Tuesday 21 April 2020

Adham beruntung orang di bawahnya buat kerja cemerlang'

Malaysiakini
Bekas pemangku ketua Pemuda Gerakan, Jason Loo (gambar) berkata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba "beruntung" kerana mereka yang berada di bawahnya melakukan tugas dengan cemerlang dalam menangani wabak Covid-19 di Malaysia.

Loo berkata demikian sebagai membidas Adham yang menurutnya berpolitik ketika barisan depan mempertaruhkan nyawa memerangi Covid-19.

Loo merujuk kepada tindakan Adham menuding jari kepada Pakatan Harapan dengan mendakwa kerajaan sebelum ini kerana membenarkan perhimpunan tabligh di Seri Petaling, Kuala Lumpur Feb lalu

"Adakah anda ada memikirkan petugas barisan depan sebelum membuat ucapan seperti itu?" soal Loo dalam satu kenyataan.

"Doktor, jururawat, kakitangan farmasi dan petugas kebersihan di hospital mempertaruhkan nyawa mereka. Mereka dan keluarga mereka mendapati kenyataan anda tidak menyenangkan.

"Rakyat Malaysia secara amnya menganggap kenyataan anda bodoh," tambahnya.

Menyorot bahawa Adham sendiri adalah seorang doktor sendiri, Loo berkata kenyataan-kenyataan politik menteri kesihatan itu dalam tempoh ini bukan sahaja salah tetapi juga tidak beretika.

"Anda tidak mendapat sokongan politik dengan membuat kenyataan seperti itu.

"Sebenarnya, anda sangat beruntung kerana kebodohan anda diimbangi oleh prestasi luar biasa kementerian anda," tambahnya.

Menurut Loo, Adham dapat meraih sokongan dengan bersikap lebih profesional.

"Anda sepatutnya mengunjungi petugas barisan depan, terutama di kawasan di mana terdapat jangkitan di kalangan kakitangan perubatan untuk memberi mereka sokongan.

"Anda seharusnya menghantar kata-kata semangat setiap hari di Facebook, Twitter, Instagram dan akaun media sosial anda yang lain untuk barisan hadapan. Tetapi, anda tidak melakukannya," tambahnya.

Loo, yang mengatakan bahawa sebuah negara memerlukan pemimpin yang hebat semasa krisis, mengingatkan Adham agar tidak menjadi seperti Presiden AS Donald Trump.

Semasa Adham dilantik sebagai menteri kesihatan, Loo berpendapat bahawa ia adalah pilihan yang baik memandangkan latar belakang perubatan Adham.

"Bagaimanapun, sejak dilantik, anda telah membuat kesalahan demi kesalahan," katanya.

Loo menegaskan bahawa tindakan menteri kesihatan juga mempengaruhi pentadbiran Perikatan Nasional dan Umno.

Artikel ini pertama kali diterbitkan oleh Malaysiakini pada Selasa 21 April, 2020.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts