Thursday 2 April 2020

Mei Fong, kawan Mak Cik Kiah

Faisal Tehrani
Di Pasar Sentul, teman berniaga sebelah Mak Cik Kiah ialah Nyonya Mei Fong. Usia mereka hampir sama. Akan tetapi nasib mungkin berbeza. Kedua-duanya saya kenal sesungguh hati. Memang saya membeli kuih-muih daripada Mak Cik Kiah. Ada pisang goreng dengan sambal cili, dan saya suka cucur udangnya. Auntie Mei Fong pula selalu membekalkan saya sayur, bermacam-macam. Kalau ke pasar, saya tidak perlu bersusah-susah membezakan halia dengan kunyit. Auntie Mei Fong siap membantu.

Suami Auntie Mei Fong sudah meninggal dunia, kira-kira sepuluh tahun. Semua orang di pasar itu tahu, suaminya tahi judi. Mungkin tidak sampai ke Macau atau Genting. Namun, dia kaki judi. Auntie Mei Fong tidak banyak bercakap mengenainya. Saya mengenali anak tunggal Auntie Mei Fong, saya panggil anaknya itu Foo. Cerita tentang ayahnya yang gian main judi saya tahu daripada Foo. Waktu Foo di bangku sekolah, dia datang ke unit apartment saya membuat beberapa kerja kasar yang mudah-mudah seperti membetulkan paip, menampal dinding, dan mengecat. Niat saya memang sengaja menolong. Sekarang Foo sudah belajar di Taipei, Taiwan. Dia mendapat biasiswa besar dari sana.

Suami Mak Cik Kiah masih ada. Saya tidak pernah terserempak dengannya. Saya difahamkan suami Mak Cik Kiah pengikut satu kumpulan. Tidak bekerja. Percaya kepada Rukun Iman dan Rukun Islam, tetapi tidak bekerja. Kebetulan, Mak Cik Kiah juga anak seorang. Namanya Haziq. Sekarang belajar di Universiti Malaysia Sarawak, dan merupakan peminjam PTPTN.

Foo dan Haziq berkawan sejak dari sekolah. Akan tetapi, saya sedari, cara berfikir mereka sedikit berbeza. Haziq memang relaks. Foo, lebih rajin. Haziq suka ke gimnasium dan menayang badan berotot di Instagram. Foo lebih suka menyaring di Twitter, membaca dan kemudian kerap mengutus mesej saya bertanya itu ini. Saya anggap itu perwatakan masing-masing. Ada dua persamaan mereka, pertama; kedua-duanya membaca tulisan saya. Kedua, kedua-dua kehilangan watak bapa dalam hidup. Namun mereka mencari figur ayah itu dengan pendekatan berbeza. Haziq pantang nampak lelaki berusia yang menyinsing lengan, suka berdoa, dan bercakap sopan; habis semua dipanggil abah, diabahkannya. Foo, memendam di dalam.

Sebelum bermula Perintah Kawalan Pergerakan, kedua-dua Haziq dan Foo sempat pulang ke rumah. Apabila wabak Covid 19 menggempur semua umat manusia pelbagai bangsa dan kepercayaan. Ramai yang terhempuk. Mak Cik Kiah hampir hilang segalanya. Nasib Mei Fong sedikit berbeza.

Begini, Mak Cik Kiah tidak banyak wang simpanan. Dia menanggung suami, dia juga menanggung serba sedikit Haziq; dan apabila semua dilarang bekerja dan menetap di rumah - Mak Cik Kiah mati kutu. Mak Cik Kiah menangis. Saya memujuk Mak Cik Kiah, “Buatlah beberapa jenis kuih dan terima tempahan kecil-kecilan supaya dapat dihantar rumah ke rumah. Saya akan beli. Jiran-jiran akan beli juga. Jadi masih ada upah harian. Oleh sebab Haziq ada di rumah, biar dia yang menerima dan mengirim pesanan.”

Buat seketika Haziq menerima cadangan itu, dan Mak Cik Kiah bersungguh-sungguh. Akan tetapi Mak Cik Kiah tidak faham ekonomi. Mak Cik Kiah senang terpedaya. Mak Cik Kiah berhenti menjual kuih mendadak. Mak Cik Kiah senang terangsang. Malah Haziq juga berkhayal selepas Covid -9 semua mati, dia akan meminang kekasihnya, Rina, budak Flat Desa Pandan di Titiwangsa.

Seperkara yang Mak Cik Kiah tidak tahu adalah Bangsar Village adalah tumpuan membeli-belah barang harian untuk tipikal Melayu Damansara. Dengan iPhone dan pencahayaan yang menarik, di sudut yang elok, pose di pasar raya seraya memilih sepapan coklat bermutu buatan Lombardy, Itali akan menjadi, atau kelihatan sungguh merangsangkan, sungguh stimulus. Begitu kemilau.

Mak Cik Kiah percaya dia akan ditolong. Saya bilang kita harus tolong sesama kita. Jangan percaya mainan kata. Apabila saya menegur Haziq dan Mak Cik Kiah, bukan main kedua-duanya melenting. Di hujung perbualan Mak Cik Kiah menyalahkan Cina di Wuhan kerana tidak cukup makan babi, tetapi makan juga tenggiling, ular dan musang. Mak Cik Kiah juga menyalahkan Mohamad Sabu. Mak Kiah salahkan semua, ‘“Bila kita beri Cina muka untuk berkuasa, inilah jadinya.” Haziq malah menambah, “Sekarang Alhamdulillah, kita dah ada orang atas yang sangat prihatin seperti abah-abah.” Saya tidak tergamak bertanya, “Abah kamu di mana?”

Tiga ‘tipe’ Mak Cik Kiah

Saya tidak sempat memberitahu Haziq. Ada tiga tipe Mak Cik Kiah. Pertama, Mak Cik Kiah di Kampung Teluk Penikam, Bagan Datoh. Yang hidupnya serba serbi mudah disogok, dan memadai kalau sepanjang hidup siap dengan Rukun Iman dan Rukun Islam agar mati nanti disambut mesra di dalam kubur. Mak Cik Kiah jenis ini main Facebook. Mak Cik Kiah ini percaya apa sahaja bila Cina diburukkan, dan membantah apa sahaja bila diberitahu Cina dan Melayu, berdarah sama. Mereka akan mengatakan, “Mana nak sama? Kita makan binatang sembelih, mereka makan ular.” Mak Cik Kiah ini tidak mendaftar pilihan raya. Jika pun mengundi, mereka akan kekal mengundi botol cencaluk sampai bila-bila. Kalaupun kita menegah, “Cik Kiah, itu botol cencaluk. Jangan dipangkah.” Mereka akan mengatakan, “Tak apa, lebih baik dari Teo Nie Ching.”

Tipe kedua, ialah Mak Cik Kiah dari suku Melayu Damansara. Suaminya mungkin Tan Sri Muawiyah. Jadi dia Puan Sri Kiah. Anaknya memang tidak ada kerja, sebab ayahnya kelas T5. Untuk mengisi masa lapang anak perempuannya, menyanyikan lagu-lagu soul dan jazz di Youtube. Haziq akan tergila-gila mendengar lagunya. Mak Cik Kiah membeli barang harian di Jalan Batai. Mak Cik Kiah mengulit Instagram dan membeli tudung premium dUck Scarves edisi The Luxe Chiffon Lace dengan harga RM2,500 sehelai. Mak Cik Kiah ini memadai kalau sepanjang hidup siap dengan Rukun Iman dan Rukun Islam agar mati nanti disambut mesra di dalam kubur.

Mak Cik Kiah tipe Damansara ini bermuka-muka. Ya, dengan Melayu di kampung Simpang Renggam, atau yang ditemuinya ketika berterawih di Masjid Umar al Khattab; Mak Cik Kiah akan burukkan Cina juga. Tetapi, sebetulnya, kawan niaga dan sekutu Tan Sri Muawiyah, suaminya semua Cina belaka. Mereka main golf sama-sama. Jadi Mak Cik Kiah main bangsa dan kaum satu jurus, dan jurus kedua dia main kelas atau darjat. Pada Mak Cik Kiah, yang bermakna dalam hidup ialah agar darjat dan kelas T5 kekal tidak terjejas oleh apa virus pun. Dia tidak pandang Mak Cik Kiah Pasar Sentul.

Tipe ketiga Mak Cik Kiah yang ada, ialah Mak Cik Kiah yang membaca banyak, berfikir banyak, menekuni setiap yang dihambur kepadanya. Mak Cik Kiah yang waras. Suaminya berpendidikan. Dia juga berhemat. Anak-anaknya terurus. Dia membeli barang harian dengan jimat. Mak Cik Kiah ini menganalisis status Twitter. Mak Cik Kiah ini tidak memadai kalau sepanjang hidup hanya siap dengan Rukun Iman dan Rukun Islam. Menurut Mak Cik Kiah, kelak Tuhan di akhirat akan bertanya tentang keadilan yang ditegakkan dalam hidup. Sebab Nabi Muhammad datang membawa keadilan. Hanya dengan kebudimanan dan akhlak baik untuk seluruh umat manusia, barulah mati nanti disambut mesra di dalam kubur. Mak Cik Kiah ini temannya pelbagai bangsa. Mak Kiah ini percaya Islam anutannya tidak melanggani perkauman. Mak Cik Kiah ini kritis. Cintanya hanya kepada nusa dan watan. Mak Cik Kiah ini Malaysia pertama, Melayu jatuh nombor sepuluh (atau tiada nombor).

Apabila Foo datang menghantar sayur dan buah yang saya pesankan ke rumah, anak muda itu bertanya saya satu soalan yang melongokan. Apakah sejarah Ali dan Muawiyah yang perlu diketahui Cina, kerana ternyata itu sudah dijadikan hujah.

Saya bertanya kembali, “Untuk apa mengetahui semua ini?”

Tuhan itu Maha Suci

Foo dengan mata berkaca menjawab, “Kerana apa sahaja yang dibincangkan Melayu, hujungnya Cina dipersalahkan. Saya mesti tahu.”

Saya sempat memberitahu Foo, seorang yang bukan beragama Islam, katakan seorang Cina makan pau inti daging babi, atau India estet peneguk todi, tidak pernah membaca al-Quran, dan tidak mengetahui apa itu hadis, apatah lagi tidak pernah mendengar nama Saidina Ali atau Muawiyah. Mereka tidak membaca sejarah Islam. Mereka hanya membaca kamu. Jika kamu sebagai seorang Islam itu menipu, mereka akan membaca kamu sebagai penipu. Jika kamu sebagai seorang Islam itu mengkhianat, mereka akan membaca kamu sebagai pengkhianat. Jika kamu sebagai seorang Islam itu menikam belakang, mereka akan membaca kamu sebagai Kitol pembelot.

Mereka, tidak perlu mengenal Ali atau Muawiyah untuk mengenal Islam. Memadai mereka mengenal atau melihat, seterusnya menaksir tindak-tanduk kamu. Maka jika kamu berdoa setelah berkhianat, atau jika kamu bersujud setelah berkhianat, maka mereka akan menerjemahkan Islam sedemikian. Kamu tidak perlu melalak nama Ali, atau Salahuddin al Ayubi. Kamu tidak perlu menyebut nama Tuhan.

Tuhan itu Maha Suci. Jika kamu khianat, maka kamu khianat. Jangan sesekali menyandarkan nama Allah Yang Maha Adil dan Maha Melihat lagi Maha mengetahui. Allah adalah Tuhan untuk orang-orang kecil. Tuhan untuk orang yang dikhianati. Duit adalah Tuhan untuk bangsawan dan orang-orang kaya. Habuan adalah Tuhan untuk orang yang mengkhianat.

Maka dosa khianat itu terlalu besar. Jika pun kamu menyempurnakan seluruh Rukun Islam, jika kamu khianat maka Tuhan akan menilai kamu sebagai pengkhianat.

Dosa syirik itu menjadi besar kerana khianat. Dosa bunuh itu menjadi besar kerana khianat. Dosa tikam belakang itu menjadi besar kerana khianat. Kamu tidak ada urusan menyebut nama Ali, apatah lagi melafaz nama Tuhan jika kamu itu Qabil yang membunuh, menikam belakang, dan mengkhianati Habil. Urusan kamu hanya dengan iblis. Kita tahu itu sejak awal manusia diciptakan.

Dua belas hari setelah Perintah Kawalan Pergerakan, Mak Cik Kiah terhempuk jatuh terjelopok. Tiba-tiba tup tup Melayu di Sentul memulau Mak Cik Kiah. Duit dalam dompet malah tinggal 50 ringgit. Menurut Foo, suami Mak Cik Kiah positif Covid-19. Tiada orang mahu mendekati keluarganya. Kecuali Mak Cik Mei Fong. Foo datang menggelek tong gas untuk Mak Cik Kiah. Mak Cik Mei Fong memberi separuh duit simpanannya kepada Mak Cik Kiah. Mei Fong membelikan barang mentah makanan untuk kawannya.

“Tapi ini duit simpanan untuk kamu ke Taipe mengikut Foo kelak,” ulas Mak Cik Kiah dalam esak.

Mei Fong hanya menyabarkan sambil menyahut, “Tak apa. Kita sudah lama berniaga sebelah menyebelah di pasar. Kamu susah saya tidak sampai hati. Nama saya Mei Fong, Kiah. Maksudnya burung Phoenix yang bangkit dari abu.”

Mak Cik Kiah terkebil-kebil tidak memahami.

Foo memberitahu Haziq, “Sebuah negeri boleh ketandusan ekonomi dan kehilangan semua simpanan. Tetapi sebuah negeri tidak boleh kehilangan rakyat. Membantu hanya orang kaya, dan melempar sesen dua untuk orang miskin dan papa kedana, bukan cara untuk menyelamatkan negeri.”

Apabila Foo menyampaikan cerita ini kepada saya, yang terluah dari mulut saya dengan linang air mata hanyalah; “Ya Ali benarlah kamu selalu dikhianati, dan duhai Tuhan, duhai kawan; kita jaga kita di saat begini.”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumber: Malaysiakini. -  1 April, 2020.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts