Saturday 10 July 2021

Dari petugas baris depan - Bencana yang menimpa hospital Lembah Klang

Annabelle Lee

Lembah Klang pada masa ini mengalami lonjakan penularan Covid-19 terburuk, walau dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Ia menyebabkan hospital di situ berada di tahap amat genting ekoran bilangan pesakit yang begitu ramai.

Keadaan bertambah buruk apabila hospital berdepan masalah kekurangan katil dan bekalan oksigen, menyebabkan kebuntuan dan semangat moral di tahap yang rendah.

Walaupun ada penambahbaikan, barisan hadapan di empat hospital awam memberi pemerhatian secara langsung berkenaan mengapa harapan mereka yang keadaan akan bertambah baik, kian pudar.

Mereka bercakap dengan syarat identiti tidak didedahkan kerana kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dilarang membuat kenyataan terbuka tanpa kebenaran.

Malah seorang kakitangan tidak berani mendedahkan hospital tempatnya berkhidmat.

Walaupun dengan risiko ini, petugas barisan depan ini merasa terpanggil untuk memberitahu orang ramai tetang realiti sebenar yang memeritkan.

Berikut adalah cerita mereka, disunting agar lebih ringkas dan jelas. Malaysiakini sedang mendapatkan komen daripada KKM dan hospital yang terbabit.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang

Wad dan Jabatan Kecemasan kami kelihatan seperti dalam "disaster movie". Klinik kami telah ditutup. Amat sukar untuk berdepan keadaan ini.

Doktor telah memberi amaran tentang peningkatan kemasukan kes Covid-19 untuk beberapa minggu akan datang dan minta lebih banyak katil disediakan, tetapi pihak pengurusan tidak membantu sehinggalah akhbar menunjukkan gambar katil kanvas di luar Jabatan Kecemasan.

Kami kehabisan katil dan alat bantu pernafasan. Bahkan bekalan oksigen juga tidak cukup. Di sini terlalu ramai pesakit Covid-19, begitu banyak kematian yang boleh dicegah tetapi kami kekurangan sumber.

Beberapa hari kebelakangan ini, ada pegawai perubatan yang berhenti kerja dengan notis 24 jam. Mereka komited dan bekerja keras tetapi sudah kehabisan tenaga ekoran krisis ini. Mereka telah putus asa.

Kami bersyukur Angkatan Tentera mula membantu tetapi bantuan itu patut diminta lebih awal.

Jumlah jururawat dan doktor yang dibawa dari jabatan lain atau negeri lain sangat rendah sehingga klinik kami yang merawat pesakit bukan Covid-19 terpaksa ditutup agar jururawat dapat dipindahkan untuk menjaga pesakit Covid-19.

Semangat pada tahap rendah dan tidak ada kepimpinan atau simpati. Saya berasa letih, marah dan tidak berdaya.

Hospital kerajaan kita dalam keadaan kekurangn buat sekian lama ekoran dana yang tidak cukup, dan orang yang kekurangan tidak dapat melawan jangkitan.

Hospital Ampang

Saya merasa agak tidak berdaya dengan bilangan pesakit meningkat tiga atau empat kali ganda dalam masa singkat.

Kami terpaksa buat apa yang terdaya dan tambah lebih banyak katil. Kita letak katil di sebuah koridor. Koridor itu sepatutnya laluan untuk ke lobi dan bukan sebahagian daripada Jabatan Kecemasan.

Kami memang tiada alat bantuan pernafasan yang cukup. Ia sampai ke satu tahap di mana semakin ramai pesakit dianggap "tidak disedarkan semula" kerana tidak cukup alat bantuan pernafasan.

Ia adalah keadaan yang sangat menyedihkan. Saya tidak menyangka kita akan sampai ke tahap ini, di mana kami perlu pilih siapa yang hidup dan siapa yang mati. Tetapi kerana alat bantuan pernafasan dan katil ICU tidak cukup, kami tiada pilihan lain.

Saya rasa buntu. Sekarang saya tiada emosi lagi. Anda hanya terima seadanya. Dan kematian berlaku terlalu kerap sehingga anda tidak rasa apa-apa. Sebab ia berlaku begitu kerap dan pantas.

Anda hanya merasa tidak berdaya. Anda mahu membantu tetapi anda tidak boleh lakukannya. Keadaan mereka memburuk dengan sangat cepat.

Hospital Selayang

Pesakit dari hospital lain datang ke sini sehingga sukar untuk menampungnya. Tetapi kami wujudkan lebih banyak ruang untuk pesakit Covid-19 di wad kami. Jadi masa menunggu jadi lebih lama sekarang.

Port oksigen dikongsi beberapa pesakit pada masa ini. Sepatunya satu port hanya untuk seorang pesakit.

Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tidak ada cukup oksigen untuk pesakit dan pesakit tidak ada katil. Jadi semua orang hanya buat yang terbaik. Kami tahu ini adalah pelanggaran protokol, tetapi keadaan buruk.

Lebih baik kita berusaha melakukan sesuatu daripada tidak melakukan apa-apa. Jika tidak, kita akan jadi seperti di India.

Semua orang sudah muak dengan semua hal, tetapi mereka tiada pilihan. Jika kita tidak buat seperti apa yang dilakukan sekarang, tiada orang lain yang akan melakukannya untuk kita.

Ada satu hari, jururawat dan pembantu perubatan kontrak mogok (walk out) daripada Jabatan Kecemasan. Akhirnya doktor terpaksa lakukan tugas jururawat, selain tugas mereka sendiri. Ia sangat sukar.

Mereka protes kerana gaji. Anda akan merasa lelah jika anda terpaksa lakukan kerja yang banyak dan telah buat yang terbaik, tetapi masih tiada jaminan terhadap pekerjaan anda. Anda benar-benar rasa seperti diperah sehingga kering.

Saya telah dikuarantin beberapa kali kerana menjadi kontak pesakit Covid-19. Itulah satu-satunya rehat yang anda dapat. Ia bukan rehat yang sebenar-benarnya, tetapi badan anda dapa rehat. Anda tetap tak dapat jumpa keluarga atau buat banyak benda lain.

Jadi anda hanya tunggu sehingga keputusan ujian keluar dan bila keadaan okey, anda perlu kembali bekerja.

Hospital pelatih perubatan di Lembah Klang

Ada keluarga dimasukkan serentak dan seorang demi seorang memerlukan alat sokongan organ seperti alat bantuan pernafasan, dialisis dan pam seduhan. Kebanyakannya meninggal dunia bersama-sama.

Jabatan Kecemasan penuh dengan pesakit yang menunggu untuk dimasukkan ke wad dan hampir satu pertiga daripada meremereka memerlukan alat sokongan organ.

Sekarang saya lihat pesakit yang datang dalam keadaan yang lebih teruk. Mereka perlukan tiub pernafasan sebaik tiba di hospital.

Pada masa sama, penjagaan kesihatan untuk pesakit bukan Covid-19 juga semakin terhad kerana kebanyakan sumber ditumpukan kepada pesakit Covid-19.

Mereka lambat ke hospital sebab takut Covid-19. Akibatnya, kadar kematian mereka jadi lebih tinggi.

Setiap hari ketika saya datang bekerja, saya harus memikirkan siapa yang boleh ditamatkan rawatan kerana sudah tak dapat diselamatkan, dan beri kepada pesakit yang ada kemungkinan untuk sembuh yang lebih baik. Perkara ini semakin kerap dan ia memberi kesan jiwa dan pemikiran saya.

Semangat sangat rendah, kami berikan rawatan pada tahap maksimum tetapi lebih banyak pesakit yang kritikal berbanding sebelumnya. Kami lelah bekerja dengan memakai peralatan pelindung diri (PPE).

Kami tidak tahu berapa lama lagi dapat bertahan. Ada di kalangan kami yang menangis, ramai yang marah.

Hospital-hospital swasta

Kebanyakan hospital swasta dalam kapasiti penuh kerana kami hanya boleh terima pesakit pada jumlah tertentu. Kami sudah pun melangkaui apa yang kami janji untuk lakukan sebelum ini.

Sekarang, kami membuka katil ICU tanpa kebenaran rasmi dari Kementerian Kesihatan. Kami maklumkan kepada pihak kementerian, tetapi katil itu tidak diperiksa. Kami buka sebanyak mungkin katil ICU. Namun hospital kami tetap penuh.

Kakitangan kami telah dikerahkan untuk pusat pemberian vaksin (PPV), banyak kakitangan kami dihantar ke PPV mega. Kami juga kendali PPV sendiri di hospital kami dan perlukan kakitangan di sana.

Kami kerahkan sebanyak mungkin kakitangan untuk merawat pesakit Covid-19, daripada Kategori 1 hingga 5.

Hospital swasta komited untuk menghantar kakitangan ke fasiliti awam. Kami juga bersedia menerima lebih banyak pesakit bukan Covid-19 daripada hospital awam.

Perkara paling mustahak bukan wujudkan lebih banyak ruang tetapi menangani akar masalah, iaitu hentikan kes daripada meningkat dengan vaksinasi dan kuarantin mereka yang telah dijangkiti.

Kita boleh terus buka ruang demi ruang, tetapi ia tidak akan capai apa-apa jika bilangan kes terus meningkat.

Sumber : Malaysiakini bertarikh 10 Julai 2021. 


Thursday 8 July 2021

Menanti sinar menelan kabur

Al-Abror Mohd Yusuf 


Ada sekurang-kurangnya tiga perkhabaran kematian dilaporkan pada malam Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Umno tidak lagi merelakan ahli parlimennya mendukung Muhyiddin Yassin.

Kematian pertama ialah si 'Lelaki Pisang' yang menjadi Presiden Haiti, Jovenel Moise, yang ditembak dalam serangan terancang di kediaman peribadinya di Petion-Ville, pinggir Port-au-Prince.

Kematian berprofil tinggi kedua pula terjadi Damsyik, Syria. Tokoh pejuang Palestin yang memilih jalan radikal, Ahmed Jibril, menghembus nafas terakhir di sebuah hospital di bandar raya berkenaan.

Dia sudah mengalami masalah kesihatan sejak beberapa bulan lalu.

Kemudian dilaporkan juga Robert Downey Jr kehilangan bapanya, Robert Downey Sr, yang meninggal semasa tidur. Lelaki berusia 85 tahun itu juga seorang pelakon dan pengarah semasa zaman mudanya.

Itu antara kematian yang mendapat liputan berita. Namun bukanlah itu saja kematian yang berlaku. Banyak kematian lain lagi. Misalnya setakat semalam ada 91 orang lagi yang meninggal kerana Covid-19.

Secara keseluruhan sudah hampir 6,000 orang yang meninggal dunia kerana wabak yang tidak pernah ada itu. Hari ini entah berapa puluh - atau ratus - orang lagi.

Kabur tetap kabur

Dalam keadaan begitulah Ahmad Zahid memecah kesunyian awal pagi tadi dengan membacakan teks ucapan yang bagi memaklumkan pendirian Umno. Melalui siaran secara langsung kategori norma baru, ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak nampak tenang sewaktu membaca ayat-ayat yang disediakan lebih awal di depan lensa kamera.

Untuk pertama kali dalam tempoh yang sudah lama, Umno - atau mungkin sebenarnya Ahmad Zahid - kelihatan sedikit jantan dan ranggi. Ia sedikit berbeza berbanding sebelum-sebelum ini apabila Umno - atau susuk Ahmad Zahid sendiri - kelihatan mandom saja.

Ahmad Zahid juga menampakkan rasa marahnya secara simbolik apabila memetik perdana menteri dengan nama yang sah seperti diperakui dokumen rasmi, bukan lagi nama glamor.

Sayangnya kemunculan dan kata-kata Ahmad Zahid bukanlah jawapan kepada kekaburan yang sedang dialami sekarang. Ia mungkin memberikan sebab untuk berlakunya perkembangan baru, tetapi kabur tetap kabur. Dan banyak tanda tanya belum berjawab.

Ia mungkin disengajakan untuk memaksa ramai orang menggunakan masa yang ada berfikir tentang Umno, tentang Putrajaya, tentang Seri Perdana dan banyak lagi.

Atau ia memang kelemahan susunan mesej yang mahu disampaikan oleh Ahmad Zahid. Ingat: komunikasi yang baik ialah proses penghantaran mesej yang jelas dan mudah difahami, bukan berbelit-belit dan membingungkan.

Maka sekarang, ketika orang yang berkuasa atau atasan sana sedang mencatur itu ini, kita pula perlu berfikir mengenai apa yang akan jadi tidak lama lagi. Apa akan berlaku petang nanti. Atau apa akan menimpa kita pula esok lusa.

Seolah-olah masalah yang sudah ada sekarang tidak cukup rumit dan menyesakkan dada sehingga kita perlu pula berfikir untuk Umno, Perikatan Nasional dan orang politik yang ada.

Pun begitu nampaknya kita memang tidak ada banyak pilihan. Mengharapkan keadaan berubah menjadi lebih baik dengan berharap kepada kaedah sama yang diulang-ulang bukanlah sikap yang waras.

Cara wabak Covid-19 diuruskan kelihatan tidak banyak memberi harapan. Ia dibuktikan oleh kes-kes baru dan kematian baru yang dicatatkan dari sehari ke sehari. Tidak ada yang berubah, kecuali - mungkin - penjenamaan semula perintah kawalan pergerakan kepada pelan pemulihan negara.

Belum ada tanda untuk tamat

Ia kira-kira sama seperti membalut buah nangka yang buruk dengan pembungkus baru saja. Buah nangka buruk itu tetaplah buruk seperti adanya.

Apa yang berlaku ialah pelaksanaan strategi pengurusan krisis yang mengutamakan aspek luaran bagi mengolah pemikiran rakyat agar tidak terlalu berang dan rimas dengan situasi semasa.

Hari ini orang ramai akan terpaksa merenung-renung: apa lagi ulah orang politik mahu mencatur bidak masing-masing.

Jangan bimbang. Sepanjang tempoh itu "rakyat" akan tetap meniti di bibir mereka. Apa saja yang bakal dilakukan, ia akan disandarkan kepada kata keramat itu: rakyat.

Lihat saja semalam. Ketika ribuan orang kebuntuan kerana kehilangan pekerjaan atau pendapatan, kerajaan masih melakukan langkah menaikkan pangkat menteri itu dan ini.

Adakah dengan naiknya pangkat itu nasib orang ramai akan terbela? Entahlah. Dan pengumuman itu bukanlah berita terburuk. Yang pasti kenaikan pangkat itu akan membawa kepada keluarnya perbelanjaan tambahan yang semakin besar. Ia tidak akan terhenti di situ saja.

Lalu kita pun akan berhujah tentang maruah. Ia adalah kata keramat yang boleh menyelesaikan banyak masalah dalam negara. Malang sekali lagi kerana maruah orang politik sebenarnya sudah lama mati.

Ia sudah lama keluar dari jasad orang politik lebih awal daripada matinya Moise, Ahmed Jibril atau Downey Sr.

Sekarang yang masih nampak bernyawa cumalah harapan dalam setiap sanubari. Tapi itu pun keadaannya semakin nazak dari satu detik ke satu detik.

Mungkin khabar 'terpaling buruk' itu akan datang esok lusa kerana setakat ini rasanya biawak hidup yang diletakkan di atas bahu rakyat masih terus menggelupur. Bukan satu, bukan dua, tapi berpuluh-puluh!


Sumber : Malaysiakini bertarikh 08 Julai 2021. 

Saturday 3 July 2021

Selepas bulan jatuh ke riba Umno

 Al-Abror Mohd Yusuf 

Hanya beberapa jam saja lagi untuk tempoh "14 hari" yang diberikan Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenuhi tuntutan mereka berakhir.

Berdasarkan tarikh surat yang dikeluarkan parti dan ditandatangani Ahmad Zahid Hamidi dua minggu lalu, tempoh hayat amaran itu mencapai tempoh matangnya pada 4 Julai.

Setakat ini, belum nampak PN akan benar-benar mengikut kehendak Umno. Jika ada pun, ia masih kelihatan seperti madah berhelah saja.

Ia berlaku selepas PN sebelum ini dilihat mengelat dalam banyak langkah mereka melayan parti yang tidak menyertai kerajaan tetapi ahli parlimennya menjadi menteri itu.

Pada masa sama memang harus diakui tuntutan dan kata dua Umno kepada PN itu memang sukar dipenuhi. Ia kira-kira sama seperti tuntutan saman malu orang politik kepada seterunya: memang sengaja dipersiapkan untuk tidak boleh dipenuhi.

Dari satu segi, tuntutan Umno itu memang wajar. Mahukan parlimen bersidang ketika satu demi satu langkah diambil kerajaan kian mencolok mata, apa lagi usaha yang dapat dilakukan untuk memaksa mereka menjawab pertanyaan yang timbul.

Sepatutnya yang bertanya itu ialah rakyat, kerana yang benar-benar terkesan serta terhimpit ialah mereka. Tetapi realiti semasa dan sistem demokrasi tidak membolehkan ia berlaku. Maka suara itu terpaksa dilafazkan melalui wakil masing-masing.

Pun begitu tidak ada jaminan yang meyakinkan bahawa suara yang akan dikeluarkan dari tenggorok ahli parlimen berkenaan - jika benarlah akhirnya dewan mulia itu bersidang - adalah benar-benar keluh-kesah rakyat.

Hanya mampu pasrah

Rekod ahli politik memang sudah sedia buruk. Kemelut yang melanda sekarang sekadar melengkapkan jijik dan tengiknya mereka bersilat dalam gelanggang politik. Maka tidak banyak yang dapat diharapkan daripada mereka.

Demi mendapatkan apa yang diingini sangat tidak pelik orang politik menyandarkan kata-kata mereka kepada "rakyat" dan "raja Melayu" agar ia kelihatan sakral.

Tetapi dalam keadaan sekarang - ketika keadaan negara semakin mencemaskan - tidak banyak pilihan yang ada selain berharap agar orang politik terbabit diberikan hidayah daripada Tuhan yang Maha Esa.

Tapi itulah, ghalibnya ia kira-kira sama seperti menunggu burung gagak berwarna putih datang membawa berita gembira, atau mengharapkan hadirnya tikus membaiki labu.

Di sisi yang lain, PN pun tidak boleh berlepas tangan begitu saja. Kebanyakan ahli parlimen yang mencolok mata itu, merekalah. 

Dengan keputusan yang ajaibnya, dengan keanehan dasar dan pendekatannya, dengan kitaran perintah kawalan pergerakan yang seperti kipas angin rosaknya, dengan pelantikan jawatan-jawatan dalam kerajaannya - semua itu amat melemaskan.

Itu belum lagi diambil kira kerenah mereka melayan tanda tanya orang ramai yang kadang-kadang sama saja tarafnya dengan loyar buruk saja.

Dan ketika rakyat tidak lagi dapat mengharap kepada kerajaan, ahli politik - sama ada yang ada kuasa atau sedang memburunya - sibuk membuat percaturan. Seperti biasa, nama "rakyat" itulah yang digunakan.

Cepat teruja, cepat lesu

Kemudian datanglah Umno dengan kata dua mereka. Ia terjadi ketika Umno itu sendiri berdepan dengan krisis keyakinan luar dalam. Di dalam, ada sesetengah pemimpin lincah mengatur gerakan sendiri, dan di luar ia menjadi bahan ketawa.

Macam mana tidak diketawakan? Umno pada hari ini ialah Umno yang lucu. Garang dan rangginya tidak disusuli dengan tindakan yang jantan. Seperti orang tua pikun yang menahan gelora dalam dada saja.

Nafsunya besar dan cepat teruja, tapi lebih cepat lesunya.

Perhimpunan agung tahunan yang diadakan baru-baru ini adalah salah satu contohnya.

Dalam keadaan serba terdesak ini, nasib baik ada inisiatif bendera putih. Ia adalah simbolik betapa tidak bergunanya orang politik yang ada untuk kita sekarang. 

Ia adalah petanda bahawa hanya orang biasa saja yang faham dan mampu mengubah nasib rakyat biasa.

Apabila kempen bendera putih kemudian cepat dimusuhi, maka lengkap lagi sempurnalah kejahatan yang dilakukan orang politik itu.

Pun begitu, dari sisi positif, inisiatif bendera putih itu adalah harapan baru untuk rakyat. Seperti kata orang bestari, ia merupakan cahaya di hujung terowong. Dan rakyat sekarang - malangnya - berada dalam terowong yang sangat panjang.

Separuh masalah boleh selesai

Ketakutan ketara orang politik kepada bendera putih adalah naluri yang wajib diperkuh oleh semua demi masa depan yang cerah. Sudah amat lama orang politik memaksa rakyat agar takut dan hormat kepada mereka. Kini masa untuk mengubah keadaan.

Biar orang politik yang takut kepada rakyat. Malah, sebenarnya memang begitulah sepatutnya. Mereka - orang politik yang bermati-matian mahukan jawatan dan kedudukan tersebut - adalah hamba kepada orang ramai, bukan sebaliknya.

Biarkan mereka takut sungguh-sungguh. Biar rakyat bebas mengherdik dan memaki jika mereka melakukan kesalahan atau berkelakuan bodoh. Lantaklah siapa pun mereka itu. Herdik dan maki betul-betul.

Rasa hormat datangnya sendiri, lahir dari hati. Bukan boleh dipaksa-paksa.

Apabila ketakutan itu ada, maka mungkin orang politik tidak lagi berebut-rebut mahu menjadi wakil rakyat. Mereka tidak lagi menyondol-nyondol mengikut pemimpin itu dan ini agar dipilih sebagai calon pilihan raya.

Jika keadaan itu dapat dicapai, kemungkinan besar lebih separuh daripada masalah hidup kita pun selesai.

Esok tarikh yang diberikan Umno akan berakhir. Entah apa yang dapat diberikan PN. Entah apa yang mampu dilakukan Umno. 

Bulan sudah pernah jatuh ke riba Umno, tapi nampaknya sekarang mereka bagaikan sepah yang dibuang selepas madunya disedut parti yang mereka dakap dulu.

Namun mengharapkan Umno sekarang menjadi jantan tulen adalah ibarat menanti segerombolan kucing bertanduk muncul di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia di tengah Kuala Lumpur.


Sumber : Malaysiakini bertarikh 03 Julai 2021.

Popular Posts