Monday, 9 March 2020

Rakyat bukan kristal

Faisal Tehrani
Kita rakyat, kita bukan kristal. Tetapi itulah yang terjadi. Kristal tidak sekadar pecah apabila ia jatuh. Ia malah berkecai. Seperti itulah rakyat kalian lakukan. Akan tetapi politikus mahu rakyat percaya, mereka adalah daddy (mungkin juga Tuhan) dan konon mereka tahu semua yang terbaik untuk rakyat. Maka sesetengahnya pun berkumpul di Sheraton. Kucar-kacir pun terjadi. Kerajaan pilihan rakyat dalam tahun 2018 pun jatuh.
Slogan politikus selalu, “Selamatkan Malaysia”. Kita rakyat, tidak tahu kita hendak diselamatkan dari apa.
Ada yang mengatakan kita perlu diselamatkan dari pemimpin yang tidak bermoral. Soalnya di kedua-dua belah pihak ada sahaja pemimpin yang terlihat tidak bermoral. Kedua-dua kem misalnya dituding ada video, kedua-dua kem ada terdakwa, kedua-dua kem seperti kerbau, ada lumpur. Kita rakyat jadi saksi. Kerbau-kerbau ini saling bertandukan sesama sendiri.

Dalam kumpulan yang disokong lebai, ada bapak ;ebai. Kita ingin percaya bila dia melabun ayat suci. Tetapi, masya-Allah rekod kehadiran ke Dewan Rakyat beliau ‘macam’ penuh, pendek kata macam ‘cemerlang’. Susah untuk kita percaya ayat suci yang keluar daripada mulut kaki tuang. Dalam kumpulan itu juga ada laksawan (duit juta-juta macam bilion kita panggil laksa). Rakyat tahu pun setelah didedahkan dalam kes mahkamah yang sedang berlangsung. Kita rakyat diminta terkenan adanya aset sebanyak RM782,748,061 dalam tabungan. Kita terkenangkan, kasihan pekerja Utusan, ada Melayu kaya tapi tak dapat menolong mereka. Rakyat memang sentiasa piatu tiada penjaga.
Dalam kumpulan itu juga ada sekelompok bukan Islam yang nampaknya terselit dan terpinga-pinga tidak ketahuan mengapa mereka berada di situ. Macam ada secokol orang Segamat (mungkin dia patut masuk parti kasihan MIC). Kemudian dalam kumpulan itu juga ada kem Sarawak, mungkin kerana mereka negeri di bawah bayu, maka kalau bayu tiup ke Wuhan mereka pun ikutlah ke Wuhan; kalau bayu lambung ke Gua Niah, mereka terhempas di dalam gua; kalau bayu bertiup ke pelimbahan, mereka pun terbang melangsuir juga ke belakang jamban.

Pun, kita masih belum tahu mereka, politikus ini mahu selamatkan kita rakyat dari apa. Jika mahu selamatkan dari pencuri, nampak gaya yang ada beberapa ketul dalam kumpulan itu sukar untuk kita percaya.
Dalam kumpulan yang satu lagi, kita lihat ada rasa curiga dan tidak percaya yang sangat tebal dan dalam antara mereka. Malah mereka saling menyalahkan. Mereka saling tuding-menuding. Kita rakyat memang terdiam melihat mereka saling lempar melempar tahi. Shahnon Ahmad mengatakan Shit. Untuk melindungi kenajisan itu mereka juga kadangkala guna frasa yang membingungkan kita macam fiqh tabayyun. Kita rakyat melihat mereka malaun. Ada sesetengah tersalah dengar pemimpin ini mengamalkan fikah mangkuk hayun.

Cina itu pun orang Malaysia juga

Mereka saling prasangka. Ada Melayu melolong bilang kumpulan ini dikuasai kumpulan Cina sombong. Melayu melolong ini ‘dibakar’oleh cukong pencuri duit.
Jadi konon, maka perlu diselamatkan Malaysia. Padahal Cina itu pun orang Malaysia juga. Saya berpendapat sombong perihal perangai, dan boleh berubah jika diberi ‘penampar keras’ dua tiga kali. Tapi untuk menyelamatkan Malaysia dari orang sombong, dan menyerahkan Malaysia kepada cucu-cicit lanun dan badut berketayap, itu lebih mudarat. Belum apa-apa, habis nanti saku kita diseluk.
Maka pilihan untuk rakyat oleh mereka yang dikatakan tahu, tidak banyak.
Kita rakyat juga dirayu agar merestui kumpulan yang naik ini sebagai kumpulan yang diundi rakyat terbanyak. Padahal ia adalah gabungan orang kalah. Dan dalam gabungan kalah yang berpakat itu ada pula orang sekumpulan terdesak berebut entah apa. Lebai-lebai yang paling sedikit dalam gabungan terbaru ini, sudah terangkat menjadi lebih terpercaya tiba-tiba. Padahal kerja mereka hanya tahu melolong macam polong, bila dicukong toyol kaya, ketayap mereka tegak mencanak. Dan kemudian tiba-tiba Melayu pun bersorak sorai mengatakan tak apa mencuri, kalau mencuri hak Cina. Apatah lagi kalau Cina itu angkuh. Kita tak tahu mereka belajar dari nabi mana. Semua itu ditokok oleh sekumpulan pemimpin dari Sarawak, yang akan terbang melayang ditiup bayu ke mana-mana yang boleh. 2020, Tahun Melawat Malaysia memang meriah. Ada macam-macam acara.

Siapa yang membuat pilihan politikus-politikus ini naik dan berkuasa, sejak dari dulu? Adakah rakyat benar-benar diberi pilihan membuat pilihan? Kata Profesor Shad Saleem Faruqi dalam forum “Checkmate! Death of Democracy in Malaysia” minggu lalu, kerajaan pintu belakang mungkin sah, tetapi tidak bermoral. Sah tetapi tidak bermoral ini banyak contoh kita boleh bawa. Macam sah dan diperbolehkan untuk kencing, tetapi jangan kencing di khalayak ramai. Jadi Profesor Shad mengatakan, untuk mengelak sah tapi tidak bermoral itu, ada negara mensyaratkan pemimpin yang ingin merubah parti atau kem haruslah meletakkan jawatan dan bertanding semula, dan ada undang-undang di negara tertentu malah melarang untuk bertanding untuk satu tempoh dan perlu membuktikan tidak menerima rasuah. Profesor Shad sepatutnya bersuara pada 29 Februari, beliau terlambat enam hari.
Kerajaan pintu belakang ini tidak bermoral, macam kencing depan orang dan menayang kemaluan. Tetapi lebai tersipu-sipu percaya ia bermoral. Kita tidak tahu apa sebab lebai yang bergelumang dengan pahala tahajud boleh memilih untuk memalit diri dengan dosa kencing. Padahal kencing ini padahnya bahaya. Kencing tak tus dibawa sembahyang nanti diseksa kubur. Tapi lebai sanggup. Ini bukan kencing tak tus lagi. Ini kencing menabur. Sebab, untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Akan tetapi kita masih belum diberitahu untuk selamatkan Malaysia dari apa.
Kita paling hairan lebai suka duduk berkumpul makan-makan dengan lanun. Lebai patutnya suka menadah kitab dan bercerita hal akhirat. Kita hairan mengapa lebai hari ini dah tak macam Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Ustaz Fadzil Noor. Tapi ini lebai cinta amat dengan polong dan toyol. Lebai suka membela ini kita tidak tahu nak bahasakan apa.

Majoriti lindungi minoriti

Sebaik gabungan baru ini naik, maka melesat kata ‘babi’ menjadi trending di Twitter. Kata babi itu diganding dengan kata Cina. Sungguh menakutkan. Padahal demokrasi tujuannya adalah agar majoriti dapat melindungi minoriti. Kemudian ada banyak kumpulan di media sosial yang berani mengancam kumpulan minoriti. Mereka meneriak kata-kata, “Siaplah kau LGBT”. Atau “Bunuh Syiah beramai-ramai”. Demikian berani. Ada YB perempuan parti DAP yang diganggu secara seksual di ruang siber. Siap ramai-ramai mentertawa. Dan konon ini semua untuk ‘Selamatkan Malaysia’. Semua yang ekstrem-ekstrem atas nama kaum, agama dan gender ini menjadi berani seolah-olah sangkar sudah terbuka, dan syaitan semua boleh berkeliaran.
Sebab apa dibiarkan jadi begini? Sebab rakyat perhiasan kaca. Rakyat adalah kristal.
Saya tak mahu katakan kita rakyat macam ayam KFC. Selepas digigit dibaham sekali dua, tinggal sisa disampah begitu sahaja. Saya penyair, jadi saya gunakan kias yang molek. Begini, kita rakyat dijadikan perhiasan kaca, macam kristal. Pemimpin percaya mereka lebih pandai dari rakyat. Maka rakyat diletakkan sebagai bodoh. Ikut cucuk hidung sahaja. Baik yang asal kayangan mahupun pengkhianat jemuran. Seperti kristal kami, rakyat kalian perlakukan.
Kita rakyat, kita bukan kristal. Tetapi itulah yang terjadi. Kristal tidak sekadar pecah apabila ia jatuh. Ia malah berkecai. Seperti itulah rakyat kalian lakukan.
Tapi pemimpin dari utara sehingga ke habis-habis hujung selatan itu terlupakan. Ada kandungan Tajus Salatin. Kitab karangan Bukhari al-Jauhari (semat dalam benak, dia dari Johor) pada tahun 1630. Lama sebelum Inggeris kenal demokrasi. Sistem demokrasi ini ada hati. Dan hatinya bukan kristal. Inti pati kandungan kitab al-Jauhari mengingatkan: “Rakyat dan bangsawan akan tetap bertemu Tuhan”. Dialah, Tuhan itu raja, sebenar-benar kerajaan. Manakala kita rakyat lah hati kepada demokrasi; bukan kristal dibuat permainan.
Bila hatinya iaitu rakyat disakiti, maka demokrasi sudah jadi taruhan. Namun slogan politikus tidak berubah, selalu, ‘Selamatkan Malaysia’.
Kita rakyat, sampai sekarang tidak tahu kita hendak diselamatkan dari apa.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumber:  Malaysiakini. -  9 Mac, 2020.

Wednesday, 4 March 2020

'Seperti dirasuk syaitan mereka asak Dr M'

A Kadir Jasin
 Apabila Dr Mahathir Mohamad memberitahu saya yang Muhyiddin Yassin mengaku dia anak orang alim bagi membuktikan dia orang baik, jawapan saya mudah saja.
Hanya syaitan bodoh saja menghasut anak orang jahat atau orang yang tidak ada pengaruh.
Tapi tidak ada syaitan yang bodoh. Syaitan cerdik cuma derhaka kepada Allah, jadi syaitan akan hasut orang yang berpengaruh yang boleh mempengaruhi ramai orang.
Justeru itu, tok guru dan anak-anak tok guru yang berpengaruh adalah sasaran yang unggul bagi syaitan.
Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bersidang pada hari Ahad 23 Februari lalu, seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik Bersatu keluar daripada PH dan menyertai Umno dan Pas.
Bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Zahid Mat Arip, sampai menghentak meja dan berkata buat kali pertama dia menyokong Muhyiddin. Yang saya tahu dia sebelum ini sangat benci kepada Muhyiddin.
Turut menyokong dengan lantang sampai tidak sedikit pun mempedulikan rayuan Dr Mahathir ada Ahli MPT yang diketahui bercita-cita tinggi seperti Rafiq, Redzuan dan Wan Saiful.

Ahli MPT yang bercakap mempertahankan Dr Mahathir adalah minoriti dan terdiri daripada mereka yang tidak bercita-cita politik.
Tapi ada juga yang hipokrit dan tikam belakang. Di depan Dr Mahathir sokong tapi sebenarnya mengkhianati beliau. Dalam hal ini saya, secara peribadi, amat kecewa dengan mainan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja.
Jelas daripada asakan dan penderhakaan pada 23 Februari itu bahawa konspirasi keluar PH dan bergabung dengan Umno itu sudah dirancang dengan teliti untuk satu jangka masa yang panjang melibatkan watak-watak dalam Bersatu, Umno, PKR dan PAS.
Ternyata Dr Mahathir juga dihampakan oleh watak-watak Umno yang beliau alu-alukan ke dalam Bersatu seperti Hamzah Zainuddin dan Mustapha Mohamed. Nampak seolah-olah ada usaha mengambil alih Bersatu oleh pendatang Umno ini.
Ini terbukti apabila adun Umno dilantik menjadi MB Johor mengganti wakil Bersatu. Hal yang sama mungkin berlaku di negeri-negeri lain. Muhyiddin orang mulia, tapi kalau ini bukan pengkhianatan, apa lagi?
Inilah apa yang boleh saya simpulkan hasil daripada apa yang saya sendiri lihat dan apa yang saya dengar daripada Dr Mahathir.
Jadi apabila Muhyiddin berkata dia tidak mengkhianati Dr Mahathir, ia hanyalah semantik - antara yang tersurat dengan yang tersirat.
Sekali lagi Dr Mahathir telah dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya.

 A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan anggota MPT Bersatu. Tulisan ini dsiarkan kali pertama di Facebook beliau.

Sumber: Malaysiakini. -  4 March, 2020

‘Mampus pi lah’ jika Zahid sertai kabinet Muhyiddin

Abdul Hamid Mohamad
Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sangat rapuh. Jika undi tidak percaya dilakukan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin apabila parlimen bersidang, kita tidak tahu sama ada beliau boleh mendapat sokongan majoriti atau tidak.
Isu yang paling utama ialah adanya Umno dalam kerajaan itu. Pakatan Harapan (PH) tahu tanpa Umno, kerajaan itu akan tumbang. Modal besar PH terhadap Umno ialah Umno parti korup.
Penyertaannya dalam kerajaan PN menjadikan kerajaan baru itu sebuah kerajaan korup.
Perhatian khusus akan diberi kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, sama ada beliau akan diberi jawatan dalam kabinet. Jika beliau diberi jawatan menteri, apatah lagi timbalan perdana menteri, terus terang saya katakan, Muhyiddin akan kalah undi tidak percaya dan kerajaan PN akan tumbang.

Bukan itu sahaja, orang ramai yang menyokong kerajaan PN, termasuk saya, akan menarik balik sokongan mereka, dan berkecuali. Mereka akan mengambil sikap “Mampus pi lah” kerana mereka telah terlalu bosan dengan ahli politik yang hanya menjaga perut masing-masing.
Maka, sebelum dilakukan undi tidak percaya, pemimpin parti-parti komponen PN perlulah bermesyuarat, mengambil pendirian, mengeluarkan kenyataan dan melakukan apa yang sempat dilakukan, bahawa:
  • PN tidak akan mengulangi kesilapan Umno dan PH.
  • PN tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
  • PN tidak akan melantik ahli parlimen yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah untuk memegang sebarang jawatan dalan kabinet PN.
  • Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai perkhidmatan kehakiman dan perundangan yang kanan, berpengalaman dalam pendakwaan dan undangundang, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi peguam negara / pendakwa raya.
  • Kerajaan PN akan melantik seorang pegawai kanan SPRM yang berpengalaman, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
  • Kerajaan PN tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi peguam negara / pendakwa raya dan ketua pesuruhjaya SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.
  • Kerajaan PN juga sekali-kali tidak akan mempengaruhi atau menekan pendakwa raya supaya menghentikan pendakwaan atau menarik balik pertuduhan terhadap ahli kabinet PN, ahli parlimen PN atau penyokongnya.
  • Kerajaan PN sekali-kali tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi mahkamah dalam menjalankan tugas kehakimannya.
  • Kerajaan PN tidak akan meminta pengampunan ke atas sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terhadap ahli kabinet PN, ahli prlimen PN atau penyokongnya. Tetapi hak mereka berbuat demikian tidak dihalang.
  • Kerajaan PN akan menumpukan perhatian sepenuhnya untuk memperbaiki ekonomi negara, taraf kehidupa rakyat dan pentadbiran negara.
Muhyiddin dan pemimpin parti-parti komponen hendaklah bertegas dalam hal ini. Lebih baik tumbang walaupun melakukan sesuatu yang betul, daripada tumbang kerana melakukan sesuatu yang salah.

Jika Umno berkeras menghendaki Zahid menjadi menteri atau TPM dan mengugut keluar PN, biarkan Umno keluar, biarkan PN tumbang. Umno akan dikutuk oleh orang Melayu dan mati tak berkubur. Percayalah.
Dalam ucapan pelantikan saya sebagai ketua hakim negara pada 11 Disember 2007, antara lain, saya menyebut:
“Saya sedar bahawa, jika Allah SAW melanjutkan usia saya sekalipun, tempoh untuk saya memegang jawatan ketua hakim negara ini adalah amat singkat. Tetapi, jika, dengan takdir Allah SWT saya memegang jawatan ini hanya sehari sahajapun, dalam masa satu hari itu, saya berazam untuk melakukan apa yang saya, dengan jujur, fikir adalah betul, sehabis baik yang saya boleh lakukan. Sama ada sehabis baik saya itu cukup baik atau tidak terserahlah kepada orang ramai untuk menghakiminya.”
Mungkin ada pengajaran yang boleh diambil daripadanya.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD adalah bekas ketua hakim negara.

Sumbet: Malaysiakini. -  4 March, 2020

Tuesday, 3 March 2020

Politik ketuanan Melayu dan Musang Berjanggut

Haris Hauzah
Beberapa hari lalu, seorang ketua parti Melayu berjalan keluar dari Istana Negara ke kenderaannya. Muhyiddin Yassin kelihatan begitu yakin.
Dia persis si Utimutiraja - seorang lelaki jawa yang amat lega kerana kesepakatan politiknya bersama Alfonso de Albuquerque menyebabkan nasib tidak memihak kepada Sultan Melaka.
“Saya tak ada komen apa-apa, cuma saya cakap: My mission is accomplished.” Itulah serangkap kata yang digetarkan dari lidahnya kepada puluhan wartawan yang bertanya.
Di sebalik segala drama busuk politik Melayu Islam yang mengatur Langkah Sheraton untuk membina pakatan baru yang didakwa lebih Islam dan paling Melayu itu, barangkali boleh kita tanyakan kepada mereka: Apa lagi Melayu mahu?
Semenjak PRU ke-14 lalu, ramai sekali politikus Melayu yang lara dan kecewa akibat kehilangan kuasa tanpa disangka-sangka.
Lalu mereka pun bersegera menggerakkan kerja. Siang dan malam sibuk meyakinkan orang Melayu kononnya kuasa politik Melayu yang digenggam sejak 63 tahun dulu, kini mula terhakis, malah didakwa kianterhapus.
Demikian surah momokan mereka. Kononnya bangsa Melayu dalam bahaya.
Segala hal dan kemelut perkauman itu pun dibiarkan kian pekat, kian kental dan kian mengarut. Ia kemudian menjadi bahan untuk disumbat ke mulut dan telinga rakyat.

Himpunan misteri di Sheraton

Masalahnya, sebahagian besar orang Melayu tidak mahu mengunyah atau menghadam segala kejahatan yang disumbatkan itu, sedangkan ia boleh menjadi penyakit yang mampu membawa maut.
Pada masa sama kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menguruskan pelbagai isu yang entah timbul secara spontan, entah disengajakan. Misalnya kedegilan Dong Zong menolak tulisan Jawi, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan seumpamanya, ia hanya menyebabkan mata dan hati orang Melayu yang tidak mengunyah maklumat tadi semakin parah.
Kerana ketakutan pada bayang-bayang yang kita cipta sendiri itu, maka Melayu menjerit-jerit ketakutan melihat tanglung, tidak rasional menanyakan inkues Adib, Zakir Naik yang dikehendaki New Delhi menjadi isu seolah-olah hal yang akan membatalkan syahadah

Apabila menteri-menteri DAP seakan-akan gagal untuk cuba memahami bahawa orang Melayu itu ada psyche yang harus dihormati, maka takdir PH hanya menunggu masa untuk disempurnakan.
Segala isu perkauman yang saban waktu dilayangkan ke udara akhirnya ditakbir dan dijerit-jeritkan. Kemuncaknya ialah perhimpunan 'misteri' di Hotel Sheraton pada hujung Feb lalu yang kemudian mengubah suasana Putrajaya secara mendadak.
Di situ satu demi satu politikus “ketuanan Melayu” dan “ketuanan Islam” muncul. Maka bermulalah segala percaturan yang sebelum itu dirancang oleh segelintir orang secara diam-diam.
Sebenarnya walaupun seorang politikus Melayu Islam itu tampil - dengan lidah yang fasih, segak bertanjak bercapal berkeris - bersyarah tentang takdir tuhan, belum tentu mereka itu benar.

Dalam filem Musang Berjanggut, hal itu ada dipaparkan secara bersahaja.
Sultan Alam Shahbana atau si pembawa cap mohor, Datuk Bendahara, misalnya, mahupun Datuk Bentara Mangku Bumi atau bergelar Datuk Pujangga.
Musang-musang itu semuanya sama licik dan sama bahaya dengan Datuk Nikah Kahwin yang siang malam berserban serta berjubah untuk melindungi ghairahnya mahu bersama Puspawangi.
Mujur Puspawangi bukan bimbo. Mujur dia maklum dan mengetahui bahawa jiwa besar “ketuanan Islam” dan semangat sebenar “ketuanan Melayu” itu tidak terlindung dengan mudah di sebalik capal, keris dan destar, atau serban, jubah dan janggut.

Penggerak papan catur

Malah ia juga bukanlah boleh diperoleh daripada doa tuan guru sebelum melangkah ke istana, atau dengan satu sujud syukur yang dirakamkan dan kemudian ditularkan.
Dalam kisah komedi romantik Musang Berjanggut juga sengaja P Ramlee menonjolkan kebijaksanaan bapa Puspawangi, si Kemenyan. Kemenyan pintar mengelak dan mengetepikan krisis yang sengaja dimulakan oleh Megat Alang Sengketa bersama ayahandanya Datuk Laksamana Megat Padang Jarak Padang Terkukur Putra Sangkuriang Prabu Sakti Ratna Galuh Chandra Kirana yang sangat megah dengan keturunan Ayam Belandanya.
Tanpa berselindung P Ramlee memperlecehkan agenda “ketuanan” melalui bahasa filem yang cukup ‘malu’.

Melayu “ketuanan” yang jadi penggerak papan catur sebelum berkumpul di Sheraton itu kini dalam kuali emas kekuasaan. Mereka sedang mengatur permainan agar apa yang telah mereka usahakan tidak akan dapat dicabar dan dikalahkan.
Dengan sebegitulah hal-hal rusuh antara kaum yang selama ini mereka momokkan itu akan selesai sekelip mata.

Rakyat Malaysia barangkali mungkin boleh juga bertanya: Bagaimanakah pemimpin Melayu Islam - yang mewangikan Langkah Sheraton mereka dengan doa tuan guru sebuah parti politik - mahu dikenang?
Hal itu perlu kerana, selain persoalan "apa lagi Melayu mahu" politik Melayu Islam di negara ini sebenarnya penuh dengan pengkhianatan. Dan mungkin itulah yang akan terus dikenang-kenang orang.

Sumber:  Malaysiakini  -  3 March, 2020.

Popular Posts