Hasmi Hashim
Katakan Keadilan menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri semula, selepas enam bulan, kerajaan itu sangat berkemungkinan dirampas lagi. Ketika itu, hujah sama bisa digunakan.
Konon bukan kerana Dr Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim, tetapi Anwar—dan sekali lagi Pakatan Harapan (PH)—dikatakan tidak cukup angka. Seperti sekarang, konon yang menyokong Dr Mahathir, tidak mahu menyokong Anwar. Wal-hasil balik-asal.
Helah dan kira-kira begini, orang kampong yang menyembang di warong kopi pun tahu. Bagi mereka, kalau Dr Mahathir ikhlas, beliau perlu menyokong Anwar sekarang. ‘Menyerahkan’ kuasa kepada Anwar sekarang. Bukan enam bulan lagi.
Kalau enam bulan baru hendak sokong, nampak semacam skrip lama mahu diulang. Nampak ada yang tidak kena—ketika Dr Mahathir merayu kepada Anwar dan PH selepas beliau ditekan Muhyiddin Yassin.
Mungkin sahaja, “Langkah Sheraton” tempohari tidak mencapai matlamatnya yang sebenar. Hah!
Makin hari makin nampaklah komplot di dalam Langkah Sheraton bukan benar-benar mahu mengangkat Muhyiddin sebagai PM. Muhyiddin hanya pilihan kedua. Ada pilihan lain yang menjadi pilihan pertama yang hendak diangkat sebagai PM.
Malangnya, matlamat dan pilihan berkenaan tidak kesampaian kerana Langkah Sheraton juga dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Mereka yang berkhianat, waktu itu, sangat takut kalau-kalau Anwar sempat terpilih sebagai PM. Jadi, sekemas mana pun Langkah Sheraton, nampaknya tangkap muat sahaja dahulu.
Bila matlamat masih tidak kesampaian, maka skrip sebelum Langkah Sheraton perlu digunakan kembali. Agar ‘pilihan pertama’ tadi, dapat benar-benar diangkat sebagai PM. Agar misi Langkah Sheraton, pun sempurna.
Begitulah bacaannya—orang-orang kampung yang tidak ada kepentingan apa-apa, melainkan menunggu air pasang untuk ke laut—nampak jauh lebih bijak daripada segelintir yang orang yang berkepentingan. Bagi mereka, mahu menjadi PM buat kali ketiga pada umur 95 itu sendiri sesuatu yang sudah cukup pelik.
Di sebaliknya tentu ada agenda tersendiri, yang hendak dijayakan.
Membenci Muhyiddin nampaknya hanya alasan, tetapi bagi Dr Mahathir jarang beliau disebutkan—atau hampir tidak pernah—siapakah yang sebenarnya menyusun Langkah Sheraton, yang antara matlamat utamanya mengagalkan peralihan kuasa? Kalau Muhyiddin sahaja yang seperti mendapat rezeki terpijak, muhtahil pengkhianatan sebegitu besar boleh terjadi.
Waktu menjadi PM selama 22 bulan, Dr Mahathir juga enggan membuat rombakan kabinet. Sedangkan desakannya sangat kuat. Alasan yang diberikan Dr Mahathir kerana beliau tidak mahu campur urusan dalaman parti lain, khususnya Keadilan. Hanya seorang menteri, yakni Mazlee Malik yang digugurkan—bagi meredakan tekanan untuk sebuah rombakan lebih besar.
Sedangkan setiap perlantikan menteri kabinet adalah di tangan PM. Untuk melantik, atau membuang. Mudah cakap, semuanya di tangan Dr Mahathir ketika menjadi PM tempohari. Semua tanggungjawab memastikan kaninet yang bersih, beliau abaikan.
Dr Mahathir boleh sahaja tidak menunggu Keadilan membuat keputusan kerana beliau mempunyai akses kepada maklumat. Termasuk polis, pejabat peguam negara serta SPRM. Keadilan sebagai sebuah parti politik, tidak mempunyai peluang akses kepada maklumat, berbanding seorang PM.
Apabila pilihan pertama nampaknya bermasalah, maka Muhyiddin pun didekati bagi diangkat sebagai PM. Sifatnya nampak sebagai ‘PM sementara’, atau menyamai konsep ‘PM peralihan’.
Namun dalam diri Muhyiddin pula, kira punya kira, rasa menarik juga tawaran sebagai PM. Mungkin dalam hatinya berkata, “inilah peluang terbaik bagi aku!” Persoalan akan ditikam belakang, nantilah diuruskan kemudian.
Maka, Muhyiddin pun memgambil kesempatan atau tawaran menjadi PM. Merelakan dirinya seakan-akan diperguna—meski di mata PH dan apatah lagi rakyat, dia akan dikenang sebagai sebahagian daripada kumpulan pengkhianat. Muhyiddin tidak peduli.
Masalah Muhyiddin sekarang, dia tidak mempunyai sesiapa yang boleh dipercayai. Dari luar, dia dimusuhi; dari dalam perikatan, punggungnya dicucuk-cucuk.
Sekali lagi memetik ngomong-ngomong di warong kopi hujung minggu lalu ketika saya balik ke kampung tiga-empat hari sebelum Lebaran berakhir, kata orang, “biar musuh dari luar kerana nampak jelas. Musuh dalam selimut Muhyiddin adalah musuh yang lebih bahaya.”
Di sini, nampaknya Anwar sudah mengambil langkah yang tepat serta cukup berhati-hati. Keadilan tidak mahu masuk ke dalam lubang ular yang sama—di mana usaha untuk menggulingkan Muhyiddin hanya dijadikan sebagai satu lagi bentuk permainan demi akhirnya mengangkat dalang utama yang sedang menyucuk punggung Muhyiddin sekarang.
Inilah yang dinamakan ‘membunuh’ dengan “menggunakan tangan orang lain.” Tidak memakai tangan sendiri. Supaya tangan dan muka ‘pembunuh’ kekal nampak bersih dan tidak bergelumang darah.
Strategi ini sebenarnya strategi klasik di dalam sejarah politik di mana pun dalam sejarah dunia. Tidaklah terlalu menghairankan, tetapi memang menjadi persoalan apabila masih ada ahli politik di era pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang begitu mudah terperangkap.
Jawapannya mungkin satu, yakni gopoh. Mungkin juga akibat terlalu merasa terdesak. Sudah kesedapan 22 bulan lalu jadi menteri ke sana ke mari dengan diiringi pegawai dan pengawal.
Apabila dalam keadaan terdesak dan kesedapan kuasa, maka hujah “untuk mengembalikan mandat rakyat” pun digunakan. Tujuan hujah nampaknya tidak lain ialah untuk melepaskan keterdesakan diri mereka. Bukan kerana rakyat.
Pun begitu, mandat yang dicuri memang perlu dikembalikan. Cuma di dalam masa yang sama, perlulah berhati-hati kerana di dalam kandang politik bukan sahaja wujud pencuri, tetapi wujud juga penipu. Keduanya sama bahaya.
Kita tidak mahu rakyat kecewa kali kedua. Kecewa kerana mandat dirampas, dan kecewa lagi kerana ditipu sehinggakan cita-cita untuk melakukan reformasi dan membela rakyat tetap juga terkandas. Sebagai parti yang berteraskan semangat rakyat, Keadilan nampaknya boleh berbangga dengan keputusan bijak dan cermat yang dibuat.
Sekarang terpulang kepada Dr Mahathir. Bola di kaki beliau.
Beliau mungkin mempunyai peluang terakhir untuk memperlihatkan kejujuran dan keihklasan terutama kepada Anwar—selepas Anwar pernah memberikan peluang kepada beliau di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Caranya mudah, dengan menyokong—serta meminta semua pihak yang menyokongnya—untuk menyokong Anwar dan PH secara keseluruhan bagi mengambilkan kembali mandat rakyat yang dirampas lebih tiga bulan lepas.
Sebelum itu, Dr Mahathi mungkin juga perlu menyebutkan kesemua nama-nama mereka yang terlibat dengan Langkah Sheraton—dan setiap kejahatan yang telah dilakukan. Jangan lindungi seorang pun. Jangan tertumpu hanya tertumpu Muhyiddin-Muhyiddin-Muhyiddin. Meski, memang Muhyiddin antara yang terlibat.
Cara memuji satu-dua parti—misalnya DAP yang kini mempunyai jumlah ahli parlimen paling ramai di dalam PH—bukan jalan penyelesaian. Cara mendapat sokongan dengan memuji-muji adalah cara lama. Bahkan, pujian yang berlebih-lebih, sekali lagi boleh dilihat sebagai usaha menyembunyikan sesuatu.
Bagi yang cepat mabuk dek pujian, terpulang. Pujian yang menghilangkan pertimbangan dan kewarasan nampaknya juga menjadi senjata politik yang bahaya.
Kalau benar Dr Mahathir bersama mandat rakyat—dan tidak punya agenda lain atau mahu menyempurnakan misi Langkah Sheraton yang tempohari tidak lengkap—maka dia tidak boleh tidak perlu menyokong Anwar sebagai PM. Di situ, sudah tentu satu bentuk kerjasama yang lebih ikhlas boleh terjalin untuk menyelamatkan Malaysia.
Sebelum meninggalkan warong, orang-orang yang menyembang tadi ketawa terbahak-bahak. Semua strategi yang bagi sesetengah orang sangat sulit, sebenarnya tidak sulit bagi mereka. Bezanya mereka bukanlah orang politik yang kemaruk kuasa.
Mereka hanya ingin ke laut, menangkap ikan. Bila air pasang. Membaca ribut di atas ombak, sama sahaja dengan membaca ribut di atas darat.
(Tulisan ini pertama kali terbit di The Malaysian Insight pada 23 Jun 2020)
Thursday, 25 June 2020
Subscribe to:
Posts (Atom)
Popular Posts
-
NILAI : Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) masih mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) m...
-
oleh RoketKini GEORGE TOWN, 19 MEI: Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Haji Abdul Rahman Abbas memuji pengurusan hal ehwal...
-
Rafizi Ramli - 3 Disember 2018 Sebagai pembangkang, sewajarnya tugas mengawasi keputusan dan tindak-tanduk kerajaan ini adalah tugas...
-
Oleh ARIF ATAN Azmin Ali PKR Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan negeri itu menjadi penyumbang terbesa...
-
Goldman Sachs Group Inc terus berdepan masalah undang-undang berhubung penglibatan mereka dengan syarikat pelaburan, 1MDB apabila Singapur...
-
oleh Foto Ahmad Yusufi KUALA LUMPUR, 22 MEI: Pencapaian cemerlang dasar ekonomi dan negeri berkebajikan kerajaan Pakatan Harapan...
-
oleh RoketKini KUALA LUMPUR, 12 MEI: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegask...
-
oleh Siti Nur Shazreen Jilani Melihat serangan demi serangan, polemik demi polemik yang entah kenapa ditimbulkan ke atas Hannah Ye...
-
Tong Kooi Ong / The Edge Malaysia - December 07, 2018. This article first appeared in The Edge Malaysia Weekly, on November 26, 2018 - ...
-
Tasnim Lokman - NSTP, Disember 10, 2018 KUALA LUMPUR: While December is a month when Malay couples get married and hold their weddin...