Saya mengambil sedikit masa untuk mencetak luahan rasa hati mengenai serangan yang dibuat ke atas Hannah Yeoh baru-baru ini.
Tulisan tersebut kini disebar luas malah telah menjadi modal propaganda jahat yang bertujuan untuk memfitnah dan merosakkan reputasi beliau sebagai seorang pemimpin DAP dan Speaker di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Jujur saya katakan, semenjak timbulnya isu ini, saya telah cuba menulis mengenainya. Niat di hati agar ia dapat melegakan gundah gulana di hati beliau. Namun, setakat rencana ini cuba ditulis, saya hanya mampu mengulum rasa. Berat lagi bahu yang memikul.
Kata-kata yang lunak pun tidak mampu melukis kerungsingan hati saya dengan apa yang berlaku ke atas beliau. Saya benar-benar terkesan dengan fitnah jahat yang dilemparkan kepadanya.
Melihatkan kepada dedikasi, kesungguhan dan keikhlasan yang ditunjukkan selama mana saya mengenali beliau secara peribadi, membuatkan semua dakwaan tersebut menjadi sangat tidak adil untuk dirinya.
Ketika mula-mula bertemu dengan beliau selepas saya mengirim e-mail menyuarakan hasrat mahu menyertai DAP sekitar 5 tahun yang lalu, berbekas dalam memori sehingga kini apabila beliau mengajukan soalan penting ketika pertama kali kami bertemu;
“Mengapa orang seperti saya yang kelihatan seperti penyokong Anwar Ibrahim, berwajah seperti orang PAS tetapi memilih untuk menyertai DAP?”
Seingat saya, saya tidak menjawab dengan sempurna ketika itu. Tetapi saya tidak menyesal, kerana rupa-rupanya saya berpeluang menjawabnya hari ini.
Saya memilih menyertai DAP kerana diri beliau sendiri!
Mustahil saya boleh memahami DAP hanya berbekalkan maklumat dari luar parti tanpa masuk menyertainya sebagai ahli. Dan masakan pula saya akan menyertainya tanpa ada individu-individu yang memberi tanggapan yang baik serta mendorong saya menyertainya. Ya. Hannah Yeoh lah orangnya!
Walaupun baru sahaja menyertai DAP, beliau tanpa teragak-agak memberi peluang kepada saya berkongsi pentas ceramah semasa kempen pilihanraya DUN Subang Jaya dalam pilihan raya umum (PRU) 2013.
Melalui penyertaan saya di dalam kempen tersebut, beliau komited menonjolkan kepelbagaian kaum dan agama bagi membuktikan idea pembentukan bangsa Malaysia ini boleh dijayakan.
Hannah juga kerap memperkenalkan saya sebagai seorang Muslim yang taat kepada agama (religious person) di hadapan ahli-ahli parti dan para penyokong dalam mana-mana program yang diadakan. Sebetulnya saya tidak pun layak pun diperkenalkan begitu, tetapi beliau berbangga melakukannya.
Beliau percaya, nilai-nilai yang baik dalam agama akan membentuk pemimpin yang baik dan kepimpinan yang baik membina negara yang baik untuk rakyat.
Rakyat Malaysia seharusnya mengutuk mereka yang terbabas dari landasan agama sehingga membenarkan diri menjadi perompak khazanah negara yang memberi kesan kepada rakyat.
Menjadi seorang Hannah Yeoh yang komited dengan agama dan memandunya menjadi pejuang politik yang amanah, telus dan adil melangkaui batas agama dan kaum seharusnya dipuji dan bukannya difitnah dengan sebegini jahat.
*Nor Miswary bin Ramli adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya
Sumber: Roketkini.com/May 17, 2017.
No comments:
Post a Comment