PAKATAN Harapan (PH) akan menjadi kerajaan satu penggal jika 11% daripada jumlah undi Melayu yang diterima pada pilihan raya umum lalu berpaling kepada Umno, dedah satu kajian.
Peralihan 11% undi pengundi Melayu menurut Ilham Centre, yang memberikan kuasa kepada pakatan empat parti itu untuk menggulingkan Umno dan gabungan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya.
Dan ketika kerajaan PH yang baru melepasi tempoh 100 hari bersejarah dalam pentadbirannya, Ilham Centre memberi amaran undi lebihan 11% yang diterima itu bukanlah sokongan “tulen”.
“Jumlah 11% itu mudah terjejas. Ia adalah undi protes terhadap Umno dan BN daripada orang Melayu kerana faktor Najib Razak,” kata Pemangku Pengarah Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal.
“Ia bukan sokongan benar-benar tulen kerana mereka bukan mengundi PH kerana suka atau percaya terhadap agenda PH. Ia kerana bantahan mereka terhadap Umno.”
Jumlah sokongan 11% itu boleh kembali kepada Umno dan BN sekiranya PH gagal memperbaiki ekonomi dan menangani kos sara hidup. Tidak kurang penting juga, sama ada PH boleh berjaya menguruskan isu perkauman dan agama.
Dalam satu tinjauan yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight, 11% daripada lebih 1,600 pengundi Melayu yang terlibat dalam tinjauan Ilham Centre pada Jun dan Julai berkata mereka akan menukar undi pada pilihan raya akan datang.
“11% ini adalah undi protes terhadap BN dan Umno kerana Najib,” kata Azlan merujuk kepada bekas perdana menteri dan presiden Umno yang dicemari skandal.
PRU14 menyaksikan BN memenangi hanya 79 kerusi Parlimen daripada 133 yang dipegang pada 2013.
PH memenangi 116 kerusi persekutuan dalam PRU14, menjadikannya memperoleh majorit 112 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
Kira-kira 59% berkata mereka akan mengekalkan pilihan mereka pada PRU15 sementara 24% lagi tidak pasti.
Umno masih kuasai orang Melayu
Daripada 79 kerusi dimenangi BN, 54 adalah daripada Umno, parti Melayu yang berkuasa dalam gabungan itu.
Walaupun kini menjadi pembangkang, Umno masih menjadi parti dengan kerusi Parlimen paling banyak dengan saingan terdekatnya PKR iaitu 50 kerusi.
Fakta ini mencerminkan bagaimana Umno masih mempunyai sokongan majoriti orang Melayu yang membentuk kira-kira 60% atau 7.68 juta daripada 14.9 juta pengundi di negara ini.
Ini juga didedahkan dalam kajian Ilham Centre di mana 46% daripada responden mengatakan mereka memilih BN, diikuti parti Islam konservatif PAS 35%. PH menerima undi paling sedikit Melayu iaitu 17%.
Di antara ketiga-tiga parti ini, BN adalah gabungan pilihan kaum Melayu di tujuh negeri - Perlis, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
PAS menerima undi Melayu paling banyak di Kelantan dan Terengganu, manakala PH di Selangor dan kawasan Kuala Lumpur.
Parti Islam itu mampu menyerlahkan kehadirannya di Kelantan dan menawan semula Terengganu kerana gelombang anti-BN yang melanda negara ini, kata Azlan.
Memandangkan orang Melayu di kedua negeri ini tidak yakin PH adalah pilihan terbaik, mereka memilih PAS yang sudah sekian lama berakar umbi di pantai timur.
“Sokongan untuk PH di kalangan orang Melayu hanya kuat di kawasan bandar dan di bawah usia 50-an yang mempunyai tanggungan. Sokongan untuk BN lebih tinggi di kalangan warga emas di kawasan luar bandar.”
PH perlu jadi pelindung
Walaupun terdapat usaha PH untuk mengakhiri politik perkauman dan agama, tinjauan itu mendedahkan ia masih menjadi tabiat mengundi sebahagian besar orang Melayu.
Dalam senarai keutamaan kerajaan Malaysia yang baru, kira-kira 16% responden Melayu memilih “melindungi orang Melayu dan Islam” sebagai perkara paling utama.
Agenda ini mengalahkan menghapuskan rasuah dan membersihkan kerajaan sebanyak 10%.
Isu agama adalah keempat selepas kos sara hidup (32%), memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya (20%) dan meningkatkan ekonomi (18%).
“Walaupun PH berjaya meningkatkan ekonomi dan mengurangkan tekanan hidup, ia hanya akan meningkatkan sokongannya di kalangan sebahagian orang Melayu, bukan semua,” kata Azlan sambil menambah orang Melayu mereka yang tinggal di pusat-pusat bandar.
“Bagi warga tua di kawasan luar bandar, yang mempunyai tanah sendiri dan pendapatan kecil daripada anak-anak yang telah dewasa, mereka ingin diyakini PH boleh melindungi orang Melayu dan Islam.
“Meyakinkan orang Melayu tentang kebimbangan kaum dan agama akan sangat penting bagi kerajaan PH dalam tempoh lima tahun akan datang.”
Kajian ini melibatkan 1,622 responden berusia di atas 21 tahun. Sekitar 16% adalah antara 21 dan 29 tahun, 30-39 tahun (19%), 40-49 tahun (28%), 50-59 tahun (21%), manakala hanya 14% yang berusia di atas 60 tahun.
Lelaki terdiri 51% daripada jumlah kesemua responden.
Lebih separuh responden berada di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti tinggal di bandar (66%) dan selebihnya di pinggir bandar (19%) dan kawasan luar bandar (15%).
Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan atau bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan pekerja kerajaan (16%).
Lebih separuh responden berada dalam kumpulan B40 (52%) manakala 31% berada dalam M40 dan 17%, T20.
Kajian ini dilakukan melalui soal selidik dan wawancara mendalam dari 1 Jun hingga 30 Julai lapor The Malaysian Insight
Wednesday, 15 August 2018
Tuesday, 14 August 2018
Sultan Perak: Pertukaran k'jaan perkukuh undang-undang
Pertukaran kerajaan di Malaysia baru-baru ini memberi dorongan baharu kepada usaha memperkukuhkan kedaulatan undang-undang di negara ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah hari ini.
Titah baginda, langkah-langkah sedang diambil untuk memulih dan memperbaharui institusi penting demokrasi dan tadbir urus, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parlimen, institusi kehakiman, agensi penguat kuasa dan pengawalseliaan, selain suruhanjaya pencegahan rasuah.
"Undang-udang yang dilihat mengongkong kebebasan individu sedang dikaji semula dan usaha sedang diambil untuk menghapuskan sekatan terhadap media.
"Kita menyambut baik segala-galanya itu sekiranya kesemua inisiatif penting itu mencapai matlamat dengan sepenuhnya kerana rakyat Malaysia berhak untuk mendapatnya," titah baginda dalam titah utama Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2018 (IMLC) 2018, bertema 'Raising The Bar By Preserving and Furthering the Rule of Law', di Kuala Lumpur.
Menyentuh soal kebebasan badan kehakiman, Sultan Nazrin Shah bertitah, adalah amat penting dalam sistem negara berparlimen badan pentadbiran dan perundangan sama-sama mengawasi pelaksanaan undang-undang.
"Semakan semula undang-undang perlembagaan dan pentadbiran dan amalan-amalan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam dan negara adalah penting untuk memastikan bahawa ia selari dengan semangat dan kepentingan undang-undang tersebut," titah baginda.
Sultan Perak bertitah, malah hakim-hakim yang paling adil dan bijaksana pun kadang-kadang mudah terpengaruh dengan pandangan dunia peribadi mereka.
"Justeru, institusi kehakiman perlu mewakili kepelbagaian latar belakang gender, etnik dan kebudayaan seluas mungkin dalam memastikan keadilan dapat dilaksanakan dengan saksama.
"Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja dalam soal melantik Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim kanan yang lain.
"Tanggungjawab untuk memilih hakim-hakim yang berkualiti dan berperwatakan baik adalah satu tugas berat dan perkenan Majlis Raja-Raja tidak harus dipandang ringan sebagai sekadar mematuhi peraturan semata-mata,” titah baginda.
Jalan tugas tanpa rasa takut
Titah baginda lagi, adalah penting jaminan diberi mengenai tempoh pelantikan hakim-hakim supaya mereka dapat menjalankan tugas tanpa berasa takut atau tertekan.
Mengenai isu hak asasi manusia, Sultan Nazrin Shah bertitah, sungguhpun banyak yang perlu diperbaiki berhubung pelaksanaan instrumen-instrumen dalam bidang itu, namun Malaysia telah menandatangani Konvensyen Anti Rasuah PBB 2003 (UNCAC), yang telah diratifikasi pada 2008.
"Perjanjian itu, bertujuan mencegah, menyiasat dan mendakwa kesalahan-kesalahan rasuah, selain membeku dan merampas harta yang diperoleh dan mendapatkan semula pulangan daripada harta-harta tersebut.
"Inilah satu instrumen yang semua negara sepatutnya bersetuju untuk mematuhinya secara sukarela dan memberikan kerjasama mereka secara meluas. Walaupun ia mempunyai had dan batasan, namun ia merupakan satu elemen penting untuk sebuah struktur perundangan antarabangsa, yang disokong pula oleh bantuan perundangan yang dipersetujui bersama secara dua hala," titah baginda.
Sultan Perak juga bertitah terdapat pelbagai definisi dan perdebatan mengenai konsep 'kedaulatan undang-udang' kerana konsep itu memerlukan pemisahan kuasa yang efektif antara pelbagai cabang kerajaan – pentadbiran, perundangan dan kehakiman.
"Pemisahan ini menghasilkan sistem kehakiman yang benar-benar bebas, yang bukan sahaja berpengetahuan dan bijaksana tetapi juga berpendirian tegas dan berani. Ia juga dapat memastikan bahawa setiap orang, termasuk kerajaan, boleh dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang, tidak kira betapa berkuasa dan kayanya mereka.
"Justeru, kedaulatan undang-undang adalah berkait rapat dengan perlindungan hak asasi manusia dan pemeliharaan maruah insan, kerana ia dapat mencegah penjawat awam yang mengamalkan rasuah daripada menggunakan kuasa mereka untuk menghukum atau mendiskriminasi sesuatu kumpulan atau individu tertentu," titah baginda.
Baginda bertitah setiap warga negara harus mempunyai akses kepada undang-undang dan dilindungi sepenuhnya tetapi sekiranya kedaulatan undang-udang hanya tinggal pada nama sahaja, mereka sudah tentu akan menjadi mangsa yang dizalimi atau pihak yang menzalimi.
Mengembalian kedaulatan undang-undang memberi cabaran lebih besar daripada perbuatan untuk memusnahkannya. Ia bukan satu tugas yang boleh dilaksanakan dengan langkah-langkah kecil, kompromi yang dibuat-buat dan pekerjaan separuh hati.
"Institusi dan proses-prosesnya mesti diperbaharui asasnya dan diperkukuh, untuk mengelak situasi serupa berulang," titah baginda.
- Bernama
Friday, 10 August 2018
PRU14 berulang jika Umno, PAS bersendirian
Abdul Hamid Mohamad
Tiada siapa boleh menafikan sumbangan Umno kepada orang Melayu termasuk penyokong PAS. Jika tidak, di mana kita sekarang, termasuk saya? Malah, saya cabar rakyat Malaysia bukan Melayu jika mereka berani mengatakan bahawa mereka tidak menerima apa-apa nikmat daripada pemerintahan yang diterajui Umno itu.
Malangnya, setelah lebih separuh abad berkuasa, pemimpin-pemimpin Umno lupa daratan. Mereka berebut untuk mendapat kedudukan dalam parti untuk mendapat pangkat dalam kerajaan untuk mendapat kuasa untuk kepentinan diri.
Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran berleluasa, sekurang-kurangnya, itulah persepsi awam. Dalam Umno, politik wang menjadi amalan. Ahli-ahli Umno di bawah juga mengharapkan sogokan. Sel Umno rosak dari atas ke bawah.
Orang Melayu pula telah hilang pedoman. Dalam perebutan kuasa itu, mereka bersengketa sesama sendiri dan berpecah belah. Orang Cina melihat keadaan itu, membuat perkiraan, bersatu di belakang DAP untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diterajui Umno dan menuntut lebih daripada apa yang mereka perolehi selama ini melalui MCA dan Gerakan, diikuti oleh orang India.
Yang lebih itu akan datang dari mana jika tidak daripada orang Melayu?
Sebahagian orang Melayu yang tidak puas hati dengan pemimpin-pemimpin Umno dan termakan dengan cacian Tun Dr Mahathir dan Mat Sabu yang melampau itu, tetapi tidak memikirkan mudarat yang lebih besar akibat kejatuhan kerajaan BN yang diterajui Umno di peringkat Persekutuan, beralih mengundi Pakatan Harapan dalam PRU 14.
Maka, pada 9 Mei 2018, tibalah hukuman ilahi terhadap Umno: BN yang diterajui Umno kalah dalam PRU14. Apa yang ditakuti akan berlaku telah berlaku.
Umno tidak terkubur
Tetapi, adakah dengan kekalahan dalam PRU14 itu, Umno sudah terkubur? Saya katakan tidak. Alasannya adalah, pertama, Umno memperolehi lebih banyak undi orang Melayu (40%) daripada HARAPAN (23%) dan PAS (25%).
Majoriti pengundi Melayu masih menolak HARAPAN. Jika dicampur pengundi Melayu yang mengundi Umno dan PAS, jumlahnya adalah 65 peratus. Ertinya, jika Umno dan PAS boleh bekerjasama, Umno dan PAS masih boleh mendapat 65 peratus undi Melayu.
Saya percaya, dengan mengelak pertandingan tiga penjuru di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, sebilangan kerusi yang dimenangi HARAPAN boleh dimenangi Umno atau PAS.
Kedua, kebanyakan orang Melayu yang berpindah mengundi HARAPAN dalam PRU14 bukanlah ahli-ahli Umno yang keluar dari Umno dan menjadi ahli PKR, BERSATU atau AMANAH.
Mereka mengundi HARAPAN kerana Tun Dr Mahathir dan Mat Sabu berjaya menjadikan mereka bencikan Datuk Seri Najib Razak. Mereka tidak percaya bahawa PKR, BERSATU dan AMANAH tidak mampu mengawal DAP seperti Umno mengawal MCA, Gerakan dan MIC selama 60 tahun itu.
Sekarang, selepas tiga bulan, saya percĂ ya, sebahagian daripda mereka mungkin telah menyesal.
Apabila nampak Umno akan kalah, bekas-bekas pemimpin tinggi Umno yang menjadi kaya raya dengan memperalatkan Umno, pun lari. Apabila kalah, ahli-ahli akar umbi yang merasakan pemimpin-pemimpin Umno yang kalah itu tidak mampu memberi apa-apa lagi kepada mereka, juga lari ke parti yang menang.
Biarlah mereka pergi. Ingatlah Perjanjian Hudaibiah, orang-orang murtad dibenarkan balik ke Mekah. Lebih baik mereka keluar daripada menjadi kuman dalam daging.
Falsafah perjuangan Umno
Adakah falsafah perjuangan Umno masih relevan? Saya percaya, falsafah perjuangan Umno selepas merdeka adalah untuk memastikan bahawa hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan, tidak terhakis.
Jika itulah matlamat perjuangan Umno, maka falsafah perjuangannya tetap relevan.
Satu soalan yang timbul ialah sama ada Umno patut menjadi parti pelbagai kaum.
Mengapa Umno hendak dijadikan sebuah parti pelbagai kaum? Nyata, jawapannya adalah untuk mendapat undi orang bukan Melayu
Soalnya, adakah dengan membuka pintu keahlian kepada orang bukan Melayu sedangkan falsafah perjuangan Umno tidak berubah, orang bukan Melayu akan menjadi ahli Umno, menyokong dan mengundi Umno? Saya fikir, tidak.
Pertimbangan mereka adalah apakah untung atau rugi mereka jika mereka menjadi ahli, menyokong dan mengundi sesebuah parti.
Sebuah parti yang difikirkan paling berkemungkinan memberi lebih banyak apa yang mereka kehendaki adalah parti yang menjadi pilihan mereka.Pada masa ini ia adalah DAP.
Mungkinkah orang Cina akan keluar dari DAP untuk menjadi ahli atau penyokong Umno jika Umno, dengan falsafah perjuangan yang sama, membuka pintu untuk mereka? Saya fikir tidak.
Jika demikianlah halnya, untuk menarik mereka, sanggupkah Umno mengubah falsafah perjuangannya supaya lebih memihak kepada orang Cina daripada apa yang ditawarkan oleh DAP? Saya fikir, tidak.
Atau, adakah Umno akan meniru apa yang dilakukan oleh PKR? Jika hendak mengikut PKR, lebih baik bubar Umno dan biarkan ahli-ahlinya menyertai PKR.
Tetapi, walaupun keahlian PKR terbuka kepada orang bukan Melayu, di Semenanjung Tanah Melayu, setelah dua abad, berapa peratuskah ahlinya terdiri daripada orang Cina dan India?
Oleh itu, lebih baik diketepikan cadangan itu, perkuatkan Umno semula dan cari di mana salahnya.
Politik wang dalam Umno
Berulang-ulang kali dalam ucapan-ucapan saya semenjak 2014, saya katakan bahawa Umno berada di atas landasan yang betul. Masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya yang mempunyai persepsi rasuah yang sangat tinggi.
Kedua, profesional yang berminat politik mendapati amat sukar untuk memecah masuk ke dalam hierki Umno, antaranya disebabkan oleh politik wang. Akibatnya, mereka menyertai PAS.
Biarlah saya bincangkan politik wang terlebih dahulu. Tidak boleh dinafikan bahawa politik wang telah menjadi amalan Umno. Selagi mempunyai kuasa, bolehlah mencari wang dengan penyalahgunaan kuasa atau rasuah untuk disogok kepada penyokong dan bakal penyokong.
Sekarang, kuasa sudah tidak ada. Dari mana sumber kewangan akan diperolehi? Sebab itu, adalah diharapkan dengan kekalahan Umno dalam PRU14, akan terbuka peluang untuk menghapuskan politik wang dalam Umno. Itu terserahlah kepada tuan-tuan sendiri.
Pemulihan imej dan kredibiliti
Disebabkan oleh pemimpin-peminpinnya, hari ini, imej Umno berada di paras yang paling rendah dalam sejarah. Pemimpin-pemimpinnya sudah hilang kredibiliti.
Usaha memulihkannya amatlah sukar. Selagi pemimpin-pemimpin yang sudah hilang atau kurang kredibiliti itu masih memegang jawatan dalam Umno, orang akan melihat bahawa tiada apa-apa perubahan yang berlaku kepada Umno.
Maka, pemimpin-pemimpin yang menjadi tanggungan (liabiliti) kepada parti, sama ada kerana persepsi rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang tinggi atau oleh sebab-sebab lain, hendaklah mengundur diri daripada memegang jawatan dalam Umno.
Setiap pemimpin hendaklah melakukan muhasabah diri dan menjawab dengan jujur “Adakah aku menjadi tanggungan kepada Umno dalam usaha memperbaiki imejnya?"
Jika jawapannya “Ya”, maka eloklah dia berundur. Tetapi, dalam keadan sekarang, tindakan singkir menyingkir tidak patut dikakukan. Ia akan menyebabkan ketidakstabilan dalam parti dan permusuhan sesama sendiri yang akan melemahkan parti lagi sedangkan inilah masanya untuk bersatu padu dan memperkuatkan semula parti.
Maka, pemimpin-pemimpin yang merasai dirinya juga menjadi tanggungan kepada pemulihan imej Umno tetapi enggan menarik diri atau pun merasakan bahawa perkhidmatan mereka masih diperlukan, eloklah menampakkan bahawa mereka telah bertaubat dan akan menjalani kehidupan baru yang bersih.
Pada pandangan saya, pada masa ini, Umno perlu merenggangkan diri daripada Datuk Seri Najib. Mengutip derma untuk membantu kos kepeguamannya atas nama Umno tidak akan membantu usaha pemulihan imej Umno. Tetapi, sesiapa yang merasa terhutang budi kepadanya, bolehlah menderma secara peribadi.
Selain itu saya dapati persidangan Agung Umno adalah seperti pesta, bukan seperti satu persidangan yang serius untuk membahaskan isu negara dan hala tuju kerajaan yang memerintah. Di luar dewan seperti pasar malam. Di dalam dewan terdapat penglipur lara yang menghibur peserta dengan lawak jenaka mereka.
Tepukan diberi apabila pensyarah menaikkan suaranya, tidak kira apa yang dikatakannya, lagi kuat suaranya lagi kuat pulalah tepukan yang menyambutnya.
Saya ingin melihat perwakilan berhujah dengan hujah-hujah yang mantap dan memikirkannya dengan serius.
Fokus kesilapan HARAPAN
Kempen HARAPAN dalam PRU14 hanyalah tertumpu kepada mencari keburukan kerajaan BN, terutama sekali kesalahan pemimpin-pemimpin Umno. Pengundi termakan umpan mereka.
Sekarang mereka memerintah. Dalam masa tiga bulan pun kita sudah dapat melihat konsesi (concession) yang diberikan kapada orang bukan Melayu/Islam yang diambil daripada orang Melayu/Islam.
Umno perlu exploit isu-isu itu untuk menyedarkan orang Melayu bahawa amaran bahaya kejatuhan kerajaan pusat kepada HARAPAN yang dikuasai oleh DAP sudah pun mula berlaku dan banyak lagi akan mengikutinya.
Parlimen Malaysia telah hilang decorumnya. Perbahasan telah menjadi pertengkaran. Siaran langsung seolah-olah menggalakkan mereka berbuat demikian, kerana mereka akan dilihat sebagai hero oleh penonton.
Saya syorkan ahli-ahli Umno tidak mengikut gelagat mereka. Tunjukkan bahawa bangsa Melayu adalah satu bangsa yang beradab sopan, berbudi bahasa, malah dalam berhujah pun, Islam mengajar adabnya.
(Perhatikan Bahasa Inggeris tidak ada perkatan yang sama dengan perkataan berhujah. Ia cuma ada perkataan “argue” yang juga bermakna bertengkar. Saya tidak tahu bahasa Mandarin dan Tamil.) Kita boleh tegas dan serius dengan cara yang terhormat.
PRU14 berulang
Dalam keadaan sekarang, Umno bersendirian adalah terlalu kecil untuk memberi impak yang secukupnya. Demikian juga PAS. Harapan untuk orang Melayu/Islam bersatu dalam satu parti tidak mungkin berlaku walaupun PAS adalah parti serpihan Umno.
Apatah lagi, selepas PRU14, PAS telah mula angkuh. Dalam Umno pun terdapat pemimpin-pemimpin yang terang-terang tidak mahu ada kesepakatan dengan PAS.
Itu belum mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen dan ADUN di kedua belah pihak. Mereka mempunyai kepentingan diri. Mereka takut kehilangan kedudukan masing-masing.
Tetapi selagi PAS dan Umno kekal bersendirian dan bertanding antara satu sama lain dalam pertandingan tiga penjuru atau lebih, di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, PRU14 akan berulang. Itu PAS dan Umno perlu sedar.
Maka, demi agama bangsa dan negara, pemimpin-pemimpin Umno dan PAS perlu mengetepikan kepentingan diri. Paling kurang, Umno dan PAS perlu berkerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru atau lebih.
Mula-mula, PRK Sungai Kandis nampak seperti satu permulaan yang baik. Tetapi, jika peratusan pengundi yang rendah yang keluar mengundi itu disebabkan oleh penyokong-penyokong PAS tidak keluar mengundi, kesimpulan yang saya boleh buat ialah “Malays never learn.”
Jika beginilah keadaannya, saya khuatir, akan berpanjanganlah penguasaan DAP. Pada masa yang sama NGO-NGO seperti PERKASA hendaklah memberi sokongan padu untuk merealisasikan kerjasama ini. Jika itu dapat dilakukan dalam PRU15 pun cukuplah.
Rakan parti bukan Melayu
Semasa Umno kuat, parti-parti bukan Melayu, melutut untuk bersama-sama dengan Umno. Apabila BN yang diterajui Umno kalah, semua lari. Saya percaya jika gagasan Umno-PAS dapat diperkuatkan dan PAS keluar daripada kotak pemikiran Kelantan, ada parti bukan Melayu yang akan mendekatinya semula.
Itu jugalah yang berlaku kepada HARAPAN. Selepas menang, parti yang menjadi anggota BN pun ada yang lari untuk menyertainya. Hal yang sama boleh berlaku sebaliknya apabila pakatan Umno kuat semula.
Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku di masa hadapan. Manusia hanya boleh mencongaknya, mungkin betul, mungkin tidak. Tetapi, pemimpin-pemimpin Umno sendiri tahu kesilapan mereka.
Betulkan kesilapan itu, perhati keadaan semasa pada sesuatu masa, sesuaikan strategi dengannya tanpa menjual matlamat dan maruah. Saya fikir, itulah pendekatan yang patut dilakukan.
TUN ABDUL HAMID MOHAMAD ialah bekas ketua hakim negara.
Jangan takut singkir Najib - Rahim Tamby Chik
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, keberanian pemimpin UMNO menyatakan pendirian dan menegakkan kebenaran dapat menebus rasa benci rakyat kepada parti akibat kleptokrasi dan rasuah.
"Malah ada juga yang berpendapat jika UMNO benar-benar berazam untuk berubah dan memperbetulkan imejnya yang rosak musnah di kaca mata ahli-ahli dan rakyat jelata, kepemimpinan mesti berani membuat keputusan untuk menyingkirkan keahlian bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda komitmen perjuangan parti.
"Rakyat akan menghargai bahawa dalam perjuangan untuk negara, kebijaksanaan dan tanggungjawab agung UMNO adalah memilih kepentingan rakyat sebagai keutamaan nasional yang jauh lebih besar dari hanya terkial-kial mempertahankan kepentingan mana-mana individu tertentu," katanya dalam perkongsian di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Sumber: UTUSAN ONLINE - 10 Ogos, 2018.
Pengundi muda tolak isu agama, kaum - Sultan Nazrin
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, trend pengundian dalam kalangan generasi muda memperlihatkan kaedah mendapatkan sokongan dengan mensensasikan isu agama dan kaum semakin kurang berkesan sebagai faktor daya penarik.
Titah baginda, pengundi lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik dan defisit keyakinan berlaku kerana faktor-faktor rasuah dan salah guna kuasa.
Titah baginda, pengundi lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik dan defisit keyakinan berlaku kerana faktor-faktor rasuah dan salah guna kuasa.
Baginda bertitah, pengundi mahukan tadbir urus yang berpaksikan undang-undang dan tidak kepada karisma seseorang individu.
“Sentimen pengundi wajib dibaca secara tepat oleh kerajaan yang telah diberikan mandat memerintah.
“Sentimen pengundi juga wajib dijadikan panduan kepada parti-parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya.
“Sentimen pengundi yang lebih menumpukan kepada tadbir urus yang baik lagi telus dan semakin kurangnya daya pengaruh isu-isu sensasi berteraskan agama dan kaum membuka ruang luas untuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas penyebut atau denominator yang sama,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah ketika melancarkan buku Reflections on Malaysian Unity and Other Challengers tulisan Pengerusi Yayasan 1Malaysia (Y1M), Dr. Chandra Muzaffar di sini, hari ini.
Baginda bertitah, setiap negara menghadapi isu perpaduan dan pelbagai cabaran yang tidak ada kesudahannya.
Malah titah baginda, negara yang komposisi warganya terdiri daripada rakyat yang seragam atau homogenous tidak sunyi daripada perselisihan serta tidak bebas daripada menghadapi cabaran.
“Apatah lagi bagi Malaysia, sebuah negara yang memiliki segala elemen mencabar untuk mewujudkan perpaduan,” titah baginda.
Titah baginda, bahasa Melayu merupakan ramuan penting yang selama ini berjaya membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan memecahkan sempadan perbezaan dan kepelbagaian yang dihadapi sejak mencapai kemerdekaan.
Sumber: Utusan online - 9 Ogos, 2018.
Wednesday, 8 August 2018
Antara ketenangan dan kemewahan
KLANG 7 Ogos – The Equanimity, nama khas kapal mewah milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low bermaksud ‘ketenangan’ dan ternyata nama itu amat cocok dengan penampilan, gaya serta kemewahannya.
Melihat kepada bentuk reka cipta kapal itu sahaja sudah menerbitkan rasa teruja kepada sesiapa yang melihatnya dan itulah dirasai kumpulan wartawan yang membuat liputan kehadiran The Equanimity di Terminal Boustead Cruise Center.
Melihat kepada bentuk reka cipta kapal itu sahaja sudah menerbitkan rasa teruja kepada sesiapa yang melihatnya dan itulah dirasai kumpulan wartawan yang membuat liputan kehadiran The Equanimity di Terminal Boustead Cruise Center.
Ibarat bandar kecil terapung, kapal berharga RM1 bilion itu memiliki semua jenis kemudahan bertaraf kelas pertama selain lengkap dengan segala fasiliti terbaik yang berupaya menerbitkan ketenangan sebagaimana maksud namanya.
Bagaimanapun, di sebalik semua penampilan hebat tersebut, The Equanimity menelan kos operasi sehingga RM3 juta sebulan untuk memastikan ia kekal berupaya memberikan ketenangan kepada pemilik serta para tetamunya.
Sehubungan itu, serentak dengan rampasan kapal tersebut oleh pihak berkuasa Malaysia dan sehingga ia dijual kepada pemilik baharu, kos penyelanggaran RM3 juta sebulan perlu ditangung pihak kerajaan.
Sementara itu, peguam Jeremy M. Joseph yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Kerajaan Malaysia berkata, beliau dan kumpulannya perlu memakai stokin khas ketika memeriksa kapal itu bagi mengelakkan kerosakan.
“Hiasan dalaman kapal itu kelihatan menarik berikutan terdiri kombinasi jubin dan kayu berkualiti tinggi di setiap tingkat bahagian bilik mandi dan dapur,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di atas kapal tersebut hari ini.
Sumber: Utusan online - 8 Ogos, 2018.
Sumber: Utusan online - 8 Ogos, 2018.
‘Najib kini sejarah, Umno perlu rehatkannya dari kempen PRK’
Johari Abdul Ghani
Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis sangat penting kerana merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Umno berkolaborasi dengan PAS.
PRK ini menyaksikan isu-isu yang kita bangkitkan mengenai kegagalan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memenuhi janji-janji mereka, antaranya seperti memansuhkan tol, menetapkan harga minyak RM1.50 seliter dan penangguhan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain janji lagi.
Cuma, apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah sejauh mana isu-isu yang kita bangkitkan ini menjadi daya tarikan kepada pengundi di Sungai Kandis terutama pengundi-pengundi Melayu yang majoritinya mewakili lebih 70 peratus di situ.
Keputusan PRK ini yang menyaksikan majoriti 5,764 undi diperoleh calon PKR boleh diinterpretasikan dalam pelbagai sudut. Adakah masyarakat Melayu sudah tidak ambil peduli sama ada sesuatu kerajaan itu menepati janji-janji pilihanraya atau tidak?
Ataupun pengundi-pengundi lebih berminat untuk melihat kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan bebas dari isu-isu yang melibatkan korupsi dan salah guna kuasa?
Mungkin juga berita-berita rampasan wang tunai dan barang barang kemas di kediaman bekas Perdana Menteri menguatkan lagi persepsi korupsi dan salah guna kuasa yang telah ditanam di dalam minda dan jiwa rakyat selama ini?
Meskipun ada penjelasan diberi, persepsi korupsi dan salah guna kuasa ini mungkin masih tebal dan penjelasan yang di beri masih tidak cukup untuk meyakinkan pengundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada Umno.
Pecah amanah
Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.
Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno dalam mengketengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?
Perlukah Umno merehatkan Najib dari menyertai kempen-kempen pilihanraya akan datang? Kita perlu ingat bahawa Umno bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon.
Barangkali akan ada yang mengatakan mengapa Najib perlu direhatkan sedangkan Menteri Kewangan Pakatan Harapan DAP, Lim Guan Eng yang sedang didakwa di mahkamah pun tidak ambil peduli perkara ini.
Pendirian saya kita tidak perlu mencontohi DAP. Umno mempunyai benchmark yang tersendiri dan kita perlu menjadikan ini sebagai suatu titik mula untuk mencipta suatu benchmark baharu yang mana Umno mengutamakan integriti dan kredibiliti pemimpinnya sebagai agenda yang penting dalam perjuangan.
Kita perlu letakkan benchmark ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa Umno adalah sebuah parti yang mempunyai benchmark yang tinggi mengatasi DAP.
Umno perlu mengatasi masaalah persepsi integriti dan kredibiliti ini jika mahu terus relevan. Kita perlu lupakan era terdahulu sebelum PRU14.
Umno kini sudah pun ada presiden dan kepimpinan baru. Era presiden terdahulu sudahpun berlalu menjadi sejarah. Jika Umno tidak berubah dan masih berterusan mempertahankannya legasi dan isu-isu yang membawa kepada penolakannya di PRU14, maka tidak mustahil jika Umno juga akan menjadi sejarah.
Contohnya, ramai kalangan kita tidak faham isu 1MDB dan SRC dan sebahagian dari kita tidak faham isu ini secara total. Oleh itu, apabila kita berbahas isu-isu ini di dalam Parlimen, ia dibuat tanpa mengetahui maklumat yang lengkap dan tepat.
Ia hanya akan menyebabkan pemimpin-pemimpin kita hilang kredibiliti.
PAS sememangnya suka Umno lemah
Dari segi gabungan Umno-PAS pula, PRK Sungai Kandis ini menggambarkan bahawa pakatan Umno-PAS tidak langsung memberi sebarang kesan terhadap kebolehan meraih undi melebihi apa yang Umno peroleh pada PRU-14.
Sewaktu Umno, PKR dan PAS bertanding mengikut haluan masing-masing pada PRU14, Umno mampu mendapat 11,518 undi, tetapi hari ini selepas pakatan Umno-PAS berlaku di PRK Sungai Kandis, kita cuma dapat 9,583 undi.
Walau apa sahaja yang kita spin untuk ‘menyedapkan’ hati kita, pokok pangkalnya kita telah kalah. Kita kalah dengan jumlah undi yang jauh lebih rendah selepas kita berpakat dengan PAS.
Apakah pakatan Umno-PAS ini adalah terlalu awal atau pakatan ini merupakan pakatan yang agak sukar untuk diterima sebahagian besar ahli-ahli PAS?
Kempen PAS kepada ahli-ahlinya adalah PAS mesti memilih parti yang lebih kecil kemudaratannya daripada parti yang memudaratkan lebih besar. Kalau inilah landasan prinsip PAS untuk berpakat dengan Umno, adakah pakatan ini praktikal?
Adakah kita bersedia untuk menolak pemimpin-pemimpin Umno yang dari segi persepsinya telah kelihatan tidak amanah, korup dan hanya mementingkan sesuatu kaum sahaja dalam perjuangan?
Ada maklumat yang disampaikan kepada saya bahawa PAS sememangnya suka Umno lemah. Dalam erti kata lain, di mana sahaja Umno lemah, PAS akan mendapat keuntungan.
Bila Umno lemah di Kelantan, PAS terus berkuasa selama 6 penggal; bila Umno lemah di Terengganu, PAS berjaya menguasai kerajaan negeri dan bila Umno lemah di Kedah, PAS mendapat lebih banyak kerusi pada PRU-14.
Mengguris bukan Melayu
Di kawasan-kawasan bandar pula, apabila Umno lemah, parti-parti PKR dan DAP mendapat keuntungan. Jadi, Umno dan BN tidak boleh lemah.
Umno pernah bersama-sama PAS mempertahankan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, membela nasib etnik Rohingya, pernah bersama PAS dalam isu-isu persoalan agama tetapi ini sahaja belum dapat meyakinkan orang PAS di Sungai Kandis untuk melihat ia sebagai faktor utama untuk mereka memberi undi kepada Umno/BN.
PAS tidak pernah menunjukkan bahawa mereka sanggup duduk di atas pentas yang sama dengan Umno untuk berkempen seperti mana dilakukan oleh HARAPAN - parti DAP, BERSATU, PKR dan AMANAH yang bersama-sama di atas pentas semasa berkempen.
Ini secara tidak langsung memperlihatkan belum ada lagi persefahaman atau penerimaan kedua-dua parti dari segi mempraktikkan Pakatan Umno-PAS ini secara jujur dan ikhlas.
Sehubungan itu, saya berpandangan Umno sepatutnya mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah parti nasional dengan tidak sepatutnya bergantung atau terikut dengan rentak parti yang lebih kecil dari Umno.
Sebagai sebuah parti nasional kita mestilah mengambil kira bukan sahaja kepentingan orang-orang Melayu sahaja tetapi juga kepentingan kaum-kaum lain dinegara ini.
Kalau diperhatikan, ada di kalangan pemimpin Umno kita berucap sehingga mengguris hati perasaan orang-orang bukan Melayu.
Mereka ini barangkali boleh berbangga dengan menang di kawasan masing-masing tetapi apa gunanya kita menang dikawasan kita sahaja sedangkan ucapan-ucapan sensitif ini yang menyentuh perasaan orang bukan Melayu menyebabkan ramai rakan-rakan seperjuangan Umno/BN “terkorban” di kawasan bandar dalam pilihan raya yang lalu.
Ada juga di kalangan Umno yang menggunakan isu keagamaan bagi meraih sokongan. Apakah benar orang Melayu yang menyokong PKR, orang Melayu yang menyokong BERSATU atau orang Melayu yang menyokong AMANAH akan membiarkan sahaja Islam diperkotak-katikkan atau Umno hanya takut pada bayang bayang sendiri?
Perkara-perkara inilah yang perlu dilihat semula oleh pemimpin-pemimpin Umno dan fokus semula kepada asas penubuhan Umno itu iaitu disamping menjaga kepentingan Melayu yang sememangnya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tidak mengecilkan kepentingan dan hak kaum-kaum lain.
Inilah hakikat yang perlu di terima oleh Umno dan ini juga lah resipi yang digunapakai oleh pejuang-pejuang Umno terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini dan ia merupakan resipi yang terbukti berjaya selama 61 tahun.
Rahsia kejayaan BN
Kejayaan BN selama 61 tahun ini adalah kerana orang Cina, India dan kaum-kaum lain merasakan bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan kepentingan mereka kepada BN.
Sebab itu PAS selama berpuluh-puluh tahun tidak dapat membentuk kerajaan persekutuan kerana mereka tidak dapat meyakinkan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain untuk bersetuju dengan ideologi PAS yang tidak bersifat nasional.
Kalau kita menurunkan taraf kita sebagai parti nasional kepada tahap PAS, maka kita telah mengecilkan perjuangan Umno ini.
Kalau boleh saya ungkapkan kata-kata seorang ketua bahagian Umno iaitu “Syarat kalah bukan semestinya lemah dan syarat menang, bukan semestinya kuat”. Walau apapun, yang pasti untuk menang, kita mestilah kelihatan sebagai parti yang sentiasa menjadi harapan kepada setiap pengundi, tidak kiralah sama ada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Kalau ada di kalangan parti-parti komponen dalam BN yang lemah, maka Umno perlu mencari strategi baru untuk menguatkan mereka kembali.
Saya memohon maaf sekiranya ada rakan-rakan seperjuangan, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Majlis Tertinggi atau para pejuang Umno yang merasakan bahawa pandangan saya ini mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak.
Saya hanya mahu Umno bangkit semula menjadi sebuah parti nasional yang kuat, inklusif, penuh kredibiliti dan berwibawa. Saya yakin, apabila parti kita kuat, orang akan mencari kita. Proses memperbaiki parti perlu diteruskan, yang lainnya kita berserah kepada Allah.
DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI adalah ketua Umno bahagian Titiwangsa merangkap pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.
Sumber: Malaysiakini - 8 Ogos, 2018.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Popular Posts
-
NILAI : Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) masih mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) m...
-
oleh RoketKini GEORGE TOWN, 19 MEI: Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Haji Abdul Rahman Abbas memuji pengurusan hal ehwal...
-
Rafizi Ramli - 3 Disember 2018 Sebagai pembangkang, sewajarnya tugas mengawasi keputusan dan tindak-tanduk kerajaan ini adalah tugas...
-
Oleh ARIF ATAN Azmin Ali PKR Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan negeri itu menjadi penyumbang terbesa...
-
Goldman Sachs Group Inc terus berdepan masalah undang-undang berhubung penglibatan mereka dengan syarikat pelaburan, 1MDB apabila Singapur...
-
oleh Foto Ahmad Yusufi KUALA LUMPUR, 22 MEI: Pencapaian cemerlang dasar ekonomi dan negeri berkebajikan kerajaan Pakatan Harapan...
-
oleh RoketKini KUALA LUMPUR, 12 MEI: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegask...
-
oleh Siti Nur Shazreen Jilani Melihat serangan demi serangan, polemik demi polemik yang entah kenapa ditimbulkan ke atas Hannah Ye...
-
Tong Kooi Ong / The Edge Malaysia - December 07, 2018. This article first appeared in The Edge Malaysia Weekly, on November 26, 2018 - ...
-
Tasnim Lokman - NSTP, Disember 10, 2018 KUALA LUMPUR: While December is a month when Malay couples get married and hold their weddin...