Zikri Kamarulzaman
Apabila peguam negara Mohamed Apandi Ali mengumumkan pada sidang akhbar Januari 2016 bahawa Najib Razak tidak melakukan sebarang salah laku dalam skandal 1MDB, kelihatan masalah besar utama kepada perdana menteri ketika itu mengenai syarikat pelaburan tersebut telah berakhir.
Tetapi enam bulan kemudian pada bulan Julai, salah satu rakan niaga 1MDB, International Petroleum Investment Company Abu Dhabi mengheret syarikat itu ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa mengenai pertikaian melibatkan sejumlah AS$6.5 bilion.
Sebulan kemudian, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat membuat pengumuman mengejutkan apabila memfailkan saman pelucutan hak sivil yang bertujuan merampas wang dan hartanah bernilai berbilion dolar yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Sementara pembabitan Najib terlindung di bawah nama kod rasmi Malaysia Official 1, namun anak tirinya, Riza Aziz terdedah terhadap tindakan DOJ yang cuba merampas dana disalurkan kepada syarikat filem Red Granite Pictures.
Satu siri rakaman telefon yang dihantar kepada SPRM oleh pihak tanpa nama pada awal bulan ini mendedahkan bahawa selepas saman DOJ, Najib telah membuat satu siri panggilan telefon, manakala isterinya, Rosmah Mansor menjadi semakin berang terhadap situasi melibatkan SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata analisis forensik menunjukkan rakaman tersebut adalah tulen dan ia menimbulkan isu serius mengenai tuduhan mereka bukti palsu melalui bantuan asing dan kerjasama sulit.
Selain Najib dan Rosmah, mereka yang suaranya kedengaran dalam rakaman itu termasuk Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Mohammed Zayed Al Nahyan, rakan rapatnya, Khaldoon Al Mubarak dan pembantu Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.
Malaysiakini telah menerbitkan transkrip terjemahan panggilan telefon tersebut yang dibuat dalam bahasa Inggeris.
8.54 malam, 22 Julai 2016 - Najib Abdul Razak menelefon Mohammed Zayed Al Nahyan
Mohammed: Perdana menteri. Apa khabar tuan?
Najib: Saya gembira dapat bercakap dengan anda, Yang Mulia. Saya baik alhamdulillah, dan saya harap anda dan keluarga anda juga baik-baik belaka.
Mohammed: Semua orang hanya baik-baik saja. Perdana menteri, bagaimana keadaan keluarga anda?
Najib: Baik, keluarga di sini baik. Sudah tentu, kami merasa diselubungi sedikit awan gelap akibat pengumuman semalam oleh Jabatan Keadilan (DOJ).
Itulah sebabnya Yang Mulia, penting bagi kita untuk menyelesaikan kebuntuan ini berkaitan 1MDB dan IPIC secepat mungkin, supaya kita meletakkan penyelesain secepat mungkin, kerana ia memalukan kepada kedua-dua negara, memalukan Malaysia, memalukan UAE juga dan personaliti yang dekat dengan anda.
Jadi, saya harap kami dapat mencari penyelesaian secepat mungkin. Sukar untuk saya bercakap dengan anda di telefon. Bolehkah kita bertemu dengan secepat mungkin agar kita dapat menyelesaikan hal ini?
Mohammed: Perdana menteri, itu akan baik-baik saja buat saya tetapi satu-satunya kemungkinan halangan saya berkaitan dengan (presiden UAE) Sheikh Khalifah (Zayed Al Nahyan), yang sedang menjalani rawatan perubatan. Beliau pergi untuk pemeriksaan selama kira-kira lima hari dan (tidak jelas) selepas esok saya masih bersamanya, tetapi adakah ia OK selepas itu?
Najib: Di mana Yang Mulia akan berada?
Mohammed: Saya akan berada di rumah, kira-kira tujuh hingga lapan hari di sini.
Najib: Tujuh hingga lapan hari? Umm, mmm, mmm, mmm.
Mohammed: Jika anda fikir ini sudah terlambat saya boleh mengatur sesuatu yang lain. Saya boleh minta Khaldoon bercakap dengan anda di mana sahaja anda berada. Dalam pemerhatian di bawah radar serta duduk dengan anda dan bercakap mengenainya. Dia orang yang saya percaya (tidak jelas didengar).
Najib: Di manakah Yang Mulia akan berada pada pada hari Ahad?
Mohammed: Pada hari Ahad, saya akan pergi bersama Sheikh Khalifah. Pada Ahad, sebenarnya ya.
Najib: Anda akan pergi pada hari Ahad?
Mohammed: Uh, saya tidak pasti.
Najib: Anda tidak pasti. Ummm.
Mohammed: Tidak pada waktu pagi.
Najib: Bukan pada waktu pagi? Adakah mungkin jika saya dapat bertemu dengan anda pada hari Ahad?
Mohammed: Saya boleh menguruskannya, saya boleh menguruskan tuan perdana menteri.
Najib: Saya akan terbang pada hari Sabtu dan kemudian bersama anda pada pagi Ahad, dan selepas kita berbincang, Yang Mulia boleh meneruskan perjalanan anda. Ini sangat penting, jika kita tidak menyelesaikan masalah ini, masalah ini akan bertambah buruk.
Mohammed: Baiklah. Bolehkah saya menghubungi anda semula dalam masa kira-kira tiga jam atau empat jam?
Najib: Uhh OK. Ummm, pasti anda boleh memanggil saya, katakan, 11.30 masa kita, iaitu kira-kira dua jam setengah, bolehkah begitu?
Mohammed: Ya, ya, pasti. Pasti, saya akan menghubungi anda sebelum itu.
Najib: Terima kasih, Yang Mulia.
22 Julai 2016 11.33PM - Mohammed Zayed Al Nahyan memanggil Najib Abdul Razak
Najib: Ya?
Lelaki: Bersedia bercakap dengan Yang Mulia?
Najib: Ya, saya sudah bersedia. Ya, saya sudah bersedia, ya.
Mohammed: Tuan perdana menteri, saya mohon maaf kerana terlambat.
Najib: (Tertawa) Anda sangat cepat, jangan bimbang Yang Mulia.
Mohammed: Perdana Menteri, saya telah berunding dengan orang-orang saya di sini dan saya tiada masalah pada hari Ahad tetapi hadangan itu (tidak dapat didengar) Ia akan menjadi tidak produktif untuk anda dan saya, jadi saya cuba mencari penyelesaian lain.
Tuan perdana menteri, Khaldoon mempunyai kuasa penuh daripada saya. Saya benar-benar ingin mencari penyelesaian untuk masalah ini.
Najib: OK.
Mohammed: Saya rasa sangat penting bahawa seseorang bertemu dengan anda. (Tidak jelas didengar) adalah baik kepada anda dan baik kepada kami juga, saya fikir kita harus pergi untuk itu. Saya tidak mahu menolaknya lagi, adalah demi kepentingan kami supaya tuan perdana menteri menyelesaikannya.
Najib: Ya, ini adalah kepentingan bersama kami, Yang Mulia. Jadi anda tidak fikir saya harus terbang ke sana? Adakah anda fikir orang akan tahu mengenainya?
Mohammed: Saya fikir akan tahu mengenainya, ya.
Najib: Saya nampak. Uhh... mmm, mmm, mmm. Tetapi kita benar-benar perlu menyelesaikannya.
Mohammed: Saya boleh biarkan beliau pergi ke sana.
Najib: Anda mahu Khaldoon datang ke sini?
Mohammed: Saya rasa Khaldoon boleh pergi ke sana tuan perdana menteri dan menteri anda boleh datang dan-
Najib: Bilakah Khaldoon boleh datang ke sini?
Mohammed: Saya akan memanggilnya sekarang. Beliau berada di California untuk lawatan, tetapi saya boleh memintanya untuk cepat-cepat bergerak dari sana.
Najib: Yang Mulia, saya juga mempunyai permintaan peribadi.
Mohammed: Ya.
Najib: Ini berkaitan Riza. Kamu tahu, anak saya.
Mohammed: Ya.
Najib: Dan filemnya. Anda lihat masalahnya agak kecil. Boleh dibuat perjanjian dengan Sheikh Mansour untuk menandatangani perjanjian pinjaman, dan dia akan membayar kembali mengikut jadualnya. Ini akan menunjukkan bahawa ia adalah pakej pembiayaan yang sah dan bukan pengubahan wang haram.
Mohammed: Saya nampak.
Najib: Pada masa ini dia berada di bawah tekanan di Amerika, dan kami bimbangkan dia. Lihatlah, mereka membuatnya menjadi kambing hitam.
Saya akan menghargai, pakej besar kelihatan positif, kita boleh mencari penyelesaian yang saya percaya, uhh. Saya akan menghargai jika perjanjian itu boleh ditandatangani dengan cepat oleh Sheikh Mansour atau sesiapa yang ditetapkan oleh Sheikh Mansour, supaya dia dapat memulakan pembayaran balik.
Dia telah membayar balik sejumlah, dia terus membayar balik, supaya anda lihat ia akan muncul sebagai perjanjian pinjaman sah. Kerana apabila dia menerimanya, bank-bank membersihkan sumber wang itu jadi dia tidak tahu dari mana asalnya.
Oleh itu, saya tidak mahu dia menjadi mangsa apabila dia benar-benar tidak menyedari tentang sumber wang itu. Dia benar-benar percaya bahawa ia daripada Aabar dan di bawah arahan Sheikh Mansour.
Ingat tak Yang Mulia juga bercakap tentang membantunya ketika dia berada di Abu Dhabi?
Mohammed: (tidak jelas didengar)
Najib: Betul. Oleh itu, saya memerlukan persetujuan itu untuk diselesaikan dengan cepat kepada Yang Mulia, itulah permintaan khas saya. Secepat yang mungkin, jika hari Isnin atau Selasa, kami memerlukan ini untuk menandatangani perjanjian. Bolehkah anda mencadangkan bagaimana kita dapat melakukannya?
Mohammed: (Tidak jelas didengar) Tuan perdana menteri (tidak jelas didengar) jika ia berada dalam bidang kuasa saya (tidak jelas didengar). Saya faham bahawa ini adalah anak anda dan saya benar-benar mahu ...
Najib: Ya, betul, kerana dia benar-benar tidak bersalah. Apa yang dia mahukan ialah membuat filem, dan terdapat tawaran pinjaman daripada Sheikh Mansour dan pihak anda daripada Aabar, dan anda juga pernah menyebutnya.
Ingat? Ketika kita makan tengah hari di restoran (bercakap) tentang membantunya jadi dia fikir semuanya baik-baik saja. Sekarang, mereka cuba mengaitkannya dengan wang 1MDB, yang benar-benar ... ia mengejutkannya.
Mohammed: Tuan perdana menteri, Insya-Allah.
Najib: Tetapi intipatinya adalah masa Yang Mulia, kita tidak boleh menunda untuk sehari lagi, kita tidak mahu Jabatan Keadilan tiba-tiba bergerak terhadapnya.
Mohammed: (tidak jelas didengar)
Najib: Terima kasih, Yang Mulia. Ke manakah kita akan pergi dari sini? Dia mempunyai semua dokumen dengannya.
Mohammed: (tidak jelas didengar) Khaldoon sekarang. Saya akan melihat bagaimana kita boleh, (tidak jelas didengar) untuk melihat bagaimana mereka boleh menguruskan apa-apa dengan serta-merta.
Najib: Dia ada nombor telefon Amhari. Sekiranya dia boleh menghubungi Amhari secara langsung, dan kemudian bolehkah kita menyelesaikannya?
Mohammed: Tuan perdana menteri, percayalah saya mahu ia selesai. Ini tidak baik dan saya tidak mahu-
Najib: Terima kasih, Yang Mulia. Ini sangat tidak bagus, ia boleh membawa kepada sesuatu yang sangat tidak diduga dan bencana kepada saya, untuk kerajaan kita, dan juga untuk anda di sebelah sana.
Oleh itu, adalah demi kepentingan bersama kami, dengan jalinan hubungan rapat, kita perlu menyelesaikannya. Ia bukan sesuatu yang tidak mustahil. Ia adalah sesuatu yang mampu diselesaikan kita.
Mohammed: Saya setuju.
Najib: Jadi, apa yang kamu mahu saya lakukan Yang Mulia, hanya uh-
Mohammed: Tuan perdana menteri, saya akan (tidak jelas didengar) Amhari.
Najib: Anda akan menelefon Amhari? Baiklah, baiklah. Saya akan memaklumkan kepada Amhari dengan segera. Terima kasih.
2.49 pagi, 23 Julai 2016 - Najib Razak menelefon Khaldoon Al Mubarak.
Najib: Encik Khaldoon?
Khaldoon: Ya?
Najib: Ini adalah Najib, Datuk Najib sekali lagi.
Khaldoon: Oh hai. Tuan perdana menteri, apa khabar anda?
Najib: (tidak jelas didengar) Adakah Riza-
Khaldoon: Saya telah bercakap dengannya, dan kami bersetuju bahawa kami akan bertemu pagi esok.
Najib: Esok pagi? Baiklah, bagus. Adakah anda mahu dia datang sendiri atau adakah anda mahu dia hadir dengan seorang peguam?
Khaldoon: Untuk ini, tidak, saya fikir lebih baik kami berjumpa sendiri. Selepas saya bertemu dengannya sahaja, kita boleh, saya akan membuat keputusan bagaimana kita boleh bergerak ke peringkat seterusnya, tetapi pertamanya saya perlu bertemunya dahulu. Sekurang-kurangnya bagi saya untuk memahami secara langsung daripadanya mengenai apa yang perlu dilakukan.
Najib: Bolehkah anda menyampaikan kepadanya? Saya cuba untuk mendapatkannya, tetapi dia sedang bertemu dengan peguamnya. Saya tidak mahu dia merosakkan perkara ini jika dia membawa peguamnya kerana peguamnya agak menyertainya, tidak-
Khaldoon: (tidak jelas didengar) Apa cadangan anda? Apa yang anda suka? Sekiranya anda mahu, saya boleh membawa peguam dengan saya juga. Dengan cara itu kita boleh mempunyai perbualan bersama peguam. Tetapi saya fikir lebih baik untuk kali pertama kita bertemu satu dengan satu dahulu.
Najib: Ya, satu dengan satu lebih baik.
Khaldoon: Saya akan-
Najib: Anda boleh menghubungi seorang peguam tetapi bukan untuk pertemuan pertama ini. Hanya anda berdua akan menjadi lebih baik.
Khaldoon: Baiklah, jangan risau.
Najib: OK, maaf kira-
Khaldoon: Baiklah. Terima kasih, tuan.
12.46 tengah malam, 27 Julai 2016 - Rosmah Mansor menelefon Najib Abdul Razak
Kebanyakan
perbualan mereka dalam bahasa Inggeris dengan diselang-selikan dengan bahasa Melayu.
Klik
di sini untuk mendengar perbualan penuh. Berikut ialah teks penuh perbualan antara Najib dan Rosmah:
Lelaki: Datin?
Rosmah: Ha, Datuk mana?
Lelaki: Sekejap ya.
Najib: Yeah?
Rosmah: Hai.
Najib: Hai.
Rosmah: Apa cerita? Boleh saya nasihatkan awak? Boleh saya nasihatkan awak tentang sesuatu (tinggikan suara)?
Najib: Sebentar... Ya, ada apa-apa?
Rosmah: Awak, jangan. Dengar cakap saya, mereka beritahu awak untuk jaga (slow down) Abu Kassim. Dan Abu Kassim buat kenyataan di merata-rata tempat (tak jelas), ambil gambar dengan Pak Lah apa semua.
Mereka buatnya, jadikannya seperti wira, dan awak pula jadi penjahat. Dan semua lima orang ini, bolehkah mereka lihat keutamaan mereka adalah awak, bukan orang lain?
Najib: Siapa mereka?
Rosmah: Pejabat awaklah. Shahlan dah yakin, Tengku dah yakin, Amhari dah yakin. Macam kita dah jadi penjahat.
Najib: Tidak, tidak, tidak, saya benarkan Azwan membuat kenyataan, kesannya dah bagus dah.
Rosmah: Tidak, Azwan okey. Hari ini Abu Kassim di Berita Harian dan mereka benarkan Abu Kassim ambil gambar dengan Pak Lah.
Dan ada muka dia nak bercakap tentang Pak Lah dan semua orang lain kecuali awak. Ini tidak adil.
Najib: Hmm, hmm.
Rosmah: Tolonglah, darling.
Najib: Tidak, saya sudah tandatangani surat pelantikan Dzul.
Rosmah: Dan Abu Zahar boleh buat kenyataan, oh, mesti (tak jelas) sebab mereka dah melobi, tahu? Mereka tahu mereka dah melobi.
Najib: Abu Zahar jangan buat kenyataan, biarlah.
Rosmah: Ya, tapi Abu Zahar dalam Berita Harian. Dia tahu ke dia cakap apa?
Najib: Itulah dia. Okey, okey.
Rosmah: Saya tak suka ni. Darling, awak PM, awak patut kawal, bukan orang lain.
Najib: Ya. Saya faham.
Rosmah: Dan awak ada orang-orang bodoh (goons) di sekeliling awak untuk nasihatkan awak. Sebab saya beritahu Shahlan, kalau nak tolong, kenapa tak tolong minggu lepas bila benda itu terjadi? Kamu (Shahlan) sepatutnya datang pada saya ‘Datin, bagaimana saya boleh bantu?’ (tak jelas) Lepas satu minggu, saya kata, kamu tak patut cakap (tak jelas).
Saya tak faham.
Sebab ada orang buat aduan ke atas Abu Kassim, dia dalam masalah, oh baru kamu nak datang nak bercakap. Kenapa kamu tak cakap seminggu sebelum tu?
Najib: Hmm hmm...
Rosmah: Yang kita ni dah satu minggu sakit hati, sakit badan, sakit kepala.
Najib: Hmm hmm...
Rosmah: Hmm...
Najib: Hmm...
Rosmah: Jadi saya dah beritahu Amhari, perkara ni tak susah pun. Tarik sajalah arbitration (timbang tara) (tak jelas).
Mereka perlu percayakan kita sebagaimana kita percayakan mereka.
Najib: Betul. Sebab tu Amhari beritahu saya. Saya kata, kamu pergi cakap dengan Khaldoon, cuba yakinkan dia. Tak guna buat arbitration. Saya kata, kamu buat arbitration, semua orang sakit. Nampak? Saya boleh cakap dengan putera mahkota. Putera mahkota (tak jelas) akan ulang cakap “Oh, saya kena runding dengan Khaldoon”. Balik pada kat situ.
Rosmah: Awak tak boleh salahkan dia, itu budaya dia. Jadi kita kena buat kerja sekitar budaya itu.
Mungkin Khaldoon patut datang sini dan bercakap dengan awak, dengan Amhari, untuk selesaikannya.
Itu apa saya rasa, bukan setakat bercakap di telefon, tak jadi.
Najib: Kita boleh jemput dia. Ya, sudah tentu.
Rosmah: Jemput dia dan selesaikan semuanya sekaligus. Dia kenal kita, bukan tak kenal kita.
Kau dah makan minum rumah kita semua. Tolonglah jemput dia.
Najib: Itu idea yang bagus, kita boleh jemput dia ke sini. Sudah tentu, saya akan beritahu dia.
Rosmah: Awak dan Amhari, duduk untuk selesaikannya (tak jelas).
Dan sementara tu, kita boleh selesaikan Riza. Riza punya masalah, bukan payah. Masalahnya hanyalah, ada benda dalam proses tu (along the line) yang tak lengkap. Itu saja.
Najib: Sudah tentu. Sudah tentu.
Rosmah: Saya fikir jalan terbaik adalah beritahu Khaldoon. Dia boleh bawa peguam dia datang sini. Saya rasa banyak perkara boleh diselesaikan.
Berbanding Amhari cakap dengan dia dekat LA, dia nak tunggu siang, tunggu malam. Awak tahu?
Najib: Saya boleh cadangkan kepada Amhari, jemput dia ke sini.
Rosmah: Kemudian kita beritahu putera mahkota, Khaldoon ada di sini bercakap dengan kami, untuk selesaikan semuanya sekaligus. Kita dah bazirkan satu minggu dah.
Najib: Ya, ya. Kita boleh jemput dia ke sini. Tak bazir, banyak benda dah bergerak dah.
Mereka ni, dia nak tengok ada pergerakan di belah sana, belah China. Belah China sudah bergerak, tahu?
Rosmah: Itulah sebabnya, darling, tak banyak benda boleh kita cakapkan di telefon.
Najib: Kita boleh jemput dia ke sini.
Rosmah: Jemput dia ke sini segera, kemudian kita boleh beritahu putera mahkota, beritahu dia yang Khaldoon datang sini kita selesaikan (tak jelas).
Saya tahu dan pasti Sheikh Mansour mahu selesaikan ini (tak jelas). Saya tahu putera mahkota mahu selesaikan ini
Tapi mereka bukanlah jenis orang yang duduk dan bercakap dengan awak, tahu?
Najib: Hmm.. Ok. Kita boleh buat itu.
Rosmah: Dia (tak jelas) ada duit saja
Najib: Saya akan cakap dengan Amhari selepas ini, saya akan beritahu dia untuk jemput Khaldoon.
Rosmah: Atau awak cakap dengan Khaldoon. Tak apalah, darling, kita tak payah nak (tak jelas).
Selesaikan perkara ini. Tolonglah datang sini, selesaikan semuanya sekaligus (tak jelas).
Ini siang tunggu malam, malam tunggu siang, kamu tahu? Siang ke malam, ada senggang 24 jam.
Najib: Ok, ok.
Rosmah: Please darling.
Najib: Saya akan cakap dengan Amhari.
Sumber: Malaysiakini. - 9 Januari, 2020.