sesuatu untuk agama.

Antara mantera berapi yang sering diratibkan oleh peminat PAS ialah bagaimana Mahathir Mohamad itu dipanjangkan usianya hanya untuk melihat sendiri kebinasaan atas apa juga kejahatan yang beliau lakukan semasa menjadi perdana menteri pusingan pertama dulu.

Kepada orang PAS, balasan kejahatan adalah milik sesiapa saja yang tidak menyokong mereka. Orang PAS juga gemar membawa cerita yang belum tentu ada asasnya seperti betapa Mustafa Kemal Ataturk itu tidak diterima bumi akibat kejahatannya.

Sama-sama jalan seiringan

Walhal bukan menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menghakimi beliau. Yang boleh disebut kejahatanya ialah mereka yang disebut di dalam al-Quran. Firaun, misalnya.

Tetapi jika mana-mana ahli PAS ditakdirkan ditimpa kecelakaan - dipanah petir hingga terpelanting keluar masjid misalnya - maka ianya adalah suatu bentuk pengiktirafan tentang betapa keramat dan benarnya mereka.

Hari ini mereka yang masih melihat PAS sebagai sebuah partai politik yang memperjuangkan agama ditutup matanya atas apa yang mereka katakan dulu.

Mahathir mungkin sedang melihat hasil daripada apa yang beliau kerjakan namun hal yang sama juga berlaku kepada pentaasub partai PAS. Lihat saja bagaimana setelah diberikan sedikit tempias kuasa mereka kini masuk ke 'lubang biawak' yang mereka sendiri korek sejak lama dahulu.

Kekuasaan memang memabukkan namun yang paling mabuk antara mereka ialah pemimpin yang kini seolah-olah kehilangan punca.

Mungkin benar kata sebahagian daripada pencinta PAS bahawa ada portal atau akhbar yang giat menceritakan keburukan mereka. Namun jika sebenarnya pencinta PAS berada di jalan yang benar, tidak mungkin ada berita mengenai bagaimana sedikit demi sedikit pemimpin mereka sedang berjalan seiringan dengan kumpulan manusia yang mereka label sebagai pengamal kronisme, rasuah dan juga gila selebriti itu.

Tidak ada lagi ucapan yang beragama daripada pemimpin PAS hari ini selain menafikan apa juga berita mengenai kebobrokan mereka sebelum kembali dengan alasan yang hanya mereka dan kumpulan mereka saja fikir munasabah.

Sewaktu PAS masih lagi berada dalam kumpulan frinjan, penyokong mereka menyerahkah seluruh jiwa raga kepada partai. Seperti Melah yang menghabiskan semua harta peninggalan keluarganya demi untuk melihat pemimpin mereka membela negara.

Malah khabarnya ada penyokong yang mati kerana jatuh pohon ketika mengantung bendera partai. Ia kemudian diisytiharkan sebagai si syahid yang akan dilayan oleh sejuta bidadari.

Lalu segala wang ringgit serta tenaga yang dihabiskan oleh penyokong mereka hanya tinggal kumuhan setelah semuanya dihabiskan sebagai perbelanjaan memajukan partai.

Tidak ada antara mereka yang mahu membina sesuatu yang lebih kukuh sebagai sokongan kepada generasi akan datang. Segalanya dihabiskan dan kemudian mereka tanpa rasa malu meminta-minta sumbangan lagi sehingga ke hari ini.

Koperasi yang mereka bina - yang sepatutnya hari ini bernilai berbillion ringgit - entah ke mana hanyutnya bersama perbagai persoalan.

Hari ini juga mereka kelihatan mahu kepada apa yang ada pada ahli politik yang pernah mereka musuhi dulu, kerana mereka yakin dengan kekayaan maka akan majulah agama yang mereka perjuangkan.

Jika suka boleh saja kamu katakan bahawa bukan saja Mahathir yang sedang menikmati hasil tuaian daripada apa yang ditanamnya dulu. PAS pun bolehlah dianggap sama.

Seluruh pimpanan PAS seharusnya melihat jauh ke dalam diri dan bangun sambil membetulkan segara kebusukan yang semakin dihidu orang ramai sekarang ini.

Hentikan berpolitik yang bermatlamatkan keseronokan dan pemilikan harta benda yang bertimbun. Penyokong mereka juga seharusnya membuka mata dan bersuara mengenai apa juga kepincangan yang sedang melanda partai berkenaan.

Jangan asyik melihat mereka yang mengkritik sebagai musuh yang kamu rasa pasti akan dihumban ke dalam neraka. PAS harus faham bahawa musuh mereka kini bukan DAP tetapi pemimpin mereka sendiri.

Mak Cik Melah dan Imam Piee telah dilindungi daripada melihat seribu satu macam kekalutan yang dilakukan oleh pimpinan PAS hari ini. Mereka meninggal dunia sebelum semua ini berlaku.

Al-Fatihah untuk mereka berdua dan juga kepada semua penyokong PAS yang telah meninggal dunia sebelum daripada apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka atas nama agama hari ini.

Sepatah kata sahabat kami yang masih menyokong partai berkenaan: "Dulu PAS alhamdulillah, sekarang PAS astaghfirullah."


Sumber : Malaysiakini bertarikh 6 Jun 2021. 

Tuesday 1 June 2021

Pasir Salak - lambang kebangkitan apa?

 Andrew Sia

Orang ‘perasan’ Prasarana sudah dipecat sebagai pengerusi syarikat GLC itu. Tapi ceritanya belum tamat. Drama Tajuddin Rahman ini cuma gejala kecil dalam penyakit yang lebih parah.

Dia ahli parlimen Pasir Salak. Inilah tempat bersejarah Perak di mana “orang jahat” Residen British JWW Birch dibunuh oleh “panglima berani” Maharaja Lela pada tahun 1875. Ia tempat nasionalisme Melayu yang “murni” berlawan dengan penjajahan British yang “jelik”. Itulah sebabnya, beberapa “Birch Road” di Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping dan bandar lain ditukar namanya menjadi Jalan Maharaja Lela.

Pasir Salak sepatutnya mencerminkan semangat berani mencabar kuasa orang yang merampas hak orang tempatan. Inilah tempat bangkitnya bangsa yang berdikari, perjuangan keramat yang kini kononnya diambil alih oleh Umno. Tapi semangat apakah yang ditampilkan oleh wakilnya si Tajuddin?

Adakah dia mencabar orang berkuasa bila melakukan kesalahan? Tidak, sebaliknya dia lebih gemar menyanjung kebijaksanaan dan kebesaran Najib Razak dahulu, walaupun skandal 1MDB sudah terkenal di seluruh dunia.

Bagaimana pula perangainya terhadap orang yang kurang berkuasa? Semasa sidang media bencana LRT baru-baru ini, perwira Pasir Salak ini cuba menakut-nakutkan wartawan yang hendak mencari kebenaran, dengan memberi amaran jangan cuba nak “probok-probok” bila ditanya soalan yang sedikit mencabar.

“Urusan syarikat” peribadi dan “suntikan vaksin kedua” Tajuddin lebih penting daripada musibah yang melanda negara. Yang paling menakjubkan, dia berlawak bahawa dua LRT “bercium” ketika begitu ramai yang tercedera, bahkan ada yang parah. Kalau di negara Jepun, bila ada kemalangan kereta api, seluruh pihak pengurusan termasuk ketuanya akan tunduk dan meminta maaf dengan begitu rendah hati.

Apakah tiada orang lain yang lebih berupaya memegang jawatan ini? Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, bekas ketua hakim Malaya Zaharah Ibrahim dilantik menjadi pengerusi Prasarana. Rasanya, sudah tentu dia mampu menangani krisis LRT ini dengan lebih profesional?

Senarai kontroversi

Lama sebelum sidang media yang kaget itu, Tajuddin memang sudah terkenal dengan telatah yang kurang disenangi masyarakat.

1) Dia dipecat daripada Umno pada tahun 1995 kerana politik wang sehingga mendapat gelaran “Six Million Dollar Man”. Tetapi selepas tiga tahun, dia diterima kembali dalam parti dan menjadi ketua bahagian Pasir Salak pada tahun 2004.

2) Ahli parlimen DAP M Kulasegaran melaporkan kepada Dewan Rakyat pada tahun 2010 bahawa Tajuddin mengugut untuk “hantar orang” untuk membelasahnya. Ini susulan marah dengan tulisan dalam blognya bahawa Tajuddin “tidak bertamadun”.

3) Pada tahun 2013, ahli parlimen PKR Rafizi Ramli mendakwa Tajuddin menaikkan harga pembinaan kampus UiTM Tapah, Perak, kepada RM1.3 bilion demi mendapat untung atas angin. Sebagai SOP Umno, dia juga didakwa memperalatkan syarikat yang tiada kepakaran dalam bidang pembinaan. Tajuddin, yang menjadi pengerusi Felcra ketika itu, meraung-raung untuk menyaman Rafizi tapi tiada apa-apa tindakan lanjut.

4) Pada tahun 2015, “hulubalang” Umno, Jamal Yunos, mengancam akan merempuh ‘Chinatown’ Jalan Petaling, Kuala Lumpur, dengan pasukan baju merahnya. Sebagai menyokong Jamal, Tajuddin berkata dia akan “melempang” orang Cina sekiranya mereka mengadu masalah mereka di luar negara.

5) Budi bahasa Tajuddin nampak begitu “halus” pada tahun 2016 bila memperlekehkan Teresa Kok sebagai satu-satunya ahli parlimen wanita di Parlimen yang mempunyai “Kok”, yang mirip dengan istilah bagi alat kelamin lelaki dalam bahasa Inggeris.

6) Ahli parlimen Amanah Khalid Samad mempertahankan Teresa Kok dan memanggil Tajuddin sebagai “sial” dalam Dewan Rakyat. Selepas itu, sekumpulan orang, termasuk anak Tajuddin, didakwa cuba menyerang Khalid di tempat letak kereta parlimen sambil melaungkan “Hidup Pasir Salak!”

7) Tajuddin mempamerkan rasa dengkinya pada tahun 2018, dengan memarahi wartawan kerana gemar membuat wawancara dengan pemimpin “muda” Khairy Jamaluddin yang “tak tahu sejarah” dan mengabaikan pemimpin “berpengalaman” -- iaitu dirinya sendiri.

8) Pada tahun 2019, dia menghina abu suci Hindu pada dahi ahli parlimen DAP RSN Rayer sebagai abu mayat pemimpin komunis Chin Peng.

9) Sebanyak 17 kontraktor dan perunding dalam projek LRT3 meminta bantuan kerajaan pada Dis 2020 kerana bayaran RM700 juta untuk kerja yang sudah disiapkan ditahan Prasarana. Ini kerana Tajudin, selepas menjadi pengerusi Prasarana pada Mei 2020, dikatakan mahu terlibat dalam pelantikan subkontraktor untuk projek itu walaupun pembinaan sudah berjalan sejak tahun 2015.

Budaya ‘orang kuat’ Umno

Jadi jelaslah, si Tajuddin memang ada tabiat melemparkan pelbagai provokasi. Tapi akhirnya senjata memakan tuannya bila dia sendiri dipecat daripada jawatannya selepas menonjolkan perangai yang kasar dan kurang prihatin.

Soalan yang lebih penting: kenapakah dia dipilih menjadi pengerusi Prasarana walaupun tingkah lakunya itu sudah pun diketahui? Apakah kerajaan pintu belakang begitu terdesak mencari sokongan dan bersedia tangkap muat sesiapa sahaja ke dalam gerombolan mereka?

“Bossku” yang tidak tahu malu, Najib Razak, cuba pula meredakan gelora kegusaran orang ramai, dengan mengumumkan dia sudah membisikkan “nasihat” kepada perwira Pasir Salak supaya meminta maaf.

Tetapi bekas presiden Umno ini mungkin kena jelaskan adakah dia pernah menegur ‘macainya’ secara terbuka? Atau adakah Bossku membenarkan, bahkan menggalakkan, kelakuan provokasi berulang-ulang kerana serasi dengan agenda politik Umno?

Dan kenapa pula orang Pasir Salak terus menyokong dan mengundi Tajuddin? Adakah dia mencerminkan nilai budaya Melayu yang mulia -- sopan santun, budi bahasa adab tertib? Adakah dia lambang kebanggaan negara?

Mungkin tidak. Sebaliknya, Tajuddin menggambarkan budaya warlord atau ‘orang kuat’ Umno yang sombong. Budaya inilah yang akan membinasakan Umno dan bangsa, seperti kata Mahathir Mohamad pada tahun 2014.

Misalnya Umno Selangor ( ketika itu) tidak mampu menampilkan sebarang calon menteri besar yang berkebolehan -- walaupun negeri itu penuh dengan orang Melayu yang mempunyai pendidikan dan kemahiran yang tinggi. Sebabnya, kata doktor politik ini, mereka yang berkebolehan tidak “dibenarkan” bangkit dalam parti.

Tetapi Tajuddin ada “kemahiran” yang tersendiri. Siri provokasinya berjaya mencipta “musuh” baru untuk menutup kekurangan akhlak dan ilmu. Maka British digantikan dengan DAP dan Birch ditukar kepada Lim Guan Eng. Rakan-rakan yang sewaktu dengan DAP, seperti Khalid Samad, turut juga diserang.

Saya rasa kalau Pakatan masih menerajui kerajaan, pihak Umno dan puak-puak “pembela bangsa” akan berjerit-jerit untuk memecat Anthony Loke sebagai menteri pengangkutan. Tetapi bagi Wee Ka Siong pula, puak-puak itu senyap seribu bahasa. Yang menjadi kambing hitam adalah seorang pemandu LRT, bukan sistem canggih yang harganya berjuta-juta.

Selepas 64 tahun merdeka, mungkin sudah tiba masanya untuk menatap kembali sejarah Birch dan Maharaja Lela. Ya, British masuk campur tangan di Perak demi mencari keuntungan kerana perang saudara antara bangsawan tempatan mengganggu perlombongan bijih timah.

Birch juga dikatakan “biadap” kerana cuba membendung hak pembesar untuk mengutip cukai dan menyimpan hamba abdi (zaman dulu, orang Melayu pernah jual Orang Asli sebagai hamba?). Tapi apakah yang sebenarnya diperjuangkan oleh Maharaja Lela? Hak untuk mendapat kekayaan (yang dipanggil cukai) daripada rakyat jelata yang bertungkus-lumus sedangkan mereka sendiri tak payah bekerja? Hak untuk menyimpan hamba abdi?

Adakah “misi dan visi” Maharaja Lela itu pembebasan orang Melayu bawahan? Atau mengekalkan hak istimewa para bangsawan? Inilah yang dipanggil sistem feudal, iaitu fahaman “dua darjat” lama sebelum orang kayangan kini begitu mudah terlepas hukuman bila mengingkari PKP. Mungkin inilah sebabnya perkataan “bermaharajalela” itu sendiri bermaksud “tindas menindas sesuka hati”.

Dan bagaimana pula dengan bangsawan feudal zaman kita, iaitu para politikus? Adakah mereka kuat “berjuang” demi “hak” mendapat untung atas angin dengan melambungkan harga pelbagai kontrak kerajaan? Mempertahankan “hak” mendapat jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti Prasarana? “Hak” untuk menghirup kekayaan daripada badan-badan yang sepatutnya menjaga kepentingan bangsa seperti Felda, Tabung Haji dan Mara?

Dan apakah permusuhan antara Bersatu dan Umno berpunca dari perebutan untuk mendapatkan lebih “hak” bangsawan feudal moden? Adakah ini cara bagi negara melangkah maju?

Jadi  Tajuddin yang menggelisahkan rakyat bukan sesuatu yang terhad kepada perangai dia seorang sahaja. Ia adalah gejala penyakit yang lebih mendalam dan parah. Oleh itu, kita kena tanya, apakah maksud Pasir Salak yang sebenarnya?


Sumber : Malaysiakini keluaran 1 Jun, 2021.


Popular Posts