Friday 24 January 2020

Membujur Mercedes lalu...

Najmuddin Yusoff
Ramai pengkritik PAS ketika ini menggelar parti itu sebagai golongan Khawarij moden. Izinkan saya untuk berbeza pendapat.
Dalam pengajian usuluddin, golongan Khawarij ialah mereka yang berpendapat bahawa manusia mampu sepenuhnya memilih dan menentukan tindakannya sendiri, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.
Dengan kemampuan memilih itu, manusia seterusnya bertanggung jawab penuh terhadap pilihan dan tindakan mereka. Fahaman ini disebut sebagai Qadariyah.
Di hujung yang bertentangan adalah satu lagi fahaman yang disebut sebagai Jabariyah. Faham ini menganggap manusia tidak berdaya sama sekali untuk menghadapi ketentuan Tuhan dan kehendak-Nya.
Kerana itu, manusia dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab atas tingkah laku mereka, sama ada baik atau buruk. Bagi Jabaryyun itu semua yang mereka lakukan tidak akan berlaku melainkan menurut kehendak Tuhan jualah.
Dan sejarah membuktikan, kecenderungan sesiapa pun untuk mengikuti mana-mana fahaman, akan bersangkut paut dengan kepentingan peribadi masing-masing.
Menurut Nurcholish Madjid, faham Jabariyah itu - tidaklah menghairankan - mendapat sambutan yang kuat dalam kalangan penguasa yang cenderung kepada kezaliman.
Pada zaman Umayyah di Damsyik, para penguasa menggunakan fahaman itu untuk kepentingan mereka sendiri, iaitu mempertahankan kekuasaan. Apabila kezaliman yang dilakukan dipersoal, mereka berselindung dengan hujah "agama".
Tak perlu susah-susah
Hujah apa? Hujahnya, bahawa mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan atas tindak tanduk itu kerana semuanya atas kehendak Tuhan. Semua. Yang baik mahupun yang buruk, datang daripada-Nya.
Minum arak? Kehendak Tuhan. Berzina? Kehendak Tuhan. Ambil RM50,000 ringgit. Kehendak Tuhan... eh?
Tidak. Saya bukan mahu mengatakan PAS adalah golongan Jabariyah. Jauh sekali. PAS bukan Khawarij yang berhafaman Qadariyah, juga bukan lawannya, Jabariyah. 
Kedua-dua fahaman itu - Qaddariyah mahupun Jabariyah - muncul dalam kerangka intelektual Islam pada masa itu, walaupun kedua-duanya ditolak oleh fahaman Islam yang lebih arus perdana, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah.
Pemimpin PAS tidak perlu bersusah-payah seperti penguasa Umayyah yang terpaksa menggali ilmu tauhid untuk membenarkan tindak tanduk mereka.
Hari ini, tidak sempat pemimpin PAS berkata sepatah pun, ahli-ahlinya telah membenarkan tindak tanduk mereka. Pemimpin PAS sentiasa benar pada masa dulu, pada masa sekarang dan pada masa akan datang. Tidak perlu fikir susah-susah.
Saya tidak pasti jika terma neonubuwwah pernah digunakan oleh sesiapa. Tapi itulah yang saya mahu sandarkan pada fenomena PAS hari ini. Kita melihat bagaimana reaksi penyokong-penyokong PAS terhadap apa saja tindakan oleh pemimpin mereka sudah hampir kepada seolah-olah ketua mereka ini suci daripada sebarang dosa.
Tidak ada silap sedikit pun.
Cekap cedok sirah nabi
Apa saja yang pemimpin PAS buat, itulah agama. Sedangkan sifat suci daripada kesilapan itu hanyalah sifat kenabian. Barangkali tidaklah keterlaluan untuk berkata: Inilah dia, 'nabi-nabi baru' muncul dengan ramainya dalam PAS.
Nabi-nabi baru itu memandu Mercedes Benz yang dikatakan berharga hampir RM700,000 setiap sebuah. Mereka juga meluluskan pemberian khas untuk diri sendiri sebanyak RM50 ,000 seorang.
Eh, kisah meluluskan duit untuk diri sendiri ini macam pernah dengarlah pula ya? Can I advise you something?
Wahai teman! Nabi Muhammad SAW sendiri dalam banyak kisah bersedia menerima pendapat dan teguran para sabahat. Tidak perlu saya memberi sebarang contoh kerana rasanya, teman-teman dalam PAS jauh lebih cekap mencedok kisah-kisah nabi, kan?
Sesungguhnya keterbukaan Rasulullah - atau pun siapa sahaja - itu tidak akan berlaku secara sehala. Pemimpin yang bersedia dikritik tidak akan muncul dalam kalangan pengikut yang hanya mengikut.
Pemimpin yang kreatif untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, tidak akan muncul dari kalangan pengikut yang tidak mampu pun mempersoalkan tindak tanduk pemimpin mereka itu.
Alhasil, muncullah pemimpin-pemimpin seperti yang ada di dalam PAS hari ini. Yang kata-kata keramat mereka untuk mematikan segala hujah adalah: "Ana tahu, enta tak tahu" atau "Enta kena dalami lagi siyasah syar'iyyah" dan "Enta tak betul-betul faham perjuangan PAS".
Tidak. Tulisan saya ini bukan ingin mempersoalkan betul atau tidak tindakan pemimpin-pemimpin PAS. Ia tidak langsung mahu mempersoalkan peruntukan khas kepada exco itu sama ada ia sah dari segi undang-undang ataupun tidak.
Tulisan saya ini, sebenarnya dengan berani mati (akan kena 'tanam di jirat', seperti bilah-bilah kata pentaasub itu), bersikap membujur Mercedes lalu, melintang lima puluh ribu patah.
Ia sekadar mahu mengajak penyokong-penyokong PAS untuk bersikap sedikit kritikal terhadap tingkah laku pemimpin mereka. Sedikit saja, cukuplah, bukannya banyak-banyak.
Walaupun begitu, saya tahu, mungkin tulisan ini hampir pasti tidak akan memberi kesan apa-apa kepada mereka.
Lalu jah!

NAJMUDDIN YUSOFF ialah ahli politik dan penulis separuh masa. Separuh masa lagi dihabiskan dengan mengikuti berita-berita dari negeri kelahirannya, Tanah Serendah Sekebun Mercedes.

Sumber:  Malaysiakini  -  24 Januari, 2020.

Wednesday 22 January 2020

Penjelasan Isu Tabung Haji Plantations Berhad (THP)


THP anak syarikat Tabung Haji, dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Ladang-Ladang Tabung Haji Sendirian Berhad.

Dimiliki lebih 73% saham oleh Tabung Haji dan ditubuhkan sejak 1972

Kini diterajui CEO baru En Muzmi Mohamed, dan Pengerusi THP sekarang ialah Tan Sri Abu Talib Othman.

THP sebelum ini memecat Chief Financial Officer (CFO) Mohamed Azman Shah Ishak selepas satu forensik audit dijalankan ke atas syarikat.

THP merupakan syarikat berskala sederhana yang menjalankan aktiviti perladangan kelapa sawit, sebahagian kecil yang lain melibatkan getah.

THP memiliki tanah lebih 100,000 hektar, 80% darinya terletak di Sarawak, bakinya di Sabah dan Indonesia.

THP juga memiliki 6 buah kilang kelapa sawit.

Apakah yang berlaku kepada syarikat ini?

🟦 Syarikat ini sebuah syarikat yang 'tenat', jika diukur dengan 'failure indicator' sejak 2014, 'net liabilities lebih tinggi dari defisit', dan syarikat dikategori ',syarikat sakit'

,🟦 Berdasar kepada Laporan Tahunan 2018, syarikat ini mengalami kerugian demi kerugian sehingga mencecah RM658 juta.

🟦 Untuk prestasi suku pertama Tahun 2019 sahaja, syarikat mencatat kerugian sebanyak RM76.7 juta

🟦 Manakala pinjaman syarikat seperti dilaporkan, untuk Tahun Kewangan 2018 berjumlah RM1.4 bilion

🟦 Bagi suku pertama 2019, jumlah pinjaman syarikat dicatatkan sebanyak RM1.29 bilion.

🟩 Hutang syarikat melibatkan pemiutang (creditors) sehingga Tahun Kewangan 2018, berjunlah RM213 juta, manakala untuk suku pertama 2019, berjumlah RM182 juta.

🟣 Bagaimana dengan aliran tunai yang dimiliki syarikat ini?

➡️ Untuk Tahun Kewangan 2018, cash yang ada pada syarikat hanya sebanyak RM50.6 juta, manakala untuk suku pertama 2019, cash yang dimiliki berjumlah RM43.8 juta.

⛔ Berapakah jumlah bayaran (repayment) perlu dijelaskan syarikat setahun?

➡️ Syarikat perlu menjelaskan bayaran hutang kepada pihak finance dan pemiutang setahun melebihi RM100 juta.

⛔ Jadi apakah yang berlaku?

➡️ Syarikat tidak mempunyai cash yang mencukupi untuk membayar hutang kepada finance dan pemiutang dan keadaan ini berlaku sejak tahun 2015.

⛔ Apakah yang dibuat?

➡️ Bermula 2015, syarikat terpaksa diberi bantuan (subsidi) pada setiap tahun oleh induk, TH, memandangkan syarikat tiada kemampuan untuk membayar hutang.

⛔Apakah puncanya?

➡️ Syarikat mempunyai 'high borrowing' (jumlah hutang sangat tinggi) di mana syarikat dalam keadaan 'insufficient payment capability' (tiada kemampuan yang mencukupi membayar balik pinjaman) sejak 2015.

⛔ Apakah pelan yang dibuat syarikat pada tahun 2015?

➡️ THP menjual 2 syarikat miliknya di Gemas dan Terengganu pada tahun 2015, dan setahun berikutnya 2016.

⛔ Tahun 2015 dan 2016 ini, di bawah pemerintahan siapa?

➡️ Pada tahun ini di bawah pemerintah Barisan Nasional sebagai kerajaan.

⛔ Mengapakah syarikat ini menjadi syarikat sakit, dan apakah punca utama aktiviti perladangan yang dijalankan mengalami kerugian teruk sejak 2014?

➡️ Aset dibeli THP melalui assesment yang salah oleh pengurusan lama THP, apa yang disebut 'poor study' yang mana akhirnya menyebabkan 'bad investment' berlaku kepada THP sejak 2014, dan tidak mampu bayar hutang sejak 2015.

➡️ Tanah yang dibeli THP pada harga yang tinggi, ada juga tanah ' dipaksa beli' melalui cara 'inherited lands', yang mana majoriti aset ini melibatkan tanah yang tidak berdaya maju 'unperformed'.

➡️ Pengeluaran juga dikenalpasti punca masalah berlaku kepada syarikat ini, sebagai contoh tanah di Sarawak, melibatkan dengan Tamaco, tanah yang dibeli THP dinyatakan seluas 5,700 hektar.

➡️ Apabila audit forensik diadakan, didapati tanah itu sebenarnya bukan seluas 5,700 hektar, tetapi hanya sekitar 4,700 hektar, sudah 1,000 hektar hilang di situ.

➡️ Manakala produksi dari projection THP juga terjejas teruk, pada tahun 2014, THP menjangkakan projection mencapai 68,000 tan, namun apa dicapai hanya 27,000 tan, bagi tahun 2015, sepatutnya THP mencapai projection sebanyak 97,000 tan, tetapi hanya dapat 31,000 tan.

Sehingga tahun 2018, jumlah sepatutnya diperolehi THP dari projection ialah 569,000 tan, namun apa yang berlaku, hanya 181,000 tan sahaja yang berjaya dihasilkan.

Di sini sahaja, THP kerugian 69% dari hasilnya.

⛔ Kenapa syarikat buat pinjaman tinggi?

➡️ Syarikat pada awalnya optimis dapat mencapai hasil projection sehingga 569,000 tan, maka syarikat meminjam dengan jumlah pinjaman tinggi, dengan keyakinan dapat membayarnya, namun apa berlaku, 69% dari projection hilang dan rugi.

⛔ Dari tahun 2015-2018, bagaimana syarikat menjalankan operasi?

➡️ THP bergantung kepada 'ihsan' subsidi dari TH selama 3 tahun tersebut memandangkan syarikat sakit, tak mampu bayar hutang, apatah lagi membayar gaji ALP, pengurusan, kakitangan dan buruh.

⛔ Tahun 2015, tadi disebutkan semasa era pentadbiran BN, THP ada menjual asetnya?

➡️ Ya, TH menjual asetnya di Gemas, Negeri Sembilan dengan harga RM31.5 juta, manakala setahun berikutnya 2016, aset THP di Terengganu dijual dengan harga RM52 juta.

⛔ Apakah pelan rasionalisi dibuat Tabung Haji?

➡️ TH telah memulakan pelan rasionasilasi untuk memulihkan prestasi kewangan institusi tersebut melibatkan anak syarikatnya TH Plantations Berhad (THP)

➡️ THP mempunyai pegangan aset ke atas tanah berkeluasan 6,513.80 hektar di Sibu dan Bintulu, Sarawak.

➡️ THP berkepentingan dalam dua buah syarikat berkaitan, iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisan Sdn Bhd (MW)

➡️ BSV terlibat dalam operasi penjualan Buah Tandan Segar (BTS) manakala MW pula syarikat terlibat aktiviti penyewaan hartanah pelaburan.

➡️ Pelaburan THP dalam perladangan di Sibu dan Bintulu ini, pada awalnya dilihat mendatangkan keuntungan kepada syarikat dengan pelaburan awal melalui BSV sebanyak RM221 7 juta dan MW sebanyak RM42 49 juta, namun kemudiannya syarikat mula mengalami kerugian demi kerugian.

➡️ Kedua syarikat ini dikenalpasti pengurusan tertinggi TH, tidak berdaya maju dan perlu dilepaskan kepentingan bagi mengelakkan THP terus menanggung beban hutang berpanjangan.

➡️ THP mengambil keputusan tidak lagi berminat meneruskan operasi dan pegangan saham ke atas dua syarikat tersebut yang dilihat tidak memberi keuntungan jangka panjang kepada perniagaan.

➡️ Ia bertujuan untuk mengurangkan pinjaman semasa THP dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat tersebut.

➡️ Selain itu, pengurusan tertinggi THP juga melihat kemerosotan prestasi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) melibatkan perladangan di Sibu dan Bintulu, menjadi faktor THP membuat keputusan menjual aset tersebut.

➡️ Dato' Seri Najib dalam kenyataannya, mendakwa THP tidak pernah rugi dari aktiviti perniagaannya sepanjang dia menjadi PM, apa disebut Najib hanyalah andaian, tiada dikemuka fakta dan laporan prestasi menyokong dakwaanya.

➡️ Najib sebut BTS boleh hasil 52,040 se tan dari aset di Sibu dan Bintulu tersebut, namun hakikatnya ia tak berlaku seperti didakwanya.

⛔ Apakah kesan kepada THP selepas Penjualan Aset tersebut*

➡️ THP mengunjurkan keuntungan hasil dari pelan rasionalisasi ini, dapat meningkatkan nisbah penggearan daripada 1.09 kali kepada 0.94 kali.

➡️ THP juga akan mendapat perolehan keuntungan dari pelan ini sebanyak RM9.41 juta setahun, dan kedudukan semasa THP masih mempunyai 94,462.08 hektar aset dipegang melibatkan sektor perladangan kelapa sawit dan getah.

➡️ Selain itu, pelan ini juga dilihat sebagai langkah untuk menjelaskan hutang THP kepada pemiutang  berjumlah RM130 juta, sebahagian lain digunakan untuk modal kerja, bayaran kepada pemiutang dan beberapa perbelanjaan lain perlu dilunaskan THP.

➡️ Perkembangan ini positif apabila saham THP melonjak naik 5 sen kepada 9.17% menjadikan jumlah pegangan keseluruhan bernilai RM525.89 juta.

Semoga penjelasan ini dapat memberi kefahaman jelas kepada pembaca.

Thursday 9 January 2020

Adakah ‘rakaman SPRM’ kena dengan garis masa kes 1MDB?

Wong Kai Hui
SPRM semalam menyiarkan sembilan klip audio yang mendakwa terdapat “konspirasi jenayah” besar untuk mengganggu proses keadilan berhubung penyiasatan 1MDB.
Agensi itu menegaskan bahawa klip audio itu tulen dan turut memaklumkan tarikh rakaman tersebut dibuat.
Ketika artikel ini ditulis, tiada seorang pun nama yang terlibat dalam klip audio itu menafikan kesahihannya.
Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, Malaysiakini menyusun peristiwa-peristiwa penting yang dikaitkan dengan dakwaan dalam klip audio berkenaan.
Klip audio berkenaan merujuk kepada dua fasa penting dalam penyiasatan 1MDB.
Yang pertama membabitkan pelantikan Dzulkifli Ahmad dan Mohamed Apandi Ali, masing-masing sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dan peguam negara.
Fasa kedua ialah selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman untuk merampas aset berkaitan 1MDB.
Malaysiakini, dalam apa cara sekalipun, bukan mahu menyatakan bahawa ada berlakunya kesalahan jenayah seperti yang digambarkan atau disebut di dalam klip-klip audio berkenaan.


 Sumber:  Malaysiakini  -  9 Januari, 2020.

Transkrip penuh panggilan Najib lepas DOJ fail saman 2016

Zikri Kamarulzaman
Apabila peguam negara Mohamed Apandi Ali mengumumkan pada sidang akhbar Januari 2016 bahawa Najib Razak tidak melakukan sebarang salah laku dalam skandal 1MDB, kelihatan masalah besar utama kepada perdana menteri ketika itu mengenai syarikat pelaburan tersebut telah berakhir.
Tetapi enam bulan kemudian pada bulan Julai, salah satu rakan niaga 1MDB, International Petroleum Investment Company Abu Dhabi mengheret syarikat itu ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa mengenai pertikaian melibatkan sejumlah AS$6.5 bilion.
Sebulan kemudian, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat membuat pengumuman mengejutkan apabila memfailkan saman pelucutan hak sivil yang bertujuan merampas wang dan hartanah bernilai berbilion dolar yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Sementara pembabitan Najib terlindung di bawah nama kod rasmi Malaysia Official 1, namun anak tirinya, Riza Aziz terdedah terhadap tindakan DOJ yang cuba merampas dana disalurkan kepada syarikat filem Red Granite Pictures.
Satu siri rakaman telefon yang dihantar kepada SPRM oleh pihak tanpa nama pada awal bulan ini mendedahkan bahawa selepas saman DOJ, Najib telah membuat satu siri panggilan telefon, manakala isterinya, Rosmah Mansor menjadi semakin berang terhadap situasi melibatkan SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata analisis forensik menunjukkan rakaman tersebut adalah tulen dan ia menimbulkan isu serius mengenai tuduhan mereka bukti palsu melalui bantuan asing dan kerjasama sulit.
Selain Najib dan Rosmah, mereka yang suaranya kedengaran dalam rakaman itu termasuk Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Mohammed Zayed Al Nahyan, rakan rapatnya, Khaldoon Al Mubarak dan pembantu Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.
Malaysiakini telah menerbitkan transkrip terjemahan panggilan telefon tersebut yang dibuat dalam bahasa Inggeris.
8.54 malam, 22 Julai 2016 - Najib Abdul Razak menelefon Mohammed Zayed Al Nahyan
Mohammed: Perdana menteri. Apa khabar tuan?
Najib: Saya gembira dapat bercakap dengan anda, Yang Mulia. Saya baik alhamdulillah, dan saya harap anda dan keluarga anda juga baik-baik belaka.
Mohammed: Semua orang hanya baik-baik saja. Perdana menteri, bagaimana keadaan keluarga anda?
Najib: Baik, keluarga di sini baik. Sudah tentu, kami merasa diselubungi sedikit awan gelap akibat pengumuman semalam oleh Jabatan Keadilan (DOJ).
Itulah sebabnya Yang Mulia, penting bagi kita untuk menyelesaikan kebuntuan ini berkaitan 1MDB dan IPIC secepat mungkin, supaya kita meletakkan penyelesain secepat mungkin, kerana ia memalukan kepada kedua-dua negara, memalukan Malaysia, memalukan UAE juga dan personaliti yang dekat dengan anda.
Jadi, saya harap kami dapat mencari penyelesaian secepat mungkin. Sukar untuk saya bercakap dengan anda di telefon. Bolehkah kita bertemu dengan secepat mungkin agar kita dapat menyelesaikan hal ini?
Mohammed: Perdana menteri, itu akan baik-baik saja buat saya tetapi satu-satunya kemungkinan halangan saya berkaitan dengan (presiden UAE) Sheikh Khalifah (Zayed Al Nahyan), yang sedang menjalani rawatan perubatan. Beliau pergi untuk pemeriksaan selama kira-kira lima hari dan (tidak jelas) selepas esok saya masih bersamanya, tetapi adakah ia OK selepas itu?
Najib: Di mana Yang Mulia akan berada?
Mohammed: Saya akan berada di rumah, kira-kira tujuh hingga lapan hari di sini.
Najib: Tujuh hingga lapan hari? Umm, mmm, mmm, mmm.
Mohammed: Jika anda fikir ini sudah terlambat saya boleh mengatur sesuatu yang lain. Saya boleh minta Khaldoon bercakap dengan anda di mana sahaja anda berada. Dalam pemerhatian di bawah radar serta duduk dengan anda dan bercakap mengenainya. Dia orang yang saya percaya (tidak jelas didengar).
Najib: Di manakah Yang Mulia akan berada pada pada hari Ahad?
Mohammed: Pada hari Ahad, saya akan pergi bersama Sheikh Khalifah. Pada Ahad, sebenarnya ya.
Najib: Anda akan pergi pada hari Ahad?
Mohammed: Uh, saya tidak pasti.
Najib: Anda tidak pasti. Ummm.
Mohammed: Tidak pada waktu pagi.
Najib: Bukan pada waktu pagi? Adakah mungkin jika saya dapat bertemu dengan anda pada hari Ahad?
Mohammed: Saya boleh menguruskannya, saya boleh menguruskan tuan perdana menteri.
Najib: Saya akan terbang pada hari Sabtu dan kemudian bersama anda pada pagi Ahad, dan selepas kita berbincang, Yang Mulia boleh meneruskan perjalanan anda. Ini sangat penting, jika kita tidak menyelesaikan masalah ini, masalah ini akan bertambah buruk.
Mohammed: Baiklah. Bolehkah saya menghubungi anda semula dalam masa kira-kira tiga jam atau empat jam?
Najib: Uhh OK. Ummm, pasti anda boleh memanggil saya, katakan, 11.30 masa kita, iaitu kira-kira dua jam setengah, bolehkah begitu?
Mohammed: Ya, ya, pasti. Pasti, saya akan menghubungi anda sebelum itu.
Najib: Terima kasih, Yang Mulia.
22 Julai 2016 11.33PM - Mohammed Zayed Al Nahyan memanggil Najib Abdul Razak
Najib: Ya?
Lelaki: Bersedia bercakap dengan Yang Mulia?
Najib: Ya, saya sudah bersedia. Ya, saya sudah bersedia, ya.
Mohammed: Tuan perdana menteri, saya mohon maaf kerana terlambat.
Najib: (Tertawa) Anda sangat cepat, jangan bimbang Yang Mulia.
Mohammed: Perdana Menteri, saya telah berunding dengan orang-orang saya di sini dan saya tiada masalah pada hari Ahad tetapi hadangan itu (tidak dapat didengar) Ia akan menjadi tidak produktif untuk anda dan saya, jadi saya cuba mencari penyelesaian lain.
Tuan perdana menteri, Khaldoon mempunyai kuasa penuh daripada saya. Saya benar-benar ingin mencari penyelesaian untuk masalah ini.
Najib: OK.
Mohammed: Saya rasa sangat penting bahawa seseorang bertemu dengan anda. (Tidak jelas didengar) adalah baik kepada anda dan baik kepada kami juga, saya fikir kita harus pergi untuk itu. Saya tidak mahu menolaknya lagi, adalah demi kepentingan kami supaya tuan perdana menteri menyelesaikannya.
Najib: Ya, ini adalah kepentingan bersama kami, Yang Mulia. Jadi anda tidak fikir saya harus terbang ke sana? Adakah anda fikir orang akan tahu mengenainya?
Mohammed: Saya fikir akan tahu mengenainya, ya.
Najib: Saya nampak. Uhh... mmm, mmm, mmm. Tetapi kita benar-benar perlu menyelesaikannya.
Mohammed: Saya boleh biarkan beliau pergi ke sana.
Najib: Anda mahu Khaldoon datang ke sini?
Mohammed: Saya rasa Khaldoon boleh pergi ke sana tuan perdana menteri dan menteri anda boleh datang dan-
Najib: Bilakah Khaldoon boleh datang ke sini?
Mohammed: Saya akan memanggilnya sekarang. Beliau berada di California untuk lawatan, tetapi saya boleh memintanya untuk cepat-cepat bergerak dari sana.
Najib: Yang Mulia, saya juga mempunyai permintaan peribadi.
Mohammed: Ya.
Najib: Ini berkaitan Riza. Kamu tahu, anak saya.
Mohammed: Ya.
Najib: Dan filemnya. Anda lihat masalahnya agak kecil. Boleh dibuat perjanjian dengan Sheikh Mansour untuk menandatangani perjanjian pinjaman, dan dia akan membayar kembali mengikut jadualnya. Ini akan menunjukkan bahawa ia adalah pakej pembiayaan yang sah dan bukan pengubahan wang haram.
Mohammed: Saya nampak.
Najib: Pada masa ini dia berada di bawah tekanan di Amerika, dan kami bimbangkan dia. Lihatlah, mereka membuatnya menjadi kambing hitam.
Saya akan menghargai, pakej besar kelihatan positif, kita boleh mencari penyelesaian yang saya percaya, uhh. Saya akan menghargai jika perjanjian itu boleh ditandatangani dengan cepat oleh Sheikh Mansour atau sesiapa yang ditetapkan oleh Sheikh Mansour, supaya dia dapat memulakan pembayaran balik.
Dia telah membayar balik sejumlah, dia terus membayar balik, supaya anda lihat ia akan muncul sebagai perjanjian pinjaman sah. Kerana apabila dia menerimanya, bank-bank membersihkan sumber wang itu jadi dia tidak tahu dari mana asalnya.
Oleh itu, saya tidak mahu dia menjadi mangsa apabila dia benar-benar tidak menyedari tentang sumber wang itu. Dia benar-benar percaya bahawa ia daripada Aabar dan di bawah arahan Sheikh Mansour.
Ingat tak Yang Mulia juga bercakap tentang membantunya ketika dia berada di Abu Dhabi?
Mohammed: (tidak jelas didengar)
Najib: Betul. Oleh itu, saya memerlukan persetujuan itu untuk diselesaikan dengan cepat kepada Yang Mulia, itulah permintaan khas saya. Secepat yang mungkin, jika hari Isnin atau Selasa, kami memerlukan ini untuk menandatangani perjanjian. Bolehkah anda mencadangkan bagaimana kita dapat melakukannya?
Mohammed: (Tidak jelas didengar) Tuan perdana menteri (tidak jelas didengar) jika ia berada dalam bidang kuasa saya (tidak jelas didengar). Saya faham bahawa ini adalah anak anda dan saya benar-benar mahu ...
Najib: Ya, betul, kerana dia benar-benar tidak bersalah. Apa yang dia mahukan ialah membuat filem, dan terdapat tawaran pinjaman daripada Sheikh Mansour dan pihak anda daripada Aabar, dan anda juga pernah menyebutnya.
Ingat? Ketika kita makan tengah hari di restoran (bercakap) tentang membantunya jadi dia fikir semuanya baik-baik saja. Sekarang, mereka cuba mengaitkannya dengan wang 1MDB, yang benar-benar ... ia mengejutkannya.
Mohammed: Tuan perdana menteri, Insya-Allah.
Najib: Tetapi intipatinya adalah masa Yang Mulia, kita tidak boleh menunda untuk sehari lagi, kita tidak mahu Jabatan Keadilan tiba-tiba bergerak terhadapnya.
Mohammed: (tidak jelas didengar)
Najib: Terima kasih, Yang Mulia. Ke manakah kita akan pergi dari sini? Dia mempunyai semua dokumen dengannya.
Mohammed: (tidak jelas didengar) Khaldoon sekarang. Saya akan melihat bagaimana kita boleh, (tidak jelas didengar) untuk melihat bagaimana mereka boleh menguruskan apa-apa dengan serta-merta.
Najib: Dia ada nombor telefon Amhari. Sekiranya dia boleh menghubungi Amhari secara langsung, dan kemudian bolehkah kita menyelesaikannya?
Mohammed: Tuan perdana menteri, percayalah saya mahu ia selesai. Ini tidak baik dan saya tidak mahu-
Najib: Terima kasih, Yang Mulia. Ini sangat tidak bagus, ia boleh membawa kepada sesuatu yang sangat tidak diduga dan bencana kepada saya, untuk kerajaan kita, dan juga untuk anda di sebelah sana.
Oleh itu, adalah demi kepentingan bersama kami, dengan jalinan hubungan rapat, kita perlu menyelesaikannya. Ia bukan sesuatu yang tidak mustahil. Ia adalah sesuatu yang mampu diselesaikan kita.
Mohammed: Saya setuju.
Najib: Jadi, apa yang kamu mahu saya lakukan Yang Mulia, hanya uh-
Mohammed: Tuan perdana menteri, saya akan (tidak jelas didengar) Amhari.
Najib: Anda akan menelefon Amhari? Baiklah, baiklah. Saya akan memaklumkan kepada Amhari dengan segera. Terima kasih.
2.49 pagi, 23 Julai 2016 - Najib Razak menelefon Khaldoon Al Mubarak.
Najib: Encik Khaldoon?
Khaldoon: Ya?
Najib: Ini adalah Najib, Datuk Najib sekali lagi.
Khaldoon: Oh hai. Tuan perdana menteri, apa khabar anda?
Najib: (tidak jelas didengar) Adakah Riza-
Khaldoon: Saya telah bercakap dengannya, dan kami bersetuju bahawa kami akan bertemu pagi esok.
Najib: Esok pagi? Baiklah, bagus. Adakah anda mahu dia datang sendiri atau adakah anda mahu dia hadir dengan seorang peguam?
Khaldoon: Untuk ini, tidak, saya fikir lebih baik kami berjumpa sendiri. Selepas saya bertemu dengannya sahaja, kita boleh, saya akan membuat keputusan bagaimana kita boleh bergerak ke peringkat seterusnya, tetapi pertamanya saya perlu bertemunya dahulu. Sekurang-kurangnya bagi saya untuk memahami secara langsung daripadanya mengenai apa yang perlu dilakukan.
Najib: Bolehkah anda menyampaikan kepadanya? Saya cuba untuk mendapatkannya, tetapi dia sedang bertemu dengan peguamnya. Saya tidak mahu dia merosakkan perkara ini jika dia membawa peguamnya kerana peguamnya agak menyertainya, tidak-
Khaldoon: (tidak jelas didengar) Apa cadangan anda? Apa yang anda suka? Sekiranya anda mahu, saya boleh membawa peguam dengan saya juga. Dengan cara itu kita boleh mempunyai perbualan bersama peguam. Tetapi saya fikir lebih baik untuk kali pertama kita bertemu satu dengan satu dahulu.
Najib: Ya, satu dengan satu lebih baik.
Khaldoon: Saya akan-
Najib: Anda boleh menghubungi seorang peguam tetapi bukan untuk pertemuan pertama ini. Hanya anda berdua akan menjadi lebih baik.
Khaldoon: Baiklah, jangan risau.
Najib: OK, maaf kira-
Khaldoon: Baiklah. Terima kasih, tuan.
12.46 tengah malam, 27 Julai 2016 - Rosmah Mansor menelefon Najib Abdul Razak
Kebanyakan perbualan mereka dalam bahasa Inggeris dengan diselang-selikan dengan bahasa Melayu.
Klik di sini untuk mendengar perbualan penuh. Berikut ialah teks penuh perbualan antara Najib dan Rosmah:
Lelaki: Datin?
Rosmah: Ha, Datuk mana?
Lelaki: Sekejap ya.
Najib: Yeah?
Rosmah: Hai.
Najib: Hai.
Rosmah: Apa cerita? Boleh saya nasihatkan awak? Boleh saya nasihatkan awak tentang sesuatu (tinggikan suara)?
Najib: Sebentar... Ya, ada apa-apa?
Rosmah: Awak, jangan. Dengar cakap saya, mereka beritahu awak untuk jaga (slow down) Abu Kassim. Dan Abu Kassim buat kenyataan di merata-rata tempat (tak jelas), ambil gambar dengan Pak Lah apa semua.
Mereka buatnya, jadikannya seperti wira, dan awak pula jadi penjahat. Dan semua lima orang ini, bolehkah mereka lihat keutamaan mereka adalah awak, bukan orang lain?
Najib: Siapa mereka?
Rosmah: Pejabat awaklah. Shahlan dah yakin, Tengku dah yakin, Amhari dah yakin. Macam kita dah jadi penjahat.
Najib: Tidak, tidak, tidak, saya benarkan Azwan membuat kenyataan, kesannya dah bagus dah.
Rosmah: Tidak, Azwan okey. Hari ini Abu Kassim di Berita Harian dan mereka benarkan Abu Kassim ambil gambar dengan Pak Lah.
Dan ada muka dia nak bercakap tentang Pak Lah dan semua orang lain kecuali awak. Ini tidak adil.
Najib: Hmm, hmm.
Rosmah: Tolonglah, darling.
Najib: Tidak, saya sudah tandatangani surat pelantikan Dzul.
Rosmah: Dan Abu Zahar boleh buat kenyataan, oh, mesti (tak jelas) sebab mereka dah melobi, tahu? Mereka tahu mereka dah melobi.
Najib: Abu Zahar jangan buat kenyataan, biarlah.
Rosmah: Ya, tapi Abu Zahar dalam Berita Harian. Dia tahu ke dia cakap apa?
Najib: Itulah dia. Okey, okey.
Rosmah: Saya tak suka ni. Darling, awak PM, awak patut kawal, bukan orang lain.
Najib: Ya. Saya faham.
Rosmah: Dan awak ada orang-orang bodoh (goons) di sekeliling awak untuk nasihatkan awak. Sebab saya beritahu Shahlan, kalau nak tolong, kenapa tak tolong minggu lepas bila benda itu terjadi? Kamu (Shahlan) sepatutnya datang pada saya ‘Datin, bagaimana saya boleh bantu?’ (tak jelas) Lepas satu minggu, saya kata, kamu tak patut cakap (tak jelas).
Saya tak faham.
Sebab ada orang buat aduan ke atas Abu Kassim, dia dalam masalah, oh baru kamu nak datang nak bercakap. Kenapa kamu tak cakap seminggu sebelum tu?
Najib: Hmm hmm...
Rosmah: Yang kita ni dah satu minggu sakit hati, sakit badan, sakit kepala.
Najib: Hmm hmm...
Rosmah: Hmm...
Najib: Hmm...
Rosmah: Jadi saya dah beritahu Amhari, perkara ni tak susah pun. Tarik sajalah arbitration (timbang tara) (tak jelas).
Mereka perlu percayakan kita sebagaimana kita percayakan mereka.
Najib: Betul. Sebab tu Amhari beritahu saya. Saya kata, kamu pergi cakap dengan Khaldoon, cuba yakinkan dia. Tak guna buat arbitration. Saya kata, kamu buat arbitration, semua orang sakit. Nampak? Saya boleh cakap dengan putera mahkota. Putera mahkota (tak jelas) akan ulang cakap “Oh, saya kena runding dengan Khaldoon”. Balik pada kat situ.
Rosmah: Awak tak boleh salahkan dia, itu budaya dia. Jadi kita kena buat kerja sekitar budaya itu.
Mungkin Khaldoon patut datang sini dan bercakap dengan awak, dengan Amhari, untuk selesaikannya.
Itu apa saya rasa, bukan setakat bercakap di telefon, tak jadi.
Najib: Kita boleh jemput dia. Ya, sudah tentu.
Rosmah: Jemput dia dan selesaikan semuanya sekaligus. Dia kenal kita, bukan tak kenal kita.
Kau dah makan minum rumah kita semua. Tolonglah jemput dia.
Najib: Itu idea yang bagus, kita boleh jemput dia ke sini. Sudah tentu, saya akan beritahu dia.
Rosmah: Awak dan Amhari, duduk untuk selesaikannya (tak jelas).
Dan sementara tu, kita boleh selesaikan Riza. Riza punya masalah, bukan payah. Masalahnya hanyalah, ada benda dalam proses tu (along the line) yang tak lengkap. Itu saja.
Najib: Sudah tentu. Sudah tentu.
Rosmah: Saya fikir jalan terbaik adalah beritahu Khaldoon. Dia boleh bawa peguam dia datang sini. Saya rasa banyak perkara boleh diselesaikan.
Berbanding Amhari cakap dengan dia dekat LA, dia nak tunggu siang, tunggu malam. Awak tahu?
Najib: Saya boleh cadangkan kepada Amhari, jemput dia ke sini.
Rosmah: Kemudian kita beritahu putera mahkota, Khaldoon ada di sini bercakap dengan kami, untuk selesaikan semuanya sekaligus. Kita dah bazirkan satu minggu dah.
Najib: Ya, ya. Kita boleh jemput dia ke sini. Tak bazir, banyak benda dah bergerak dah.
Mereka ni, dia nak tengok ada pergerakan di belah sana, belah China. Belah China sudah bergerak, tahu?
Rosmah: Itulah sebabnya, darling, tak banyak benda boleh kita cakapkan di telefon.
Najib: Kita boleh jemput dia ke sini.
Rosmah: Jemput dia ke sini segera, kemudian kita boleh beritahu putera mahkota, beritahu dia yang Khaldoon datang sini kita selesaikan (tak jelas).
Saya tahu dan pasti Sheikh Mansour mahu selesaikan ini (tak jelas). Saya tahu putera mahkota mahu selesaikan ini
Tapi mereka bukanlah jenis orang yang duduk dan bercakap dengan awak, tahu?
Najib: Hmm.. Ok. Kita boleh buat itu.
Rosmah: Dia (tak jelas) ada duit saja
Najib: Saya akan cakap dengan Amhari selepas ini, saya akan beritahu dia untuk jemput Khaldoon.
Rosmah: Atau awak cakap dengan Khaldoon. Tak apalah, darling, kita tak payah nak (tak jelas).
Selesaikan perkara ini. Tolonglah datang sini, selesaikan semuanya sekaligus (tak jelas).
Ini siang tunggu malam, malam tunggu siang, kamu tahu? Siang ke malam, ada senggang 24 jam.
Najib: Ok, ok.
Rosmah: Please darling.
Najib: Saya akan cakap dengan Amhari.

Sumber: Malaysiakini. -  9 Januari, 2020.

Popular Posts