Thursday 8 July 2021

Menanti sinar menelan kabur

Al-Abror Mohd Yusuf 


Ada sekurang-kurangnya tiga perkhabaran kematian dilaporkan pada malam Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Umno tidak lagi merelakan ahli parlimennya mendukung Muhyiddin Yassin.

Kematian pertama ialah si 'Lelaki Pisang' yang menjadi Presiden Haiti, Jovenel Moise, yang ditembak dalam serangan terancang di kediaman peribadinya di Petion-Ville, pinggir Port-au-Prince.

Kematian berprofil tinggi kedua pula terjadi Damsyik, Syria. Tokoh pejuang Palestin yang memilih jalan radikal, Ahmed Jibril, menghembus nafas terakhir di sebuah hospital di bandar raya berkenaan.

Dia sudah mengalami masalah kesihatan sejak beberapa bulan lalu.

Kemudian dilaporkan juga Robert Downey Jr kehilangan bapanya, Robert Downey Sr, yang meninggal semasa tidur. Lelaki berusia 85 tahun itu juga seorang pelakon dan pengarah semasa zaman mudanya.

Itu antara kematian yang mendapat liputan berita. Namun bukanlah itu saja kematian yang berlaku. Banyak kematian lain lagi. Misalnya setakat semalam ada 91 orang lagi yang meninggal kerana Covid-19.

Secara keseluruhan sudah hampir 6,000 orang yang meninggal dunia kerana wabak yang tidak pernah ada itu. Hari ini entah berapa puluh - atau ratus - orang lagi.

Kabur tetap kabur

Dalam keadaan begitulah Ahmad Zahid memecah kesunyian awal pagi tadi dengan membacakan teks ucapan yang bagi memaklumkan pendirian Umno. Melalui siaran secara langsung kategori norma baru, ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak nampak tenang sewaktu membaca ayat-ayat yang disediakan lebih awal di depan lensa kamera.

Untuk pertama kali dalam tempoh yang sudah lama, Umno - atau mungkin sebenarnya Ahmad Zahid - kelihatan sedikit jantan dan ranggi. Ia sedikit berbeza berbanding sebelum-sebelum ini apabila Umno - atau susuk Ahmad Zahid sendiri - kelihatan mandom saja.

Ahmad Zahid juga menampakkan rasa marahnya secara simbolik apabila memetik perdana menteri dengan nama yang sah seperti diperakui dokumen rasmi, bukan lagi nama glamor.

Sayangnya kemunculan dan kata-kata Ahmad Zahid bukanlah jawapan kepada kekaburan yang sedang dialami sekarang. Ia mungkin memberikan sebab untuk berlakunya perkembangan baru, tetapi kabur tetap kabur. Dan banyak tanda tanya belum berjawab.

Ia mungkin disengajakan untuk memaksa ramai orang menggunakan masa yang ada berfikir tentang Umno, tentang Putrajaya, tentang Seri Perdana dan banyak lagi.

Atau ia memang kelemahan susunan mesej yang mahu disampaikan oleh Ahmad Zahid. Ingat: komunikasi yang baik ialah proses penghantaran mesej yang jelas dan mudah difahami, bukan berbelit-belit dan membingungkan.

Maka sekarang, ketika orang yang berkuasa atau atasan sana sedang mencatur itu ini, kita pula perlu berfikir mengenai apa yang akan jadi tidak lama lagi. Apa akan berlaku petang nanti. Atau apa akan menimpa kita pula esok lusa.

Seolah-olah masalah yang sudah ada sekarang tidak cukup rumit dan menyesakkan dada sehingga kita perlu pula berfikir untuk Umno, Perikatan Nasional dan orang politik yang ada.

Pun begitu nampaknya kita memang tidak ada banyak pilihan. Mengharapkan keadaan berubah menjadi lebih baik dengan berharap kepada kaedah sama yang diulang-ulang bukanlah sikap yang waras.

Cara wabak Covid-19 diuruskan kelihatan tidak banyak memberi harapan. Ia dibuktikan oleh kes-kes baru dan kematian baru yang dicatatkan dari sehari ke sehari. Tidak ada yang berubah, kecuali - mungkin - penjenamaan semula perintah kawalan pergerakan kepada pelan pemulihan negara.

Belum ada tanda untuk tamat

Ia kira-kira sama seperti membalut buah nangka yang buruk dengan pembungkus baru saja. Buah nangka buruk itu tetaplah buruk seperti adanya.

Apa yang berlaku ialah pelaksanaan strategi pengurusan krisis yang mengutamakan aspek luaran bagi mengolah pemikiran rakyat agar tidak terlalu berang dan rimas dengan situasi semasa.

Hari ini orang ramai akan terpaksa merenung-renung: apa lagi ulah orang politik mahu mencatur bidak masing-masing.

Jangan bimbang. Sepanjang tempoh itu "rakyat" akan tetap meniti di bibir mereka. Apa saja yang bakal dilakukan, ia akan disandarkan kepada kata keramat itu: rakyat.

Lihat saja semalam. Ketika ribuan orang kebuntuan kerana kehilangan pekerjaan atau pendapatan, kerajaan masih melakukan langkah menaikkan pangkat menteri itu dan ini.

Adakah dengan naiknya pangkat itu nasib orang ramai akan terbela? Entahlah. Dan pengumuman itu bukanlah berita terburuk. Yang pasti kenaikan pangkat itu akan membawa kepada keluarnya perbelanjaan tambahan yang semakin besar. Ia tidak akan terhenti di situ saja.

Lalu kita pun akan berhujah tentang maruah. Ia adalah kata keramat yang boleh menyelesaikan banyak masalah dalam negara. Malang sekali lagi kerana maruah orang politik sebenarnya sudah lama mati.

Ia sudah lama keluar dari jasad orang politik lebih awal daripada matinya Moise, Ahmed Jibril atau Downey Sr.

Sekarang yang masih nampak bernyawa cumalah harapan dalam setiap sanubari. Tapi itu pun keadaannya semakin nazak dari satu detik ke satu detik.

Mungkin khabar 'terpaling buruk' itu akan datang esok lusa kerana setakat ini rasanya biawak hidup yang diletakkan di atas bahu rakyat masih terus menggelupur. Bukan satu, bukan dua, tapi berpuluh-puluh!


Sumber : Malaysiakini bertarikh 08 Julai 2021. 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts