Friday 2 March 2018

Nafi saja tidak cukup, Patriot gesa KWSP bertemu media jelaskan dakwaan skandal

KUMPULAN Wang Simpanan Malaysia (KWSP) harus bertemu dengan pihak media bagi menjawab tuduhan laman web pemberi maklumat Sarawak Report dan tidak hanya menafikan dakwaan tersebut, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini.
Presiden Patriot Briged General Mohamed Arshad Raji (gambar) berkata KWSP, polis dan bank negara harus menjelaskan dakwaan yang mengatakan agensi tersebut telah memindahkan wang ke entiti lain sebagai projek samaran untuk mendanai perbelanjaan pilihan raya.
“Patriot memuji usaha KWSP yang tampil menafikan beberapa dakwaan yang dibuat Sarawak Report, terutama yang merujuk kepada dana tersebut.
“Bagaimanapun, penerangan daripada KWSP melalui kenyataan yang menyanggah dakwaan SR itu tidak cukup bagus.
“Mengambil kira keadaan yang begitu teruk dan jumlah wang yang didakwa terlibat begitu besar, KWSP harus mengadakan sidang media dan menunjukkan bahawa bon yang dipersoalkan itu masih dimiliki agensi berkenaan,” kata Arshad dalam kenyataan.
Dalam posting bertarikh 28 Februari, Sarawak Report mendakwa ada melihat dokumen yang mendedahkan bahawa sebuah kumpulan penggerak didakwa memindahkan dana daripada beberapa agensi yang ada kaitan dengan kerajaan Malaysia seperti KWSP bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Blog tersebut mendakwa KWSP telah memindahkan bon awam bernilai RM10.6 billion ke Limage Holdings SA, yang didakwa dimiliki oleh warga Hungary Gyorgy Matrai. 
Semalam, KWSP berkata ia tidak pernah berurusan dengan Limage Holdings, Limage Southwest Holding, dan individu yang dikenali sebagai Mr Matrai atau mana-mana pihak yang dinyatakan oleh Sarawak Report.
KWSP juga berkata tidak ada dana atau bon yang dipindahkan ke mana-mana syarikat, pihak atau individu yang disebutkan. Agensi itu berkata skim seumpama itu tidak akan dapat melepasi “rangka urus tadbir KWSP yang ketat dan teliti”.
Namun, disebalik penafian itu KWSP sedar akan kewujudan dua surat palsu pada 2015 dan 2016 yang dikaitkan dengan syarikat dan individu tersebut, dan laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.
Laporan polis dibuat pada 28 Oktober 2015 terhadap surat ganti rugi palsu berhubung perjanjian antara KWSP dan Limage Holding SA. Satu laporan lagi dibuat pada 26 Februari 2016 terhadap surat penganugerahan bagi membina dan membangunkan projek bandar perubatan integrasi.
KWSP juga membuat satu laporan polis pada 23 Januari tahun lepas, yang mana menyatakan bahawa agensi itu tidak mempunyai sebarang maklumat atau hubungan dengan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nik Maniki.
Memandakan laporan polis telah dibuat, Arshad berkata polis harus memaklumkan kepada orang awam tentang perkembangan terbaru siasatan berkenaan.
“Bank Negara harus mengeluarkan kenyataan berhubung status bon tersebut.
“Bank Negara juga harus menjelaskan mengenai dakwaan pemindahan sejumlah besar wang ke akaun dolar bank RHB milik sebuah syarikat persendirian, mendedahkan apa yang dibenarkan dalam ruang lingkup had perundangan,” katanya.
Awal minggu ini, Sarawak Report turut mengaitkan penglibatan kumpulan perbankan RHB dalam satu dakwaan skandal kewangan melibatkan KWSP.
Memetik beberapa sumber, laman itu mendakwa AS$1.6 bilion telah dipindahkan daripada KWSP ke dalam akaun dolar RHB Kuala Lumpur yang dimiliki entiti yang kurang dikenali iaitu  TJJR Diversified (M) Sdn Bhd pada Januari, yang mana dimiliki oleh seorang wanita yang didakwa menyeleras projek hospital yang disokong oleh KWSP dan Kementerian Kewangan.
RHB seperti dilaporkan The Edge Markets semalam turut menafikan dakwaan tersebut, sambil menyifatkan ia sebagai tidak berasas dan palsu.
Arshad berkata dakwaan Sarawak Report itu ketika ini kekal tidak berasas.
Bagaimanapun, susulan dakwaan bahawa berbilion telah dilaburkan dalam “syarikat pelaburan yang dimiliki penipu dan melibatkan sogokan”, ia sepatutnya memberikan amaran yang jelas memandangkan Malaysia telah melalui pelbagai episod hitam antaranya melibatkan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) and 1Malaysia Development Bhd (1MDB), katanya.
“Apa yang boleh disimpulkan sekarang adalah ia telah memalukan Malaysia di persada antarabangsa.
“Penjawat awam yang berada di puncak kekuasaan, yang mana telah mengangkat janji kebertanggungjawaban dan kesetiaan, telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam memastikan adanya semak dan imbang, dan gagal untuk mempertahankan dana awam daripada diseleweng,” ujarnya.
Arshad berkata Patriot menyokong seruan Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) dalam pelaksanaan perniagaan secara beretika dalam sektor swasta, dan juga sektor awam.
“BEIM sedang berusaha mempromosi, memelihara dan membina komuniti perniagaan rakyat Malaysia yang utuh mengikut tatakelakuan etika perniagaan contoh dan sihat.
“Penjawat awam dan ahli politik yang berada dalam lembaga pengarah dalam syarikat awam dan GLC harus terlebih dahulu mengikut tatakelakuan seumpama itu.”
Sumber: The Malaysian Insight – 2 Mac, 2018.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts