Thursday, 8 March 2018

Perihal `dia yang pandai politik’

Pyanhabib Rahman
DIA pandai politik, bila dia berhujah dan bertingkah, musuh selalu kalah. Dia cerdik dan pandai akan tipu daya politikus, musuh yang terbakar pun akan tabik dengan kerenah perangainya, walaupun di belakang-belakang, si musuh bukan main tunjuk gedebe.
Dia seorang yang berani bercakap, seorang yang otaknya sentiasa ke depan. Hujahnya selalu tidak salah dan tidak mahu kalah. Barat dan Eropah hormati dia. Dia pernah bikin dan hasut rakyat satu Malaysia `Buy British Last’ dan dia berjaya.
Hari ini musuh melihat dia sebagai seorang tua, seorang tua nyanyuk. Hal-hal lampaunya diselongkar diungkit kembali. Dia diasak ke dinding dan diingatkan semula akan kejadian-kejadian masa lalu, tahun-tahun lampau sejumlah 22 tahun dia berkuasa.
Dia kini di oposisi. Dia kini diarak dan dihingar-bingar akan kembali sebagai perdana menteri. Otak gua pernah terjentik bahawa jika benarlah Malaysia politiknya demikian kacau dan segala tidak keruan seperti hari ini, alangkah bagus jika pemilik batang tubuh bernama Mahathir bin Mohamad, pengganti Hussein Onn pada 6 Julai 1981 itu, dibiarkan saja kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Gua tidak tahu sama ada dia benar-benar bercita-cita untuk kembali berdiri sebagai perdana menteri, atau barangkali cita-cita itu tumbuh kerana diasak orang-orang di sekelilingnya. Atau dia sebenarnya tidak bercita-cita pun tetapi ditolak oleh keadaan.
Musuh melihat dia sebagai diktator maka biarkan saja dia berdiktator. Kerana diktatornya itulah, semasa dia seorang perdana menteri, yang otaknya sentiasa ke depan itu, dia mengarahkan pembangunan bandar dan pinggir Kuala Lumpur diperlahan malah dihentikan.
Itu `bukti’ kediktatorannya. Betapa prihatin dia terhadap ibu kota negaranya yang serabut dan bersimpang siur oleh pembangunan tidak terkawal bagai.
Dia tidak hanya bercakap dan mengarah sebaliknya dia bekerja, meninjau dari udara melihat kesesakan jalan raya Kuala Lumpur, melihat kepadatan bangunan-bangunan, melihat penggondolan teruk hutan di lereng bukit sekitar Hulu Klang.
Dia marah melihat kemusnahan hutan dan pembangunan melampau di persekitaran Kuala Lumpur, kota pentadbiran di mana bertempatnya Parlimen. Kita boleh nampak kesungguhannya untuk mengurangkan benda yang menyesakkan Kuala Lumpur apabila dia dengan otak yang tersangat ke depan menghadirkan secara nyata akan `mimpinya’ apabila dia dengan kediktatorannya meneroka belantara untuk djjadikan bandar raya dan pusat pentadbiran yang barangkali tidak terjangkau oleh otak orang lain.
Ya, dia meruntuhrantahkan hutan belantara wilayah Sepang dan menjadikannya sebagai bandar pentadbiran Putrajaya, Lembah Silikon Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malah gelanggang lumba kereta laju Formula One. Segala yang dimimpi dan dinyatakan itu adalah untuk masa depan Malaysia, untuk kebanggaan anak cucu cicit Malaysia.
Dr Mahathir harmonikan ibu kota Kuala Lumpur daripada kesesakan, dia memindahkan pusat pentadbiran ke Putrajaya, siap dengan taman perumahan tanpa pagar.
Kuala Lumpur hari ini apa jadi?
Kepadatan terus melampau, bangunan tinggi terus menjulang malah akan muncul bangunan yang lebih tinggi dari apa yang telah ditinggikan di zaman Dr Mahathir iaitu Menara Berkembar Petronas.
Untuk kamu yang lupa atau tidak pernah tahu, Dr Mahathir inilah antara lain mencetuskan Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah. Dia juga mewujudkan `punch card’ agar kamu mematuhi waktu pejabat. Dialah yang mempercepatkan waktu 30 minit ke depan – diseragamkan waktu Sabah dan Sarawak – untuk membolehkan kamu yang bekerja aktif bersukan dan ibu bapa bekerja sempat pulang ke rumah dan punya masa bersama anak-anak.
Ada jenaka yang betul: Tak ada Mahathir tak ada KLCC. Tak ada Mahathir tak ada lebuh raya, tidak ada LRT, Putrajaya atau KLIA. Malah Formula One dengan jenama Petronas, dialah otaknya. Dialah yang mengibar bendera Malaysia ke seluruh dunia melalui kereta laju itu.
Proton, jenama kereta kebanggaan Malaysia, dia yang bikin idea! Ditakdirkan Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia yang maju makmur ini, gua tetap bertawakal dan Dr Mahathir kena waspada, Ha ha ha!
Ya, Dr Mahathir kena waspada dengan isu seumpama PPSMI kerana benda ini adalah benda yang `menghalalkan’ gua dan kawan-kawan untuk angkat sepanduk di jalan raya dan kebetulan pula gua tukang angkat sepanduk sambilan yang sepenuh masa.
Dan kamu yang melihat Dr Mahathir sebagai diktator sebagai mahazalim, tentu seronok sekiranya dia kembali menjadi perdana menteri selepas PRU14. Ini peluang kamu yang muda-muda untuk kembali aktif pada setiap minggu setiap bulan mengangkat sepanduk, berarak berunjuk rasa sesedap hati.
Tetapi apa jadi pada hari ini?
Segala bagai sudah termasuk ke dalam mulut buaya.
Sumber: The Malaysian Insight – 8 Mac, 2018.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts