Thursday 31 January 2019

CEO baharu FGV lalui hari yang sibuk - Penganalisis

Bernama  -  31 Januari, 2019
Penganalisis melihat ketua pegawai eksekutif FGV Holdings Bhd yang baharu dilantik, Datuk Haris Fadzilah, akan menjalani hari-hari yang sibuk untuk mengurus operasi syarikat perladangan itu bagi memastikan operasinya berjalan lancar.

Dalam usaha itu, bekas pengarah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) itu mungkin menjejaskan popularitinya berkhidmat di syarikat baharu itu, namun semua ini adalah untuk kebaikan FGV.

"FGV memerlukan pembaharuan, terutama dari segi pengurusan hutang. Harga komoditi yang rendah tidak membantu keadaan.

"Kami menjangkakan keutamaan pengurusan baharu adalah untuk mengurangkan kadar hutangnya dan memastikan kedudukan kewangannya sihat," kata seorang penganalisis perladangan kepada Bernama.

Beliau berkata pada masa ini, pulangan hasil di kebanyakan ladang FGV, adalah antara yang paling rendah di negara ini.

"Dengan proses penanaman semula memerlukan lebih banyak dana, kami berpendapat perlunya satu pusingan pengumpulan modal dalam pasaran dilakukan.

"Berhubung tempoh masa pemulihan dua tahun, kami melihat ia mencukupi jika faktor luaran kekal positif," kata penganalisis berkenaan.

Beliau menjelaskan harga minyak sawit mentah (MSM) telah menyusut mendadak sejak kebelakangan ini, dan dengan publisiti negatif yang menjejaskan sentimen permintaan ke atas minyak sawit di negara-negara Eropah, ini boleh menjejaskan usaha pemulihan.

Kesukaran semasa ini mendorong pengeluar MSM seperti FGV mencari pasaran baharu.

"Secara menyeluruh, kami menaruh keyakinan ke atas Datuk Haris, dan dengan pengalamannya yang luas dalam industri ini, beliau dapat menyumbang kepada syarikat perladangan itu walaupun menempuh cabaran yang semakin meningkat".

Sebelum MRT Corp, Haris juga berkhidmat dalam industri perladangan dalam pelbagai jawatan utama termasuk sebagai ketua strategi dan pembangunan perniagaan di Golden Hope Plantations Bhd dan ketua operasi hiliran di Sime Darby Plantation Bhd.

Sementara itu, seorang peniaga kanan di Interband Group of Companies Jim Teh berkata CEO baharu mungkin perlu mengecilkan bilangan pekerjanya yang kini dilihat berlebihan.

"Saya berpendapat terlalu ramai pekerja dalam organisasi itu. Ini tidak bermakna jika anda berkerja dalam sesebuah organisasi itu untuk tempoh yang terlalu lama, anda dianggap baik ... ia mungkin kerana anda tahu semua kelemahan.

"Dan ada yang mendapat lebih banyak daripada apa yang mereka sepatutnya terima, seperti gaji berjumlah RM150,000 sebulan, yang jauh lebih tinggi daripada gaji perdana menteri," katanya.

Beliau berkata lebihan dalam skop kerja terutama di jabatan pemasaran dapat dikurangkan, yang sekali gus akan menjimatkan FGV.

"Masa adalah intipati. Sudah tentu orang mahu melihat hasil yang cepat dan mereka juga patuh pada integriti.

"Oleh itu, mulakan proses penjimatan sekarang dan kita akan melihat harga sahamnya meningkat," katanya.

Minggu lepas, FGV, dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan pelantikan Haris sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 22 Jan.

Sebelum itu, FGV melantik Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan mulai 2 Jan, Mazri Abdul Rahim sebagai ketua pegawai sumber manusia (19 Nov 2018) dan Dr Christina Ooi Su Siang sebagai ketua pegawai perolehan (15 Jan) .

Tahun lepas, FGV menjadi tumpuan atas sebab yang tidak sepatutnya, dengan sahamnya hampir tidak menjadi pilihan pelabur berikutan publisiti buruk yang melanda syarikat itu.

Pengerusinya Datuk Azhar Abdul Hamid mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara selepas jawatan itu dikosongkan oleh Datuk Zakaria Arshad, yang meletak jawatan pada 18 Sept, hanya enam hari selepas dia digantung dan dilucutkan semua tugasnya selepas tamatnya siasatan dalaman FGV ke dalam 10 isu kritikal.

Ia merupakan penggantungan kedua Zakaria dalam tempoh 15 bulan.

FGV menyaksikan sahamnya jatuh dalam sebahagian besar tahun 2018 berikutan kontroversi yang dilaluinya, memaksa ia menjalani pelan pemulihan.

Pada 16 Januari tahun lepas, saham FGV berharga RM2.05 sesaham dan menjunam 66.97 peratus kepada paras terendah pada 71.5 sen pada 28 Dis.

Sahamnya kembali meningkat kepada 94.5 sen pada 16 Jan tahun ini selepas Azhar mengeluarkan surat memaklumkan pemegang saham mengenai status syarikat dan pelan masa depannya.

Semalam (29 Jan) saham FGV ditutup pada RM1.01.

Surat Azhar, antara lain, mengetengahkan bahawa sasaran tandan buah segar FGV sebanyak 16.9 tan sehektar (ha) pada 2018 dan 19.43 tan metrik pada tahun ini serta anggaran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1 bilion setahun pada harga purata MSM RM2,500 setan.

Penganalisis penyelidikan berpendapat tempoh terburuk untuk FGV sudah berakhir.

Syarikat perladangan yang mencatat kerugian itu dalam tindakan 'membersihkan syarikat' telah memulakan pelan pemulihan yang akan dipantau oleh dua pengarah bebas dan seorang pegawai transformasi.

Mereka menjangkakan syarikat itu akan kembali menguntungkan berdasarkan pelan sasaran itu.

Bagaimanapun seorang veteran terkemuka dalam perladangan ketika dihubungi Bernama berkata walaupun gambaran jangkaan yang baik, namun mustahil FGV dapat memenuhi sasaran dua tahunnya berdasarkan profil umur pokok sawitnya.

"Masalah FGV berkemungkin berpunca daripada kadar penanaman semula yang tinggi pada masa lalu, jadi ada pokok masih belum mengeluarkan hasil dan sebahagian lagi masih perlu ditanam semula, iaitu pokok tua.

"Justeru pokok tua tidak dapat mengeluarkan hasil yang lebih tinggi, dan akan mengambil sedikit masa untuk merasionalisasi semula pokok muda dan menanam semula pokok tua," katanya.

FGV katanya mungkin memerlukan lebih dari dua tahun untuk melihat pelan pemulihannya berjaya.

Secara keseluruhannya, beliau menyuarakan harapan bahawa industri perladangan akan menyaksikan pemulihan pada 2019, sekali gus meningkatkan harga saham tempatan dalam sektor berkenaan.

Thursday 24 January 2019

Bubar Parlimen? Lebih baik bubar Isma

Muammar Qaddafi Mohd Nasir  -  24 Januari, 2019
Cadangan bekas presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen adalah satu jenaka hambar di permulaan tahun 2019.
Abdullah mendakwa Malaysia menuju negara rasis kerana kerajaan hari ini didominasi DAP, dengan semangat anti-Melayu dan anti-Islam membuak-buak.
Ini dakwaan berat yang tiada asas untuk membuktikannya. Yang ada hanyalah hasad.
Bagaimanapun Abdullah adalah individu yang sama pernah menjulang Mahathir sebagai pahlawan Melayu-Islam abad ini dan kini menuduh perdana menteri hampir hilang kawalan sepenuhnya terhadap kerajaan sendiri.
Isma adalah NGO yang 'panas punggung' sejak 9 Mei 2018.
Kempen berbaur perkauman mereka tidak dibeli pengundi. Lebih malang beberapa individu yang mereka cukup musuhi kerana sejarah silam - seperti Dr Maszlee Malik - diangkat sebagai menteri.
Lapan bulan selepas wujudnya Malaysia Baru, ia ibarat 80 tahun buat Isma.
Ini sebabnya
Tulisan Abdullah bersifat rambang, tanpa bukti dan hujah yang kuat. Misalnya beliau mendakwa Lim Guan Eng sebagai menteri paling berkuasa pada masa ini. Itu jelas menunjukkan bakat jenaka yang dimiliki amir Isma berkenaan.
Menteri Kewangan bukanlah jawatan yang memberi kuasa penuh kepada pemegangnya. Segala tindakan penting mereka masih memerlukan restu perdana menteri dan kabinet.
Anggota kabinet Malaysia terdiri daripada majoriti orang Melayu dan beragama Islam, meskipun DAP memiliki kerusi parlimen kedua terbanyak dalam kalangan parti komponen PH.
Sebab itulah MCA menuduh DAP sebagai 'pak turut' Mahathir, iaitu kerana ketika memiliki anggota parlimen paling ramai, mereka tetap di bawah arahan orang Melayu.
Jadi cadangan Abdullah agar Mahathir membubarkan kerajaan adalah cadangan terdesak bagi melegakan Isma daripada 'panas punggung' sejak lapan bulan lalu.
Tetapi saya ada cadangan yang lebih baik buat beliau: bubarkan Isma.
Cadangan saya ini didasari beberapa sebab:
- Malaysia tidak memerlukan satu lagi gerakan berasaskan perkauman sempit. Ia sebuah negara bertunjangkan perpaduan kaum dan percaya bahawa kesetiaan rakyat adalah pada negara. 
Walaupun berbeza kaum dan agama, sikap toleransi dan saling menghormati dipertahankan.
- Malaysia tidak memerlukan penasihat tanpa tauliah untuk memberi tunjuk ajar perjalanan pentadbiran, apatah lagi idealisme Isma bertentangan dengan aspirasi Malaysia Baru.
Isma, kewujudanmu tidak memberi sedikit manfaat pun kepada negara.
- Isma bukanlah 'kuasa ketiga' kerana mereka berkongsi aspirasi sama dengan blok kedua parti politik di Malaysia, iaitu PAS dan Umno. Maka lebih baik Isma dibubarkan dan ahlinya beramai-ramai menyertai dua parti itu. Inilah semangat yang diperlukan jika mahu berpolitik.
- Isma pernah melalui PRU pada 2013 tetapi calon-calon mereka ditolak secara total dan hilang deposit. Pada 2018 pula, calon-calon yang ditentang Isma telah diterima rakyat Malaysia.
Ini menunjukkan suara dan fikrah Isma telah ditolak. Kehadirannya ibarat lalat - suka mencari tahi di taman bunga.
Banyak lagi sebab yang boleh diberikan mengapa Isma perlu dibubarkan demi negara tercinta. Tetapi cukuplah setakat ini. Saya harap ia mendapat pertimbangan Abdullah.

MUAMMAR QADDAFI MOHD NASIR merupakan pengarah komunikasi Pemuda Amanah Terengganu.

Malaysia Baru gelap jika wartawan bodek

Hishamuddin Rais  -  22 Januari, 2019
‘Maaf ya Datuk, maaf Datuk Seri, maaf Tun… boleh tanya… nak tanya sikit… jangan marah Datuk... minta maaf.. nak tanya sikit… jangan marah...Ini tentang… nak minta komen tentang…’
Ini cara Hishamuddin Rais mengambarkan para wartawan Malaysia. Dialog ini adalah hasil pemerhatian. Dialog ini adalah juga pengumpulan pengalaman saya apabila berhadapan dengan wartawan dan pemberita bergenre Malaysia aka genre bodek.
Semenjak tahun 1971, saya telah berhadapan dengan media. Ini ketika saya mula terlibat dalam gerakan pelajar. Pada ketika itu saya tidak berapa faham sangat akan peranan wartawan dan pemberita.
Tapi pada tahun 2019 - saya berani mengeluarkan dialog - hampeh - di atas. Ini untuk menerangkan apakah makna genre bodek dalam kewartawan bergenre Malaysia.
Pernah saya mendengar satu surah klasik tentang wartawan Malaysia. Surah ini disampaikan kepada saya oleh seorang bekas wartawan New Straits Times (NST) yang akhirnya kami sama-sama bekerja di BBC London.
Konsert Tina Turner
Surah ini bermula dengan lawatan Tina Turner penyanyi dari Amerika. Tina Turner telah sampai ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert di Stadium Negara pada 25 Febuari 1988.
Ketika sampai di lapangan terbang Subang ratu rock n roll dan irama rhytm ini telah diserbu oleh pengamal media. Satu sidang akhbar telah diadakan. Jurugambar dan perakam berita dari stesen televisyen juga sibuk. Semua ingin mendapat berita tentang ratu rock ini.
Dengan rambut afro mengerbang dan kasut tinggi tumitnya, Tina Turner telah bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan dari wartawan. Sidang akhbar ini juga bertujuan untuk membuat promosi jualan tiket.
‘Miss Tina… I am Chin Ling (bukan nama sebenar) from Female magazine. The leading fashion and beauty magazine in Malaysia
Yes.. what is your question darling…' Sampuk Tina.
Miss Tina.. may I know when do you start singing?’
Tina Turner menarik badan ke belakang. Dia tergamam. Semua wartawan Malaysia tak faham apa yang sedang berlaku. Untuk beberapa ketika semua senyap menunggu jawapan dari Miss Tina.
Darling, go and read my book... Read it before you come here.
Jawapan Miss Tina mungkin masih tidak difahami oleh ramai para wartawan dan pemberita bergenre bodek hingga ke hari ini.
Sidang akhbar di pejabat Zahid
Saya sendiri pun mengalami perkara yang sama. Pada tahun 1994 setelah dua puluh tahun berkelana saya pulang ke Malaysia. Tiga hari sesudah sampai ke Jelebu saya telah ditahan di bawah ISA - Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dua minggu kemudian saya telah dibebaskan.
Dua hari setelah dibebaskan, saya telah mengadakan sidang akhbar di pejabat Datuk Zahid Hamidi - kawan lama saya. Ramai pengamal media yang datang ke sidang akhbar ini.
Tiba-tiba ada seorang wartawan entah dari akhbar mana dengan bangga bangun bertanya.
‘Encik Hishamuddin apa sebenarnya berlaku pada tahun 1974?’
Saya pandang muka mamat ini. Saya teringat surah Tina Turner yang telah saya dengar awal di London sebelum saya pulang ke Malaysia. Saya nak ketawa salah. Saya nak menangis pun salah.
Nak ber’darling’ macam Miss Tina dengan mamat ini nanti disalah tafsir pula.
Nasib baik ketika itu ada kawan lama dari Universiti Malaya. Lalu saya minta kawan lama saya tarik keluar mamat pemberita ini dan beri dia kuliah tentang perjuangan petani dan penoreh getah di Baling pada tahun 1974.
Demi Zeus, saya tidak faham kenapa si mamat pemberita ini dihantar menemu bual saya tanpa si mamat ini mengetahui latar belakang perjuangan warga miskin Baling 1974.
Hari ini dengan adanya internet mustahil tidak dapat dibaca kembali babak sejarah 1974. Mustahil tidak dapat diketahui bila dan dimana Tina Turner mula menyanyi.
Jika masih ada pemberita atau wartawan yang datang tanpa mengetahui latar belakang apa yang ingin di sidang akhbarkan, maka saya akan sumbat telefon bimbit Nokia saya ke mulut wartawan ini. Amin.
Wajib diberitahu di sini bahawa kerja sebagai pemberita dan wartawan ini adalah tugas yang maha suci. Satu pekerjaan yang amat-amat dihormati.
Kekuatan keempat negara
Apakah para wartawan dan pemberita genre Malaysia tidak sedar bahawa semua mereka ini digulungkan ke dalam - the fourth estate (kekuatan keempat setelah kehakiman, parlimen dan eksekutif). Atau perkataan ‘estate’ ini hanya memberi kefahaman kepada mereka sebagai tanah yang bersangutan dengan estet kebun getah.
Astaga. Demi Zeus, saya beharap mereka akan sedar makna estateini.
Untuk memahami konsep estate ini mari kita kembali ke zaman sebelum revolusi Perancis 1789. Ini pada zaman Tsar, Maharaja, Sultan dan Raja memerintah ikut suka hati. 
Masyarakat dibahagi kepada tiga kumpulan atau estateEstatepertama kaum agamawan. Estate kedua kaum bangsawan. Estateketiga ialah rakyat jelata.
Malah para nasionalis awal Melayu semuanya berpayung di bawah Utusan atau terlibat dalam bidang kewartawan atau penulisan.
Wajib dirakam untuk sejarah bahawa orang yang didakwa menjadi kader bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengajukan konsep Barisan Nasional dan membuat hubungan diplomatik dengan China Merah.

Orang itu ialah seorang wartawan bernama Abdul Samad Ismail. Dia juga penulis ucapan dan penasihat perdana menteri Abdul Razak Husin hingga ditahan di bawah ISA pada tahun 1976.

Kemenangan rakyat pada 9 Mei 2018 pasti telah memeranjatkan ramai para wartawan dan pemberita yang dibaluti oleh budaya bodek.
Saya berani berkata sedemikian kerana saya amat yakin budaya bodek ini amat tebal di kalangan para wartawan dan pengamal media di Malaysia ketika ini.
Kalau dulu mereka membodek Najib. Kalau dulu mereka membodek Rosmah. Kalau dulu mereka membodek Zahid Hamidi tup tup tuppada 10 Mei 2018 mereka mula beralih kiblat. 
Kini mereka membodek Mahathir. Mula membodek Azmin Ali. Mula membodek Lim Guan Eng.
Dalam sekelip mata mereka berubah tuan. Hakikatnya budaya bodek amat-amat tebal dalam rangka dan nafas para wartawan dan pengamal media Malaysia. Untuk saya ini amat bahaya. Pada hemat saya ini perosak agenda perubahan.
Saya tidak mahu mereka membodek. Saya tidak mahu mereka menyokong Pakatan Harapan. Atau membenci Barisan Nasional. Parti mana yang mereka sokong itu hak mereka. 
Apa yang saya mahu ialah mereka menjadi wartawan, pemberita dan pengamal media yang jujur dan tulen. Bukan mat bodek atau minah bodek.
Hentikan perangai bodek. Perangai bodek inilah yang telah membawa kemusnahan kepada Tanah Melayu selama ini. Perangai bodek ini telah menjadikan United Malays National Organisation beraja di hati dan bersultan di mata selama 60 tahun.
Perangai bodek inilah yang membuatkan bertan-tan pasir didakwa dijual ke Singapura walau pun dilarang. Perangai bodek inilah yang menjadikan Rosmah terkinja-kinja sebagai First Lady of Malaysia sambil merembat harta negara. Perangai bodek inilah yang membolehkan Jho Low menipu dan menyonglap duit rakyat berbilion ringgit.
Hentikan budaya - 'Maaf Datuk… Maaf Tan Seri.. Maaf Datuk Seri... Maaf Tun… nak tanya sikit jangan marah…’
Woit. Tugas kamu sebagai wartawan dan pemberita bukan sebagai peminta maaf.
Tugas sebagai wartawan ialah mencari kebenaran. Menulis kebenaran. Melapor kebenaran. Wartawan bukan ejen kerajaan Pakatan Harapan. Atau ejen kerajaan Barisan Nasional. 
Wartawan bukan ejen kepada kuasa. Wartawan ialah ejen rakyat. Para wartawan bertanggung jawab kepada orang ramai. Piagam ini wajib difahami.
Rakan sejawat kamu ialah Pak Sako, Ahmad Boestamam, Rahim Kajai, Samad Ismail, Tongkat Waran, Carl Bernstein, Bob Woodward, Saymour Hersh dan John Pilger. Kamu juga wajib mengingati arwah Jamal Khashoggi yang disalib.
Dan paling terkini kawan kamu yang wajib dijadikan contoh ialah Julian Assange. Anak muda kelahiran Australia ini sedang terperangkap di kedutaan Ecuador London untuk tahun ke enam. Sosok ini adalah pemula WikiLeaks - kewartawanan zaman internet dan digital.
Kamu wajib juga mengenali Jeremy Hammond pemecah berita yang kini merengkok dalam penjara di Milan Michigan Amerika. Jeremy ditahan semenjak bulan Mach 2012.
Jika nama-nama ini amat asing bagi kamu ertinya telah sampai masa untuk kamu mula membaca dan mengkaji apa itu kewartawanan. Jika tidak kamu akan terus tenggelam dalam budaya bodek.
Mula budaya baru
Kewartawanan adalah perjuangan. Berjuang untuk menegakkan keadilan. Berjuang untuk kebenaran. Bukan untuk membodek.
Cuba mulakan budaya baru. Sila tanya Mat Sabu. Sila tanya Anwar Ibrahim. Sila tanya Mazlee Menteri Pendidikan. Sila tanyakan mereka contoh soalan begini:
‘Abang Mat.. kenduri kahwin anak Abang Mat baru selesai. Ini kenduri besar. Abang Mat baru sahaja menjadi menteri. Adakah kenduri mewah ini ditaja oleh tauke senjata?’
‘Saudara Anwar.. ketika pilihan raya kecil di Port Dickson dulu ada dilaporkan saorang kepala samseng datang menyambut saudara untuk jamuan makan malam. Apakah jamuan ini ditaja oleh kepala samseng ini? Apa hubungan saudara dengan kepala samseng ini?
‘Salamualiakum Ya Akhi Mazlee mana lebih penting, menghapus Akta Universiti (Auku) dan mengembalikan hak pelajar untuk berpersatuan seperti tahun 1960-an dan 1970-an daripada mengubah warna kasut sekolah? Apakah ada syarikat kasut yang mencadangkan kepada saudara perubahan ini?’
Jika soalan-soalan berbentuk ini terus keluar dari mulut wartawan dan pemberita Malaysia, saya yakin masa depan Malaysia akan cemerlang.
Tetapi jika budaya 'maaf Datuk… maaf Tan Seri.. maaf Datin Seri…' diteruskan maka masa depan Malaysia Baru akan terus gelap.

Najib dengan motosikalnya

Mohsin Abdullah  -  23 Januafi, 2019
Baru-baru ini Najib Razak muncul di Shah Alam. Berpakaian serba hitam. Jaket parka, jean, sniker. Semua hitam.
Bekas perdana menteri itu datang untuk satu sesi “bertemu rakyat”. Sejak kebelakangan ini Najib kerap mengadakan sesi seumpama itu.
Tapi kali ini selepas sesi berkenaan, berlangsung pula satu acara khas. Promosi acara yang dipromosi Najib sendiri.
Dengan pakaian serba hitam yang disebut tadi, Najib menghampiri sebuah motosikal warna hitam merah jenis Yamaha Y15ZR 150cc. Beliau terus “memanjat” motosikal itu dan memulas throttle. Atau “remp”, bak kata budak-budak motor.
Najib tidak pula menunggang motosikal itu keluar dari perkarangan acara. Maksudnya Yamaha itu tidak bergerak. Cuma 'di-remp' dan 'di-remp'.
Aksi Najib itu disambut sorakan hadirin. Aksi beliau juga dirakam. Dan di platform khas ada poster aksi sama. Najib berjaket hitam, jean hitam, sniker hitam bersama Yamaha Y15ZR 150cc. Kaki di atas tempat duduk, menoleh ke belakang. Gambar diambil dari sudut belakang. Pose istimewa. Posing promosi menarik.
Slogan acara berbunyi “Malu apa bossku”. Nombor plat motor pula 8805KU. Kalau dieja sebutannyaseolah olah “BOSSKU”.
Semasa beliau menjadi PM dulu, Najib memang punya banyak kumpulan pemikir, think tank dan dan ahli strategi. Dan juga pasukan tentera siber untuk mencorak strategi dan rancangan politik dan juga program tingkatkan imejnya. Mereka semua diklasifikasikan sebagai Tim Najib.
Jelas apa yang dilakukan di Shah Alam tempoh hari ialah satu strategi penjenamaan. Usaha penjenamaan Najib sebagai seorang anggota working class atau kelas pekerja.
Jelas Tim Najib masih bergerak aktif untuk beliau. Lihat saja poster yang dipamerkan di acara berkenaan. Lihat juga kemeja T yang dipakai penyokongnya. Semua sekadar menunjukkan acara itu sesuatu yang dirancang dengan teliti dan punya bajet untuk digerakkan.
Jelas juga sasarannya ialah orang Melayu khususnya orang muda kelas pekerja. Memilih Shah Alam sebagai venue dan motosikal sebagai kenderaan membuktikan itu.
Shah Alam penghuninya majoriti orang Melayu. Yamaha Y15ZR 150cc pula kesukaan ramai anak muda Melayu kelas pekerja.
Budaya 'rempit'
Menurut penolong pengarang berita Malay Mail Online Zurairi AR yang menulis mengenai perkara itu, beberapa hari sebelum acara di Shah Alam itu, Najib sudah mula “berjinak-jinak” dengan budaya “rempit”.
Di laman Facebooknya Najib bertanya - “Antara Ysuku dan NVX mana satu pilihan anda?”
Rasanya ramai tahu sasaran beliau bila membuat posting demikian. Ysuku ialah slang untuk Y15ZR manakala NVX ialah skuter 155cc Yamaha.
Adakah usaha penjenamaan Najib daripada imej orang atasan ke imej working class berjaya?
Mereka yang hadir di acara di Shah Alam menyambut baik. Najib pun sudah pos gambarnya melaram dengan motosikalnya di Facebook. Mungkin sekarang sudah tular dan tentu ramai juga yang suka.
Namun di media sosial juga ada yang mempersenda. Seperti yang ditulis oleh Zurairi.
Seorang commentator popular bernama Amirul Aminn berkata:
“Dengan ini saya dengan rasminya menutup langganan saya dengan Astro. Adanya Najib Razak saya tak perlu lagi Maharaja Lawak Mega, kamu benar benar menghiburkan kami.”
Nyata perli.
Selain imej mat motor, Najib banyak pos di Facebooknya gambar beliau bersama rakyat terutama golongan berpendapat rendah. Gambar beliau bermesra dengan orang ramai di pasar, di warung, di flet. Ini sebahagian strategi menonjolkan beliau sebagai “seorang pemimpin sempoi yang prihatin terhadap rakyat”.
Akan tetapi bekas perdana menteri itu turut pos gambar beliau beli kopi Starbucks. Dan Starbucks lazimnya dikaitkan dengan golongan kelas pertengahan bukan kelas pekerja.
Begitu juga baru baru ini, Najib pos gambar bersama anak lelakinya membeli barang runcit di pasar raya Mercato. Itu pasar raya high end. Mercato seperti kita tahu bukan Mydin, Giant mahupun NSk. Sekali lagi ada pertentangan antara gaya hidupnya dengan imej yang ingin dipaparkan.
Najib dilahirkan golongan bangsawan. Ayahnya perdana menteri kedua Malaysia. Allahyarham ayahnya juga pernah bergelar Orang Kaya Indera Shahbandar – gelaran kurniaan kesultanan Pahang. Gelaran itu kini dipegang Najib.
Tidak ada salahnya itu semua. Itu rezeki beliau.
Bagaimanapun mungkin kerana kerjaya politik, Najib lebih gemar “menyembunyikan ” privilege lifestyle beliau dan menonjolkan imej orang kebanyakan atau orang biasa. Seolah-olah memberitahu orang ramai “I am like you”.
Kenangan di St John’s
Teringat saya akan majlis ulang tahun ke 100 St John’s Institution di Bukit Nanas Kuala Lumpur pada tahun 2004. Najib selaku bekas pelajar St John dijemput sebagai tetamu istimewa.
Saya juga bekas pelajar sekolah itu. Lantas turut hadir.
Pada ucapan pada majlis itu, antara lain Najib mengenang kembali ketika beliau datang ke sekolah berkata, “dengan seragam baju dan seluar putih, membawa beg, berjalan kaki, terhegeh-hegeh naik Bukit Nanas...”
Seorang tetamu ,juga bekas pelajar, yang duduk di sebelah saya, agak resah dan menoleh ke arah saya.
Sambil tersenyum beliau berbisik:
“Masa dia sekolah sini ayahnya timbalan perdana menteri. Tentulah anak timbalan PM datang ke sekolah dengan kereta siap dengan pemandu dan bodyguard kot?“
Jawab saya: “Ya tak ya juga eh.”

MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Wednesday 23 January 2019

Sentimen Melayu-Islam diguna untuk lawan Malaysia Baru

Zin Mahmud  -  22 Januari, 2019
Daripada perkembangan yang disaksikan melalui media sosial dapat dirasakan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan defensif sejak kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bermula.
Lebih-lebih lagi apabila bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan saja turun berkempen tetapi pasukan media sosial yang menyokong Barisan Nasional (BN) turut melancarkan ofensif dengan memberi gambaran beliau masih relevan. Hinggakan timbul penyataan rakyat rindukan kepimpinan Najib.
Bagi rakyat yang peka terhadap banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan, umpamanya mengenai penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) atau peruntukan bagi anak golongan B40 untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan lain-lain dasar pembersihan, maka mereka boleh merindui pentadbiran BN.
Sedangkan selepas PRK DUN Sungai Kandis, Najib tidak turun lagi berkempen. Lebih-lebih lagi proses perbicaraan beliau sudah bermula. Bukan itu saja, sejak kekalahan pada 9 Mei lalu, BN mengalami pelbagai cabaran yang melemahkannya.
Bukan saja BN berpecah sehingga tinggal 3 parti iaitu Umno, MCA dan MIC tetapi parti dominannya juga tergugat. Najib digantikan dengan Datuk Seri Zahid Hamidi yang turut kemudian menyerahkan kepimpinan parti kepada Datuk Seri Mohamad Hassan.
Dalam pada itu, perbalahan antara penyokong Zahid dan Khairy Jamaluddin terus berlaku. Dengan akhirnya Umno kehilangan banyak kerusi Parlimen apabila banyak ahlinya keluar parti.
Tetapi apa yang jelas, strategi Umno adalah untuk mengukuhkan kedudukan penyokong Melayu dengan menonjolkan perjuangan yang mengutamakan sentimen Melayu dan Islam.
Untuk memainkan isu lain, ia kehilangan krebiliti. Perkiraannya ialah dengan menarik sebanyak mungkin undi orang Melayu dari PH, maka akhirnya BN akan mengatasi mereka. Maka kerjasama antara Umno dan PAS dijadikan teras. Maka sokongan PAS terhadap calon BN di PRK Cameron Highlands adalah menjadi tonggak bukan saja bagi kemenangan pilihan raya itu, tetapi juga dalam PRU15 kelak.
Kritikan dalam Umno yang menolak pendekatan Melayu-Isla dapat diketepikan apabila sentimen perkauman dan keagamaan dijadikan pertimbangan bagi setiap perkembangan politik di negara ini.
Keadaan ini memberi tekanan besar kepada PH. Bukan saja kerajaan persekutuan terpaksa bersikap defensif tetapi juga terdorong untuk melayan kritikan yang berbau perkauman dan keagamaan itu dengan mengendurkan pegangannya terhadap ideaisme Malaysia Baru.
Gagasan Malaysia Bau menuntut sikap mengutamakan tadbir urus baik, kedaulatan undang-undang serta kepelbagaian dan kesaksaaan kaun dan agama. Kebangsaan Malaysia dijadikan teras idealisme, dan bukannya sentimen perkauman Melayu dan keagamaan Islam.
Ketika PH bersikap defensif, Umno mengatur ofensif dengan mengorak langkah mengenakan tindakan terhadap ahli Parlimennya yang keluar parti. Hinggakan terdapat petanda mereka akan melakukan pusingan U dan kembali kepada Umno.
Di pihak PH pula, mereka tidak padu sepanjang 7 bulan memegang tampuk pemerintahan. Gelagat bukan saja pemimpin mereka, bahkan penyokongnya tidak mengutamakan perpaduan sesama sendiri. Atas hujah mereka bersikap terbuka terhadap kritikan, maka mereka mengecam satu sama lain, yang selanjutnya tidak menyumbangkan perpaduan dalaman PH. Keadaan ini menjadi ketara dengan berleluasanya penggunaan media sosial.
Bukan saja terdapat tanda keresahan dari sudut perkauman antara parti majoriti Melayu iaitu PPBM, PKR dan Amanah dengan parti majoriti Cina iaitu DAP, umpamanya dari segi isu bahasa dan pendidikan tetapi juga dalam kalangan sesama parti majoriti Melayu khususnya PPBM dengan PKR, serta PKR dengan Amanah.
Isu utama PPBM dengan PKR ialah soal kepastian Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan penerimaan ahli bekas Umno. Sementara, antara PKR dan Amanah adalah mengenai pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Bukan saja kelihatan timbul keretakan perpaduan antara parti PH tetapi lebih mengecewakan adalah juga dalam parti itu sendiri, khususnya PKR. Persaingan antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli mendedahkan perpecahan dalam PKR yang boleh mencalar perpaduan keseluruhan PH.
Gelagat pemimpin dan penyokong PH ini adalah seolah-olah mereka berasa kuat dan selesa hingga tidak perlu bimbang terhadap BN. Hakikatnya, dalam politik Malaysia, mana-mana pihak yang dapat mengukuhkan perpaduannya akan berjaya. Mereka yang berpecah akan dapat dikalahkan.
Setiap parti PH pula tidaklah mempunyai kekuatan sendiri. Mereka terpaksa bergantung kekuatan di antara satu sama lain. PKR tidak boleh berdiri sendiri dan perlu bergantung kekuatan pada Dr Mahathir dan DAP. Walaupun PPBM dan Amanah merupakan parti kecil, tetapi tanpa mereka PH boleh terburai bila-bila masa.
Sebab itu, untuk mempertahankan kedudukannya, PH, para pemimpin dan penyokongnya mesti merapatkan persepakatan dengan bersikap toleran di antara satu sama lain. Usahlah turut serta pihak pembangkang untuk membesar-besarkan lagi kesilapan langkah sendiri. Sebarang perselisihan antara parti perlu diselesaikan oleh majlis bersama. Maknanya bukan saja ada Majlis Presiden di peringkat pusat, tetapi juga majlis rundingan di peringkat negeri hinggalah ke peringkat kawasan bagi mengurangkan pergeseran.
Tetapi lebih penting lagi ialah perpaduan dalam parti masing-asing, terutamanya PKR yang keretakannya mengecewakan penyokong PH. “Politiking” pasti berlaku. Sudah namanya parti politik tentulah perkara seumpama itu tidak dapat dielakkan. Tetapi demi kelangsungan PH, ia wajar dikurangkan atau tidak terdedah pada umum.
Selain perpaduan dalaman parti dan antara parti PH, ia juga perlu mesra dengan semua golonga yang menolak BN, sama ada parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO). Ada golongan besar dalam kalangan rakyat yang menolak BN tetapi mereka bukanlah penyokong PH. Tetapi dalam PRU14 itu, mereka mengundi PH untuk menolak BN. Maka golongan ini tidak wajar ditinggalkan. Mereka perlu diajak untuk kekal bersama PH.
Perbezaan pendapat pasti berlaku. Begitu juga dengan kritikan terhadap kerajaan. Tetapi ia tidak bermakna mereka perlu menjadi penyokong BN. Malah PH turut perlu mengajak serta golongan kiri seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) walaupun mereka tersilap langkah dengan bertanding sendirian dalam pilihan raya lalu.
Begitu juga dengan parti yang meninggalkan BN. Mereka perlu didekati oleh PH supaya tidak kembali kpada BN. Akhir sekali, perpaduan antara Umno dan PAS tidak boleh dibiarkan. Adalah suatu sikap yang salah bagi PH terutamanya Amanah untuk berasa gembira PAS akhirnya bekerjasama dengan Umno seperti mana sentiasa disyaki oleh mereka sejak awal lagi. Ini kerana gagasan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan mengatasi soal amanah dalam pemerintahan adalah suatu ancaman pada kemajuan dan keharmonian negara.
Agama menjunjung nilai-nilai murni bagi kehidupan berasyarakat. Tetapi sentimen agama yang dikaitkan dengan perkauman tanpa menghirau soal amanah dalam pemerintahan adalah suatu percanggahan untuk kehidupan beretika bagi masyarakat. Sebab itu parti-parti PH wajar menahan diri daripada turut terjebak dalam pemikiran perkauman dan keagamaan hanya kerana melayan sentimen itu untuk meraih undi.
Sesungguhnya Malaysia berada dalam keadaan sukar apabila terdapat persaingan PH dan BN yang dikaitkan dengan kaum dan agama. Tetapi pertimbangan waras rakyat umum untuk memelihara keharmonian kaum diharap akan dapat mengelakkan negara daripada terjerumus pada keadaan yang tidak diingini. Setiap seorang rakyat Malaysia akan sama ada menjadi penyumbang atau perosak pada keharmonian kaum melalui sikap dan tindak-tanduk mereka.
Zin Mahmud adalah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia dengan pengalaman lebih tiga dekat sebagai wartawan.

Monday 21 January 2019

Najib perlu pilih bela Sondakh atau peneroka FELDA

Khaidir A Majid  -  21Januari, 2019
PENEROKA FELDA sekali lagi menjadi sasaran kempen pilihan raya. Kali ini giliran FELDA Sungai Koyan yang sebahagiannya termasuk dalam kawasan Parlimen Cameron Highlands yang berdepan dengan pilihan raya kecil, Sabtu ini.
Ramai ahli politik yang mahu menggelar diri mereka sebagai pembela warga peneroka, turun padang mendampingi kumpulan pengundi yang penting ini. Tidak ketinggalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib yang kini juga berstatus Orang Kena Tuduh (OKT) dalam beberapa kes rasuah dan pengubahan wang haram, muncul minggu lalu di FELDA Sungai Koyan, mengingatkan peneroka mengenai zaman kegemilangan dinikmati mereka.
Katanya, ketika era pemerintahan Barisan Nasional, termasuk ketika beliau menjadi PM, peneroka meraih pendapatan tinggi, menikmati pinjaman tanpa faedah, bonus raya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya.
Najib mendakwa semua ini tidak dapat dinikmati di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya, tidak membantu menaikkan harga minyak sawit. Itu kata Najib, tetapi apakah sebenarnya berlaku kepada FELDA ketika Najib memerintah?
Semua ini bukan rahsia, tetapi mudah diselongkar daripada rekod awam seperti keratan akhbar. Secara latar belakang, sebelum 2012, FELDA ialah entiti kerajaan yang berupaya membiayai aktiviti sendiri.
FELDA berupaya berbuat demikian kerana ia memiliki cash-cow bergelar FELDA Global Ventures Holdings (FGVH). Unit perladangan ini menyumbang kira-kira RM1.1 bilion kepada FELDA setiap tahun.
Daripada jumlah ini, FELDA mampu mengusahakan aktiviti sosioekonomi dan kebajikan kepada lebih 110,000 peneroka. Antaranya seperti bina rumah, bina jalan, beri biasiswa, beri bantuan, beri pinjaman, bayar bonus, beri duit raya dan sebagainya. Semuanya tanpa memerlukan dana kerajaan.
Hilang punca pendapatan
Pada 2012, cash-cow itu disenaraikan di bursa saham - satu idea disokong Najib yang ketika itu menggelarkan langkah berkenaan sebagai game-changer atau pengubah nasib. Akibat penyenaraian itu, FELDA kehilangan punca pendapatan lumayan.
Sebagai ganti, FELDA dijamin bayaran RM250 juta setahun dan 15 peratus keuntungan perladangan FGV melalui perjanjian pajak tanah ditandatangani FELDA dengan syarikat senaraian awam berkenaan.
Selain itu, FELDA dibayar bonus khas RM9 bilion oleh FGV, sebagai dana operasi dan modal untuk mencari cash-cow baharu. FELDA dan sekutunya turut memegang kepentingan ketara dalam FGV.
Apa terjadi selepas episod penyenaraian FGV? Harga saham syarikat itu merosot, keuntungannya tidak pula memberangsangkan berikutan kejatuhan harga minyak sawit dunia. FELDA pun terkesan kerana tidak dapat sumbangan pendapatan sewajarnya daripada FGV menerusi perkongsian keuntungan.
Amat jelas hakisan pendapatan FELDA ini bermula ketika Najib menjadi PM. Apa yang lebih memburukkan, sebahagian besar RM9 bilion bonus khas diterima FELDA tidak dilabur untuk melahirkan cash-cow baharu untuk lembaga itu.
Malah, beberapa pelaburan yang dibuat oleh unit pelaburan FELDA kini dalam siasatan kerana disyaki ada penyelewengan.
Najib tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku dalam FELDA ketika itu kerana pengerusi dan seluruh anggota lembaga FELDA sebelum ini dilantik dengan pembabitan beliau. Jika pincang tindakan lembaga pengarah sebelum ini, pincanglah juga keputusan Najib melantik mereka.
Rentetan merosotnya prestasi FGV dan pelaburan baharu FELDA yang tidak mendatangkan pulangan tunai segera, arus tunai FELDA mula terjejas. FELDA mula terpaksa berhutang untuk melaksanakan program sosioekonomi dan kebajikan untuk peneroka.
Kini hutang FELDA dikatakan mencecah RM8 bilion berbanding berstatus kaya tunai sebelum 2012. Lebih memeritkan lagi, dalam mengalami arus tunai yang meruncing, FELDA memasuki janji niaga yang menambahkan lagi hutangnya.
Antaranya ialah pembelian ekuiti dalam syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High Plantations daripada Peter Sondakh, rakan Najib. Janji niaga bernilai AS$505 juta itu (atau 590 rupiah sesaham) adalah pada premium 95 peratus daripada harga pasaran EHP ketika itu.
Dengan nilai sahamnya sekitar 180 rupiah sekarang, FELDA kini menanggung kerugian di atas kertas lebih daripada AS$300 juta (RM1.2 bilion). Mungkinkah ada tidak kena di bawah janji niaga itu?
Di sinilah Najib boleh muncul sebagai wira jika beliau benar-benar mahu membela nasib peneroka. FELDA masih boleh terselamat daripada janji niaga merugikan itu jika pengurusan baharu dapat membuktikan lembaga itu memasukinya secara dipaksa.
Di bawah undang-undang kontrak, paksaan boleh menjadi alasan untuk lepas keluar daripada sebarang perjanjian. Dalam hal ini, Najib boleh membantu pengurusan baharu FELDA dalam mendapatkan bukti itu.
Najib banyak maklumat
Ketika Najib menjadi Perdana Menteri, FELDA diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri. Sudah tentu Najib mempunyai banyak maklumat berhubung pelbagai janji niaga yang diikat FELDA ketika itu, termasuk janji niaga EHP.
Lebih-lebih lagi, pembelian ekuiti EHP oleh FELDA mendapat pembiayaan melalui Kementerian Kewangan dan sudah tentu sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Najib sudah dimaklumkan perincian, termasuk risiko janji niaga berkenaan.
Dalam konteks ini, Najib boleh berjasa kepada warga peneroka. Jika FELDA dapat lepas keluar daripada janji niaga EHP, Sondakh terpaksa membayar semula AS$505 juta yang diterimanya sebelum ini dan hutang FELDA dapat dikurangkan secara ketara.
Jika ini boleh dilakukan, banyak bakti yang dapat ditabur semula oleh FELDA kepada peneroka. Soalnya apakah Najib sanggup tampil untuk membantu FELDA daripada cengkaman hutang ini?
“Malu apa Bossku”, apatah nasib Peter Sondakh berbanding nasib 112,000 peneroka?

Popular Posts