Friday 24 January 2020

Membujur Mercedes lalu...

Najmuddin Yusoff
Ramai pengkritik PAS ketika ini menggelar parti itu sebagai golongan Khawarij moden. Izinkan saya untuk berbeza pendapat.
Dalam pengajian usuluddin, golongan Khawarij ialah mereka yang berpendapat bahawa manusia mampu sepenuhnya memilih dan menentukan tindakannya sendiri, sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.
Dengan kemampuan memilih itu, manusia seterusnya bertanggung jawab penuh terhadap pilihan dan tindakan mereka. Fahaman ini disebut sebagai Qadariyah.
Di hujung yang bertentangan adalah satu lagi fahaman yang disebut sebagai Jabariyah. Faham ini menganggap manusia tidak berdaya sama sekali untuk menghadapi ketentuan Tuhan dan kehendak-Nya.
Kerana itu, manusia dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab atas tingkah laku mereka, sama ada baik atau buruk. Bagi Jabaryyun itu semua yang mereka lakukan tidak akan berlaku melainkan menurut kehendak Tuhan jualah.
Dan sejarah membuktikan, kecenderungan sesiapa pun untuk mengikuti mana-mana fahaman, akan bersangkut paut dengan kepentingan peribadi masing-masing.
Menurut Nurcholish Madjid, faham Jabariyah itu - tidaklah menghairankan - mendapat sambutan yang kuat dalam kalangan penguasa yang cenderung kepada kezaliman.
Pada zaman Umayyah di Damsyik, para penguasa menggunakan fahaman itu untuk kepentingan mereka sendiri, iaitu mempertahankan kekuasaan. Apabila kezaliman yang dilakukan dipersoal, mereka berselindung dengan hujah "agama".
Tak perlu susah-susah
Hujah apa? Hujahnya, bahawa mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan atas tindak tanduk itu kerana semuanya atas kehendak Tuhan. Semua. Yang baik mahupun yang buruk, datang daripada-Nya.
Minum arak? Kehendak Tuhan. Berzina? Kehendak Tuhan. Ambil RM50,000 ringgit. Kehendak Tuhan... eh?
Tidak. Saya bukan mahu mengatakan PAS adalah golongan Jabariyah. Jauh sekali. PAS bukan Khawarij yang berhafaman Qadariyah, juga bukan lawannya, Jabariyah. 
Kedua-dua fahaman itu - Qaddariyah mahupun Jabariyah - muncul dalam kerangka intelektual Islam pada masa itu, walaupun kedua-duanya ditolak oleh fahaman Islam yang lebih arus perdana, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah.
Pemimpin PAS tidak perlu bersusah-payah seperti penguasa Umayyah yang terpaksa menggali ilmu tauhid untuk membenarkan tindak tanduk mereka.
Hari ini, tidak sempat pemimpin PAS berkata sepatah pun, ahli-ahlinya telah membenarkan tindak tanduk mereka. Pemimpin PAS sentiasa benar pada masa dulu, pada masa sekarang dan pada masa akan datang. Tidak perlu fikir susah-susah.
Saya tidak pasti jika terma neonubuwwah pernah digunakan oleh sesiapa. Tapi itulah yang saya mahu sandarkan pada fenomena PAS hari ini. Kita melihat bagaimana reaksi penyokong-penyokong PAS terhadap apa saja tindakan oleh pemimpin mereka sudah hampir kepada seolah-olah ketua mereka ini suci daripada sebarang dosa.
Tidak ada silap sedikit pun.
Cekap cedok sirah nabi
Apa saja yang pemimpin PAS buat, itulah agama. Sedangkan sifat suci daripada kesilapan itu hanyalah sifat kenabian. Barangkali tidaklah keterlaluan untuk berkata: Inilah dia, 'nabi-nabi baru' muncul dengan ramainya dalam PAS.
Nabi-nabi baru itu memandu Mercedes Benz yang dikatakan berharga hampir RM700,000 setiap sebuah. Mereka juga meluluskan pemberian khas untuk diri sendiri sebanyak RM50 ,000 seorang.
Eh, kisah meluluskan duit untuk diri sendiri ini macam pernah dengarlah pula ya? Can I advise you something?
Wahai teman! Nabi Muhammad SAW sendiri dalam banyak kisah bersedia menerima pendapat dan teguran para sabahat. Tidak perlu saya memberi sebarang contoh kerana rasanya, teman-teman dalam PAS jauh lebih cekap mencedok kisah-kisah nabi, kan?
Sesungguhnya keterbukaan Rasulullah - atau pun siapa sahaja - itu tidak akan berlaku secara sehala. Pemimpin yang bersedia dikritik tidak akan muncul dalam kalangan pengikut yang hanya mengikut.
Pemimpin yang kreatif untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, tidak akan muncul dari kalangan pengikut yang tidak mampu pun mempersoalkan tindak tanduk pemimpin mereka itu.
Alhasil, muncullah pemimpin-pemimpin seperti yang ada di dalam PAS hari ini. Yang kata-kata keramat mereka untuk mematikan segala hujah adalah: "Ana tahu, enta tak tahu" atau "Enta kena dalami lagi siyasah syar'iyyah" dan "Enta tak betul-betul faham perjuangan PAS".
Tidak. Tulisan saya ini bukan ingin mempersoalkan betul atau tidak tindakan pemimpin-pemimpin PAS. Ia tidak langsung mahu mempersoalkan peruntukan khas kepada exco itu sama ada ia sah dari segi undang-undang ataupun tidak.
Tulisan saya ini, sebenarnya dengan berani mati (akan kena 'tanam di jirat', seperti bilah-bilah kata pentaasub itu), bersikap membujur Mercedes lalu, melintang lima puluh ribu patah.
Ia sekadar mahu mengajak penyokong-penyokong PAS untuk bersikap sedikit kritikal terhadap tingkah laku pemimpin mereka. Sedikit saja, cukuplah, bukannya banyak-banyak.
Walaupun begitu, saya tahu, mungkin tulisan ini hampir pasti tidak akan memberi kesan apa-apa kepada mereka.
Lalu jah!

NAJMUDDIN YUSOFF ialah ahli politik dan penulis separuh masa. Separuh masa lagi dihabiskan dengan mengikuti berita-berita dari negeri kelahirannya, Tanah Serendah Sekebun Mercedes.

Sumber:  Malaysiakini  -  24 Januari, 2020.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts