Monday 31 July 2017

Jangan ‘double standard’, patuhi juga fatwa haram merokok!

Oleh Muzafar Shah Mallow
ISU melibatkan penguatkuasaaan fatwa sudah mula mendapat tempat dalam negara kita khususnya selepas keputusan dibuat Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan anak luar nikah boleh "berbin" atau "berbinti" nama bapa, dan fatwa mengenainya yang dibuat beberapa tahun lalu oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Menurut fakta kes, Hakim Abdul Rahman Sebli, yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada si bapa memenuhi syarat Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299). 
Keputusan meletakkan bin/binti Abdullah diambil pihak JPN berdasarkan keputusan dibuat melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali pertama yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 membincangkan perihal pnamaan anak tak sah taraf (anak luar nikah).
Muzakarah berkenaan memutuskan anak zina atau anak di luar nikah sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah "dibin" atau "dibintikan" kepada Abdullah.
Jika ada pihak yang berpandangan fatwa mengenai isu nama anak luar nikah ini patut dipatuhi, maka mereka juga harus mematuhi segala fatwa dikeluarkan selama ini dalam negara kita termasuk fatwa berkaitan dengan pengharaman rokok.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-37 yang bersidang di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu membincangkan isu mengenai “hukum merokok dari pandangan Islam” dan bersetuju memutuskan "merokok haram daripada pandangan Islam kerana terdapat kemudaratan".
Namun, ibarat mencurah air di daun keladi, fatwa yang sudah lebih 20 tahun dan masih kekal sehingga sekarang tidak memberi sebarang kesan. Masyarakat kita termasuk di kalangan beragama Islam masih dilihat merokok tanpa segan silu.
Kenapa kita hendak menegaskan supaya fatwa mengenai isu nama anak luar nikah harus dipatuhi dan pada masa sama tidak mengambil peduli langsung mengenai fatwa pengharaman rokok yang dibuat dalam negara kita?
Jika betul-betul ingin mempertahankan agama Islam, kita mestilah mematuhi segala fatwa pengharaman rokok yang dibuat dan bukannya memilih mana yang hendak diikuti dan tidak diikuti.
Tidak perlu ada "double standard" dalam mematuhi sebarang fatwa. Patuhilah fatwa pengharaman rokok yang dikeluarkan. – 31 Julai, 2017.
* Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Sumber: Themalaysiainsight.com/July 31, 2017.

Luka peribadi lebih kecil, Anwar pertahan Dr M


Rakan-rakan dari SUARAM, Otai Reformasi, Parti Sosiolis Malaysia, beberapa NGO dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang merangkul Tun Dr Mahathir Mohamad dalam barisan kepimpinan.
Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan Reformasi dan agenda perubahan.
Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah.
Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini.
Luahan tersebut adalah dari rakan-rakan setia dan prihatin, yang turut mengalami keperitan perjuangan dan banyak membantu melonjakkan kekuatan pembangkang. Kegusaran tersebut memang berlegar di kalangan masyarakat dan dihebah di media milik Umno-BN.
Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan HARAPAN berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana HARAPAN tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut nadi rakyat.
Pada asasnya, HARAPAN adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH.
HARAPAN akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar, menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.
Muafakat inklusif HARAPAN memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama.
Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi.
Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah Umno-BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil maha kaya dan mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang.
HARAPAN lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda.
Memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman. Penghayatan Islam termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu dilaksanakan dengan jaminan tegas memelihara hak dan kebebasan penganut agama lainnya.
Perjuangan bersama
Pada hemat saya kehadiran Tun Dr Mahathir dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu) adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati.
Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani.
Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat. Struktur HARAPAN tidak boleh disamakan dengan BN. HARAPAN adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua parti.
Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud.
Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung HARAPAN. Kita perhatikan saja prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta sewenang yang diberikan kepada pimpinan negeri. Yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.
Rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi HARAPAN dan menegur atau mengemukakan cadangan. Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14. Sistem pilihan raya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan.
Kesedaran dan kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya. Percubaan kerajaan khususnya Peguam Negara melindungi penjenayah skandal 1MDB tidak menghalang tujuh negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai "penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara."
Selamatkan Malaysia
Penyelewengan dan rompakan tidak menemui titik noktahnya; hinggakan kepentingan peneroka, majoriti besar Melayu-bumiputera turut dikhianati. Skandal Felda-FGV berlarutan sekian lama dan kini terbongkar.
Menuding peranan seorang tokoh, atau kambing hitamkan seseorang hanya helah licik mengaburi mata peneroka dan rakyat. Kecurangan berleluasa dan kerugian kedua-dua skandal besar ini mencecah puluhan bilion ringgit. Kita boleh senaraikan ratusan kisah keterlanjuran, sebahagiannya diambil tindakan, dan selainnya terus dilindungi.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, Umno-BN seperti lazimnya akan mengerah jentera kerajaan; media milik mereka; bersama saudagar kaya mengupah pekerja politik dan mengugut rakyat.
HARAPAN dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta.
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM adalah ketua umum HARAPAN yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.
Sumber: Malaysiakini/July 30 2017.

Saturday 29 July 2017

HARAPAN tanpa Mahathir


Persoalan Dr Mahathir masih masih belum tamat walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mencapai persetujuan mengenai struktur pimpinannya. Teka-teki pandangan umum mengenai Tun Dr Mahathir dan posisinya sebagai Pengerusi Harapan masih membelenggu penyokong pembangkang mahupun mereka yang cenderung kepadanya. Harapan seperti masih memujuk ahli-ahli dan penyokongnya menerima keputusan yang tidak terjangka ini.
Tidak banyak yang boleh Harapan lakukan untuk memberi justifikasi memaksa rakyat menerima kehadiran bekas Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia itu. Walaupun Lim Kit Siang, Mohamad Sabu malah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling terkesan dengan Tun Mahathir juga dengan terbuka memaafkan dan berlapang dada dengan situasai hari ini, masakan tidak kita?
Bagi sesetangah pendokong, sifir memaafkan Tun Mahathir sebagaimana yang dibuat oleh tokoh-tokoh ini belum tentu boleh melegakan mereka.
Namun, penulis terkesan sedikit dengan pelbagai rencana yang ditulis untuk merungkai persoalan ini. Malah masih ada dialog mahupun forum-forum yang sedang dijadualkan untuk mendapat maklum-balas kehadiran Tun Mahathir dalam politik pembangkang.
Mereka tahu, apa-apa topik hangat melibatkan Mahathir pastinya menjemput lebih ramai penonton. Menjual nama Mahathir untuk mana-mana program politik pasti laris!
Kita telah bersatu, apa lagi yang dimahukan?
Saya terpanggil memikirkan apakah mesej yang masih kita cari hari ini? Telah banyak kekeliruan dan kelesuan yang melanda HARAPAN sebelum ianya dimuktamadkan dengan logo baru-baru ini. Tulisan ini bukan galak benar hendak mempertahankan tokoh yang pernah digelar sebagai Mahafiraun ini, cuma sekadar mengharapkan sedikit anjakan dan ihsan.
Hari ini adalah hari di mana kita patut tutup segala duka lama yang membantut usaha kita menjadi kerajaan di Putrajaya. Hari ini kita wajar berdialog dan berforum, membedah dan membongkar idea bagaimana Harapan boleh dipotretkan sebagai kerajaan yang sedang menanti dan bukan pula yang sebaliknya.
Masa yang terbuang dek kerana membincangkan hal-hal seperti logo dan siapa patut menjadi PM telah berlalu. Kita perlu segera cergas mengejar masa yang dibazirkan dan mempersiapkan diri sebagai kerajaan yang bakal mengganti.
Harapan dalam landasan yang tepat
Harapan sebenarnya telah bersedia semenjak kita mencapai persetujuan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebuah parti bukan multi-racial yang diusahakan Dr Mahthir bertujuan menumbangkan kerajaan Umno-BN. Sejak dari itu, Harapan telah selangkah memenangi pertandingan bersaing ke Putrajaya.
Ia telah berada di dalam kedudukan yang tepat dan di landasan yang betul. Semua persoalan peribadi dan dendam lama berjaya dibuang jauh demi membina semula negara tercinta ini. Inilah adalah politik matang yang sebenarnya.
Dr Mahathir hari ini telah mengubah dirinya menjadi sebahagian daripada kita yang selama berpuluh tahun menjadi musuh tradisi pembangkang dan kemuncaknya ketika pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998.
Mahu tidak mahu, kita terpaksa bersetuju kehadiran Mahathir telah mengisi senarai tokoh-tokoh pembangkang menyertai Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu. Pembangkang berada dalam kedudukan terkuatnya sepanjang sejarah muafakatnya.
Pandangan peribadi mengenai beliau cuma mengheret kita ke lembah buang masa yang tidak membantu membina persepsi yang baik untuk Harapan. Sungguhpun begitu, penulis bersetuju, sejarah lampau Dr Mahathir tentunya menghantui Harapan dan menjadi beban sepanjang tempoh berkempen dalam PRU 14 akan datang.
Namun, daripada terus mencetus pemisahan antara dua kumpulan – kumpulan tegar penyokong Mahathir dan kumpulan pembangkang yang tidak menyokong Mahathir – menjadikan kesatuan Harapan yang dibentuk sesuatu yang sia-sia.
Terima Mahathir dan maju terus
Malaysia wajar disatukan hari ini setelah Harapan berjaya menyatukan kepelbagaian pimpinan pembangkang.
Inilah masanya, kita perlu cekap mengurus kesatuan hati kita. Dialog dan forum-forum mengenai polisi dan kesatuan Harapan lebih wajar diketengahkan berbanding perbincangan mengungkit derita dan cerita lama yang tidak akan berkesudahan.
Mahathir hari ini telah bersama pembangkang dan menyempurnakan impian menumbangkan Umno-BN selama berdekad lamanya.
Menjadi saksi sejarah gabungan semula Anwar Ibrahim – Mahathir di pentas politik Malaysia adalah cita-cita seorang patriot tulen yang mahu Malaysia ini kembali ke era kegemilangannya.
Penyokong dan ahli-ahli HARAPAN wajar mengembleng tenaga menjadi satu sifat – mempertahankan kesatuan ini dan membentuk pandangan umum kesiap-siagaan kita.
Masa telah terbuang begitu lama semenjak Pakatan Harapan ditubuhkan dengan hanya tiga parti – KEADILAN, Amanah dan DAP. Kini Harapan diisi oleh Bersatu dan juga Tun Dr Mahathir.
Kita boleh lihat kesannya ketika pembangkang kehilangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dan kemudiannya Anwar Ibrahim; bagaimana pula HARAPAN tanpa Dr Mahathir?
Jadi, jangan bazirkan masa hari ini. 
Sumber: Roketkini.com/July 24, 2017.
*Nor Miswary Ramli Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya

Titik Perubahan Malaysia


Sebaik keriuhan pilihan raya selesai, terutama jika kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, sejarah akan menandakan 14 Julai 2017 sebagai titik perubahan besar negara.
Sidang media diadakan pada 12.30 tengah malam pada 14 Julai 2017 di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat. Pakatan Harapan mengumumkan logo, barisan pimpinan dan pelan polisi awal.
Saat bersejarah itu boleh dilalui dan diterjemah dari pelbagai sisi. Ia menandakan berakhirnya mesyuarat empat jam dengan kesimpulan yang menggembirakan hasil berbulan susah-payah dalam memikirkan cara paling berkesan menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan parti-parti Pakatan Harapan sedia ada, iaituPKR, DAP, dan Amanah, selain pencapaian persefahaman dua dekad perseteruan politik antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan para penyokong dari kedua-dua tokoh politik itu.
Kini BN boleh dikalahkan
Suasana baru dapat dirasakan di mana-mana dengan harapan besar bahawa kini, akhirnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, UMNO dan Barisan Nasional boleh dikalahkan.
Kerajaan Najib dilihat semakin cemas. Menteri-menteri UMNO-BN masih lagi menggunakan skrip usang bahawa DAP merupakan dalang penentu keputusan dalam Pakatan Harapan untuk menakutkan pengundi Melayu. Sementara peranan Najib pula berada di barisan hadapan menyerang Dr. Mahathir, di mana peranan masing-masing sudah bertukar – Mahathir sebagai kerajaan dan Najib sebagai pembangkang.
Apa yang tidak dikupas tapi merupakan perkara paling penting dalam perkembangan terbaru ini adalah runtuhnya strategi serampang tiga mata Najib untuk memecah-belahkan pembangkang yang digunakannya sejak pilihanraya umum 2013.
Formula Pakatan ketika itu adalah dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai peneraju pimpinan yang dilihat sebagai calon Perdana Menteri yang mampu menyatukan parti-parti pembangkang.
Ada dua jalan yang Najib boleh gunakan untuk berdepan cabaran itu. Jalan demokratik — dan beretika — adalah dengan melaksanakan reformasi dalam kerajaan serta memenangi hati dan minda pengundi dengan ikhlas. Namun, dengan pendedahan skandal 1MDB, beliau tanpa rasa bersalah telah menggunakan taktik kotor dan kaedah yang mencurigakan.
Bagaimana untuk hancurkan Pakatan Harapan
Strategi yang Najib gunakan adalah:
Pertama, singkirkan Anwar Ibrahim untuk memastikan pembangkang hilang pemimpin yang layak dan berhak menjadi Perdana Menteri;
Kedua, memancing PAS untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional yang akan memecahbelahkan pembangkang sekaligus pengundi Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama (menjadikan PAS watak utama melawan DAP), dan menyusun agar PAS terlibat dalam pertandingan tiga penjuru untuk memecahkan sokongan dalam kalangan pengundi Pembangkang; dan,
Ketiga, selepas Anwar disingkirkan dan PAS berada di dalam poket BN, kempen Najib akan menumpukan usaha memomokkan Pembangkang sebagai “Cina” yang didominasi oleh DAP untuk menakutkan lagi pengundi Melayu.
Dalam kata lain, rancangan Najib adalah untuk menang dengan memecahbelahkan Pembangkang secara sistematik. Dalam penggal pertama 2017, Najib cukup yakin beliau akan menang besar dan mengekalkan kuasa serta mungkin kekal berkuasa untuk satu dekad lagi. Dengan begitu yakin, beliau dilihat cuba menyingkirkan beberapa pemimpin utama UMNO sebelum pilihanraya umum untuk meletakkan barisan baru pimpinan yang setia kepadanya.
Jika Najib mengadakan pilihanraya umum mengejut pada pertengahan 2016, atau awal 2017, peluang untuk Barisan Nasional menang besar sangat tinggi.
Sejak pilihanraya umum pada Mei 2013 dan penyertaan 300,000 rakyat dalam himpunan BERSIH 4 pada 30 dan 31 Ogos 2015, sokongan kaum bukan-Melayu kepada Pembangkang masih kekal meskipun terdapat banyak cabaran. Tetapi selepas kekalahan Pembangkang dalam pilihanraya negeri Sarawak pada Mei 2016 dan dua pilihanraya kecil, masing-masing di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun 2016, harapan untuk mengubah kerajaan kembali pudar.
Lelah, kecewa, dan putus asa menjadi luahan rasa umum.
Memancing PAS
Sebelum ini, tahun 2014 menyaksikan percubaan Anwar untuk mengembalikan kepimpinannya melalui Langkah Kajang yang telah dihalang serta-merta melalui tindakan mahkamah, PAS, istana dan seteru lain. Beliau dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh pada 10 Februari 2015.
Dua hari selepas itu, pemimpin utama PAS yang berjiwa -Pakatan, Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari 2015, yang kemudian membuka jalan kepada kerjasama Hadi-Najib /PAS-UMNO.
Bantahan Hadi Awang terhadap Langkah Kajang dan serangan susulan terhadap Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor sepanjang 2014, selain kerjasama terbuka di antara PAS dan UMNO dalam isu hudud sejak Mac 2014, menyebabkan Pakatan Rakyat tidak dapat dipertahankan dan menyerlahkan bahawa PAS bukan lagi sekutu yang boleh diharapkan.
Sejak pilihanraya 8 Mac 2008, UMNO gigih mengajak PAS untuk membentuk satu gabungan Melayu bagi memecahbelahkan Pakatan Rakyat yang pelbagai kaum dan sekaligus menghapus kemungkinan untuk menukar kerajaan.
Namun ia gagal kerana PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat atas komitmen Nik Aziz untuk menumbangkan UMNO, selain kehadiran pemimpin progresif dalam parti itu sendiri yang kebanyakannya muncul pada era reformasi dengan idea jelas bahawa PAS perlu bekerjasama dengan sekutu yang terdiri dari pelbagai kaum.
Secara asasnya, satu-satunya cara untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional melalui peti undi adalah dengan membentuk pakatan yang kental tanpa mengira garis kaum, serta mendapat sokongan kuat pengundi di Sabah dan Sarawak.
Pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu selepas muktamar pada Jun 2015, yang juga menandakan berkuburnya Pakatan Rakyat. Mereka membentuk Parti Amanah Negara pada 16 September 2015, dan pada 22 September 2015 menyertai PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Harapan.
Kekosongan kepimpinan
Sejak awal 2015, butiran maklumat tentang skandal melibatkan Najib, Jho Low dan 1MDB diterbitkan di laman web Sarawak Report. New York Times melaporkan beberapa maklumat berkaitan pada Mac 2015, yang mengejutkan negara dan menyebabkan Najib menyeru sokongan daripada semua ketua bahagian UMNO.
Laporan Wall Street Journal pada Julai 2015 mengenai 681 juta dolar didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib pula mencetuskan percubaan untuk menggulingkan Najib dari dalam parti, namun berjaya digagalkan dengan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Shafie Apdal , dan Peguam Negara Gani Patail pada 28 Julai 2015.
Mukhriz Mahathir pula dipecat pada Februari 2016, mengukuhkan cengkaman Najib dalam UMNO. Namun ia melebarkan jurang di antara elit UMNO dan orang Melayu biasa. Para pemimpin UMNO yang tidak setuju dengan skandal Najib sudah tidak berani bersuara lagi. Sokongan kepada Najib dari kalangan rakyat Malaysia terjerumus teruk pada penghujung 2015.
Terdapat kekosongan kepimpinan dalam kalangan orang Melayu yang anti-Najib.
Langkah Mahathir
Terdapat beberapa percubaan oleh Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan badan-badan sivil termasuk dua kunjungannya dalam himpunan BERSIH 4.0 pada 30 dan 31 Ogos 2015, namun ia tidak ke mana berikutan halangan daripada pemimpin masyarakat sivil.
Akhirnya, Mahathir mengambil langkah drastik dengan keluar daripada UMNO pada 29 Februari 2016 dan mengilhamkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016.
Deklarasi Rakyat sebagai gerakan sosial hanya berjaya mengumpul tandatangan, namun kesan gambar di majlis pelancaran inisiatif di mana Mahathir duduk bersama Lim Kit Siang mencetuskan satu gelombang yang mengejutkan negara. Saya berbincang dengan seorang bekas menteri kanan era Mahathir sehari sebelum acara itu. Beliau bersungguh-sungguh memujuk Mahathir agar tidak menjemput Kit Siang dalam sidang media itu. “Tunggu sehingga fasa kedua.” Malah, dalam kalangan DAP, ramai yang tidak senang dengan tindakan Kit Siang duduk semeja dengan Mahathir.
Namun ramai yang lupa bahawa Kit Siang dan Mahathir sedar bahawa untuk mewujudkan sebuah pakatan yang berkesan melawan Najib, mereka perlu mencari jalan untuk bekerjasama. Kedua-dua tokoh itu dikecam oleh penyokong masing-masing namun mereka tetap berpendirian teguh. Dan akhirnya mereka berhasil.
Muhyiddin dan Mahathir kemudian menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada September 2016 sebagai platform anti-Najib untuk orang Melayu.
Dr. Mahathir pantas memahami bahawa sebuah pakatan tunggal amat penting untuk memenangi pilihanraya akan datang. Dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November 2016, beliau mengumumkan bahawa Bersatu sedia menjadi komponen Pakatan Harapan. Pada masa itu, pemimpin Bersatu yang lain masih lagi di tahap pemikiran bahawa sebuah pakatan yang longgar adalah lebih baik kerana ia boleh membuka ruang untuk mereka berbincang dengan PAS.
Pada 4 Disember 2016, dua acara yang berlainan diadakan di ibu kota. Najib hadir bersama Hadi Awang untuk acara menyokong pelarian warga Rohingya manakala Mahathir, bersama pimpinan Pakatan Harapan lain menghadiri Persidangan DAP. Gambaran berbeza itu menyimpulkan landskap baru politik negara.
Pakatan Harapan baru yang lebih kukuh
Bersatu dan parti-parti asal Pakatan Harapan menandatangani perjanjian pada 13 Disember 2016, sebagai bermulanya kerjasama “PH + Bersatu”. Pada 27 Disember 2017, Bersatu menyertai Pakatan Harapan sebagai komponen rasmi selaras dengan hasrat Dr Mahathir untuk sebuah gabungan yang lebih kukuh bagi memaksimumkan keyakinan rakyat kepada Pembangkang.
Pengumuman penting yang memberi harapan baru kepada rakyat pada 14 Julai itu tidak hadir begitu saja. Ia adalah hasil daripada banyak perbincangan yang rumit.
Empat mesyuarat Majlis Presiden diadakan: pada 30 April di pejabat PPBM, 31 Mei di Yayasan Kepimpinan Perdana , 9 Jun di pejabat PPBM dan 13 Julai di pejabat PKR, selain beberapa mesyuarat kecil dalam pelbagai format dan kumpulan.
Apabila parti-parti ini menggabungkan diri mereka dalam sebuah pakatan, ia memang membuktikan mereka berbeza dan mempunyai sokongan masing-masing. Jika tidak sudah tentu mereka akan membentuk parti tunggal. Persoalan utama mereka adalah bagaimana untuk mencapai kata sepakat pada 2017 sejak berlakunya perpecahan di antara Anwar dan Mahathir pada 1997. Lagi pun memang ada persaingan yang tersirat di antara PKR dan PPBM dalam Pakatan Harapan.
Proses itu menemui jalan buntu pada mesyuarat 9 Jun. Namun ia berjaya diselesaikan selepas Mahathir dan Nurul Izzah Anwar bertemu di London ketika Hari Raya Aidilfitri. Mesyuarat di London membuka jalan kepada pemeteraian perjanjian struktur kepimpinan Pakatan Harapan..
Sewaktu dilema jalan buntu sebelum itu, setiap kali ditanya tentang situasi itu, jawapan yang biasa saya berikan adalah apa salahnya kita berikan masa beberapa hari atau minggu untuk menyelesaikan perseteruan politik yang berpanjangan sejak 20 tahun lalu. Ia penting untuk mencapai kata sepakat yang tulen dan ikhlas. Dan jika ia benar-benar tulen dan ikhlas, seluruh negara akan merasainya dan ia akan memberi semangat baru, sebagaimana yang dirasai sekarang.
Kembali bersama
Kini rakyat dapat merasakan perubahan kerajaan – yang diterajui Mahathir dan Anwar – seperti kembali kepada era kegemilangan pra-1997, sebuah era kemakmuran dekad 90-an. Suasana baru menampilkan kehadirannya.
Yang menariknya, mesyuarat 14 Julai merupakan kunjungan pertama Mahathir ke ibu pejabat PKR – markas utama parti yang ditubuhkan untuk menentang beliau dua dekad lalu.
Anwar dan Mahathir merupakan suara penting yang membentuk corak politik tanah air sejak hujung 1960-an. Mahathir menjadi Ahli Parlimen mulai 1964 manakala Anwar dikenali sebagai pemimpin pelajar pada penggal kedua 1960-an. Kedua-duanya pernah bekerjasama sejak mula terlibat dalam politik pada era itu. Surat rahsia Dr Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman menggesa Perdana Menteri pada masa itu meletak jawatan selepas rusuhan 13 Mei 1969 telah disebarkan di Kuala Lumpur oleh kumpulan pelajar yang dikaitkan dengan Anwar.
Sejak menyertai UMNO seminggu sebelum pilihanraya umum 1982, Anwar dilihat sebagai anak didik Mahathir, sehinggalah beliau dipecat pada 2 September 1998.
Mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Dalam separuh abad yang lalu, Anwar dan Mahathir mempunyai penyokong setia masing-masing dan mampu menarik sokongan golongan sederhana – golongan majoriti di Malaysia – yang tidak mampu dilakukan oleh ahli-ahli politik lain. Sentiasa ada individu yang sanggup berkorban untuk idola mereka walaupun di belantara politik, atau dalam situasi Anwar, di dalam penjara.
Najib tidak pernah merasakan kesetiaan seperti itu, dan Khairy Jamaluddin lebih berminat menjadi selebriti. Rakyat mungkin suka mereka tetapi tidak akan sayang mereka.
Tiada pemimpin Melayu selain Mahathir dan Anwar yang mempunyai penyokong yang begitu setia. Kesan gabungan Anwar dan Mahathir dengan mudah mengisi kekosongan kepimpinan ketika ini di mana pengundi Melayu umumnya membenci Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Memang Anwar dan Mahathir pernah dalam karier politik mereka dilihat sebagai “ultra” yang dilihat menjejaskan hak dan kepentingan orang bukan-Melayu. Tapi kedua-duanya telah menyedari apa yang mereka lalukan dahulu dan kini diterima dengan baik dan hormat oleh golongan bukan Melayu serta rakyat berjiwa sederhana.
Wawasan 2020 pernah menjadikan Dr Mahathir Perdana Menteri pilihan di kalangan bukan-Melayu. Anwar juga disukai orang bukan-Melayu pada 1990-an, dan sewaktu era Pakatan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri.
Detik penentu kejayaan
Selepas struktur pimpinan pembangkang diumumkan pada 14 Julai, agak lucu apabila melihat satu demi satu menteri UMNO tampil dengan skrip usang menuduh DAP menjadi dalang dalam Pakatan Harapan. Tuduhan seperti itu tidak lagi berkesan memandangkan mereka kini terpaksa berhadapan dengan barisan pimpinan Mahathir-Anwar.
Tawaran Baru pada 14 Julai menjadi titik perubahan utama apabila Pembangkang bangkit semula selepas ditindas teruk oleh Najib yang memenjarakan Anwar dan membawa masuk PAS ke dalam poket BN.
Sejarah politik Malaysia kini bergerak masuk ke dalam era yang sukar diramalkan tetapi penuh dengan detik-detik penentu kejayaan. 
Sumber: Roketkini.com/July 24, 2017.
*Liew Chin Tong ialah Ahli Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.

Tuesday 25 July 2017

Siapa Ketua Pakatan Harapan?

Sebaik sahaja diumumkan struktur kepimpinan Pakatan Harapan, maka ianya terus diserang oleh media UMNO/BN. Kenyataan bahawa wujudnya jawatan Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden ingin dijadikan polemik dengan ditanya, “siapa sebenarnya ketua Pakatan Harapan?”. Ada juga yang memberi teguran, “sebuah kapal yang mempunyai tiga nakhoda pasti akan karam!”. Komen dan teguran yang sebegini sebenarnya hanya mendedahkan betapa mereka terlalu biasa dengan budaya politik ‘dengar dan patuh’ di mana hala-tuju dan dasar ditentukan oleh hanya seorang.

KETUA PAKATAN HARAPAN

Badan tertinggi dalam Pakatan Harapan adalah Majlis Presidennya. Segala dasar dan keputusan yang dibuat adalah diputuskan di sini. Ianya terdiri daripada pimpinan tertinggi setiap parti anggota. Mereka mewakili parti masing-masing. Mesyuarat Majlis Presiden adalah medan perbahasan dan penghujahan demi menentukan setiap keputusan yang dibuat adalah yang terbaik yang mungkin. Keputusan terbaik adalah hasil perbahasan yang mendalam dan terperinci, bukan kepatuhan yang membabi buta atas sebab taasub atau takut kepada kemurkaan pemimpin!

Memang benar adanya Ketua umum dan adanya Pengerusi. Begitu juga adanya Pengerusi dan adanya juga Presiden. Jawatan-jawatan bukan menandakan kecelaruan dalam kepimpinan tetapi sebaliknya menzahirkan kejelasan matlamat dalam menentukan struktur organisasi PH. Jawatan ini bertujuan untuk menonjolkan peribadi penting yang memainkan peranan utama mengemudikan perjuangan PH. Dengan ditonjolkan mereka ini sebagai yang berkedudukan utama dalam kepimpinan PH maka diharap sebahagian besar masyarakat akan bersama PH. Ini adalah kerana mereka mempunyai daya penarik yang tertentu, yang mampu melonjakkan sokongan terhadap PH ke tahap yang menjaminkan kemenangan. Namun demikian, walaupun kemampuan mereka itu diakui dan dihargai, bukan mereka sahaja yang menentukan arah tuju dan dasar-dasar PH.

Ini adalah oleh kerana budaya politik PH selama ini adalah bersifat syura dan persetujuan bersama, ataupun ‘konsensus’, maka jawatan-jawatan tersebut, walaupun sangat penting, tidak dimandatkan untuk menentukan sesuatu secara bersendirian. Budaya politik autokratik dan teokratik bukan budaya politik yang ingin disuburkan PH. Itu kita serahkan pada pihak yang lain.

Itulah sebabnya persoalan struktur dan logo PH tidak ditentukan semudah itu. Sebaliknya terpaksa dibahas dan dihujahkan selama 4 jam pada Khamis malam Jumaat 13 Julai yang lepas. Dari jam 8.30 sehingga 12.30 mlm ianya dibahas sehingga akhirnya kata sepakat tercapai. Sedangkan sekiranya semua ditetapkan oleh Ketua Umum, atau Pengerusi atau Presiden, sudah pasti ianya selesai jauh lebih awal!

Maka jawapan tepat kepada soalan, “siapa ketua PH?” maka jawapannya adalah Majlis Presidennya! Adalah diharap semua, termasuk dari kalangan pimpinan PH akan memberikan jawapan ini sekiranya ditanya soalan yang sama. Setiap kali dan pada bila saja masanya mereka ditanya.

KAPAL DENGAN TIGA NAKHODA

Ada juga yang timbulkan persoalan tiga Nakhoda. Hakikatnya, ianya bukan semestinya satu masalah. Kalau mereka boleh berkerjasama dan sering berbincang, pengalaman dan pegetahuan tiga Nakhoda pasti lebih luas dan mendalam berbanding dengan satu. Diandaikan kononnya seorang akan ingin ke kanan dan seorang lagi ke kiri, maka akhirnya kapal tersebut karam. Namun, bagaimana pula sekiranya semua bersetuju ke kanan, atau ke kiri? Tidakkah dalam keadaan itu mereka mampu saling membantu untuk menentukan kapal tersebut tidak karam mahupun terdampar di perairan yang cetek.

Ianya sesuatu yang jelas bahawa dalam kes PH, tiga Nakhoda ini ingin ke arah yang sama. Iaitu ke Putrajaya dengan dijatuhkan UMNO/BN.

Sambil itu, kapal dengan seorang Nakhoda pula tidak dijamin semestinya selamat. Lebih-lebih lagi apabila Nakhodanya mabuk kuasa dan ingin merompak dan mencuri harta sehingga membawa kapal memasuki kawasan larangan yang merbahaya. Dengan itu maka kapal itu akan karam atau terdampar di kawasan air yang cetek atas sebab kemabukan si Nakhoda, walaupun dipandu oleh dirinya seorang.

Ya, kita faham, ianya jauh lebih senang untuk keputusan dibuat oleh hanya seorang. Tetapi adakah keputusan seorang itu yang terbaik? Keadaan ekonomi dan politik negara dewasa ini jelas membuktikan bahawa keputusan oleh hanya seorang membawa negara ke arah kehancuran. Lebih-lebih lagi sekiranya seorang itu dikuasai pula isterinya dan isteri itu pula ‘bernafsu besar’ terhadap kekayaan dan kemewahan. Habis harta negara akan dirompaknya dan diserahkan kepada isterinya sebagai hadiah. Kononya hadiah darinya tetapi pada hakikatnya dari perit jerih rakyat yang terpaksa menanggung cukai tambahan kerananya.

Atas sebab itulah PH tidak dikuasai seorang. Malahan tidak juga oleh tiga Nakhoda. PH dikuasai majlis Presidennya yang bertindak mengawal dan menguasai serta membantu tiga Nakhoda tersebut supaya terus fokus terhadap usaha memenangi PRU ke 14. Dengan itu segala kebijaksanaan dan pengalaman ketiga-tiga Nakhoda tersebut dimanfaatkan oleh Majlis Presiden ke arah menempah kemenangan.

KESIMPULAN

Sememangnya ada yang gentar dengan pencapaian PH minggu lepas dan memang sepatutnya mereka gentar. Struktur kepimpinan PH telah selesai diputuskan sepertimana juga logonya dan program 100 harinya. PH yang mengadunkan kekuatan 4 parti ini apabila dapat disatukan dengan berkesan akan pasti menyebabkan UMNO/BN kecundang dalam PRU ke 14 insyaAllah. Maka diusahakan supaya akan timbul berbagai persepsi. Namun gagal atas sebab hujah yang teramat lemah dan agak dangkal.

Langkah PH seterusnya akan mampu memusnahkan secara berkesan dan total, sokongan terhadap UMNO/BN. Potensi kemenangan untuk PH jelas kelihatan. Malahan boleh dikatakan “kemenangan sudah dalam tangan”. Yang perlu adalah untuk menentukan tangan menggenggamnya dengan kuat dan kemenangan tersebut tidak terlepas dari celah-celah jari. Hasil perbalahan atau tersilap kata-kata atau langkah.

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

Monday 24 July 2017

Puluhan ribu akan sertai demo 'anti kleptokrasi' 14 Okt


Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengumumkan untuk mengadakan satu himpunan raksasa pada 14 Oktober depan.
Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, himpunan yang diberi nama 'Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' itu akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.
Sebelum ini, ahli parlimen DAP Tony Pua berkata himpunan itu diharap mampu memberi orang ramai kefahaman mengenai isu 1MDB.
"Kita akan lancar kempen berkenaan 'Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' dan kita akan adakan satu himpunan raksasa pada 14 Oktober.
"Bertempat di Padang Timur," kata Mahathir pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.
Ditanya mengenai jangkaan kehadiran pada himpunan berkenaan, Mahathir berkata: "Puluhan ribu".
Sumber: Malaysiakini/July 24, 2017.

6 insentif kerajaan bersifat sementara 15 lagi terlepas pandang

Pengumuman kerajaan memberikan insensif khusus kepada warga dan peneroka Felda hanya bersifat sementara yang tidak mampu menyelesaikan masalah utama yang dihadapi 112,600 peneroka Felda seluruh negara, kata Presiden Peneroka Rakyat Malaysia (Peneroka) Junaidy Jamaludin.
Beliau berkata,usaha diperingkat kerajaan persekutuan yang membawa kesejahteraan kepada peneroka Felda digalakkan walaupun ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan.
"Apa yang diuar-uarkan oleh perdana menteri kepada peneroka Felda adalah sesuatu yang sudah sepatutnya dari dulu lagi dilakukan.
"Sebenarnya masih ada lagi masalah utama peneroka yang tidak diselesaikan," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau berkata jika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menawarkan enam insentif kepada peneroka Felda, pihaknya juga meneliti terdapat 15 lagi permasalahan yang ditimbulkan selama ini oleh peneroka Felda sedikitpun tidak mendapat perhatian di pihak pengurusan Felda dan anak syarikatnya.
Junaidy berkata, terdapat enam isu utama yang dikenalpasti oleh Peneroka yang selama ini tidak diambil perhatian oleh pihak pengurusan Felda.
"Masalah-masalah pokok pihak peneroka felda adalah terdapat selama ini peneroka menerima penyata bulanan dan tahunan yang tidak tersusun dan terperinci.
"Harga getah yang tidak dikawal meyebabkan penanam getah terlalu daif dan tidak dibela, purata pendapatan harian penanam getah masih lagi dibawah RM20 sehari.
"Peratusan penggunaan kelapa sawit yang kurang jelas dan mencurigakan.
"Selain caj atau potongan peyelengaraan ladang yang tinggi dikenakan oleh pihak pengurusan ladang dan sistem menaik taraf kehidupan peneroka Felda dan anak peneroka tidak dirancang dengan teliti
"Bagi pandangan kami,jika isu utama ini dapat diselesaikan oleh pihak pengurusan felda, sudah pasti peneroka Felda mendapat lebih daripada apa yang di tawarkan oleh kerajaan melalui insentif tersebut,jika dikira dari sudut ekonomi bulanan dan tahunan," ujarnya.
Beliau menegulas mengenai keputusan kerajaan semalam, mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.
Menurut Junaidy lagi pertubuhan yang membela nasib peneroka Felda ini, akan mengemukakan 15 usul kepada Felda dalam usaha memberikan jalan penyelesaian terhadap isu-isu utama yang selama ini diliht gagal diselesaikan oleh pengurusan Felda dan anak syarikatnya terhadap semua peneroka.
Justeru walaupun perdana menteri mengumumkan enam insentif untuk warga Felda seluruh negara, namun ujarnya, beberapa isu yang membelenggu peneroka yang selama ini masih lagi tidak dapat diselesaikan akan cuba dirungkai oleh Peneroka.
Tanpa mendedahkan kesemua 15 usul tersebut, yang akan dibawa kepada Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad secara berperingkat mengikut keutamaan itu, beliau berhasrat ia dilakukan secara berperingkat itu kelak sebagai memberikan solusi kepada isu-isu yang timbul selama ini yang mungkin terlepas pandang oleh pihak pengurusan Felda.
"Kita akan memberikan beberapa solusi kepada permasalahan yang timbul selama ini di kalangan peneroka Felda.
"Kami dapati banyak rungutan daripada peneroka antaranya usul yang akan kita bawa mengenai keperluan pihak pengurusan Felda mendedahkan penyata tahunan, bulanan yang lengkap kepada peneroka.
"Majoriti peneroka tidak tahu berapa hutang mereka kepada Felda kerana tidak dijelaskan dengan terperinci di dalam slip yang diterima daripada pihak pengurusan Felda.
"Apa yang kita buat peneroka akan usulkan satu penyata contoh yang dipersetuji dan ditandatangani oleh peneroka yang akan dihantar kepada Tan Sri Shahril Samad dalam masa terdekat ini," ujarnya.
Junaidy menjelaskan,dengan komposisi 1/4 (55 Parlimen) daripada 222 Parlimen adalah kawasan Felda di seluruh negeri, sesuatu yang agak menghairan apabila nasib peneroka masih lagi tidak terbela.
"Sepatutnya hutang berkurangan tetapi ia bertambah. Orang Melayu Islam mereka takut berhutang kerana hutang akan dibawa mati- jadi peneroka Felda sering menyuarakan soal hutang mereka. Jika adanya penyata tahunan terperinci banyak masalah boleh diatasi.
"Setiap peneroka Felda dianggap sebagai kakitangan kerajaan kerana rakan konsi kepada GLC yang sepatutnya dikenakan caj 4 peratus tetapi kenapa dikenakan caj sehingga 6.2%
"Dikalangan peneroka Felda juga tertekan kerana harga rendah yang ditawarkan berbanding pasaran luar.
"Peneroka akan mencadangkan kepada pengurusan Felda supaya memperkenalkan harga siling. Begitu juga dengan penanaman semula kelapa sawit, ramai yang nak tahu adakah kerajaan sudah ada peruntukkan untuk projek tanaman semula ini.
"Sama ada FGV dan Felda Plantation sudah memyediakan peruntukan untuk penanaman semula sawit? Masalah yang timbul peneroka Felda kini dipaksa membayar semula kos penanaman dilakukan," ujarnya.
Peneroka yang beribupajat di Port Dickson ini,sudah pun mempunyai ahli di kawasan Felda di Negeri Sembilan,Johor, Kelantan dan Perak.
Pertubuhan yang baru ditubuhkan pada 2 Mei 2017 itu dijangka akan mengembangkan keahliannya ke Sabah dengan penyertaan dijangkakan 2,000 ahli yang berminat menyatakan kesediaan mereka untuk bersama pertubuhan ini untuk memperjuangkan nasib peneroka Felda di sana.
Pertubuhan ini pernah bersama dengan 300 orang peneroka Felda di Jelai membantah sistem caj penyelenggaraan yang dinaikkan daripada RM120 ke RM320 kerana ketika itu tiada NGO yang prihatin menyatakan permasalahan tersebut.
Pada 13 Jun lalu (Gambar bawah) Peneroka juga pernah bersama Pengerusi Task Force Felda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil menghantar memorandum di Wisma Felda mendesak Tan Sri Isa Samad selaku Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) meletakkan jawatan.
Sumbet: Malaysia Dateline/July 24, 2017.

TN50: Sasaran ekuiti Bumiputera 30 peratus pun tidak tercapai

Gagasan Transformasi 2050 (TN50) dibimbangi hanya mengulang kegagalan dasar kerajaan Umno-BN sebelum ini seperti dapat dilihat pada pencapaian sasaran 30 peratus bagi pegangan ekuiti Bumiputera.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, TN50 tidak lebih sekadar 'memancing' pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan pelbagai janji manis ketika pada masa sama gejala korupsi dan ketirisan berskala mega masih terus berleluasa.
"Rakyat tidak harus lupa dengan berbilion duit negara yang masuk ke kocek dan akaun pemimpin Umno-BN berserta kroninya daripada skandal 1MDB sehingga isu Scorpene yang sedang disiasat di Perancis," ujarnya.
Beliau diminta mengulas tentang TN50 yang melibatkan dialog Perdana Menteri dengan pelbagai segmen masyarakat didahului golongan muda di Universiti Malaya (UM) pada 19 Januari lalu.
"Mari kita imbas sejarah, kita sudah dijanjikan dengan pelbagai perkara. Slogan BN Janji Ditepati pun sekarang ke mana perginya?
"Janji untuk mengangkat kedudukan penyertaan Bumiputera untuk memegang ekuiti 30 peratus misalnya sudah dijanjikan sejak hari pertama DEB (Dasar Ekonomi Baru) dilancarkan kerajaan BN.
"Sampai hari ini tidak tercapai. Apa lagi TN50 dan rakyat masih sanggup sabar menanti untuk tempoh 30 tahun akan datang?" bidasnya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Selangor di Bangi kelmarin.
Untuk rekod, pegangan ekuiti bumiputera dalam pasaran modal pada 2011 hanya mencapai 22 peratus berbanding sasaran kerajaan sebanyak 30 peratus.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, sejak pentadbiran Najib Razak pelbagai keputusan tidak memihak kepada kepentingan rakyat termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penarikan subsidi bagi sejumlah barangan makanan.
"Apa janji rejim Najib yang ditepati sekarang? GST!? Hal yang tidak terjangkau di fikiran rakyat sebelum ini yang tiba-tiba datang.
"Kalau rakyat masih lagi terperdaya dengan helah BN menjelang PRU14 ini, saya bimbang bukan mereka sahaja bahkan keseluruhan rakyat akan kecewa dengan beban dan penindasan yang lebih berat selepas ini," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pakatan Harapan dengan barisan kepimpinan terdiri daripada pelbagai latar belakang akan memastikan keterlibatan rakyat dalam sebarang polisi yang akan dilaksanakan.
"Kita menekankan penyertaan dan suara rakyat. Dulu pun Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggagaskan keterlibatan rakyat dalam polisi yang sedang dirangka. Tunggu masa beliau keluar penjara. Dia ikhlas datang dari hati.
"Tidak sama dengan mereka yang hanya mahu mempertahankan kuasa walau guna apa cara sekalipun. Jadi, peluang di tangan rakyat untuk berubah kepada Pakatan Harapan.
"PRU14 yang dianggap ibu segala pilihan raya ini wajar dimanfaatkan pengundi jika tidak mahu menangis kesal untuk tempoh lima tahun lagi," tambahnya lagi.
Najib sebelum ini dilapor berkata, dasar jangka panjang TN50 menggunakan pendekatan berpaksikan akar umbi atau bottom-up dan dirangka berdasarkan aspirasi generasi muda hari ini. Presiden Umno itu mahu TN50 menjadi kesinambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu.
Sumber: Malaysia Dateline/July 24, 2017.

Propaganda murahan KJ bimbang BN hilang kuasa

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (KJ) tidak mampu menawarkan apa-apa penyelesaian kepada masalah sedang dihadapi negara dan rakyat  sebaliknya hanya memainkan propaganda murahan bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar, bidas Pemuda Amanah.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah  Faiz Fadzil (Gambar kanan) berkata, Pakatan Harapan tidak berjuang seperti Barisan Nasional (BN) yang menekan rakyat dan menjadikan institusi dana awam dan projek-projek Kerajaan sebagai alat bagi mengaut keuntungan peribadi pemimpin negara.
"Pakatan Harapan bukan berjuang untuk sekadar menjadi penasihat Kerajaan yang menganggap kemenangan dalam pilihanraya tidak penting.
"Pakatan Harapan mahu membentuk kerajaan bagi menyelamatkan negara dan membebaskan rakyat daripada kesulitan hidup. Hanya melalui kemenangan dalam pilihanraya, segala agenda dan tawaran Pakatan Harapan boleh dilaksanakan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Khairy semalam bahawa Pakatan Harapan ditubuhkan demi kepentingan kuasa individu tertentu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi Pemuda Amanah ia menunjukkan kebimbangan Khairy bahawa BN bakal kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum ke-14 ini.
Justeru ujarnya lagi, kuasa terletak di tangan rakyat bagi menentukan halatuju negara dan nasib kehidupan.
"Jika rakyat memilih Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum ke-14 ini, ia adalah kemenangan demokrasi menumbangkan kleptokrasi. Kuasa keramat ini bakal mengembalikan kuasa rakyat bagi mengakhiri pemerintahan zalim dan korup BN pimpinan Najib Razak," ujarnya.
Faiz menegaskan Pakatan Harapan yang ditubuhkan sejak 22 September 2015 adalah bertujuan untuk mengangkat perjuangan rakyat dan menyelamatkan negara.
"Pakatan Harapan bukan gabungan untuk agenda peribadi mana-mana pemimpin, malahan ketika ditubuhkan, Tun Mahathir masih berada di dalam Umno. KJ seharusnya menyemak dahulu fakta sebelum membuat apa-apa propaganda yang boleh mengelirukan rakyat.
"Matlamat dan tawaran 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan yang diumumkan pada 13 Julai lalu menunjukkan agenda Pakatan Harapan yang memberikan fokus kepada perjuangan bersama bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi negara dan rakyat ketika ini.
"Negara sedang berhadapan krisis rasuah dan penyelewengan wang rakyat yang semakin meruncing termasuk skandal 1MDB, Felda dan pelbagai lagi skandal salah urustadbir kerajaan BN pimpinan kleptokrat Datuk Sri Najib termasuk kes-kes rasuah pegawai-pegawai kerajaan seperti kes rasuah RM100 juta seorang pegawai di kementerian KJ sendiri," ujarnya.
Justeru kata beliau lagi, melalui ikrar Pakatan Harapan adalah untuk menyelesaikan krisis melalui agenda seperti memperbetulkan semua tindakan yang melanggar undang-undang termasuk mendapatkan kembali wang rakyat yang hilang di bawah skandal penyelewengan tersebut, mereformasi undang-undang dan institusi yang telah disalahguna, memerangi rasuah dan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat skandal penyelewengan tersebut.
Selain masalah rakyat yang semakin kronik juga bakal diselasaikan Pakatan Harapan dengan tawaran penghapusan GST, kestabilan harga petrol dan usaha meringankan beban rakyat.
"Sebaliknya BN yang disokong KJ tidak menunjukkan apa-apa perubahan ke arah memulihkan masalah negara dan rakyat.BN langsung tidak bertindak membanteras masalah rasuah terutama terhadap Perdana Menteri dan kroni-kroninya yang terpalit dengan penyelewengan 1MDB.
"Amat mustahil bagi pemimpin BN dan KJ tidak menyedari penyelewengan 1MDB sedangkan Kerajaan Singapura telah bertindak terhadap skandal mega ini dengan 5 orang pegawai bank telah dihukum dan 8 buah bank telah didenda. Begitu juga dengan pendedahan penyelewengan 1MDB di Amerika Syarikat melalui Saman oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bagi merampas aset-aset yang diperolehi melalui rompakan RM20 bilion wang 1MDB ini.
"Jika saman DoJ ini tidak bermerit, masakan pelakon Leonardo DiCaprio dan model Miranda Kerr sanggup memulangkan barangan yang dihadiahkan kepada mereka?
" Ironinya, Jho Low, Riza Aziz dan isteri MO1 dibiarkan bebas memiliki barangan mewah bernilai berbilion ringgit tanpa sebarang tentangan oleh pimpinan BN dan KJ. Pemimpin BN dan KJ juga gagal bersuara untuk memulihkan ekonomi rakyat yang rata-rata terbeban dengan kenaikan harga barang akibat GST dan peningkatan harga petrol," ujarya.
Sumber:Malaysia Dateline/July 24, 2017.

Popular Posts