Friday, 2 March 2018

Teladan kisah lama dari Jerman

Wan Hamidi Hamid

SEJAK berpuluh tahun lamanya pembangkang melawan untuk menggantikan Barisan Nasional sebagai kerajaan. Semuanya gagal. Satu-satunya detik cemerlang adalah pada pilihanraya umum 2013 apabila 52% pengundi telah menolak BN.
Malangnya untuk gabungan pembangkang, manipulasi persempadanan semula kawasan pilihanraya telah membolehkan BN terus berkuasa walaupun kalah undi kerana ia menang kerusi. Ia tetap kekal sebagai kerajaan.
Sepanjang penggal ini, pimpinan BN gelojoh dengan pelbagai skandal mega 1MDB, Felda, Mara dan sebagainya. Ekonomi gawat dan ringgit merudum. Untuk menampung kesalahan sendiri, ia memperkenalkan pula cukai regresif GST.
Bertambah parah kewangan rakyat. Jurang di antara kaya dan miskin semakin melebar.
Tiada jalan lain kecuali kita mengubah kerajaan. Nampaknya setakat ini semuanya berjalan lancar apabila Anwar Ibrahim rela bekerjasama dengan bekas musuh politiknya Dr Mahathir Mohamad demi menentang kleptokrasi pentadbiran Najib Razak.
Namun, yang disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kini ada pula suara-suara yang membangkang pembangkang.
Mereka ini menyerang Pakatan Harapan seolah-olah Pakatan Harapan adalah kerajaan persekutuan Malaysia. Malah, mereka sanggup membenarkan diri dipergunakan jentera dan media kawalan BN untuk mengutuk PH seolah-olah PH yang terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berpuluh bilion ringgit.
Golongan ini yang mengaku pembangkang dan menentang BN kini menjadikan PH sebagai sasaran serangan mereka.
Sebagai renungan terhadap suasana yang sedikit kecoh ini, izinkan saya mengulangi sebuah kisah lama yang berlaku di Eropah hampir seabad lalu. Saya pernah menulis hal yang sama ini di ruangan lain.
Niat saya semoga ia diteladani agar kalangan kita yang marah-marah dapat bertenang seketika, dan tidak perlu membakar kelambu kerana marahkan seekor, dua nyamuk.
Kisahnya berlaku di negara Jerman pada pada awal tahun 1930-an. Dalam pilihanraya 1928, parti Nazi hanya menang 2.8% undi berbanding Parti Sosial Demokrat 29.8% dan Parti Komunis 10.6%.
Pada masa itu, tiada siapa yang mengambil serius tentang Nazi yang diketuai Adolf Hitler yang membenci Yahudi dan kaum-kaum lain yang dianggapnya tidak setaraf dengan bangsa kulit putih Arya. Baginya, segala kemelesetan ekonomi Jerman berpunca daripada Yahudi walaupun ia merupakan fitnah.
Rakyat Jerman, termasuk golongan elit dan kelas pertengahan pada mulanya menganggap Nazi sebagai parti golongan samseng jalanan yang sekadar bahan ketawa.
Pada masa yang sama, parti arus perdana seperti Sosial Demokrat dan Komunis cemburu dan benci sesama sendiri. Mereka lebih banyak membuang masa bertegang leher tentang siapa lebih kiri, siapa lebih sosialis; sedangkan masalah ekonomi semakin teruk melanda negara Jerman.
Kerana itu, Sosial Demokrat dan Komunis enggan bekerjasama, malah menganggap saingan sebagai musuh utama. Lebih dari itu, kedua-duanya melihat Hitler dan Nazi sebagai bodoh, gila publisiti dan dipandang rendah sebagai kumpulan rasis yang angan-angan kuasa.
Kedua-dua Sosial Demokrat dan Komunis yakin golongan kelas pertengahan dan kaum pekerja tidak akan terpengaruh dengan retorik perkauman Hitler. Mereka tidak sedar apabila negara dilanda krisis ekonomi, hujah ilmiah dan teori ekonomi tidak akan lekat pada hati rakyat.
Yang mudah diterima rakyat ialah musuh-musuh jelmaan. Ceramah, fitnah dan berita palsu Hitler yang menyalahkan Yahudi serta kaum-kaum “pendatang” sebagai punca krisis ekonomi Jerman mula diterima rakyat majoriti. Mereka mula yakin Yahudi dan pendatang perlu dihapuskan.
Krisis politik Jerman memaksa satu lagi pilihanraya diadakan pada 1930 di mana Nazi mencatat keputusan mengejutkan, iaitu berjaya meningkatkan sokongan daripada 2.8% kepada 18.3%!
Malah, Nazi menarik sokongan undi daripada pengundi asal Sosial Demokrat manakala Komunis turut bertambah menjadi 13.1%. Sedangkan jika Sosial Demokrat dan Komunis bergabung pada masa itu, undi bersama mereka adalah lebih kukuh, iaitu 37.6%.
Tetapi dalam keadaan genting itu pun, mereka masih tidak peduli. Komunis terus menyerang Sosial Demokrat yang dituduh tidak cukup sosialis. Lebih teruk lagi golongan sosialis sederhana itu didakwa oleh Komunis sebagai fasis sosial, seolah- olah Sosial Demokrat sama sahaja dengan Nazi.
Apabila krisis politik berterusan, dua lagi pilihanraya diadakan pada 1932 sehingga menyebabkan rakyat bosan dan kecewa, dan akhirnya beralih kepada retorik perkauman. Nazi menang dengan mencatatkan lebih 33% undi.
Pada saat itu nasi sudah menjadi bubur. Majoriti rakyat Jerman sudah termakan dakyah, dakwah dan dedak Nazi. Selepas itu, Hitler mula menunjukkan taringnya dengan menahan tanpa bicara semua penentang rejim serta kaum-kaum dan golongan-golongan yang mereka benci. Ramai yang diseksa, didera, malah dibunuh.
Yang menjadi mangsa-mangsa awalnya adalah para pemimpin dan ahli-ahli parti Sosial Demokrat dan Komunis sendiri.
Lebih dahsyat lagi, kegagalan golongan progresif Jerman menyekat kebangkitan Nazi telah membawa kepada meletusnya Perang Dunia Kedua (1939-45) berikutan keghairahan Hitler untuk menawan dunia. Perang itu mengorbankan lebih 80 juta umat manusia, kebanyakannya orang awam.
Teladannya mudah – jika kita tidak bersatu menentang musuh yang lebih besar dan lebih berbahaya, padah akan menanti kita. Walaupun kita berbeza pandangan, banyak hal yang boleh kita kompromi.
Jika terlalu besar kepala dengan idea kita sahaja, malah mendabik dada menjaja “prinsip” seolah-olah orang lain tiada prinsip, maka bersiap-sedialah untuk menderita di kemudian hari.
Lebih elok jika berat sama-sama kita pikul, ringan sama-sama kita jinjing. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. 
Sumber: The Malaysian Insight – 2 Mac, 2018.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts