Wednesday 24 May 2017

Sukarnya berwacana jika bahasa kita berbeza

Oleh Dr Muhaimin Sulam


Saya sekali lagi terpaksa membaca dan mengamati tulisan sahabat saya, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang kini tiba-tiba menjadi agak hangat.
Hakikatnya, tidaklah idea Kamarul Zaman itu datang secara mendadak atau tiba-tiba, tetapi ia melalui proses berterusan dan menjadi hangat apabila sampai saat ia meletup.
Beberapa persoalan pernah dibawa Kamarul Zaman telah pun saya ulas sebelum ini. Oleh itu saya akan cuba tidak mengulangi perbahasan lalu dalam tulisan ini.
Secara umum, polemik yang wujud adalah kerana perbezaan pendekatan dan kelemahan mencerakinkan fakta dengan konteks sesuatu isu yang timbul. Ini juga adalah persoalan perbezaan bahasa yang akan dihuraikan dalam artikel ringkas ini.
Bagaimana perbezaan bahasa mencetuskan keributan ini?
Bahasa memberikan makna yang besar dalam kehidupan. Kepelbagaian jenis dan laras bahasa dalam masyarakat memungkinkan ketegangan - dan juga ketenangan - dalam berkomunikasi. Sifat bahasa adalah pragmatik dan sangat membantu manusia yang juga memiliki sifat dinamik dan pragmatik.
Bahasa adalah sarana komunikasi yang dipengaruhi tahap intelektual sesuatu masyarakat atau kelompok. Walaupun menggunakan bahasa sama tetapi ada kalanya sesuatu kelompok itu membawa makna yang berbeza.
Ia bergantung kepada daya pemikiran dan laras bahasa di kalangan mereka.
Fungsi bahasa sebagai sarana komunikasi berkait juga dengan fungsi idealogi dan budaya. Perbezaan-perbezaan ini jika tidak diurus dengan baik memungkinkan perseteruan yang panjang kerana bahasa adalah "pembawa mesej" dari satu pihak ke pihak yang lain.
Berbalik kepada Kamarul Zaman. Bahasa yang digunakan beliau adalah bahasa politik dengan menjadikan sejarah sebagai wacananya. Lalu, seharusnya bahasa sebegini dilihat dari kaca mata politik. Pinggirkan dahulu fakta-fakta sejarah yang dipamerkan Kamarul Zaman.
Jangan tuduh bodoh
Beliau seakan bertindak sebagai kurator dalam balai pameran. Bahan yang dibawanya cantik dipandang dan mempunyai nilai seninya tersendiri.
Novelis satira terkenal, George Orwel, mengatakan bahawa bahasa politik direka untuk mengatakan pembohongan sebagai suatu kebenaran, dan pembunuhan ditampilkan mulia.
Kamarul Zaman adalah seorang penutur bahasa politik yang baik. Adalah tidak benar jika beliau dituduh sebagai sarjana bodoh. Lebih daripada itu, jangan diheret sama universiti yang menaunginya dalam perbahasan wacananya.
Universiti itu tidak bersalah dan tidak perlu dihukum kerana bahasa Kamarul Zaman.
Pihak yang menuduh beliau sebagai bodoh - pada mata saya - adalah pembaca suatu doktrin politik juga.
Noam Chomsky membahagikan bahasa kepada dua; bahasa mengikut kamus dan bahasa mengikut doktrin. Mana mungkin graduan Indiana Univesity dengan pointer tinggi, serta anak didik Prof Dr Redzuan Othman (gambar) di Universiti Malaya (UM) boleh dihukum bodoh semudah itu?
UM adalah universiti tempat saya belajar. Ia universiti tertua dan unggul di tanah air. Kita boleh mengatakan hujah dibawa Kamarul Zaman sebagai bodoh; ratusan pandangannya tidak memiliki jiwa. Tetapi untuk meletakkan hukuman "bodoh" pada tuan badan, perlu juga berhemah. Badan itu memiliki sekeping hati.
Mungkin makna yang kedua itu lebih tepat bagi merujuk penggunaan istilah bodoh oleh pengkritik Kamarul Zaman. Biarlah mereka kata. Sedaya upaya saya akan kekal berbudi sebagai mana susilanya orang Melayu bertelingkah.
Ingatlah pesanan SN Usman Awang:
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Bahasa politik tidak sama seperti bahasa harian yang sifatnya tiada jarak semantik antara yang ditulis atau diperkatakan. Tiada penyimpanan makna melainkan dipengaruhi kepentingan berbeza.
Bahasa politik lahir dari tembuni yang berbeza. Bahasa politik dibidankan masyarakat terpelajar yang sedang meraih kekuasaan. Ia tidak sekadar menyampaikan mesej tetapi lebih utama ialah menggerakkan masyarakat membuat keputusan.
Bahasa politik berlapis-lapis. Ia tidak semestinya berlumuran dengan pembohongan tetapi asasnya adalah kekuasaan dan pengaruh. Justeru, bahasa politik perlu diteliti garis pemisah halus antara jujur-bohong atau fakta-fiksyen dengan melihat motif penulis atau penuturnya.
Macam Pak Pandir dengan kambing
Bahasa politik berlapis-lapis lebih daripada kuih lapis. Apabila terhidang di depan mata, sebaiknya ia tidak ditelan serta-merta. Perhatikan setiap bait kata-kata dari pembahas politik. Pada satu lapis ia mungkin manis namun pada lapis lain ia terkandung racun.
Dalam politik, data adalah senjata sama ada untuk menyerang atau bertahan. Data itu sifatnya kaku dan dihidupkan atas tafsiran dan pengamatan seseorang.
Sebagai seorang sarjana yang terlatih dalam bidang sejarah, Kamarul Zaman memiliki kelebihan mengolah data-data berupa dokumen, artifak dan sebagainya untuk menjadi ramuan wacananya.
Bagi saya Kamarul Zaman bijak menggunakan bahasa sebagai modal sosial yang berharga bagi Umno dan PAS. Gagasannya mudah difahami oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu. Sikit atau banyak yang faham, itu persoalan lain.
Hampir keseluruhan tulisan Kamarul Zaman cuba membina persepsi bahawa pembangkang - terutamanya Pakatan Harapan - sebagai bermasalah dan salah. Itu objektifnya. Itu motif akhirnya.
Sepintas lalu, beberapa terma digunakan Kamarul Zaman seperti, bacul, bodoh, ekstrim, hipokrasi, rakus, dominan, tidak siuman dan lain-lain bolehlah saya kategorikan sebagai persoalan seputar isu Melayu dan Islam yang bersifat etniksiti dan agama. Inilah dogma yang hendak dikemukakan oleh beliau kepada khalayak.
Khalayak yang memiliki tahap bahasa yang selari dengan bahasa yang digunakan oleh Kamarul Zaman akan mudah menerima hujah pensyarah universiti itu.
Dalam cerita jenaka Melayu lama terdapat kisah Pak Pandir yang membawa kambing yang dianggapnya sebagai 'pak lebai’. Pada bahasa Pak Pandir, kambing sebagai pak lebai adalah betul. Ini kerana ia dibuat berdasarkan tahap dan cara pemikiran Pak Pandir itu sendiri.
Pak Pandir menggunakan logik mudah sebagaimana Pak Pandir memujuk Mak Andeh, isterinya yang kesedihan kematian anak mereka. Pak Pandir mengatakan bahawa anak orang lain pun meninggal dunia juga.
Hujah itu mudah dan diterima. Bahasa, empirikal dan logik Pak Pandir adalah bahasa masyarakat Melayu biasa. Pak Pandir bukan bodoh. Beliau adalah Machiavelli Melayu dalam versi Mr Bean. Lucu tetapi berkesan menimbulkan perasaan.
Kaedah itu kelihatan jenaka, bersahaja, tidak cerdik tetapi itulah bahasa yang mudah untuk dikongsi oleh bangsa yang berkomunikasi dengan laras bahasa tersebut.
Perlu difahami bahawa laras bahasa dalam masyarakat juga berbeza. Bagi kelompok yang menguasai laras bahasa berbeza daripada apa yang digunakan Kamarul Zaman, mereka tidak boleh menerima hujah dikemukakannya.
Dalam bahasa analogi, situasi yang berlaku ialah, anggota badan lain yang sakit, lain yang diubatnya.
Islam dan Melayu tidak sekadar dilihat sebagai suatu agama dan bangsa melainkan ia adalah suatu modal yang dapat membangkitkan emosi, kesan dan perasaan dalam politik.
Modal "Islam" dan "Melayu" adalah kelangsungan kuasa Umno, dan PAS kini pula berperanan menjadikan dua faktor itu sebagai hujahnya untuk meneruskan kecenderungan semasanya.
Suka ringkas, cepat menyimpul
Umno adalah Melayu. PAS adalah Islam. Modal ini telah terbina sekian lamanya sehingga berakar umbi dalam pemikiran dan bahasa bangsa Melayu.
Ini yang disebutkan - dan dituliskan - oleh Faris M Noor sebagai Islam Embedded atau "Islam Yang Tertanam".
Modal yang baik mampu menggambarkan keadaan tertentu dan disekaliguskan bagi membangkitkan perasaan yang dikehendaki.
Orang Melayu yang mempunyai laras bahasa selapis, adalah bangsa yang naif. Kamarul Zaman dalam tulisannya begitu istiqamah menggunakan ganti nama "saya" bagi memancing imaginasi pembaca bahawa seluruh wacana itu adalah pemikirannya sendiri. Tiadalah beliau dipengaruh oleh orang lain, dan tiada melibatkan kepentingan pihak lain.
Ini menggambarkan bahawa beliau bertindak secara ‘lone ranger’ dan pembaca yang memiliki pemikiran selapis akan menganggap beliau adalah seorang profesional atau tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Dalam politiknya, beliau cuba untuk dilihat sebagai seorang yang berpegang pada kebenaran sahaja. Namun 'bahasa' Kamarul Zaman itu hanya sesuai untuk orang yang membawa tahap pemikiran selapis.
Kamarul Zaman menggunakan bahasa masyarakat umum yang mahu ringkas dan mendapat kesimpulan yang cepat.
Bahasa dan budaya Melayu sepertilah kuih lapis atau kuih seri muka. Setiap lapisnya mengandung rasa, maksud dan fungsi tersendiri. Kuih lapis bukan sekadar juadah pembuka selera tetapi berfungsi mengajak orang Melayu berfikir tentang warna dan rasa pada setiap lapis serta potongannya.
Inilah santapan ilmu pada orang Melayu yang mahu berfikir.
Elok juga novel Faisal Tehrani, Ketupat Cinta yang membedah falsafah kuih-muih Melayu supaya dibaca. Malangnya ramai orang Melayu tidak suka membaca novel yang berat-berat ini.
Mereka lebih suka baca akhbar yang memaparkan sensasi dan menonton rancangan lawak hingga menghilangkan ketajaman akal berfikir. Lalu, sebahagian orang Melayu terbiasa membaca makna selapis sahaja tanpa ingin memikirkan lapis-lapis lain yang ada.
Lemas dalam retorik
Begitu juga tatkala orang Melayu berbahasa. Contohnya, di dalam pantun. Sebelum menyampaikan maksud, dicipta pembayang supaya orang Melayu diajar berfikir terlebih dahulu sebelum bersuara.
Sudah menjadi budaya orang Melayu mendidik masyarakat agar menggunakan akal fikiran dalam tindakan. Itu tidak masuk lagi gedung bidalan kata dan perumpamaan yang hampir dilupai oleh masyarakat Melayu sendiri yang disampuk semangat taasub pada demokrasi tanpa memperhitungkan ketinggian akal dan budi pekerti insan.
Kerana itu, menjadi peranan utama para sarjana untuk mengajak masyarakat mencapahkan pemikiran mereka. Sarjana janganlah hanya menumpukan kerja-kerja menyangkut data, dokumen, artifak, angka dan sebagainya untuk bahan tontonan publik tanpa memaknai ia secara terbuka.
Sarjana juga perlu mengajak masyarakat berfikir berlapis-lapis sebelum membuat keputusan. Kaum sarjana perlu keluar dari lingkaran birokrasi yang merosakkan potensi diri mereka. Kaum sarjana usah disibukkan dengan rutin dan disiplin sendiri. Tenggelam dalam asyik sendiri.
Inilah penderitaan kaum sarjana yang sepi dan kosong kerana kesedaran fungsi kesarjanaan itu pupus sedikit demi sedikit. Kaum sarjana perlu menyibukkan diri mereka mencipta situasi kritis yang mengajak masyarakat berfikir dan menggunakan akal mereka. Bukan menyuapkan mimpi-mimpi indah atau menuang minyak pada api yang marak.
Itu kerja orang politik. Biarkan saja pada ahli politik. Bahasa politik hanya untuk melahirkan perasaan senang, marah, kesal, semangat yang segala macam jenis perasaan yang pada akhirnya membuahkan satu tindakan. Itulah tindakan politik!
Bahasa Kamarul Zaman sudah separuh berjaya mencipta ilusi, memanipulasi pengetahuan dan menghadirkan mitos sehingga kelompok bangsa Melayu tertentu menemui keserasian padanya.
Bagi saya, kelompok naif ini gagal mengidentitikan persoalan sebenar di sebalik lambakan data-data yang mengelabui mata dan pemikiran. Bangsa begini akan lemas dengan retorika peragaan data-data.
Untuk akhirnya, Kamarul Zaman, kita sebenarnya berbicara berlainan bahasa!

DR MUHAIMIN SULAMseorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Ketika ini berkhidmat di Universiti Teknologi Petronas. Ini adalah lanjutan daripada polemik sedang berlangsung antara beliau dengan Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Sumber: Malaysiakini/May 24 2017.

Tuesday 23 May 2017

Surat terbuka buat kepimpinan HARAPAN

Oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tanah tercinta ini telah menyaksikan perubahan iklim politik yang pelbagai, jatuh bangun perjuangan yang kononnya untuk rakyat namun yang terkesan dengan buruknya juga adalah rakyat.
Hinggakan rakyat kebanyakan terkontang-kanting, lemas dan mual merasakan segenap pimpinan di atas yang seharusnya memimpin dan menjadi suara keramat memperjuangkan nasib mereka kelihatan hanyut dalam dilema lampau yang sememangnya meninggalkan parut.
Namun siapa yang lebih penting? Pimpinan ataupun rakyat?
Dari kesayupan genderang perang PRU14 semakin kedengaran, malangnya rata-rata pimpinan Pakatan Harapan kurang fokus untuk mendengar denyut nadi dan harapan rakyat.
Adakah benar pimpinan tertinggi Pakatan Harapan hari ini mengganggapbahawa PRU14 sebagai 'mother of all elections'?
Setelah rakyat begitu terbeban dengan GST, hutang negara, isu rasuah yang melibatkan kerajaan Umno-BN serta kesan peningkatan kos sara hidup, masalah pengangguran dan hal-hal lain, namun adakah Pakatan Harapan berdiri teguh bergandingan ikhlas dalam memperjuangkannya demi rakyat?
Atau pimpinan Pakatan Harapan lebih sibuk menuba racun kesumat atas perlakuan silam sedangkan rakyat terkapai-kapai menaruh harap.
Dalam keadaan Umno-BN hari ini begitu lemah dengan pelbagai skandal yang terpalit, seharusnya inilah masa yang terbaik untuk kita menunjukkan kesatuan dan menjaga kerukunan untuk menjatuhkan Umno-BN dalam satu kekuatan.
Bukannya mengambil kesempatan untuk mencalar perhubungan dan menduga kesetiaan.
Muhyiddin pilihan Mahathir
Kita tidak lagi seharusnya memenangi hati rakyat atas kelemahan Umno sebaliknya kita harus menang disebabkan kekuatan dan kebersamaan kita.
Ini bukanlah masa untuk menunjukkan bahawa kita merupakan alternatif kerana rakyat tiada pilihan lain namun inilah masa yang begitu baik menonjolkan bahawa kitalah kesatuan tunggal yang membawa harapan jutaan rakyat Malaysia.
Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan kenyataan suatu masa di awal penubuhan BERSATU dengan menyatakan pendirian 'peribadi' beliau bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu selayaknya menjadi perdana menteri Malaysia selepas Umno-BN dijatuhkan.
Kemudian kenyataan Mahathir itu telah mendapat kecaman hebat dari rakan-rakan Pakatan Harapan dan semenjak dari itu Mahathir sama sekali tidak pernah menyatakan pandangannya mahupun pandangan mewakili parti atas dasar menjaga kerukunan dan kesatuan demi kebersamaan dalam Pakatan Harapan.
Malah di kemudiannya Mahathir juga pernah menyatakan bahawa beliau tidak kisah siapa lagi yang bakal menjadi perdana menteri asalkan ada perbincangan yang baik dan menguntungkan rakyat dalam kesepaduan sesama pakatan.
Katanya, apa yang lebih penting bagi mengelakkan salah faham adalah untuk Pakatan Harapan terlebih dahulu fokus untuk menjatuhkan Umno-BN dalam waktu yang sama mencari kesepakatan siapa yang bakal menerajui Malaysia.
Namun apa yang berlaku di Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah amat sedih dan mengecewakan sekali. Mahathir dan BERSATU jelas diserang.
Kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan untuk mengikat jiwa yang terpisah bertukar menjadi medan melempias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikitpun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama dalam Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya.
Dipaksa, diperangkap
Kongres itu telah memperlihatkan dengan jelas sokongan Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah menurunkan tandatangan sokongan bagi kempen ‘Bebas Anwar’.
Tetapi semua itu seakan tidak dihiraukan apabila kepimpinan tertinggi BERSATU seakan 'dipaksa' dan 'diperangkap' untuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia Ke-7!
Walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri.
Apabila mereka tidak mengangkat plakad seperti pimpinan tertinggi yang lain, mereka dimalukan di depan khalayak umum.
Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago siap melabel Mahathir dan BERSATU sebagai, “New kid on the block”, sekaligus berkata bahawa kita perlu terus akur kepada keputusan yang dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum ini yang mengangkat Wan Azizah dan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.
Ini bertentangan dengan dasar Pakatan Harapan yang mengutamakan konsensus, tetapi dikebelakangkan oleh sesetengah pimpinan tertinggi sendiri.
Apakah motif tindakan tersebut? Dan beberapa pimpinan lain dalam Pakatan Harapan? Adakah suatu kepuasan dan kebanggaan bagi mereka di sebalik tindakan ini yang dapat memalukan Mahathir, Muhyiddin dan BERSATU?
Adakah mereka merasakan sokongan rakyat khususnya orang Melayu akan bersama mereka dengan perlakuan sebegitu yang mampu mencalar keutuhan bersama dalam pakatan?
Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan BERSATU Sejauh mana keikhlasan mereka menerima BERSATU dalam Pakatan Harapan?
PKR jangan taksub
Saya sendiri menandatangani petisyen ‘Bebas Anwar’. Saya sendiri pernah menyatakan sebelum ini bahawa jika Anwar bersama dengan kita sekarang, sudah pasti Najib sudah tumbang.
Saya sendiri mendukung perjuangannya untuk mereformasikan institutisi-institusi demokrasi negara. Tetapi janganlah taksub sampai soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihan raya di kebelakangkan kerana ketaksuban sesetengah pihak.
Ketaksuban ini sampai ke satu tahap di mana rakan seperjuangan di “ambush” semasa kongres PKR.
Kalau kita kalah PRU14, Datuk Seri Anwar tetap tidak bolek dinaikkan sebagai perdana menteri. Maka dengan itu, fokus utama kita sepatutnya adalah untuk memenangi pilihan raya!
Memang susah untuk ditelan setelah ada kenangan pahit yang pernah dilalui, namun adilkah apabila dalam kalangan ahli dibiarkan untuk terus disemarak api kebencian dan dendam andai kiranya kesalahan yang suatu masa pernah dilakukan bapa-bapa kita hingga rakyat terhukum?
Kita hanya mewarisi pertelingkahan silam yang cukup menghukum rakyat, namun adakah kita sanggup untuk membiarkan rakyat menderita kerana kesalahan lalu dan kelemahan kita masa kini hinggakan Umno mampu terus berkuasa.
Ini bukan lagi salah Umno. Ini salah kita.
Adakan undian
Benar sukar untuk kami fahami akan segala perit yang ditanggung dari ahli keluarga, para penyokong dan pendokong PKR.
Hakikatnya amat susah untuk saya menulis warkah ini, kita mengharapkan suatu lanskap politik baharu di Malaysia yang ikhlas memperjuangkan rakyat.
Rakyat dambakan kepimpinan yang mampu memperjuangkan nasib mereka yang begitu menekan. Hal yang pernah terjadi sememangnya menyakitkan, tiada penafian!
Namun ini mungkin pengorbanan terbesar kita sendiri dalam kita sama mencari kesepaduan demi masa depan lantas keluar dari sengketa silam.
Jika tidak, sampai bila? Susah tapi tak mustahil!
Rentetan itu, saya tertarik untuk bereaksi akan jalan penyelesaiannya, saya amat bersetuju dengan penulisan 'Warkah Dari Penjara' oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenyataan beliau bahawa keputusan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan haruslah ditentukan dan dipilih oleh rakyat!
Bukannya golongan elitis atau kepimpinan tinggi yang menentukannya.
Kerana itu saya mencadangkan untuk diadakan satu undian yang dikelolakan oleh suatu badan khas dalam kadar segera, bukan dari BERSATU, PKR, DAP mahupun AMANAH.
Badan bebas ini harus mendapatkan bancian atau undian mengenai jumlah sokongan rakyat ke atas beberapa calon pimpinan tertinggi dari setiap parti dalam Pakatan Harapan.
Menggunakan strategi ini bolehlah kita mengenalpasti siapakah pemimpin wibawa yang menjadi harapan rakyat ketika ini dan dijadikan garis panduan dalam perbincangan Pakatan Harapan untuk siapa yang lebih layak menerajui Malaysia.
Hasil undian atau bancian ini akan menjadi kayu ukur siapa yang lebih layak di mata rakyat, kerana itulah asas perjuangan kita.
Moga dari itu, kita dapat membina satu kesepakatan dan kesepaduan yang utuh dan ikhlas yang menjaga kepentingan rakyat tanpa ada dominasi ke atas satu sama lain demi mencorak Malaysia yang lebih baik!

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah Ketua Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Sumber: Malaysiakini/May 23  2017.

Kamarul Zaman dinasihat baca Perlembagaan DAP sebelum buat tuduhan

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Belum pun reda isu fitnah Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, pensyarah itu tampil pula dengan tuduhan mengarut bahawa dasar perjuangan DAP kononnya tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Susulan dakwaannya itu, Kamarul memulakan inisiatif menyediakan memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP dengan dakwaan kononnya melanggar peruntukan Akta Pertubuhan.
Menempelak tuduhan berniat jahat itu, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh menegaskan bahawa DAP adalah parti yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia dibuktikan dengan perjuangan parti itu selama ini.
Malah, katanya, seseorang tidak memerlukan kelulusan akademik yang tinggi untuk memahami bahawa perjuangan DAP selama 51 tahun dalam arena politik negara demi membentuk Malaysia yang lebih baik adalah mengikut landas undang-undang tertinggi negara itu.
“Kamarul Zaman hanya perlu mendapatkan senaskah Perlembagaan DAP dan membacanya dari kulit ke kulit jika berasa keberatan untuk menggali arkib mengenai tokoh sejarah dan perjuangan DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman sebelum ini mendakwa kononnya Hannah cuba memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang bukan Kristian supaya menjadi penganut atau cenderong kepada ajaran Kristian berdasarkan petikan daripada Bible dalam buku autobiografinya, “Becoming Hannah”.
Ekoran tuduhan berniat jahat itu, Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP membuat laporan polis terhadap Kamarul kerana didakwa sengaja mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama.
Mengulas lanjut, Kah Woh yang juga Adun Canning berkata, Kamarul Zaman harus berhenti merendahkan martabat dirinya dengan mengikut rentak propaganda UMNO-Barisan Nasional (BN) yang seringkali menuduh DAP sebagai kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.
“Demokrasi yang sebenar membenarkan semua parti politik untuk bersaing antara satu sama lain berdasarkan merit, tetapi apa yang menyedihkan walaupun tidak memeranjatkan, Kamarul Zaman tidak menghiraukan perkara ini dan mempertaruhkan pembentukan negara semata-mata demi kepentingan agendanya,” katanya. 
Sumber: Roketkini.com/May 22, 2017.

SPRM tidak perlu pilih kasih heret ahli politik rasuah



KUALA LUMPUR, 22 MEI: Tidak semua agensi kerajaan khususnya melibatkan penguatkuasaan undang-undang terlepas dari persepsi negatif masyarakat.
Tambahan pula apabila melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sering menjadi tumpuan apabila menjalankan siasatan terhadap ahli politik dan individu-individu berprofil tinggi.
Bagi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, SPRM perlu berani dan bersifat bebas serta professional supaya agensi itu diyakini dan efektif membanteras rasuah.
Dalam kenyataannya, beliau berkata SPRM tidak perlu memberikan ‘layanan istimewa’ terhadap mana-mana ahli politik atau individu yang didakwa terlibat dalam rasuah dalam menjalankan siasatan mereka.
Beliau mengulas temu bual bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia semalam.
Dalam kenyataannya, Dzulkifli berkata pihaknya telah menetapkan tidak akan bertindak terhadap ahli-ahli politik sebelum pilihan raya kerana tidak mahu dijadikan modal kempen politik.
“Kenyataan Zulkifly tidak meyakinkan dan tidak boleh diterima.
“Mengapa SPRM perlu risau terhadap penahanan yang dilakukan mereka dijadikan modal kempen? Ini bukan masalah SPRM. Sepatutnya ahli politiklah yang perlu risau dan malu dengan  reaksi atau kecaman,” kata Naib Pengerusi DAP itu.
Disebalik kenyataan janggal Dzulkifli itu, beliau hanya menyebabkan masyarakat tertanya-tanya terhadap sebarang kemungkinan bahawa SPRM menerima tekanan politik untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya berharap, SPRM dapat menjalankan tugas mereka tanpa rasa bimbang dan pilih kasih. Tak perlu tunggu selepas pilihan raya untuk bertindak,” katanya lagi. 
Sumber: Roketkini.com/May 22, 2017.

Pakatan Harapan dicemburui kerana berjaya di Pulau Pinang, Selangor



KUALA LUMPUR, 22 MEI: Pencapaian cemerlang dasar ekonomi dan negeri berkebajikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dan Selangor merupakan kejayaan urus tadbir cekap dan berintegriti yang dibawa agenda reformasi.
Menurut Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, kejayaan pentadbiran di kedua-dua negeri itu menjadi petunjuk kepada pencapaian yang mampu dikecapi jika berjaya membentuk kerajaan dalam pilihan raya akan datang.
“Jika kita boleh mentadbir dengan cemerlang Selangor dan Pulau Pinang, percayalah, kita juga boleh mentadbir dengan cemerlang jika rakyat memberi mandat kepada kita memimpin Putrajaya InshaAllah,” katanya dalam kemaskini facebook beliau sempena ucapan dasar Kongres PKR 2017.
Hasil kejayaan itu katanya telah membawa kemakmuran kepada negeri dengan pengurangan hutang dan peningkatan rizab negeri sebanyak RM4 bilion bagi Selangor dan RM1.7 bilion bagi Pulau Pinang.
“Lebihan hasil pendapatan negeri dipulangkan kepada rakyat. Lantas membawa kesejahteraan kepada negeri Selangor di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali gah dengan Inisiatif Peduli Rakyat.
“Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri Saudara Lim Guan Eng melaksanakan skim I-Sejahtera,” katanya.
Ekoran itu, bukan sesuatu yang menghairankan jika kedua-dua negeri ini diserang dengan pelbagai fitnah dan tohmahan tidak berasas untuk memburuk-burukkan kepimpinan negeri.
“Oleh kerana golongan kleptokrat kebuntuan menghadapi pemimpin yang adil, telus dan beramanah. Lalu fitnah ditabur. Tuduhan direka-reka.
“Kini, saudara Lim Guan Eng berdepan dengan tuduhan yang direka-reka. Kepada saudara Lim Guan Eng, kami KEADILAN dan HARAPAN akan teguh bersama anda melawan fitnah yang dilontarkan ini,” ujarnya.
Dalam ucapan dasarnya dalam Kongres PKR 2017 di Shah Alam kelmarin, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengambil contoh Pulau Pinang berkata pihak lawan juga terpaksa memainkan sentimen kaum.
“Mereka terpaksa meniup sentimen perkauman.
“UMNO tuduh Guan Eng anti-Melayu, MCA dan Gerakan pula menuduh Guan Eng terlampau membantu agama Islam dan orang Melayu,” ujarnya lagi.
Segala tohmahan itu realitinya sekadar dakwaan semberono yang menunjukkan UMNO-BN telah kehabisan modal berpolitik dan terpaksa menjaja politik ketakutan dan kebencian. 
Sumber: Roketkini.com/May 22, 2017.

Ini sebabnya kenapa PAS perlu letak semua jawatan dalam kerajaan Selangor



PETALING JAYA, 22 MEI: Tindakan PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR dilihat sebagai penolakan parti itu terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.
Ia juga, kata Adun Kampung Tungku, Lau Weng San menunjukkan PAS tidak lagi mendukung mandat dan aspirasi rakyat Selangor yang mahukan PKR, PAS dan DAP membentuk kerajaan berdasarkan manifesto Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13.
“Maka mengikut logik, rasional dan lunas politik, bukan sahaja Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS Selangor perlu meletakkan jawatan masing-masing,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
“Malahan Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Kampung serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada PAS Selangor juga harus melepaskan jawatan masing-masing kerana jawatan-jawatan ini dilantik oleh Menteri Besar.”
Terdapat desakan daripada pelbagai pihak agar Exco PAS Selangor meletakkan jawatan selepas Majlis Syura Ulamak parti itu mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR yang kini menerajui kerajaan negeri Selangor.
Namun, PAS dilihat tidak tunduk dengan desakan itu apabila berdegil ingin tetap berada dalam kerajaan negeri dengan alasan kononnya untuk memastikan DAP tidak melakukan “kerja jahat”.
Tuduhan tidak berasas terhadap DAP itu bagaimanapun tidak dijelaskan pihak PAS meskipun mendapat desakan untuk berbuat demikian.
PAS juga menggunakan institusi DiRaja sebagai alat untuk melindungi kepentingan politiknya, tindakan yang dilihat sebagai kurang profesional dan tidak jujur.
“PAS harus maklum bahawa Exco di setiap negeri dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja Melayu atau Tuan Yang Terutama (TYT) negeri masing-masing atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri.
“PAS juga harus diingatkan tentang insiden pemecatan enam orang Exco kerajaan Selangor pada tahun 2014 atas nasihat Menteri Besar pada masa itu, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim apabila beliau dipecat daripada PKR dan tidak sehaluan lagi dengan PKR,” jelas Weng San yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor.
5,000 ahli PAS ketika ini memegang pelbagai jawatan yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor.
Tiga Exco PAS yang masih berkhidmat di bawah pentadbiran pimpinan Azmin Ali adalah Datuk Iskandar Abdul Samad memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar.
Selain itu, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bagi portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi, manakala Zaidy Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Roketkini.com/May 22, 2017.

'Beritahu orang Pekan, 25 sen dari rakyat Selangor'

Azmin Ali PKRAzmin Ali PKR
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan negeri itu menjadi penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Selangor sumbang 25 peratus kepada negara. Setiap RM1 dalam poket, ingat 25 sen datang dari rakyat Selangor.
"Pergi Pekan tanya orang Pekan tengok berapa poket dia. Ada seringgit, 25 sen dari Selangor. Pergi Bagan Datuk, beritahu 25 sen datang dari rakyat Selangor," ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Presiden Umno merupakan Ahli Parlimen Pekan manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga Naib Presiden Umno adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Azmin berkata demikian dalam Pidato Pakatan Harapan 'Negara Ini Kita Bina Bersama' di Dewan Sri Siantan, Selayang malam tadi.
Orang ramai memenuhi Dewan Sri Siantan Selayang dalam ceramah Pakatan Harapan malam tadiOrang ramai memenuhi Dewan Sri Siantan Selayang dalam ceramah Pakatan Harapan malam tadi
Menurut Timbalan Presiden PKR itu, Selangor masih stabil dan muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia walaupun "diasak dan dibuli".
"Walaupun Selangor diserang tiap-tiap jam 8 malam seolah-olah di Malaysia ini hanya ada satu negeri sahaja - Selangor, rizab kita sudah mencecah RM4 bilion.
"Terlalu banyak. Saya tidak tahu buat apa dah," ujarnya secara berseloroh dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Mahathir Mohamad dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
Azmin turut memaklumkan kerajaan negeri pimpinannya telah membantu ribuan peniaga kecil melalui modal perniagaan tanpa faedah selain sudah tiga tahun memberi penjawat awam bonus dua bulan setengah gaji berbanding Putrajaya yang memberi RM500 sahaja.
Walau bagaimanapun, beliau sama sekali tidak menyentuh tentang Pilihan Raya Umum ke-14 termasuk situasi semasa hubungan dengan Pas dan kebarangkalian tinggi berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Sumbet: Malaysia Dateline/May 23, 2017.

Popular Posts