Jenis manusia yang apabila kantoi, ditariknya semua orang lain sekali masuk dalam lombong dengan dia ni, eloklah jangan dibuat kawan.
"Mak bapak pun dia tergamak 'jual' apabila terdesak," kata guru saya Fauzi Oslaini yang kini sedang tekun beruzlah di Kampung Ketapang Hilir di bandar Pekan, Pahang.
Kampung Ketapang ini dulu terkenal sebagai kampung kaki bertumbuk. Sama seperti Kampung Tanjung Api di Kuantan.
Bezanya cuma, apabila gengster Kampung Ketapang masuk Kuantan, kami gelakkan saja. Orang Pekan jadi gengster, apalah sangat.
"Kawai henta kepaler aok. Aok nok kene hencang?" begitu kata-kata mereka semasa mengugut. Tapi itulah, nak mengugut pun bunyi macam punchline pelawak yang tak menjadi.
Ya, lah... orang Pekan, bagaimana hebat sekalipun akhirnya mereka akan dipandang sebagai pelawak. Dan yang paling lawak ialah mereka yang tidak sedar mereka sedang ditertawakan habis-habisan.
Resam berlawan
Baik, berbalik kepada cerita asal.
Perbuatan menyalahkan orang lain atas kesilapan sendiri demi menyelamatkan diri adalah perbuatan khianat yang payah nak diampunkan.
Ia tentu saja menjadi lebih malang apabila kita mengheret bersama kita orang yang sudah meninggal dunia. Kita membawa mereka masuk dan bergelumang dalam lubang yang kita gali sendiri itu.
Kami tidak mahu komen jika ada orang atau partai tertentu membaham RM90 juta seperti yang dituduh. Itu sesuatu yang perlu disiasat oleh pihak berwajib.
Apa yang mahu kami katakan ialah, perbuatan membuka aib orang lain demi untuk menghalalkan perbuatan sendiri - seperti bercerita kepada dunia bahawa bapa kita juga seorang pembohong - dalam apa hal sekalipun adalah perbuatan derhaka.
Itu bapa kamu orang yang dihormati semua orang. Tidak ada sesiapa pun yang berani untuk bercerita buruk mengenai beliau atas perilaku yang dilihat semasa beliau masih hidup.
Mungkin ada musuh-musuh politiknya yang semasa kempen pilihan raya bercerita belakang-belakang mengenai beliau. Dan memang begitulah resamnya orang berlawan.
Mencari lemah musuh dan dijadikan senjata ampuh untuk menjatuhkan.
Itu biasa. Namun untuk seorang anak menceritakan kepada seluruh dunia rahsia yang sepatutnya dipegang kecuali dalam kalangan keluarga terdekat, ia adalah perbuatan jahat.
Tidak ada angin, tidak ada ribut, kamu babitkan nama beliau dalam kerja jahat kamu itu. Hitam betul hati kamu.
Dihormati semua kaum
Kami menghormati arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai seorang tua yang mengamalkan agama dengan amat tekun. Semua orang pun begitu - menghormati beliau kerana tuhan.
Tingkah laku arwah adalah berhemah dan cakapnya berlapik. Beliau dikenal sebagai seorang yang tahu dan mengamalkan agama.
Gambaran seorang yang berusaha kuat untuk taat dan mencintai agama ada pada diri beliau. Sesiapa sahaja yang berusaha dalam beragama akan menjadikan beliau sebagai suri teladan.
Bahkan beliau dihormati oleh semua orang daripada semua agama dan bangsa di negara ini.
Untuk seorang anak - yang tentu saja beliau kasihi - mengeluarkan kata-kata memberitahu seluruh alam bahawa bapanya seorang pembohong, membuatkan kami amat kecewa, sedih dan terlalu marah.
Politik akan sentiasa menjadikan kamu bodoh, dan kebodohan paling tinggi ialah apabila kamu menyeret nama arwah bapa kamu bersama kejatuhan kamu.
Apa dosa yang telah beliau lakukan kepada kamu sehingga kamu sampai hati menjatuhkan beliau yang tentu sekali tidak dapat menjawab tuduhan kamu itu?
Katakanlah bahawa kononnya benarlah partai kamu gelojoh wang ringgit dan berpinar biji mata apabila ditawarkan wang berkenaan, lalu kamu pun menerimanya.
Apabila ditanya, katakan saja bahawa memang benar kamu mengambilnya. Tipulah kami dengan sejuta alasan atas apa nama sekalipun. Perpaduankah, Islamikah. Apa saja, kerana memang itu pun kerja kamu dalam berpolitik. Menipu dan mempertahankannya.
Kami yakin setelah sekian-sekian masa, hal itu akan dilupakan orang, malah penyokong kamu juga akan mencari jalan memaafkan kamu beserta dengan rasional mengapa kamu berbuat demikian.
Kemudian hal itu akan menjadi sejarah.
Berkurun ditipu politikus
Namun dek kerana degilnya kamu dalam mempertahankan silap mata itu, tergamaklah kamu memalukan bapa sendiri.
Apakah si bapa tidak mempunyai isteri yang masih hidup? Apakah ibu itu tidak mempunyai perasaan sehingga kamu tergamak melukakan mereka berdua?
Kamu mahu korup, silakan, kerana sudah berkurun kami ini ditipu sang politikus.
Mahu ke hulu, ke hilir bermotor besar idaman kalbu, silakan, kerana memang tahap itu saja pemikiran kamu.
Namun mengaitkan orang tua sendiri sebagai alasan yang membenarkan kamu berkata bohong adalah sikap sorang anak yang - walau telah diberi agama - derhaka.
Lalu bagaimana kamu mahu memohon maaf daripada beliau sedangkan agama kita tidak pernah mengajar cara bagaimana memohon ampun daripada orang yang telah meninggal dunia.
Mereputlah kamu dengan kejahatan dan cemar yang kamu lakukan itu.
Orang lain sibuk mendoakan ibu bapa yang sudah tiada, memohon perjalanan mereka di alam abadi dipermudahkan, tapi kamu ikut sedap tekak dan mulut mengata bapa sendiri demi kelangsungan politik.
Seorang anak si pencuri pun tidak akan memberitahu sesiapa pun yang bapanya ialah penyangak.
Seseorang yang berperut busuk memang gemar kentut meraka-rata. Apabila baunya dihidu orang, kamu pun menunding jari menuduh orang lain juga kaki kentut seperti kamu.
Dah terbiasa begitu. Selepas onar terdedah, dengan bersahaja kamu tidak teragak-agak malukan bapa sendiri asal saja kamu tidak dipersalahkan sangat.
Baser bodo.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penyair, penulis, dan seorang bapa yang banyak aibnya.
No comments:
Post a Comment