Tuesday, 14 August 2018

Sultan Perak: Pertukaran k'jaan perkukuh undang-undang

Pertukaran kerajaan di Malaysia baru-baru ini memberi dorongan baharu kepada usaha memperkukuhkan kedaulatan undang-undang di negara ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah hari ini.
Titah baginda, langkah-langkah sedang diambil untuk memulih dan memperbaharui institusi penting demokrasi dan tadbir urus, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parlimen, institusi kehakiman, agensi penguat kuasa dan pengawalseliaan, selain suruhanjaya pencegahan rasuah.
"Undang-udang yang dilihat mengongkong kebebasan individu sedang dikaji semula dan usaha sedang diambil untuk menghapuskan sekatan terhadap media.
"Kita menyambut baik segala-galanya itu sekiranya kesemua inisiatif penting itu mencapai matlamat dengan sepenuhnya kerana rakyat Malaysia berhak untuk mendapatnya," titah baginda dalam titah utama Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2018 (IMLC) 2018, bertema 'Raising The Bar By Preserving and Furthering the Rule of Law', di Kuala Lumpur.
Menyentuh soal kebebasan badan kehakiman, Sultan Nazrin Shah bertitah, adalah amat penting dalam sistem negara berparlimen badan pentadbiran dan perundangan sama-sama mengawasi pelaksanaan undang-undang.
"Semakan semula undang-undang perlembagaan dan pentadbiran dan amalan-amalan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam dan negara adalah penting untuk memastikan bahawa ia selari dengan semangat dan kepentingan undang-undang tersebut," titah baginda.
Sultan Perak bertitah, malah hakim-hakim yang paling adil dan bijaksana pun kadang-kadang mudah terpengaruh dengan pandangan dunia peribadi mereka.
"Justeru, institusi kehakiman perlu mewakili kepelbagaian latar belakang gender, etnik dan kebudayaan seluas mungkin dalam memastikan keadilan dapat dilaksanakan dengan saksama.
"Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja dalam soal melantik Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim kanan yang lain.
"Tanggungjawab untuk memilih hakim-hakim yang berkualiti dan berperwatakan baik adalah satu tugas berat dan perkenan Majlis Raja-Raja tidak harus dipandang ringan sebagai sekadar mematuhi peraturan semata-mata,” titah baginda.
Jalan tugas tanpa rasa takut
Titah baginda lagi, adalah penting jaminan diberi mengenai tempoh pelantikan hakim-hakim supaya mereka dapat menjalankan tugas tanpa berasa takut atau tertekan.
Mengenai isu hak asasi manusia, Sultan Nazrin Shah bertitah, sungguhpun banyak yang perlu diperbaiki berhubung pelaksanaan instrumen-instrumen dalam bidang itu, namun Malaysia telah menandatangani Konvensyen Anti Rasuah PBB 2003 (UNCAC), yang telah diratifikasi pada 2008.
"Perjanjian itu, bertujuan mencegah, menyiasat dan mendakwa kesalahan-kesalahan rasuah, selain membeku dan merampas harta yang diperoleh dan mendapatkan semula pulangan daripada harta-harta tersebut.
"Inilah satu instrumen yang semua negara sepatutnya bersetuju untuk mematuhinya secara sukarela dan memberikan kerjasama mereka secara meluas. Walaupun ia mempunyai had dan batasan, namun ia merupakan satu elemen penting untuk sebuah struktur perundangan antarabangsa, yang disokong pula oleh bantuan perundangan yang dipersetujui bersama secara dua hala," titah baginda.
Sultan Perak juga bertitah terdapat pelbagai definisi dan perdebatan mengenai konsep 'kedaulatan undang-udang' kerana konsep itu memerlukan pemisahan kuasa yang efektif antara pelbagai cabang kerajaan – pentadbiran, perundangan dan kehakiman.
"Pemisahan ini menghasilkan sistem kehakiman yang benar-benar bebas, yang bukan sahaja berpengetahuan dan bijaksana tetapi juga berpendirian tegas dan berani. Ia juga dapat memastikan bahawa setiap orang, termasuk kerajaan, boleh dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang, tidak kira betapa berkuasa dan kayanya mereka.
"Justeru, kedaulatan undang-undang adalah berkait rapat dengan perlindungan hak asasi manusia dan pemeliharaan maruah insan, kerana ia dapat mencegah penjawat awam yang mengamalkan rasuah daripada menggunakan kuasa mereka untuk menghukum atau mendiskriminasi sesuatu kumpulan atau individu tertentu," titah baginda.
Baginda bertitah setiap warga negara harus mempunyai akses kepada undang-undang dan dilindungi sepenuhnya tetapi sekiranya kedaulatan undang-udang hanya tinggal pada nama sahaja, mereka sudah tentu akan menjadi mangsa yang dizalimi atau pihak yang menzalimi.
Mengembalian kedaulatan undang-undang memberi cabaran lebih besar daripada perbuatan untuk memusnahkannya. Ia bukan satu tugas yang boleh dilaksanakan dengan langkah-langkah kecil, kompromi yang dibuat-buat dan pekerjaan separuh hati.
"Institusi dan proses-prosesnya mesti diperbaharui asasnya dan diperkukuh, untuk mengelak situasi serupa berulang," titah baginda.
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Popular Posts