Saturday, 3 November 2018

Apa ertinya menjadi Melayu dan Islam

Zolkharnain Abidin

Negara ini sebenarnya milik Tuhan, bukan milik kita. Tuhan menjadikan negara ini sebegini supaya ia boleh dikongsi dengan orang lain.
Jika Tuhan mahu, Dia boleh menjadikan negara kita ini hanya untuk dihuni oleh umat Melayu Islam saja, tapi Dia tidak menjadikan negara ini begitu.
Agaknya, apa jadi pada negara ini jika ia hanya dihuni oleh orang Melayu Islam saja?
Pada masa sama kita juga mahu orang kafir Switzerland berkongsi negara mereka yang indah itu dengan orang Islam di sana.
Kita mahu orang kafir Finland berkongsi sistem pendidikan mereka yang canggih itu bersama-sama semua orang, termasuk orang Islam di sana.
Di AS, kita mahu kafir Uncle Sam itu berkongsi teknologi negara mereka dengan orang Islam yang di sana.
Kita masih bertegas bahawa orang kafir di China, di India, di Thailand, di Fiji, di Macau dan sebagainya berkongsi bumi mereka dengan orang Islam yang tinggal di sana.
Cara menjadi tuan
Katakanlah di sini, kita kata bahawa bumi ini milik datuk nenek moyang kami orang Melayu. Justeru semua orang bukan Melayu atau kafir bolehlah nyah dari sini.
Mengapa? Sebab kami tuan di sini.
Kemudian bagaimana pada masa sama orang kafir Switzerland pula bersuara dan menuntut supaya bumi tempat datuk nenek moyang mereka tinggal itu tidak layak didiami oleh orang Islam?
Bagaimana kalau mereka berkata kepada orang Islam: "Nyahlah kalian orang Islam dari sini kerana kami tuan di sini"?
Bukankah dunia akan menjadi huru-hara jika penduduk Bumi ini saling halau-menghalau sesama mereka?
Jika orang Melayu Islam mahu kekal sebagai tuan di negara ini, satu-satunya cara untuk menjadikan kehendak itu dihormati ialah dengan menunjukkan perangai yang baik.
Ketuanan Melayu Islam tidak akan tertegak dengan kuliah-kuliah yang membodohkan umat Islam oleh para agamawan yang bertindak sesuka hati di mana-mana, termasuk di rumah Allah.
Kemudian di satu sudut lain dalam dunia ini, ada orang Islam sengaja membuka akaun palsu di Facebook dengan niat untuk memudahkannya memaki orang lain sesuka hati tanpa perlu dikenali.
Akhlak seorang tuankah kalau begitu?
Allah menjadikan manusia untuk bersaing sesama sendiri secara sihat, termasuk berlumba-lumba berbuat kebaikan supaya semua orang yang beragama boleh menikmati kemajuan dan keadilan.
Tanpa persaingan - menurut al-Quran - masjid pun boleh runtuh kerana orang Islam akan berlaku zalim sesama sendiri. Sejarah sudah membuktikannya.
Dalam semua agama, ada orang baik dan orang jahat. Orang yang paling baik dalam kehidupan dunia ialah orang yang paling berguna kepada dunia.
Orang Islam juga disuruh memungut segala kebijaksanaan daripada sesiapa saja yang memilikinya kerana kebijaksanaan adalah hak orang Islam.
Soalnya, bagaimana orang Islam boleh memungut kebijaksanaan itu jika kita sendiri sentiasa berada dalam prasangka, prejudis dan taasub?
Sanggupkah orang lain berkongsi kebijaksanaan mereka dengan kita - umat Melayu dan Islam ini - jika kita sendiri menjadi orang yang tak layak dikongsikan kebijaksanaan?
Jadilah tuan, tetapi seorang tuan yang berakhlak baik serta bijak. Berkongsilah alam ini dengan orang lain, kerana alam ini bukan milik kita semata-mata.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts