Thursday 27 April 2017

Tun Mahathir persoal ke mana pergi duit yang dibayar kepada syarikat palsu Aabar BVI








KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pengumuman penyelesaian pertikaian hutang antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petroleum Investment Company (IPC).
Pengkritik lantang syarikat kerajaan tersebut berkata, perjanjian antara 2 entiti itu tidak menyelesaikan masalah kerana 1MDB membayar hutangnya sebanyak 2 kali.
“Kena ingat, wang itu sudah disampaikan kepada (anak syarikat) IPIC (melalui anak syarikat) Aabar BVI, tetapi mereka kata itu bukan syarikat mereka.
“Nampaknya 1MDB bayar kepada syarikat palsu. Sekarang nak bayar sekali lagi kepada syarikat tidak palsu… Jadi kita rugi 2 kali,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam.
Mengulas lanjut, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Aabar Investment PJS Ltd (Aabar BVI) sememangnya anak syarikat IPIC yang sah, yang dinafikan syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu.
Menurut Malaysiakini, beliau berkata ia berdasarkan rekod yang diberikan 1MDB kepada PAC sebelum ini, dan disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands bertarikh 11 Ogos 2016.
Minggu ini, IPIC dan 1MDB mengumumkan mereka sudah menyelesaikan pertikaian hutang tersebut, melalui persetujuan yang menyatakan 1MDB akan membayar AS1.2 bilion (RM5.25 bilion) kepada IPIC.
Dalam persetujuan itu, yang dilaporkan kepada Bursa Saham London, 1MDB akan membayar AS$1.2 bilion dalam 2 ansuran pada Julai dan Disember kepada IPIC, selepas pertikaian antara 2 syarikat itu di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.
1MDB juga akan bertanggungjawab terhadap semua pembayaran faedah pada masa akan datang dan pembayaran prinsipal bagi 2 bon terbitan syarikat-syarikat Kumpulan 1MDB Group yang bernilai AS$3.5 bilion, yang berakhir pada 2022.
Perjanjian itu sebelum ini dikritik Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.
Mahathir menegaskan isu utama adalah ke mana sebenarnya wang yang dahulunya dikatakan dibayar kepada IPIC.
“Duit kepada syarikat palsu ini pergi mana, siapa yang dapat? Ini masalahnya.”

Sumber: Amanah Daily/April 27, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts