Tuesday, 2 February 2021

Kaya Cara Melayu

Mohd Ali


Secara umumnya la. Biasanya sesiapa yg terlibat dengan bidang yg bernilai tinggi akan lebih mudah menjadi kaya atau kaya raya. 

Contoh: 

Antara punca kaum Cina kaya sejak dulu ialah mereka terlibat dalam bidang construction atau property development. Kalau construction atau property development mesti la nilai juta-juta. Sebiji rumah kedai harini dijual pada harga tak kurang 1 juta. Developer boleh buat berpuluh2 atau beratus2 rumah kedai. Dah berapa juta tu. Semua bank bayarkan utk pembeli. Bayangkan kalau margin mereka hanya 15% pun dah cukup lumayan. Katalah dapat tulang je pun nilainya dah cukup tinggi. Belum isi lagi. Ini logik. Bayangkan sejak dulu kaum Cina dah main construction. Berapa banyak duit dah mereka kumpul sejak Merdeka. Nak heran apa kalau mereka kaya raya harini. Org Melayu baru terkial2 nak buat construction. Berapa kerat je player Melayu. 

Sebelum ini, siapa2 yg terlibat dalam bidang Oil and Gas mesti masyuk. Sebab kalau hanya dapat tulang pun dah main puluh2 atau ratus ribu. Overhead rendah je. Margin tinggi giler. Jadi agen cabuk valve pun dah sedap gile. Bayangkan la seketul valve busuk2 pun harga sebuah Myvi 1.5. Oil and Gas bantai beli 1000 biji. Tak kayo pakcik. Ni banyak org Melayu terlibat. Menumpang tuah jadi Bumiputra. Org UMNO pun ramai. Skg susah sikit. Zaman kegemilangan O&G ni dah hampir berakhir. Payah dah la nak dapat laba. 

Satu lagi cara yg cukup org Melayu feberet. Join politik. Tapi nak join pun kena bijak. Kalau ko join parti pembangkang, memang sangap la. Unless la pembangkang menang jadi kerajaan. Boleh merasa gaji besar sikit. Tapi kalau nak tapaw kontrak tak mudah la sbb pembangkang jenis macam DAP memang tak bagi. Semua benda dia nak audit. Tak merasa la Melayu nak kaya mudah jalan belakang. 

Kalau dulu la, pilihan terbaik  ialah join UMNO. Sebab Parti UMNO ni lah jalan paling senang utk Melayu pemalas, kaki klepet tapi akal panjang, nak buat duit mudah. Serius. Jadi ketua cawangan pun dah kaya. Jadi Ketua Bahagian macam si Jamal Jamban pun kayo rayo siap dapat bini lawa lagi. UMNO adalah lubuk duit. 

Selama ni UMNO yg pegang duit negara bilion2 tu. Jadi senang sgt nak agih2 sesama mereka. Kalau takat 1 juta tu kira celah gigi la. Tgk la duit Ku N-n berapa banyak. Main bilion bro. Tgk la duit JJ berapa banyak. Sampai mak dia tuntut di mahkamah. Bilion bro. 1 milion is nothing bro. Maka, nak kaya joinla UMNo. 

Tapi skg susah sikit nak kata sbb si BERSATU tu pun spesis UMNO. Pandai gak nak buat duit. Si Lebai2 PAS tu pun tgh kuat belajar dgn UMNo dan BERSATU. 

Lebai2 celaka tu pun teringin nak kaya raya macam puak UMNO. Lebai baru je merasa pakai Mercedes dah stim habis. UMNO dah tak heran dah kalau takat Merc tu. UMNO siap ada kapal dan jet lagi. Sbb tu UMNO nak kuasa No. 1. 

Si lebai bodoh tu dah habis syok dah dapat 90 juta. UMNO mana cukup banyak tu. Dah biasa main bilion beb. Tgk la Najib dan Zahid punye joli macamana kan. Game UMNO level Godfather. PAS level kucing kurap je. Jadi kalau org Melayu yg jenis tak guna tapi nak kaya cepat, masuklah politik Melayu macam UMNO dan BERSATU. tgk la nanti siapa yg menang.

Secara umumnya, kaum India banyak yg jadi lawyer atau doktor. Bidang ni juga boleh buat duit banyak. Lawyer2 Melayu dan Cina biasanya dah tapaw kontrak2 S&P atau kontrak loan sbb biasanya kontraktor bangunan kan kaum Cina. Dan Bank pulak ada jugak Bank GLC macam Maybank dan CIMB. Jadi logikla kalau kontrak S&P rumah diberikan kpd lawyer Cina. Kontrak Loan dapat la kat Melayu jugak. 

Jadi lawyer Cina dan Melayu tak berapa minat jadi lawyer litigation yg kena berhujah di mahkamah berjela-jela. Leceh. Lambat. Jadi secara automatik, kecenderungan Lawyer2 kaum India utk ambik job2 Litigation utk kes2 jenayah atau pecah amanah. 

Lawyer2 Melayu dan Cina ambik job mudah je. Job kopipes (copy paste) agreement je. Satu fail S&P balun 2-3k. Kalau 100 unit rumah. Tak ke jadi 300K. Duit senang gak la. Overhead bukan tinggi mana pun. Lawyer2 India 'terpaksa' menjadi specialist litigation. Kebetulan kaum India memang petah bercakap. Jadi tak susah juga utk mereka. Jgn ingat tak masyuk. Kena kes menang saman 1 juta, dapat le juga bahagian dia kan. 

Lagi satu bidang yg nilai tinggi. Ialah bidang Real Estate. Tak payah jadi developer. Hanya sekadar jadi Real Estate Negotiator pun dah masyuk gila babas. Itu kira dapat tulang je tu. Bayangkan, sesebuah Real Estate Agent dibenarkan mengambil 50 Real Estate Negotiator (REN) atau bahasa mudahnya salesmen la. Harini harga rumah mana ada bawah 100K. Kalau sorg REN jual sebiji rumah harga 500K, dapat commision 3%, dah dapat 15K. Itu kalau jual sebuah. Itu kalau jual harga 500k je. Rumah skg main 700K-1 juta. Bukan nak merendahkan bidang lain, tapi nak tunjuk sesiapa yg terlibat dgn bidang bernilai tinggi, kalau dapat tulang pun sudah cukup bagus. Mungkin lebih bagus dari bidang lain yg kalau dapat isi besar pun sama je nilai nya dgn tulang bidang nilai tinggi tu. Kerja macam nak mati pulak tu. 

Akhirnya, duit bukan segala-galanya. Akhlak, berkat dan kebahagiaan yg kita cari. Apa guna ada juta2 tapi org sumpah kita. Yg penting berkat. Kalau berkat mestilah halal. Halal belum tentu berkat. 

Harini kita dapat lihat PARTI2 Melayu berebut isi dan tulang. Tulang pun bangsa melayu macam kita belum tentu merasa sbb duit dah nak habis. Mana taknya 62 tahun dok salah guna. Dok membazir. Dok agih2kan kpd golongan2 tak guna. Dok perabih kpd suku sakat, kroni dan kaum kerabat sendiri je. Gunung kalau ditarah lama2 hancur juga gunung tu kan. 

Melayu sudah lama ditipu, tertipu dan dikhianati. Semakin lama semakin merempat lah org Melayu. Hidup UMNO!







Monday, 1 February 2021

Paksaan, sengketa dan agenda Islam yang terpesong

 Dr Rozhan Othman

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan agenda “negara Islam” lebih banyak memberi kekecewaan kepada mereka yang menaruh harapan padanya. Antara inisiatif yang paling awal menggunakan idea “negara Islam” pada kurun lalu ialah penubuhan Pakistan.

Revolusi yang menjatuhkan Shah di Iran juga menggunakan label “negara Islam”. Demikian juga dengan rampasan kuasa tentera di Sudan oleh Jeneral Omar Bashir yang cuba membawa agenda Islam. Pemerintahan Taliban di Afghanistan juga mendakwa ia pemerintahan “negara Islam”.

Namun, bolehkah kita berbangga dengan pencapaian-pencapaian di negara-negara ini? Pakistan lebih dikenali dengan pergolakan politik dan rampasan kuasa oleh tentera yang berlaku berulang kali.

Walaupun agenda Islam diketengahkan oleh rejim-rejim tentera yang memerintah, rasuah berleluasa dan penindasan terhadap wanita terus berlaku. Adakah ini sifat sebuah negara Islam?

Iran pula nampaknya lebih mengutamakan agenda syia`ahnya. Ia sanggup memihak dengan Bashar Al Assad di Syria dalam menindas rakyatnya. Rasuah dan pencabulan hak asasi manusia juga berleluasa.

Di Sudan, Jeneral Omar Bashir akhirnya dijatuhkan oleh rakyat sendiri. Tindak-tanduk pemerintah Sudan dalam menangani konflik di Darfur bukanlah suatu yang boleh dibanggakan. Pemerintahan Taliban pula terkenal dengan pentafsiran Islam yang sempit dan bengis.

Bagi umat Islam yang waras dan berfikiran rasional, sudah tentu akan tertanya-tanya adakah contoh-contoh ini manifestasi terbaik ajaran Islam. Persoalan ini perlu dihalusi jika kita ingin mengelak mengulangi kesalahan yang sama.

Penulisan ini akan menganalisis inisiatif-inisiatif yang cuba melaksanakan apa yang dianggap pendukungnya sebagai agenda Islam. Analisis ini tidak akan melibatkan mereka yang menggunakan retorik Islam tetapi terus membisu sebaik mendapat kekuasaan. Perjuangan golongan ini sekadar omongan sahaja.

Tidaklah keterlaluan jika kita menyimpulkan antara ciri utama contoh-contoh tadi ialah hampir kesemuanya mengambil pendekatan paksaan (coercive approach).

Undang-undang sering digunakan untuk memaksa Islam ke atas masyarakat. Ini kerap kali dilakukan dengan menggunakan instrumen kekuasaan seperti kuasa tentera atau penguatkuasaan oleh polis.

Pelaksanaan Islam sebegini sering mempunyai percanggahan. Golongan bukan Islam diberitahu Islam menghormati kebebasan beragama tetapi mereka dipaksa mematuhi arahan-arahan yang mengekang kebebasan mereka mengamalkan agama mereka. Hudud pula dikatakan akan menjamin keadilan tetapi amalan pilih bulu dalam pelaksanaan undang-undang berlaku.

Jika kita kembali kepada contoh Rasulullah s.a.w., kita mungkin akan mempersoalkan andaian-andaian yang dipegang oleh pendekatan paksaan ini.

Walaupun sudah terdapat hukum menutup aurat dan jenis-jenis makanan yang dilarang Islam, kita tidak pula menemui bukti yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat menghabiskan masa mengintip dan memeriksa cara berpakaian wanita di Madinah.

Mereka juga tidak menumpukan usaha meneliti status halal setiap makanan dan pinggan, periuk dan kuali yang digunakan. Pada hal, wujud golongan bukan Islam di Madinah dan ada sahabat masih tinggal bersama ibu-bapa yang belum memeluk Islam.

Terdapat beberapa perkara yang boleh kita teladani daripada pendekatan Rasulullah s.a.w.:

Pertama, Rasulullah s.a.w. serta golongan muhajirin yang datang bersamanya ke Madinah bukanlah golongan yang kuat dari segi ketenteraan. Sebagai bukti, ketika perang Badr tentera Islam tidak mempunyai senjata yang mencukupi.

Rasulullah s.a.w. terpaksa menyewa senjata daripada golongan Yahudi di Madinah. Oleh itu, baginda tidak berupaya memaksakan apa-apa, termasuklah kedudukannya sebagai pemimpin ke atas masyarakat Madinah.

Kedua, Rasulullah s.a.w. juga tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk memaksa orang Madinah menerima baginda. Bai’ah yang diberi mereka kepada Rasulullah s.a.w. diberi secara penuh rela.

Mereka memberi bai`ah walaupun baginda adalah golongan pendatang di Madinah. Ketiga, Rasulullah s.a.w. dan golongan muhajirin tidak memiliki kekayaan. Oleh itu, kesediaan penduduk Madinah menerimanya bukanlah kerana manfaat ekonomi yang dibawa baginda.

Penelitian di atas membawa kepada satu persoalan asas, iaitu, kenapakah penduduk Madinah menerima Rasulullah s.a.w.? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu meneliti apa yang dilakukan baginda sebaik diterima sebagai pemimpin di Madinah.

Pertama, baginda telah mendamaikan di antara Aus dan Khazraj yang telah lama bersengketa. Baginda boleh menggunakan pendekatan pecah-dan-perintah dengan memihak kepada golongan tertentu untuk menewaskan golongan yang lain.

Baginda juga boleh menyemai kebencian sebagai satu cara mendapat sokongan. Tetapi baginda tidak mengambil semua pendekatan ini. Baginda juga tidak cuba menggunakan kedudukan orang Islam di Madinah untuk menekan dan menyisihkan golongan-golongan bukan Islam.

Kedua, baginda mewujudkan piagam Madinah yang inklusif dan memainkan peranan sebagai kuasa penyatu. Baginda mengisytiharkan “kana ummatan wahidah” yang bermaksud “kami adalah ummat yang satu” dalam menyifatkan hubungan di antara golongan-golongan yang berbeza agama dan bangsa di Madinah.

Ini amat selari dengan kefahaman Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam dan bukan rahmat untuk orang Islam sahaja.

Ketiga, baginda bukan sahaja menjamin kebebasan beragama, baginda juga memberi hak kepada golongan bukan Islam mentadbir hal-ehwal agama mereka. Baginda juga melibatkan mereka dalam perundingan mengenai isu-isu masyarakat.

Nyata di sini pendekatan yang diambil Rasulullah s.a.w. ialah mendamaikan, bukan melaga-lagakan, menyatukan golongan Islam dengan bukan Islam dan bukannya mewujudkan jurang di antara mereka. Baginda menjaga kepentingan semua penduduk Madinah, bukan orang-orang Islam sahaja.

Yang ditekankan baginda bukanlah “ketuanan” dalam ertikata hak mendominasi golongan-golongan lain. Sebaliknya, pendekatan baginda menekankan membina kredibilitinya sebagai pemimpin yang menjaga kepentingan semua pihak. Golongan-golongan lain menerima baginda sebagai pemimpin kerana keyakinan mereka kepadanya bukan kerana dipaksa.

Nyata di sini pendekatan melaga-lagakan, menyemai kebencian, mencetuskan permusuhan serta menggunakan kekuasaan untuk memaksakan dominasi ke atas masyarakat amat bertentangan dengan tauladan yang ditunjuk Rasulullah s.a.w.

Pendekatan bersengketa dan memaksa sebenarnya terpesong dari landasan yang diletak baginda. Apabila gerakan Islam dilihat sebagai membawa mesej yang negatif dan regresif ia akan hilang kredibiliti walaupun penyokong tegarnya berasa teruja.

Dalam konteks di Malaysia, gerakan Islam perlu menjadi jurubicara semua rakyat. Gerakan Islam hanya akan dapat membina kredibiliti ini apabila ia dilihat sebagai membela seluruh masyarakat dan bukan golongan Islam sahaja. Ini digambarkan dalam hadith Rasulullah “Yang terbaik di kalangan manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia”.


DR ROZHAN OTHMAN merupakan mantan pensyarah boleh dihubungi menerusi dr_rozhan@yahoo.com. Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Sumber: Malaysia Dateline bertarikh 15January  2021. 






Popular Posts