Sunday 10 February 2019

Perbicaraan Najib bermula Selasa

AFP  -  10 Februari, 2019
KUALA LUMPUR: Najib Razak akan mula dibicarakan minggu ini berhubung skandal kewangan luar biasa yang mengakibatkan tumbangnya pemerintahan berusia lebih 60 tahun pimpinan beliau, dan gemanya kedengaran ke seluruh dunia.
Bekas perdana menteri itu berserta “kroni” beliau dituduh mencuri wang berjumlah AS$4.5 bilion daripada dana pelaburan kerajaan, 1MDB dalam satu penipuan besar-besaran yang merentas dari Switzerland hinga ke kepulauan Seychelles.
Wang terbabit didakwa digunakan untuk mendanai pembelian mewah global – sebuah kapal layar mewah berharga AS$250 juta, hartanah mewah, lukisan Monet dan Van Gogh – merupakan antara item yang dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada pembayar cukai.
Skandal tersebut turut melibatkan selebriti, dengan individu yang didakwa sebagai perancang utamanya dilihat berparti dengan Leonardo DiCaprio dan Paris Hilton.
Dalam pada itu, kerajaan baru Malaysia menuduh bank gergasi Wall Street, Goldman Sachs, mencuri wang berjumlah berbilion ringgit sewaktu bekerja dengan 1MDB.
Kejengkelan awam terhadap skandal tersebut memainkan peranan utama dalam kekalahan pilihan raya Najib – yang menubuhkan dana tersebut – dan gabungan politik pimpinan beliau yang memerintah Malaysian tanpa-henti sejak kemerdekaan daripada British pada 1957.
Sejak kekalahan mengejutnya dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, pemimpin berusia 65 tahun itu telah ditangkap dan didakwa dengan 42 pertuduhan berkait skandal tersebut. Beliau berkali-kali menafikan sebarang salah laku.
Jauh daripada berdiam diri, bekas pemimpin aristokratik itu melancarkan satu kempen publisiti bertujuan mewajahkan dirinya sebagai pemimpin rakyat dan kerap melemparkan sindiran tajam terhadap kerajaan baru.
Perbicaraan minggu ini, bermula Selasa depan, tertumpu kepada pertuduhan bahawa wang berjumlah RM42 juta (AS$10.3 juta) dipindahkan dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, ke akaun bank peribadi milik Najib.
Kes tersebut melibatkan 3 pertuduhan pengubahan wang, 3 pecah amanah jenayah – apabila seseorang dituduh secara tidak amanah menggunakan sesuatu yang diamanahkan kepadanya – dan 1 pertuduhan salah guna kuasa. Najib mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Lebih banyak pertuduhan
Selasa adalah salah satu daripada beberapa perbicaraan yang bakal dilalui Najib dalam isu 1MDB dan melibatkan sebahagian daripada semua wang yang dikatakan dicuri daripada dana kerajaan itu, serta wang berjumlah AS$681 juta yang didakwa sudah berada dalam akaun peribadi beliau.
Bagaimanapun permulaan bagi perbicaraan pertama tetap dilihat sebagai detik penting dan berkemungkinan meredakan tekanan ke atas kerajaan baru susulan kritikan bahawa ia lambat bertindak berhubung kes 1MDB.
“Ia adalah detik penting, walaupun sedikit terlewat,” kata Cynthia Gabriel, yang merupakan anggota sebuah jawatankuasa kerajaan yang ditubuhkan bagi menyiasat skandal berkenaan.
“Sangat kritikal bagi kerajaan baru untuk menangani dan menyelesaikan skandal terdahulu,” tambah Cynthia, yang mengetuai sebuah pertubuhan bukan-kerajaan bagi memerangi rasuah dan kronisme, C4.
Najib dan pasukan peguam beliau menyifatkan kes terhadapnya sebagai perbuatan membalas dendam kerajaan baru yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad – bekas mentor yang kini menjadi musuh Najib.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketua pasukan peguam Najib, melabelkan perbicaraan akan datang itu sebagai “berbau politik”.
“Jika anda berikan saya hakim yang telus, sistem kehakiman yang telus dan saksi diberikan kebebasan serta tidak dilatih, saya akan menang kes ini,” katanya kepada AFP.
Tarikh perbicaraan ditetapkan sehingga hujung Mac. Pihak pendakwa dijangka memanggil beberapa puluh orang saksi.
Dalam beberapa minggu terakhir ini, Najib muncul sebagai satu fenomena sosial yang tidak dijangka. Beliau mendapat sejumlah besar pengikut atas talian dengan menyerang dasar kerajaan baru dan memuat naik gambar lawatannya ke rumah rakyat di mana beliau bercakap dengan mereka tentang masalah ekonomi.
Dalam satu episod paling menakjubkan, Najib memuat naik klip video beliau menyanyikan versi Melayu lagu hit 1970-an, Kiss and Say Goodbye, dengan diiringi penyanyi latar. Melaluinya beliau menuduh kerajaan baru mempunyai agenda “balas dendam dan fitnah”.
Ia merupakan satu pusing balik luar biasa bagi individu yang dilihat kehilangan sentuhan dengan rakyat biasa semasa menjadi perdana menteri selama 9 tahun.
Bridget Welsh, seorang penyelidik mengenai Malaysia di Universiti John Cabot berkata, “imej baru itu direkayasa dan tidak berkait dengan imej semasa beliau berkuasa.”
“Saya percaya, perbicaraan (yang bakal berjalan) akan merosakkan kedudukan Najib,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts