Thursday 8 March 2018

Rais: Jho Low kini boleh pulang ke tanah air

Susulan kenyataan bahawa siasatan polis mendapati usahawan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low tidak terlibat dalam syarikat 1MDB, penasihat sosiobudaya kepada kerajaan, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan pihak berkuasa harus supaya membawanya pulang ke tanah air.
“Ketua Polis Negara sudah umum hari ini Jho Low tiada kaitan dengan skandal 1MDB. Tahniah kerana berjaya buat keputusan kilat dalam tempoh paling singkat.
“Wajar disyorkan supaya lepas ini Jho Low boleh pulang ke ke tanah air tanpa sebarang prasangka. Tahniah lagi kerana kecekapan PDRM buat kerja!” kata bekas menteri itu dalam satu ciapan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata daripada siasatan, Low didapati tidak pernah bekerja di 1MDB dan semua keputusan dan urus niaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarahnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan tindakan diambil terhadap Low, berikutan rampasan kapal persiaran mewah Equanimity oleh pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Secara keseluruhannya, DoJ mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan dari 1MDB dan saman sivil itu bertujuan untuk merampas AS$1.7 bilion aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan wang yang dicuri.
Low adalah kenalan rapat Riza Aziz, anak tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB yang mempunyai kuasa eksekutif.
Ini kali kedua Rais memberi pendapatnya berhubung pembabitan Low dan rampasan Equanimity.
Pada 3 Mac lalu, Rais membidas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana bertindak terlalu cepat menidakkan kapal mewah itu bukan milik Jho Low.
Sumber: Malaysiakini  -  08 March, 2018.

Pejabat MB Selangor pula dedah lima kelemahan Najib

Yin Shao Loong
 Kekeliruan dan penyakit kurang waras terus berlaku dalam Umno, melainkan ia adalah jangkitan dan merebak mengenai presidennya, Datuk Seri Najib Razak. Mohon supaya ia tidak berjangkit kepada rakyat.
Semalam, ketika Najib di Ulu Yam, beliau menyerang pencapaian kerajaan negeri Selangor seperti lazimnya dengan mengadunkan pelbagai tuduhan mengelirukan, yang mana datangnya daripada Umno/Barisan Nasional.
1. Air
Najib bercakap mengenai gangguan bekalan air pagi Jumaat lalu. Jelas beliau keliru kerana tiada gangguan air pada waktu itu. Adakah pemikirannya berada di Selangor, atau beliau bercakap mengenai Pekan, kawasannya sendiri, di mana bekalan air terganggu bermula hari ini sehingga pagi Jumaat?
Mungkin beliau tidak sedar akan masalah bekalan air di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah and Sarawak di bawah Barisan Nasional? Ada dapatkan taklimat daripada pegawainya?
2. Perumahan
Najib bercakap mengenai harga rumah mahal. Adakah beliau juga tidak sedar bahawa Rumah Selangorku menawarkan rumah mampu milik berharga dripada RM42,000 sehingga RM250,000?
70 peratus rumah yang dijual di bawah Rumah Selangorku berharga kurang RM200,000. Ia jauh lebih murah berbanding rumah PR1MA di bawah Najib yang harganya antara RM100,000 hingga RM400,000.
Sebagai menteri kewangan, adakah Najib lupa bagaimana beliau cuba mengatasi gelembung harga rumah besar-besaran seluruh negara, yang mana beliau menggunakan kaedah menyukarkan pemberian pinjaman kepada keluarga berpendapatan rendah, menyebabkan golongan itu sangat memerlukan program seperti Rumah Selangorku dan Skim Smart Selangor First Home Buyers untuk mendapatkan deposit?
3. Cukai
Turut mengejutkan ialah Bapa GST mencadangkan cukai hartanah di Selangor naik disebabkan kerajaan Pakatan. Adakah beliau tahu penetapan kenaikan cukai hartanah dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di bawah kerajaan persekutuan?
Jika beliau mahu meringan beban cukai, beliau hanya perlu memansuhkan GST dan mengarahkan JPPH untuk mengurangkan kadar. Ia mudah. Jangan mengarut Perdana Menteri. Sama ada dapatkan penerangan lebih baik daripada pegawai atau berhenti putar belit. Tolong membantu untuk mengubahnya.
4. Sampah
Bercakap mengenai sampah, sejak kerajaan negeri Selangor mula mengambilalih kutipan sampah menerusi KDEB Waste Management, aduan telah menurun sehingga 97 peratus di tiga pihak berkuasa tempatan yang menggunakan khidmat itu.
Menjelang 2019, semua kutipan sampah di 12 pihak berkuasa tempatan akan diuruskan sistem baharu ini.
5. Denggi dan pencemaran sungai
Akhir sekali, terang lagi bersuluh, Najib tidak tahu bagaimana nyamuk aedes pembawa denggi membiak dan merebak. Beliau cuba mengaitkan pencemaran sungai dengan rebakan denggi, namun ia bercanggah dengan dapatan sains.
Nyamuk aedes memerlukan air bersih yang bertakung untuk membiak. Mungkin perkara ini boleh menerangkan mengapa usaha membasmi denggi di peringkat nasional tidak berjaya.
Menteri kesihatan perlu memberi penerangan kepada perdana menteri mengenai denggi supaya beliau tidak terus memalukan dirinya lagi.
Beliau juga harus bercakap dengan menteri sumber asli dan alam sekitar yang boleh memberitahu beliau bahawa sembilan daripada 10 sungai paling tercemar di Malaysia adalah dalam negeri di bawah Barisan Nasional, tujuh daripadanya di Johor, yang mana ia adalah kubu Umno.
Orang yang duduk dalam rumah kaca tidak seharusnya melempar batu, dan orang dalam Pejabat Perdana Menteri sepatutnya membantu rakyat Malaysia daripada bermain politik.
Kita tahu, sebagai Bapa GST, pencipta gelembung harga rumah seluruh negara dan dalang di sebalik 1MDB, Najib merasa bahangnya dan perlu mengalihkan perhatian daripada kegagalan beliau, namun beliau perlu melayan pengundi Selangor dengan hormat, bukannya penipuan dan kekeliruan.
Sumber: Malaysiakini  -  08 March, 2018.
YIN SHAO LOONG adalah Pengarah Komunikasi Strategik di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Perihal `dia yang pandai politik’

Pyanhabib Rahman
DIA pandai politik, bila dia berhujah dan bertingkah, musuh selalu kalah. Dia cerdik dan pandai akan tipu daya politikus, musuh yang terbakar pun akan tabik dengan kerenah perangainya, walaupun di belakang-belakang, si musuh bukan main tunjuk gedebe.
Dia seorang yang berani bercakap, seorang yang otaknya sentiasa ke depan. Hujahnya selalu tidak salah dan tidak mahu kalah. Barat dan Eropah hormati dia. Dia pernah bikin dan hasut rakyat satu Malaysia `Buy British Last’ dan dia berjaya.
Hari ini musuh melihat dia sebagai seorang tua, seorang tua nyanyuk. Hal-hal lampaunya diselongkar diungkit kembali. Dia diasak ke dinding dan diingatkan semula akan kejadian-kejadian masa lalu, tahun-tahun lampau sejumlah 22 tahun dia berkuasa.
Dia kini di oposisi. Dia kini diarak dan dihingar-bingar akan kembali sebagai perdana menteri. Otak gua pernah terjentik bahawa jika benarlah Malaysia politiknya demikian kacau dan segala tidak keruan seperti hari ini, alangkah bagus jika pemilik batang tubuh bernama Mahathir bin Mohamad, pengganti Hussein Onn pada 6 Julai 1981 itu, dibiarkan saja kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Gua tidak tahu sama ada dia benar-benar bercita-cita untuk kembali berdiri sebagai perdana menteri, atau barangkali cita-cita itu tumbuh kerana diasak orang-orang di sekelilingnya. Atau dia sebenarnya tidak bercita-cita pun tetapi ditolak oleh keadaan.
Musuh melihat dia sebagai diktator maka biarkan saja dia berdiktator. Kerana diktatornya itulah, semasa dia seorang perdana menteri, yang otaknya sentiasa ke depan itu, dia mengarahkan pembangunan bandar dan pinggir Kuala Lumpur diperlahan malah dihentikan.
Itu `bukti’ kediktatorannya. Betapa prihatin dia terhadap ibu kota negaranya yang serabut dan bersimpang siur oleh pembangunan tidak terkawal bagai.
Dia tidak hanya bercakap dan mengarah sebaliknya dia bekerja, meninjau dari udara melihat kesesakan jalan raya Kuala Lumpur, melihat kepadatan bangunan-bangunan, melihat penggondolan teruk hutan di lereng bukit sekitar Hulu Klang.
Dia marah melihat kemusnahan hutan dan pembangunan melampau di persekitaran Kuala Lumpur, kota pentadbiran di mana bertempatnya Parlimen. Kita boleh nampak kesungguhannya untuk mengurangkan benda yang menyesakkan Kuala Lumpur apabila dia dengan otak yang tersangat ke depan menghadirkan secara nyata akan `mimpinya’ apabila dia dengan kediktatorannya meneroka belantara untuk djjadikan bandar raya dan pusat pentadbiran yang barangkali tidak terjangkau oleh otak orang lain.
Ya, dia meruntuhrantahkan hutan belantara wilayah Sepang dan menjadikannya sebagai bandar pentadbiran Putrajaya, Lembah Silikon Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malah gelanggang lumba kereta laju Formula One. Segala yang dimimpi dan dinyatakan itu adalah untuk masa depan Malaysia, untuk kebanggaan anak cucu cicit Malaysia.
Dr Mahathir harmonikan ibu kota Kuala Lumpur daripada kesesakan, dia memindahkan pusat pentadbiran ke Putrajaya, siap dengan taman perumahan tanpa pagar.
Kuala Lumpur hari ini apa jadi?
Kepadatan terus melampau, bangunan tinggi terus menjulang malah akan muncul bangunan yang lebih tinggi dari apa yang telah ditinggikan di zaman Dr Mahathir iaitu Menara Berkembar Petronas.
Untuk kamu yang lupa atau tidak pernah tahu, Dr Mahathir inilah antara lain mencetuskan Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah. Dia juga mewujudkan `punch card’ agar kamu mematuhi waktu pejabat. Dialah yang mempercepatkan waktu 30 minit ke depan – diseragamkan waktu Sabah dan Sarawak – untuk membolehkan kamu yang bekerja aktif bersukan dan ibu bapa bekerja sempat pulang ke rumah dan punya masa bersama anak-anak.
Ada jenaka yang betul: Tak ada Mahathir tak ada KLCC. Tak ada Mahathir tak ada lebuh raya, tidak ada LRT, Putrajaya atau KLIA. Malah Formula One dengan jenama Petronas, dialah otaknya. Dialah yang mengibar bendera Malaysia ke seluruh dunia melalui kereta laju itu.
Proton, jenama kereta kebanggaan Malaysia, dia yang bikin idea! Ditakdirkan Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia yang maju makmur ini, gua tetap bertawakal dan Dr Mahathir kena waspada, Ha ha ha!
Ya, Dr Mahathir kena waspada dengan isu seumpama PPSMI kerana benda ini adalah benda yang `menghalalkan’ gua dan kawan-kawan untuk angkat sepanduk di jalan raya dan kebetulan pula gua tukang angkat sepanduk sambilan yang sepenuh masa.
Dan kamu yang melihat Dr Mahathir sebagai diktator sebagai mahazalim, tentu seronok sekiranya dia kembali menjadi perdana menteri selepas PRU14. Ini peluang kamu yang muda-muda untuk kembali aktif pada setiap minggu setiap bulan mengangkat sepanduk, berarak berunjuk rasa sesedap hati.
Tetapi apa jadi pada hari ini?
Segala bagai sudah termasuk ke dalam mulut buaya.
Sumber: The Malaysian Insight – 8 Mac, 2018.

Friday 2 March 2018

Kerana rakan golf PM, Felda kerugian RM1.3 bilion

Husin Mahat
Apakah nasib yang menimpa Felda Global Ventures (FGV) turut dihadapi syarikat kepentingan Felda di luar negara khususnya di Indonesia?
Bagi Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad, saham Eagle High Plantation (EHP) Indonesia yang merudum ke paras IDR204 sesaham berbanding IDR580 ketika dibeli Felda tahun lalu mengulangi episod duka FGV.
Apatah lagi Felda telah membelanjakan RM2.26 bilion membeli 37% saham EHP, syarikat milik Peter Sondakh, rakan golf perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Seolah-olah tidak cukup untuk menguji kesabaran rakyat khasnya warga peneroka – dengan merudumnya saham FGV kepada RM1.80, skandal pembelian hartanah dan hotel-hotel mewah yang penuh pertikaian di London dan beberapa tempat lain, dan paling mutakhir tentang ‘terjualnya’ tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang kononnya telah berjaya didapatkan semula; umum tidak mahu lagi dengar apa-apa cerita yang buruk tentang Felda lagi,” ujar Dr Dzulkefly.
Menurut beliau, meskipun benar harga saham sememangnya turun naik sepanjang tahun, namun kerugian saham EHP itu amat besar untuk ditanggung Felda yang sudah pun bermasalah.
“Dengan saham yang merudum mendadak ini, Felda sedang mengalami kerugian susutan nilai sebanyak US$300 juta atau RM1.3 bilion dalam pemilikan yang dipaksa ke atasnya,” jelas beliau.
Apatah lagi, ujar Dr Dzulkefly pembelian 37% saham EHP melalui FIC Properties Sdn Bhd telah dikritik pelbagai pihak kerana Felda membayar hampir 95% lebih tinggi dari harga pasaran.
Malah Felda, katanya tidak menguasai syarikat perladangan itu (controlling stake) dengan jumlah saham yang dibeli sekaligus tidak mempunyai kata pemutus dalam setiap urus niaganya.
Sebuah badan pemantau (watchdog) iaitu lnternational Palm Oil Monitor (IPOM),  tambah beliau turut mengenal pasti pelbagai salah laku tadbir-urus kewangan EHP yang mengalami kerugian kewangan untuk beberapa tahun mutakhir.
Walaupun Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad berkata pembelian saham EHP “sebagai menjalankan kehendak kerajaan”, namun umum mengetahui syarikat di bawah Rajawali Group itu dimiliki taikun Indonesia Peter Sondakh, rakan golf PM Najib.
“Ketika segala bukti dan maklumat kritikal termasuk ‘due deligence’ yang dijalankan menunjukkan bahawa pembelian ini adalah tidak wajar, mengapa Najib masih memaksa pembelian ini,” soal beliau.
Dr Dzulkefly juga mahukan penjelasan Shahrir berhubung kegiatan dan pelaburan hiliran yang kononnya adalah faktor pendorong pembelian EHP setelah setahun kepentingan dalam syarikat itu dibeli Felda.
“Tegasnya, dengan semua salah-laku pengurusan serta pelaburan yang sarat dengan kontroversi dan skandal kewangan ini,  warga Felda khasnya dan rakyatnya umumnya, kini memberi ‘surat tunjuk sebab’ mengapa Najib dan kerajaan BN tidak boleh dipecat!” ujar beliau.
Sumber: Malaysia Dateline  -  2 March, 2018.

Nafi saja tidak cukup, Patriot gesa KWSP bertemu media jelaskan dakwaan skandal

KUMPULAN Wang Simpanan Malaysia (KWSP) harus bertemu dengan pihak media bagi menjawab tuduhan laman web pemberi maklumat Sarawak Report dan tidak hanya menafikan dakwaan tersebut, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini.
Presiden Patriot Briged General Mohamed Arshad Raji (gambar) berkata KWSP, polis dan bank negara harus menjelaskan dakwaan yang mengatakan agensi tersebut telah memindahkan wang ke entiti lain sebagai projek samaran untuk mendanai perbelanjaan pilihan raya.
“Patriot memuji usaha KWSP yang tampil menafikan beberapa dakwaan yang dibuat Sarawak Report, terutama yang merujuk kepada dana tersebut.
“Bagaimanapun, penerangan daripada KWSP melalui kenyataan yang menyanggah dakwaan SR itu tidak cukup bagus.
“Mengambil kira keadaan yang begitu teruk dan jumlah wang yang didakwa terlibat begitu besar, KWSP harus mengadakan sidang media dan menunjukkan bahawa bon yang dipersoalkan itu masih dimiliki agensi berkenaan,” kata Arshad dalam kenyataan.
Dalam posting bertarikh 28 Februari, Sarawak Report mendakwa ada melihat dokumen yang mendedahkan bahawa sebuah kumpulan penggerak didakwa memindahkan dana daripada beberapa agensi yang ada kaitan dengan kerajaan Malaysia seperti KWSP bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Blog tersebut mendakwa KWSP telah memindahkan bon awam bernilai RM10.6 billion ke Limage Holdings SA, yang didakwa dimiliki oleh warga Hungary Gyorgy Matrai. 
Semalam, KWSP berkata ia tidak pernah berurusan dengan Limage Holdings, Limage Southwest Holding, dan individu yang dikenali sebagai Mr Matrai atau mana-mana pihak yang dinyatakan oleh Sarawak Report.
KWSP juga berkata tidak ada dana atau bon yang dipindahkan ke mana-mana syarikat, pihak atau individu yang disebutkan. Agensi itu berkata skim seumpama itu tidak akan dapat melepasi “rangka urus tadbir KWSP yang ketat dan teliti”.
Namun, disebalik penafian itu KWSP sedar akan kewujudan dua surat palsu pada 2015 dan 2016 yang dikaitkan dengan syarikat dan individu tersebut, dan laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.
Laporan polis dibuat pada 28 Oktober 2015 terhadap surat ganti rugi palsu berhubung perjanjian antara KWSP dan Limage Holding SA. Satu laporan lagi dibuat pada 26 Februari 2016 terhadap surat penganugerahan bagi membina dan membangunkan projek bandar perubatan integrasi.
KWSP juga membuat satu laporan polis pada 23 Januari tahun lepas, yang mana menyatakan bahawa agensi itu tidak mempunyai sebarang maklumat atau hubungan dengan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nik Maniki.
Memandakan laporan polis telah dibuat, Arshad berkata polis harus memaklumkan kepada orang awam tentang perkembangan terbaru siasatan berkenaan.
“Bank Negara harus mengeluarkan kenyataan berhubung status bon tersebut.
“Bank Negara juga harus menjelaskan mengenai dakwaan pemindahan sejumlah besar wang ke akaun dolar bank RHB milik sebuah syarikat persendirian, mendedahkan apa yang dibenarkan dalam ruang lingkup had perundangan,” katanya.
Awal minggu ini, Sarawak Report turut mengaitkan penglibatan kumpulan perbankan RHB dalam satu dakwaan skandal kewangan melibatkan KWSP.
Memetik beberapa sumber, laman itu mendakwa AS$1.6 bilion telah dipindahkan daripada KWSP ke dalam akaun dolar RHB Kuala Lumpur yang dimiliki entiti yang kurang dikenali iaitu  TJJR Diversified (M) Sdn Bhd pada Januari, yang mana dimiliki oleh seorang wanita yang didakwa menyeleras projek hospital yang disokong oleh KWSP dan Kementerian Kewangan.
RHB seperti dilaporkan The Edge Markets semalam turut menafikan dakwaan tersebut, sambil menyifatkan ia sebagai tidak berasas dan palsu.
Arshad berkata dakwaan Sarawak Report itu ketika ini kekal tidak berasas.
Bagaimanapun, susulan dakwaan bahawa berbilion telah dilaburkan dalam “syarikat pelaburan yang dimiliki penipu dan melibatkan sogokan”, ia sepatutnya memberikan amaran yang jelas memandangkan Malaysia telah melalui pelbagai episod hitam antaranya melibatkan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) and 1Malaysia Development Bhd (1MDB), katanya.
“Apa yang boleh disimpulkan sekarang adalah ia telah memalukan Malaysia di persada antarabangsa.
“Penjawat awam yang berada di puncak kekuasaan, yang mana telah mengangkat janji kebertanggungjawaban dan kesetiaan, telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam memastikan adanya semak dan imbang, dan gagal untuk mempertahankan dana awam daripada diseleweng,” ujarnya.
Arshad berkata Patriot menyokong seruan Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dalam pelaksanaan perniagaan secara beretika dalam sektor swasta, dan juga sektor awam.
“BEIM sedang berusaha mempromosi, memelihara dan membina komuniti perniagaan rakyat Malaysia yang utuh mengikut tatakelakuan etika perniagaan contoh dan sihat.
“Penjawat awam dan ahli politik yang berada dalam lembaga pengarah dalam syarikat awam dan GLC harus terlebih dahulu mengikut tatakelakuan seumpama itu.”
Sumber: The Malaysian Insight – 2 Mac, 2018.

Bolehkan Umno tangguh pemilihan parti hingga 2019?

SAYA ingin mengulas sedikit tentang perkara ini kerana ianya ialah sati isu awam yang amat penting. 
Isu ini penting kerana dua sebab, yakni:
i) Umno ialah sebuah parti politik terbesar di Malaysia dan merupakan tunggak kerajaan kita. Oleh kerana itu, isu ini memberi kesan kepada Malaysia sebagai sebuah negara dan kepada semua rakyat Malaysia sebagai golongan yang diperintah oleh kerajaan.
ii) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Registrar of Societies - RoS) sering sekali mengambil tindakan terhadap pertubuhan-pertubuhan yang tidak mengikut undang-undang ataupun perlembagaan mereka. Contohnya, DAP - di dalam kes DAP, RoS dengan teliti sekali menjalankan tugasnya untuk memastikan pilihan pegawai-pegawai DAP adalah sah. Pada masa ini pula RoS dengan tekun sekali mentelaah perlembagaan Bersatu untuk memastikan parti itu mengikut undang-undang dan perlembagaannya. Saya merasa amat bangga dengan ketelitian dan ketekunan RoS menjalankan tugas-tugasnya. Syabas.
Isu Umno ialah: bilakah Umno sepatutnya memilih ahli Majlis Tertinggi mereka, termasuklah jawatan presiden, naib presiden, timbalan-timbalan presiden dan sebagainya. 
Isu ini penting kerana umum mengetahui bahawa presiden Umno akan menjadi perdana menteri, timbalan presiden akan menjadi timbalan perdana menteri dan sebagainya.
Mengikut peruntukan Perlembagaan Umno, klausa 9.3 mengatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno perlu dipilih tiga tahun sekali.
Kali terakhir Majlis Tertinggi dipilih ialah pada 19 Oktober 2013. Jadi pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno sepatutnya diadakan pada 19 Oktober 2016.
Klausa 10.16 pula memberikan kuasa kepada Majlis Tertinggi Umno untuk menangguhkan pemilihan ahli-ahli Majlis Tertinggi selama 18 bulan.
Jadi, jika kuasa dibawah klausa 10.16 digunakan untuk menangguhkan pemilihan ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno, maka pemilihan ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno mesti dibuat selewat-lewatnya pada 19 April 2018, iaitu 18 bulan dari 19 Oktober 2016.
Namun, Umno telah menangguhkan pemilihan ini sehingga 19 April 2019! 
Itu bermakna bahawa Umno menangguhkan pemilihan ahli-ahli Majlis Tertinggi bukan sahaja untuk 18 bulan tetapi 30 bulan. Walhal Perlembagaan Umno hanya memberi kuasa untuk menangguhkan pemilihan tersebut selama 18 bulan sahaja.
Di dalam menjawab isu ini, Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa RoS telah membenarkan permohonan Umno untuk melanjutkan tarikh pemilihan ahli-ahli Majlis Tertingginya di bawah Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan.
Persoalannya sekarang: apakah RoS mempunyai kuasa di bawah Seksyen 13A (4) untuk melanjutkan tempoh jangkamasa untuk Umno membuat pemilihan parti? 
Pada pendapat saya, Seksyen 13A (4) langsung tidak terpakai kepada kes ini. RoS dengan itu tidak ada kuasa di bawah seksyen itu untuk membenarkan apa-apa perlanjutan masa untuk Umno membuat pemilihan parti.
Seksyen 13A (4) ialah seperti berikut:
(4) The Registrar may, on application in writing made to him by a registered society, extend the time provided by him to the society in any order made under subsection (1) or (2) if he is satisfied that the society has given good grounds in its application and it would be just and proper to grant such extension.
Jelas dari peruntukan Seksyen 13A (4) bahawa RoS hanya mempunyai kuasa untuk melanjutkan masa yang diperuntukkan oleh RoS sendiri melalui apa-apa perintah yang dibuat oleh RoS di bawah seksyen kecil (1) atau (2).
Ini jelas dari frasa"extend the time provided by him" di dalam seksyen tersebut.
Masa untuk memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno bukan diberikan oleh RoS (not provided by him). Masa itu diperuntukkan di dalam Perlembagaan Umno sendiri.
Oleh itu RoS tidak mempunyai kuasa langsung untuk membenarkan apa-apa perlanjutan masa di bawah Seksyen 13A (4) walaupun permohonan bertulis dibuat kepada RoS.
Seksyen 13A (4) sebenarnya hanya terpakai kepada keadaan di mana RoS telah memberikan atau membuat apa-apa perintah atau direktif kepada mana-mana pertubuhan untuk berbuat sesuatu di dalam jangka masa tertentu mengikut kuasanya di bawah 13A (1) atau (2).
Di dalam keadaan itu, sekiranya pertubuhan itu membuat permohonan bertulis untuk melanjutkan jangka masa yang diberikan oleh RoS, maka RoS boleh melanjutkan jangka masa itu.
Di dalam kes Umno, jangka masa pemilihan diperuntukkan di dalam Perlembagaan Umno sendiri. Jangka masa itu bukan dari apa-apa perintah yang dibuat oleh RoS melalui Seksyen 13A (1) atau (2). Jadi Seksyen 13A (4) tidak ada kena mengena dengan kes Umno dan tidak terpakai langsung.
Dengan itu, ternyata bahawa Tengku Adnan telah bergantung kepada peruntukkan undang-undang yang salah dan tidak relevan.
RoS sebenarnya tidak mempunyai kuasa di bawah seksyen tersebut untuk memberi perlanjutan masa.
Umno sepatutnya perlu membuat pemilihan ahli-ahli Majlis Tertingginya pada atau sebelum 19 April 2018.
Kegagalan Umno berbuat demikian akan menyebabkan Umno menjadi sebuah pertubuhan yang tiada ahli dan kuasa eksekutif. Ia seperti seekor ayam yang tidak berkepala. 
Sumber: The Malaysian Insight – 2 Mac, 2018.

Teladan kisah lama dari Jerman

Wan Hamidi Hamid

SEJAK berpuluh tahun lamanya pembangkang melawan untuk menggantikan Barisan Nasional sebagai kerajaan. Semuanya gagal. Satu-satunya detik cemerlang adalah pada pilihanraya umum 2013 apabila 52% pengundi telah menolak BN.
Malangnya untuk gabungan pembangkang, manipulasi persempadanan semula kawasan pilihanraya telah membolehkan BN terus berkuasa walaupun kalah undi kerana ia menang kerusi. Ia tetap kekal sebagai kerajaan.
Sepanjang penggal ini, pimpinan BN gelojoh dengan pelbagai skandal mega 1MDB, Felda, Mara dan sebagainya. Ekonomi gawat dan ringgit merudum. Untuk menampung kesalahan sendiri, ia memperkenalkan pula cukai regresif GST.
Bertambah parah kewangan rakyat. Jurang di antara kaya dan miskin semakin melebar.
Tiada jalan lain kecuali kita mengubah kerajaan. Nampaknya setakat ini semuanya berjalan lancar apabila Anwar Ibrahim rela bekerjasama dengan bekas musuh politiknya Dr Mahathir Mohamad demi menentang kleptokrasi pentadbiran Najib Razak.
Namun, yang disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kini ada pula suara-suara yang membangkang pembangkang.
Mereka ini menyerang Pakatan Harapan seolah-olah Pakatan Harapan adalah kerajaan persekutuan Malaysia. Malah, mereka sanggup membenarkan diri dipergunakan jentera dan media kawalan BN untuk mengutuk PH seolah-olah PH yang terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berpuluh bilion ringgit.
Golongan ini yang mengaku pembangkang dan menentang BN kini menjadikan PH sebagai sasaran serangan mereka.
Sebagai renungan terhadap suasana yang sedikit kecoh ini, izinkan saya mengulangi sebuah kisah lama yang berlaku di Eropah hampir seabad lalu. Saya pernah menulis hal yang sama ini di ruangan lain.
Niat saya semoga ia diteladani agar kalangan kita yang marah-marah dapat bertenang seketika, dan tidak perlu membakar kelambu kerana marahkan seekor, dua nyamuk.
Kisahnya berlaku di negara Jerman pada pada awal tahun 1930-an. Dalam pilihanraya 1928, parti Nazi hanya menang 2.8% undi berbanding Parti Sosial Demokrat 29.8% dan Parti Komunis 10.6%.
Pada masa itu, tiada siapa yang mengambil serius tentang Nazi yang diketuai Adolf Hitler yang membenci Yahudi dan kaum-kaum lain yang dianggapnya tidak setaraf dengan bangsa kulit putih Arya. Baginya, segala kemelesetan ekonomi Jerman berpunca daripada Yahudi walaupun ia merupakan fitnah.
Rakyat Jerman, termasuk golongan elit dan kelas pertengahan pada mulanya menganggap Nazi sebagai parti golongan samseng jalanan yang sekadar bahan ketawa.
Pada masa yang sama, parti arus perdana seperti Sosial Demokrat dan Komunis cemburu dan benci sesama sendiri. Mereka lebih banyak membuang masa bertegang leher tentang siapa lebih kiri, siapa lebih sosialis; sedangkan masalah ekonomi semakin teruk melanda negara Jerman.
Kerana itu, Sosial Demokrat dan Komunis enggan bekerjasama, malah menganggap saingan sebagai musuh utama. Lebih dari itu, kedua-duanya melihat Hitler dan Nazi sebagai bodoh, gila publisiti dan dipandang rendah sebagai kumpulan rasis yang angan-angan kuasa.
Kedua-dua Sosial Demokrat dan Komunis yakin golongan kelas pertengahan dan kaum pekerja tidak akan terpengaruh dengan retorik perkauman Hitler. Mereka tidak sedar apabila negara dilanda krisis ekonomi, hujah ilmiah dan teori ekonomi tidak akan lekat pada hati rakyat.
Yang mudah diterima rakyat ialah musuh-musuh jelmaan. Ceramah, fitnah dan berita palsu Hitler yang menyalahkan Yahudi serta kaum-kaum “pendatang” sebagai punca krisis ekonomi Jerman mula diterima rakyat majoriti. Mereka mula yakin Yahudi dan pendatang perlu dihapuskan.
Krisis politik Jerman memaksa satu lagi pilihanraya diadakan pada 1930 di mana Nazi mencatat keputusan mengejutkan, iaitu berjaya meningkatkan sokongan daripada 2.8% kepada 18.3%!
Malah, Nazi menarik sokongan undi daripada pengundi asal Sosial Demokrat manakala Komunis turut bertambah menjadi 13.1%. Sedangkan jika Sosial Demokrat dan Komunis bergabung pada masa itu, undi bersama mereka adalah lebih kukuh, iaitu 37.6%.
Tetapi dalam keadaan genting itu pun, mereka masih tidak peduli. Komunis terus menyerang Sosial Demokrat yang dituduh tidak cukup sosialis. Lebih teruk lagi golongan sosialis sederhana itu didakwa oleh Komunis sebagai fasis sosial, seolah- olah Sosial Demokrat sama sahaja dengan Nazi.
Apabila krisis politik berterusan, dua lagi pilihanraya diadakan pada 1932 sehingga menyebabkan rakyat bosan dan kecewa, dan akhirnya beralih kepada retorik perkauman. Nazi menang dengan mencatatkan lebih 33% undi.
Pada saat itu nasi sudah menjadi bubur. Majoriti rakyat Jerman sudah termakan dakyah, dakwah dan dedak Nazi. Selepas itu, Hitler mula menunjukkan taringnya dengan menahan tanpa bicara semua penentang rejim serta kaum-kaum dan golongan-golongan yang mereka benci. Ramai yang diseksa, didera, malah dibunuh.
Yang menjadi mangsa-mangsa awalnya adalah para pemimpin dan ahli-ahli parti Sosial Demokrat dan Komunis sendiri.
Lebih dahsyat lagi, kegagalan golongan progresif Jerman menyekat kebangkitan Nazi telah membawa kepada meletusnya Perang Dunia Kedua (1939-45) berikutan keghairahan Hitler untuk menawan dunia. Perang itu mengorbankan lebih 80 juta umat manusia, kebanyakannya orang awam.
Teladannya mudah – jika kita tidak bersatu menentang musuh yang lebih besar dan lebih berbahaya, padah akan menanti kita. Walaupun kita berbeza pandangan, banyak hal yang boleh kita kompromi.
Jika terlalu besar kepala dengan idea kita sahaja, malah mendabik dada menjaja “prinsip” seolah-olah orang lain tiada prinsip, maka bersiap-sedialah untuk menderita di kemudian hari.
Lebih elok jika berat sama-sama kita pikul, ringan sama-sama kita jinjing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. 
Sumber: The Malaysian Insight – 2 Mac, 2018.

Popular Posts