Saturday 16 May 2020

Kisah pelik Muhyiddin - Bhgn 2

Liew Chin Tong
Di Sheraton Hotel pada awal pagi 10 Mei 2018, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikenali dengan budi pekertinya yang lemah lembut, menarik saya dan Lim Kit Siang ke tepi untuk meminta DAP menyokong calon Bersatu bagi jawatan menteri besar Johor. 

Beliau memerlukan bantuan supaya sumbangan beliau dalam menukar undi negeri tersebut kepada Pakatan Harapan diperakui.

Walaupun DAP telah memenangi bilangan kerusi yang terbesar di Dewan Undangan Negeri Johor pada PRU14, iaitu 14 kerusi, berbanding dengan Amanah (9), Bersatu (8) dan PKR (5), namun DAP tidak menuntut jawatan menteri besar.

Kit Siang terbuka untuk berbincang. Selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berbincang dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu, DAP bersetuju untuk menyokong calon Muhyiddin bagi jawatan menteri besar.

Pada 11 Mei 2018, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan sebuah kapal terbang untuk menjemput Muhyiddin dari Kuala Lumpur untuk menghadap baginda.

Saya turut serta mengikuti beliau. Itu merupakan kali pertama saya menaiki jet peribadi.

Tiga bulan sebelum itu, pada 8 Februari 2018, saya dan Muhyiddin membuat perjalanan bersama menaiki penerbangan tambang rendah Malindo sejurus selepas mesyuarat Pakatan Harapan Johor.

Beliau memberitahu saya bahawa, ketika beliau masih timbalan perdana menteri, satu pesawat kerajaan khas telah ditugaskan untuk perjalanan beliau.

Sebagai salah satu pemimpin pembangkang yang tidak memiliki apa-apa hak istimewa, Muhyiddin berasa senang hati melihat penghargaan rakyat terhadap perjuangan kami.

Ketika beliau masih menganggotai Barisan Nasional, beliau tidak pernah mengalami situasi di mana orang ramai menawar diri untuk membayar makanan beliau di kedai kopi ataupun warung sebagai tanda sokongan mereka. Semangat rakyat ketika itu cukup memberangsangkan.

Hidup sukar antara 2015 - 2018

Ketika penerbangan pada Mei 2018 itu, seorang pegawai Muhyiddin telah memberitahu saya bahawa itulah kali pertama mereka menjejak kaki semula dalam jet peribadi semenjak bos mereka dipecat daripada jawatan TPM pada Julai 2015.

Mereka berasa bangga dengan PRU14 kerana kami telah mencipta sejarah ketika itu dengan mengambil tindakan yang betul demi negara, walaupun, secara peribadi, Muhyiddin mengalami kehidupan yang sukar antara 2015 dan 2018.

Pada hari seterusnya, iaitu 12 Mei 2018, Pakatan Harapan telah memilih Muhyiddin sebagai menteri dalam negeri, Mat Sabu sebagai menteri pertahanan, dan Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Pada 13 Mei 2018 pula, saya berjumpa dengan Muhyiddin di kediamannya; hanya kami berdua sahaja. Beliau berasa murung ketika itu. Beliau ingin meletakkan semua jawatan pada malam sebelumnya kerana kecewa tidak dilantik menjadi menteri kewangan oleh Dr Mahathir. Beliau telah dipujuk untuk terus kekal dengan jawatannya.

Beliau turut memberitahu saya, pada 1995, ketika beliau merupakan timbalan presiden Umno yang meraih bilangan undi terbesar, dan setelah berkhidmat sebagai menteri besar Johor selama sembilan tahun, beliau berharap untuk memegang portfolio ekonomi kanan di peringkat kerajaan persekutuan

Akan tetapi, Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu hanya melantik beliau sebagai menteri belia dan sukan, suatu jawatan yang paling rendah. 

Kemudian, beliau diberitahu oleh Anwar Ibrahim untuk bersabar dan menunggu sehingga 1998, memberi bayangan bahawa Muhyiddin akan menjadi pilihannya untuk timbalan perdana menteri.

Dalam renungan beliau pada pagi yang tenang itu, Muhyiddin mengajukan soalan kepada saya, setelah 20 tahun lebih, selepas beliau berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selama enam tahun (2009-2015), adakah wajar beliau menjadi timbalan kepada Anwar sekiranya berlakunya peralihan kuasa daripada Dr Mahathir ke Anwar? Hanya kesepian menyahut persoalan itu.

Muhyiddin telah dikesan menghidap penyakit kanser pada Julai 2018. Saya menziarahi beliau di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Kali pertama saya pergi seorang, kali kedua saya mengikuti Guan Eng. Saya menganggap Muhyiddin sebagai sahabat berusia dan sangat bimbang dengan kesihatan beliau.

Ketika beliau sedang beransur pulih, dalam kebanyakan pertemuan kami, beliau telah mengadu kepada saya tentang keinginannya untuk meletak jawatan. Penyakit tersebut telah mengubah perspektif beliau terhadap kehidupan.

Kebuntuan di Johor

Pada 24 April 2019, setelah Muhyiddin dan Dr Mahathir bercanggah berkenaan pemilihan Mazlan Bujang sebagai ketua Bersatu di Johor, saya berjumpa dengan Muhyiddin di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri.

Sekali lagi, beliau menzahirkan keinginannya untuk meletak jawatan kerana Dr Mahathir tidak menerima pandangannya walaupun Johor merupakan negeri beliau. Muhyiddin merupakan pengerusi Majlis Pakatan Harapan Johor.

Muhyiddin berasa kecewa tetapi tidak menghalang pelantikan Mazlan. Beliau beritahu kepada saya, menurut perlembagaan Bersatu, selaku presiden beliau mesti berunding dengan dan menerima keputusan pengerusi, iaitu Dr Mahathir.

Ketika mesyuarat-mesyuarat kami pada bulan-bulan seterusnya, beliau berulang kali menyatakan kekecewaannya terhadap pemilihan Mazlan Bujang oleh pengerusi Bersatu.

Pada 2 Syawal (6 Jun 2019), Muhyiddin telah memberitahu saya, beliau sudahpun hampir pulih daripada penyakitnya. Doktor beliau turut menyatakan perkara yang sama ketika majlis rumah terbuka anak lelaki Muhyiddin. Saya cukup lega menerima berita itu.

Imbas ke hadapan, pada bulan Oktober 2019. Percubaan untuk merampas kuasa oleh trio Azmin Ali, Hishammuddin Hussein, dan Hamzah Zainuddin telah menyemarakkan lagi api perkauman bagi pihak Melayu dan bukan Melayu.

Usaha tersebut bertujuan mewujudkan satu kerajaan gabungan perpaduan Melayu baru tanpa melibatkan DAP dan Amanah.

Muhyiddin sangat bimbang akan “perbezaan pandangan antara kita kerana perbezaan ideologi dan kepercayaan kian jelas sekarang." Daya maju hubungan gabungan Bersatu-DAP sedang dipersoalkan dengan serius dan terdapat banyak tekanan daripada pihak yang agresif dalam Bersatu agar beliau bertindak menentang DAP.

Beliau menganjurkan makan malam kecil-kecilan antara pemimpin tertinggi Bersatu dan DAP pada 29 Oktober 2019 bagi mencari jalan menyelamatkan gabungan parti. Kedua-dua parti bersetuju bahawa naratif melampau Melayu dan bukan Melayu menyebabkan kita menderita di jalan tengah. Kita harus lakukan lebih banyak lagi untuk menyelamatkan gabungan ini.

Mesyuarat tersebut berjaya mengatasi cubaan rampasan kuasa pada Oktober oleh trio Azmin, Hishamuddin dan Hamzah yang menggunakan DAP sebagai momokan. Tetapi kejayaan ini hanyalah untuk sementara.

Imej Pakatan Harapan tidak ditambah baik, terutama sekali apabila dimanipulasi pihak lawan dengan isu perkauman.

Pada malam 16 November 2019, saya berada di bilik gerakan bersama Muhyiddin dan beberapa orang dalamannya untuk menyaksikan siaran langsung keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjong Piai. Muhyiddin yang kecewa mengatakan “ini lebih buruk daripada tsunami.”

Majlis Presiden Pakatan Harapan khas diadakan pada 23 November 2019 dengan satu agenda untuk membincangkan pembentangan oleh Muhyiddin sebagai pengerusi Jawatankuasa Kempen Pilihanraya PH.

Beliau menggariskan beberapa cabaran politik yang berikut:
  • Isu sentimen perkauman memberi kesan negatif terhadap PH.
  • Orang Melayu menganggap PH dikuasai DAP.
  • Orang Cina mengganggap PH dikuasai Bersatu dan Dr Mahathir.
  • Isu peralihan kuasa antara PM7 dan PM8 menyebabkan rakyat beranggapan kerajaan PH tidak stabil.
  • Kabinet PH dilihat tidak cekap.
Cadangan beliau buat Pakatan Harapan:
  • Tangani isu kaum dan agama secara bijaksana dengan mengambil sikap yang lebih moderat dan berhemah.
  • Kikis imej anti-Melayu DAP ; anti-Cina Bersatu.
  • Kuatkuasakan tindakan disiplin terhadap ahli parti yang mengkritik sesama sendiri atau mengkritik pimpinan parti anggota yang lain.
  • Tangani isu peralihan kuasa antara PM7 dan PM8 secara bijaksana.
  • Rombak kabinet supaya kabinet PH dilihat berprestasi tinggi.
Muhyiddin mencadangkan agar PH berusaha untuk mencapai tahap penilaian penerimaan 60 peratus dalam jangka masa setahun.

Selepas mesyuarat khas itu dan parlimen masuk ke sesi rehat, Muhyiddin pun pergi ke luar negara pada akhir tahun bulan Disember dan beberapa hari pada bulan Januari. Dia kembali kelihatan sangat segar dan dalam keadaan sihat.

Mohamad Sabu bertemu Muhyiddin pada 22 Januari. Pertemuan mereka membuatkan Mohamad Sabu berasa sangat hairan. Menteri pertahanan ketika itu memberitahu  saya bahawa dia bimbang Muhyiddin mempunyai idea baru yang bertentangan dengan prinsip asas Pakatan Harapan.

Nampaknya Muhyiddin memikirkan suatu bentuk pemerintahan perpaduan Melayu, dan beliau tidak lagi berminat dengan Anwar untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Pada 31 Januari 2020, saya dan Muhyiddin menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina di Grisek, kawasan Pagoh. Selepas itu, saya mengunjungi Muhyiddin di rumahnya untuk berbual panjang pada 5 Februari 2020.

Umno, PAS mamah Bersatu hidup-hidup

Seperti biasa, beliau peramah dengan saya. Tetapi, saya dapat mengesan terdapat sesuatu perubahan dalam pandangannya. Bagi beliau, jika tiada perubahan dalam PH, maka Bersatu akan kalah teruk untuk pilihan raya akan datang.

Saya memberi hujah untuk menyanggah pendapat beliau, mengatakan Bersatu akan dimamah hidup-hidup oleh Umno dan PAS dalam gabungan penyatuan Melayu. Malah, rakan terbaik Bersatu ialah DAP kerana pertindihan kawasan adalah minima.

Pada hari itu, saya pulang dengan suatu perasaan bahawa sesuatu yang aneh telah berlaku, sesuatu telah berubah dalam dirinya tetapi saya percaya beliau masih mempertimbangkan pilihannya.

Saya berpandangan bahawa dalam sosok tubuh itu masih wujud Muhyiddin yang terhormat, individu yang selalu melihat gambaran yang lebih besar dan bersedia untuk beralah dengan Dr Mahathir seperti pada tahun 2017.

Saya telah berharap agar Muhyiddin yang berulang kali berfikir untuk berhenti itu tidak tergoda oleh kedudukan duniawi tetapi akan memikirkan legasinya.

Bagaimanapun, beliau hanyalah manusia. Mungkin, godaan tersebut terlalu hebat sehingga beliau tidak dapat menahannya. 

Boleh jadi, kekecewaan beliau terhadap Dr Mahathir, dorongan daripada trio Azmin, Hishammuddin dan Hamzah, dan cita-citanya sendiri untuk menjadi PM akhirnya membuat beliau cenderung ke arah kudeta politik Sheraton pada 23 Februari 2020.

Momok DAP,  bakar api perkauman

Saya sedih apabila sahabat lama saya yang berusia, Tan Sri Muhyiddin memilih jalan ini. Sikap baiknya ketika perlawanan epik menentang Najib sang kleptokrasi telah memberi laluan kepada gambaran perebutan kuasa tanpa keabsahan. Mungkin Dr Jekyll telah bertukar menjadi Mr Hyde.

Terdapat beberapa pemimpin dan penyokong gabungan rapuh Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin sekarang kembali dengan taktik jahat lama mereka dengan memomok DAP dalam usaha mereka membakar kebencian antara kaum.

Saya ingin berpesan kepada sahabat lama saya yang berusia ini, Tan Sri Muhyiddin. Saya ahli DAP. Dalam empat tahun, dari tahun 2016 hingga 2020, setiap kali anda meminta pertolongan daripada DAP, kami tidak pernah mengecewakan anda, kami lakukan semua perkara semana mungkin untuk membantu anda.

Dengan memainkan sandiwara anti-DAP sebagai justifikasi kewujudan gabungan Perikatan Nasional, ini hanyalah menunjukkan hipokrasi.



LIEW CHIN TONG ialah Anggota Jawatankuasa Pusat DAP dan bekas timbalan menteri pertahanan PH.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada hari Jumaat 15 Mei, 2020. 

Friday 15 May 2020

Kisah pelik Muhyiddin

Liew Chin Tong
Dalam pesanan teks yang dikirimkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada saya dalam empat tahun kebelakangan ini, dia akan selalu mengantarnya dengan “Bro”. Oleh sebab saya lebih muda daripada beberapa anak-anaknya, saya pula selalu memanggil beliau dengan panggilan hormat “Tan Sri.”

Pengamatan peribadi saya terhadap lelaki yang lemah lembut ini mengingatkan saya kepada kisah Dr Jekyll dan Mr Hyde. Kisah ini cukup aneh tetapi mungkin itu adalah fitrah manusia ketika seseorang itu menghadapi godaan kuasa.

Kali pertama kami bertemu adalah pada 11 April 2016. Saya dan Anthony Loke, mewakili DAP, berbual lama dengan beliau selama dua jam lebih.

Muhyiddin, yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai 2015 kerana mempersoalkan penglibatan Najib Razak dengan skandal 1MDB, ketika itu dipantau dan diekori oleh Polis Cawangan Khas.

Bagi mengelakkan diri daripada menarik perhatian, pegawainya telah menyewa sebuah bilik hotel di Petaling Jaya. Saya dan Anthony masuk terlebih dahulu diikuti oleh Muhyiddin 10 minit kemudian. Apabila perjumpaan berakhir, beliau pergi dahulu. Kami pergi 10 minit kemudian.

Pada 25 Julai 2016, Muhyiddin bertemu dengan Lim Kit Siang, juga di sebuah hotel, di Kuala Lumpur. Saya dan Anthony turut serta. Kami melalui proses yang sama. Kami masuk dulu, kemudian Muhyiddin masuk.

Hari ini, saya sangat berharap Muhyiddin tidak akan menggunakan Cawangan Khas untuk memantau pemimpin Pakatan Harapan sepertimana beliau sendiri menjadi mangsa ketika beliau tidak berada di tampuk kuasa.

Sebagai konteks, pertama sekali, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir telah dipecat daripada Umno pada 24 Jun 2016. Kedua, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan dua pertemuan strategi yang melibatkan semua pemimpin pembangkang dan beberapa pemimpin masyarakat sivil pada 28 Jun 2016 dan 14 Julai 2016 untuk membuka jalan kepada penubuhan parti baru.

Dalam pertemuan dengan Kit Siang itu, Muhyiddin memberitahu bahawa parti barunya akan bertanding untuk 15 kerusi parlimen, sebaliknya dalam komunikasi kami dengan pihak Dr Mahathir, kami diberitahu Tun sedang berusaha untuk bertanding 40 kerusi.

Selepas pertemuan itu, Kit Siang berpandangan bahawa angka Dr Mahathir lebih realistik (akhirnya Bersatu bertanding 51 kerusi) kerana seseorang tidak sepatutnya membentuk parti nasional hanya untuk bertanding 15 kerusi.

Muhyiddin kurang bercita-cita tinggi pada masa itu kerana dia berpendapat partinya masih perlu bekerjasama dengan PAS, sedangkan Dr Mahathir telah menolak parti Islamis yang beliau anggap tidak lain hanyalah rakan subahat Najib.

Ketika pertemuan itu, Muhyiddin juga meminta Kit Siang untuk membantu parti barunya untuk memerangi Najib bersama-sama, dan veteran DAP itu berjanji akan menyokong beliau sepenuhnya.

Pada 13 Disember 2016, Muhyiddin mengetuai kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ataupun Bersatu yang baharu ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Pakatan Harapan (PH).

Usaha ini adalah percubaan rasmi pertama untuk menyelaraskan Bersatu dengan Pakatan walaupun ketika itu Muhyiddin masih memikirkan untuk membentuk “Barisan Rakyat” sebagai platform baru untuk bekerjasama dengan PAS dan parti-parti Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Mahathir sudah menjelaskan pendiriannya lebih awal lagi. Pada 12 November 2016, dalam ucapannya kepada Konvensyen Pakatan Harapan, mantan perdana menteri itu sudah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai PH. Mahathir telah pun mendahului masa, manakala, Muhyiddin dan Mukhriz akhirnya menolak PAS hanya pada Februari 2017.

Siapa bakal PM?

Selepas upacara MOU itu, di sebuah bilik persendirian di ibu pejabat PKR, seorang pemimpin NGO penting secara terbuka mengatakan di hadapan Muhyiddin dan presiden PKR ketika itu Datuk Seri Wan Azizah Ismail bahawa Wan Azizah tidak sesuai untuk menjadi perdana menteri.

Sebaliknya individu itu mencadangkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan timbalan presiden PKR waktu itu Azmin Ali sebagai timbalannya. Mesyuarat itu tidak berakhir dengan baik.

Individu daripada NGO tersebut adalah orang sama yang menemui saya untuk makan tengah hari pada bulan April 2015 untuk meyakinkan saya bahawa Azmin harus menjadi calon perdana menteri PH. Perkara ini berlaku hanya dua bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 10 Februari 2015.

Pada 9 dan 10 Januari 2017, akhbar Sinchew menerbitkan wawancara eksklusif dua bahagian dengan Muhyiddin. Penerbitan wawancara tersebut jelas membawa agenda untuk menyemai rasa sangsi dalam kalangan pengundi Cina terhadap pemimpin Bersatu.

Sinchew memaparkan keraguan Muhyiddin mengenai pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC), secara langsung menanam perasaan tidak puas hati terhadap beliau dalam kalangan rakan-rakan Cinanya.

Saya dan Muhyiddin terus berhubung. Beliau menjemput saya untuk sarapan pagi di sebuah restoran kegemarannya berdekatan dengan rumahnya pada 24 Januari 2017. Pertemuan ini merupakan kali pertama saya bersemuka dengan beliau secara perseorangan.

Kami berbual selama tiga jam. Muhyiddin memberitahu saya bahawa beliau mahu memahami DAP dengan lebih mendalam, “memandangkan kita sekarang perlu bekerjasama.” Salah satu topik yang tidak dapat dielakkan adalah berkenaan jawatan perdana menteri.

Atas permintaan Muhyiddin, Kit Siang berjumpa dengan beliau pada 7 Februari 2017. Muhyiddin meminta sokongan DAP supaya menyokong pencalonan beliau sebagai perdana menteri. 

Kit Siang menjelaskan kepada beliau bahawa perkara ini perlu dibincangkan dengan Anwar kerana pendirian DAP pada masa itu adalah untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Beberapa bulan selepas itu, idea pasukan kepimpinan Muhyiddin–Azmin masih dicanangkan selepas PH menerima Bersatu sebagai komponen parti secara rasmi. Mesyuarat pertama Majlis Presiden PH dengan kehadiran pemimpin Bersatu telah diadakan pada 27 Mac 2017 di tingkat 14, parlimen Malaysia.

Pada April 2017, idea untuk memilih Mahathir sebagai perdana menteri telah dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat persendirian. Bagaimanapun, meletakkan Mahathir semula sebagai perdana menteri adalah idea yang masih sukar diterima orang dalam sekeliling Anwar.

Walaupun kem Muhyiddin menentang idea tersebut pada awalnya, tetapi populariti Mahathir sebagai PM kian meningkat diperingkat akar umbi.

Tidak lama selepas itu, Muhyiddin bagi pihak Bersatu menyokong Mahathir sebagai calon PM. Saya menghormati beliau kerana dapat melihat gambaran luas dan mengenepikan cita-cita peribadi beliau. Tindakan beliau yang cukup dihormati.

Pakatan mengambil masa beberapa bulan untuk memutuskan Mahathir sebagai pengerusi. Rundingan tersebut hampir gagal, tetapi diselamatkan oleh Nurul Izzah Anwar yang bertemu dengan keluarga Mahathir di London semasa Hari Raya.

Pada jam 12.30 malam, 14 Julai 2017, PH menamakan Mahathir sebagai pengerusi, Anwar sebagai ketua umum dan Wan Azizah sebagai presiden.

Fraksi Azmin keluar, bimbang kerana persetujuan yang telah dicapai untuk memilih kerjasama Mahathir–Anwar akan menangguhkan perancangan Azmin untuk menjadi perdana menteri. Tetapi, Muhyiddin menyokong keputusan tersebut tanpa mempedulikan ‘amukan’ Azmin.

Isu tersebut tidak selesai di sini. Kegelisahan Azmin kekal berterusan. Azmin terus mendokong kombinasi Muhyiddin-Azmin sebagai PM-TPM, tetapi Muhyiddin tidak terlibat dengan percaturan ini.

Terdapat pertengkaran hangat antara ahli-ahli Pakatan Harapan yang lain dengan Azmin dan sekutunya di pemukiman Pakatan pada 1 hingga 2 Disember 2017, di Putrajaya. Dalam kalangan empat parti (Amanah, Bersatu, DAP dan PKR), tiga setengah parti bersetuju mengumumkan Dr Mahathir sebagai PMi ke-7 dan Anwar sebagai PM ke-8, dengan tentangan kuat daripada fraksi (PKR) Azmin.

Perunding daripada setiap parti berlumba dengan masa untuk menyelesaikan rundingan pada 6 Januari 2018 bagi mengumumkan pencalonan Mahathir dan Anwar Ibrahim, dan pencalonan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri, di konvensyen PH pada 7 Januari 2018.

Sekali lagi, Muhyiddin membuktikan bahawa dia seorang yang budiman dengan menyokong persetujuan tersebut meskipun Azmin dan sekutunya meneruskan bantahan keputusan konvensyen.

Selain pencalonan untuk jawatan tertinggi, rundingan untuk kerusi Parlimen di kawasan Semenanjung Malaysia turut diumumkan di konvensyen tersebut. Perundingan ini merupakan pencapaian kali pertama dalam sejarah.

Percaturan Johor

Muhyiddin, Salahuddin Ayub (Amanah), Nurul Izzah (PKR), Anthony Loke (DAP), dan pemimpin Pakatan Harapan Johor telah berjaya menyelesaikan rundingan kerusi Johor pada 18 Januari 2018, negeri pertama yang berjaya melakukannya.

Muhyiddin meminta saya dan Anthony untuk mendapatkan persetujuan DAP untuk kekal bertanding di 14 kerusi demi kepentingan gabungan parti, dan kami pun bersetuju dengan permintaan tersebut.

Pada asalnya, DAP mahu bertanding di 16 kerusi negeri; Johor pada ketika itu masih merupakan kubu kuat BN. Sejak itu, Johor merupakan negeri barisan hadapan yang akan memenangkan PH di peringkat nasional; PH telah memenangi 18 kerusi parlimen (lebih tiga kali ganda berbanding 5 kerusi pada 2013) dan 36 kerusi negeri (dua kali ganda berbanding 18 kerusi pada pilihan raya 2013).

Sebagai pengerusi DAP Johor waktu itu, saya bekerja rapat dengan Muhyiddin. Beliau memutuskan untuk kekal bertanding di Pagoh dan tidak berpindah ke ‘kerusi yang lebih selamat’, satu anjakan keyakinan untuk penyokong Pakatan Harapan.


Pada PRU14, pilihan kerusi Muhyiddin, Mukhriz dan Tun Mahathir memberi satu isyarat kuat buat semua pengundi bahawa mereka sedang berjuang berhabis-habisan.

Setelah melihat perangkaan, saya dan pegawai Muhyuddin yakin akan kemenangan Muhyuddin di Pagoh. Kawasan parlimen Pagoh mempunyai 64 peratus pengundi Melayu dan 36 peratus pengundi kaum lain.

Saya memilih untuk bertanding di kerusi yang penuh cabaran, Ayer Hitam, untuk menekankan bahawa perjuangan ini soal “hidup atau mati.” Kami yakin Muhyiddin akan menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu dan 40 peratus pengundi Melayu. 

Akhirnya, beliau memperoleh 55.21 peratus undi, kemenangan bergaya buat Pakatan Harapan di kawasan separuh bandar.

Pada malam pilihan raya, saya bergerak dari Yong Peng di Johor ke Sheraton Hotel, Petaling Jaya, dan tiba pada tengah malam. Muhyiddin menenangkan saya atas kekalahan di Ayer Hitam. Pada malam yang penuh bersejarah, saya dapat rasakan keikhlasan yang disampaikan beliau.


LIEW CHIN TONG ialah Anggota Jawatankuasa Pusat DAP dan bekas timbalan menteri pertahanan PH.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada hari Jumaat 15 Mei, 2020. 

Untung rugi Bersatu pada PRU15 nanti

Dr Maszlee Malik
Sebahagian daripada kita dijanjikan bahawa Perikatan Nasional adalah baik untuk Bersatu demi menghadapi PRU15.
Yang pasti jika Bersatu benar-benar mahu kekal bersama UMNO dan PAS dalam PN sewaktu PRU15, Zahid Hamidi tidak akan dicabar oleh Bersatu, Najib Razak akan kekal di Pekan, Azeez akan kekal di Baling, Ku Nan akan kekal di Putrajaya.
Ini kerana Bersatu logiknya hanya akan bertanding di kerusi majoriti Melayu. Kini dengan PN, Bersatu tidak akan bertanding di kesemua Kawasan yang telah dimenangi oleh UMNO dan PAS.
Apakah relevannya lagi bahagian-bahagian Bersatu di kawasan-kawasan tersebut? Apakah nanti PRU15 mereka hanya akan menjadi jentera untuk memenangkan Zahid, Najib, Azeez, dan Ku Nan?
Berdasarkan logik ini jugalah, di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Bersatu akan menjadi paling tidak relevan.
Jika Bersatu tidak akan bertanding di kerusi-kerusi UMNO dan PAS, maka bahagian-bahagian Bersatu di ketiga-ketiga negeri tersebut boleh melupakan hasrat untuk menjadi Ahli Parlimen atau ADUN di sana.
Mereka hanya mempersiapkan diri untuk menjadi jentera kepada UMNO dan PAS tanpa berpeluang menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah.
Jika dipanjangkan perhitungan ini kepada negeri-negeri lain pula, Bersatu tidak akan memerintah mana-mana negeri selepas PRU15, kerana itulah status quo yang ada pada hari ini.
Melainkan mereka sanggup berkorban dengan menfaraidkan kawasan mereka kepada Bersatu. Tetapi adakah Annuar Musa, Zahid Hamidi, Najib Razak, Azeez Rahim, Ku Nan dan tokoh-tokoh lain dalam UMNO dan PAS sanggup menyedekahkan kerusi mereka kepada Bersatu?
Bacaan kasar ini sahaja pun sudah boleh kita bayang siapa pemenang dan pihak yang akan mendapat laba paling besar nanti, sudah tentu bukan Bersatu.
Jika ada yang masih ragu-ragu dan masih yakin Bersatu akan terus menjadi parti yang besar dan megah di dalam PN, bolehlah kita rujuk data dan fakta dari PRU lalu.
Pada PRU14 lalu, Bersatu telah bertanding di 52 kerusi.
Kita berjaya menang sebanyak 13 kerusi (termasuk di Parlimen Tg. Piai yang kemudiannya dirampas oleh BN).
Jumlah undi yang dikutip oleh Bersatu di kesemua kerusi yang kita masuk bertanding ialah 718,648.
Jumlah ini bersamaan dengan 28% dari jumlah keseluruhan iaitu 2,573,505 pengundi yang keluar di 52 parlimen tersebut.
Kesimpulannya, semasa ‘menumpang rumah dan bendera PKR’, Bersatu cuma mampu meraih maksima 28% sokongan rakyat.
Perlu diingat, 718,648 undi untuk Bersatu di 52 tempat ini datangnya tentu dari pengundi asas PKR, sebahagian dari UMNO, selebihnya dari Amanah dan DAP.
Jika kita tidak bersama PH, bererti kita akan hilang sekurang-kurangnya 80% daripada 718,648 pengundi tadi.
Jika Bersatu bersama Muafakat Nasional, Bersatu hanya akan bergantung kepada kekuatan UMNO-PAS, itupun jika benar mereka mahukan Bersatu secara ‘en bloc’, bukan hanya menyokong individu tertentu dalam Bersatu seperti Perdana Menteri sahaja.
Jadi persoalan yang lebih penting untuk kita tanyakan kepada diri kita sendiri, adakah hanya ini yang kita mahu?
Apakah kita hanya berpuas hati dengan 25 kerusi parlimen yang ada (12 asal dimenangi Bersatu dan 13 dari kalangan mereka yang melompat ke Bersatu)? Itupun kalau kita berjaya mencapai persetujuan supaya kerusi ini dikekalkan kepada Bersatu yang pada pengamatan saya, sangatlah mustahil.
Dan apakah ahli-ahli dan Ketua-ketua Bahagian Bersatu hari ini redha dengan kerusi parlimen setakat 25 itu sahaja? Dan menutup peluang kepada mereka untuk memenangi kerusi-kerusi parlimen dan ADUN yang baharu buat Bersatu?
Apa yang lebih menarik, dengan jawatan-jawatan di kementerian dan juga GLC yang telah difaraidkan kepada UMNO, UMNO akan menjadi semakin bertenaga dan mengumpulkan dana yang lebih, serta semakin bersedia untuk kembali menjadi kuasa dominan yang memerintah Malaysia selepas PRU15 nanti.
Dan kepada ahli-ahli dan pimpinan akar umbi Bersatu, soalan saya mudah sahaja, apakah ini yang kita mahukan?
Apakah untuk ini kita menubuhkan Bersatu?
Apakah untuk menjadikan UMNO kembali berkuasa merupakan tujuan kita semua menyertai parti keramat ini?
Tepuk dada tanyalah selera.


DR MASZLEE MALIK ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan bekas menteri pendidikan.

Artikel ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada Jumaat 15 Mei, 2020. 

Popular Posts