Tuesday 3 March 2020

Politik ketuanan Melayu dan Musang Berjanggut

Haris Hauzah
Beberapa hari lalu, seorang ketua parti Melayu berjalan keluar dari Istana Negara ke kenderaannya. Muhyiddin Yassin kelihatan begitu yakin.
Dia persis si Utimutiraja - seorang lelaki jawa yang amat lega kerana kesepakatan politiknya bersama Alfonso de Albuquerque menyebabkan nasib tidak memihak kepada Sultan Melaka.
“Saya tak ada komen apa-apa, cuma saya cakap: My mission is accomplished.” Itulah serangkap kata yang digetarkan dari lidahnya kepada puluhan wartawan yang bertanya.
Di sebalik segala drama busuk politik Melayu Islam yang mengatur Langkah Sheraton untuk membina pakatan baru yang didakwa lebih Islam dan paling Melayu itu, barangkali boleh kita tanyakan kepada mereka: Apa lagi Melayu mahu?
Semenjak PRU ke-14 lalu, ramai sekali politikus Melayu yang lara dan kecewa akibat kehilangan kuasa tanpa disangka-sangka.
Lalu mereka pun bersegera menggerakkan kerja. Siang dan malam sibuk meyakinkan orang Melayu kononnya kuasa politik Melayu yang digenggam sejak 63 tahun dulu, kini mula terhakis, malah didakwa kianterhapus.
Demikian surah momokan mereka. Kononnya bangsa Melayu dalam bahaya.
Segala hal dan kemelut perkauman itu pun dibiarkan kian pekat, kian kental dan kian mengarut. Ia kemudian menjadi bahan untuk disumbat ke mulut dan telinga rakyat.

Himpunan misteri di Sheraton

Masalahnya, sebahagian besar orang Melayu tidak mahu mengunyah atau menghadam segala kejahatan yang disumbatkan itu, sedangkan ia boleh menjadi penyakit yang mampu membawa maut.
Pada masa sama kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menguruskan pelbagai isu yang entah timbul secara spontan, entah disengajakan. Misalnya kedegilan Dong Zong menolak tulisan Jawi, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan seumpamanya, ia hanya menyebabkan mata dan hati orang Melayu yang tidak mengunyah maklumat tadi semakin parah.
Kerana ketakutan pada bayang-bayang yang kita cipta sendiri itu, maka Melayu menjerit-jerit ketakutan melihat tanglung, tidak rasional menanyakan inkues Adib, Zakir Naik yang dikehendaki New Delhi menjadi isu seolah-olah hal yang akan membatalkan syahadah

Apabila menteri-menteri DAP seakan-akan gagal untuk cuba memahami bahawa orang Melayu itu ada psyche yang harus dihormati, maka takdir PH hanya menunggu masa untuk disempurnakan.
Segala isu perkauman yang saban waktu dilayangkan ke udara akhirnya ditakbir dan dijerit-jeritkan. Kemuncaknya ialah perhimpunan 'misteri' di Hotel Sheraton pada hujung Feb lalu yang kemudian mengubah suasana Putrajaya secara mendadak.
Di situ satu demi satu politikus “ketuanan Melayu” dan “ketuanan Islam” muncul. Maka bermulalah segala percaturan yang sebelum itu dirancang oleh segelintir orang secara diam-diam.
Sebenarnya walaupun seorang politikus Melayu Islam itu tampil - dengan lidah yang fasih, segak bertanjak bercapal berkeris - bersyarah tentang takdir tuhan, belum tentu mereka itu benar.

Dalam filem Musang Berjanggut, hal itu ada dipaparkan secara bersahaja.
Sultan Alam Shahbana atau si pembawa cap mohor, Datuk Bendahara, misalnya, mahupun Datuk Bentara Mangku Bumi atau bergelar Datuk Pujangga.
Musang-musang itu semuanya sama licik dan sama bahaya dengan Datuk Nikah Kahwin yang siang malam berserban serta berjubah untuk melindungi ghairahnya mahu bersama Puspawangi.
Mujur Puspawangi bukan bimbo. Mujur dia maklum dan mengetahui bahawa jiwa besar “ketuanan Islam” dan semangat sebenar “ketuanan Melayu” itu tidak terlindung dengan mudah di sebalik capal, keris dan destar, atau serban, jubah dan janggut.

Penggerak papan catur

Malah ia juga bukanlah boleh diperoleh daripada doa tuan guru sebelum melangkah ke istana, atau dengan satu sujud syukur yang dirakamkan dan kemudian ditularkan.
Dalam kisah komedi romantik Musang Berjanggut juga sengaja P Ramlee menonjolkan kebijaksanaan bapa Puspawangi, si Kemenyan. Kemenyan pintar mengelak dan mengetepikan krisis yang sengaja dimulakan oleh Megat Alang Sengketa bersama ayahandanya Datuk Laksamana Megat Padang Jarak Padang Terkukur Putra Sangkuriang Prabu Sakti Ratna Galuh Chandra Kirana yang sangat megah dengan keturunan Ayam Belandanya.
Tanpa berselindung P Ramlee memperlecehkan agenda “ketuanan” melalui bahasa filem yang cukup ‘malu’.

Melayu “ketuanan” yang jadi penggerak papan catur sebelum berkumpul di Sheraton itu kini dalam kuali emas kekuasaan. Mereka sedang mengatur permainan agar apa yang telah mereka usahakan tidak akan dapat dicabar dan dikalahkan.
Dengan sebegitulah hal-hal rusuh antara kaum yang selama ini mereka momokkan itu akan selesai sekelip mata.

Rakyat Malaysia barangkali mungkin boleh juga bertanya: Bagaimanakah pemimpin Melayu Islam - yang mewangikan Langkah Sheraton mereka dengan doa tuan guru sebuah parti politik - mahu dikenang?
Hal itu perlu kerana, selain persoalan "apa lagi Melayu mahu" politik Melayu Islam di negara ini sebenarnya penuh dengan pengkhianatan. Dan mungkin itulah yang akan terus dikenang-kenang orang.

Sumber:  Malaysiakini  -  3 March, 2020.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts