Thursday, 17 January 2019

Isu Tabung Haji: Betulkah Lim Guan Eng ‘powerful’ ?

Mowardi Mahmud  -  16 Januari, 2019
NAMA  Lim Guan Eng dan Kementerian Kewangan (MoF) yang diterajuinya cukup popular dalam isu kemelut kewangan Lembaga Tabung Haji (TH)
Pemimpin parti DAP itu ditonjolkan sesetengah pihak seolah-olah sungguh ‘powerful ’, lebih daripada   ‘Che Det’ iaitu Perdana Menteri sendiri.
Tidaklah diketahui kenapa ramai yang terpengaruh , mungkin juga sekadar ikut-ikutan kerana manusia diketahui takut dengan apa yang tidak diketahui.
Lantas tidak menghairankan apabila ada pihak yang  mahu menunjukkan perasaan di depan ibu pejabat TH pada Jumaat ini kerana mendakwa penguasaan ‘orang kafir’ terhadap  aset TH melalui syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd di bawah MoF.
Salahkah membantah? Tidak, namun tanpa penyataan nyata dan jelas serta sahih, tindakan sedemikian hanya dianggap banyak pihak mempunyai muslihat politik. Lebih-lebih lagi yang menentangnya adalah gabungan pihak lawan.
Barangkali ramai yang terlupa bahawa agama Islam sendiri melarang umatnya berprasangka buruk kerana ia adalah sedusta-dusta ucapan.
Tunjuk perasaan atau demonstrasi atau apa-apa juga nama seumpamanya tidak mampu memberikan impak apabila jumlah deposit menyaksikan peningkatan hampir RM1 bilion pada  akhir tahun 2018 kepada RM74.5 bilion daripada RM73.56 pada tahun sebelumnya.
Pada masa sama, sejumlah 31,580 akaun baharu dibuka pendeposit  dan tidak berlaku ‘bank run’ (tindakan sejumlah besar pendeposit mengeluarkan simpanan kerana bimbang TH bakal bankrap) seperti mana yang dibimbangkan sebelum ini.
Kebanyakan dakwaan atau tuduhan dibuat berdasarkan sangkaan tanpa melihat duduknya perkara yang sebenar. Bukan semua aset pengendali TH dijual kepada SPV kecuali ekuiti dan tanah serta hartanah yang tidak berprestasi atau dipastikan tidak mampu keuntungan yang memuaskan sehingga menjejaskan usaha pemulihannya.
Apatah lagi pegangan ekuiti dalam 106 syarikat yang dimiliki itu juga bukan pegangan majoriti selain mengalami rosot nilai yang ketara.
Misalnya, Malakoff yang dibeli dengan harga RM1.77 sesaham dan UEM Sunrise pada RM2.07 pada tahun 2014, masing-masing kini sekadar berharga RM0.81 dan RM0.77 sesaham. Harga-harga saham syarikat berkenaan akan mengambil masa yang panjang untuk kembali kepada harga asal lima tahun dahulu.
TH perlu melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat itu kerana 10 buah syarikat utama yang kerugian telah mencatat rugi belum realis (unrealized losses) hampir RM4.6 bilion.
Pemilihan aset dibuat dengan mengambil kira ekuiti syarikat perladangan, minyak  dan gas , hartanah dan pembinaan yang rugi lebih 20 peratus atau lebih besar dan pemilikan hartanah serta tanah yang menyumbang hasil kurang dua peratus.
Tidak dinafikan sesetengah aset mempunyai potensi jangka panjang tetapi pasaran semasa yang lemah menyukarkan TH menutup ‘kebocoran’ kantung kewangannya  berjumlah RM4.1 bilion apabila liabilitinya  berjumlah RM74.4 bilion sedangkan aset pula sebanyak RM70.3 bilion pada akhir 31 Disember, 2017.
Begitu juga dengan pelupusan  pegangan ekuiti, sebuah syarikat perladangan kerana  memberikan  pulangannya rendah dan rosot nilainya pula tinggi.
Bahkan daripada 29 hartanah dan tanah yang dijual kepada Urusharta Jamaah, sebanyak 18 memberikan pulangan sifar kerana masih berupa tanah kosong. Jika mahu dimajukan, bukan hanya  modal yang diperlukan tetapi  mengambil masa yang lama untuk mencatat untung sedang pendeposit mengharapkan dividen atau hibah dibayar setiap tahun.
Sehubungan itu, keutamaan TH adalah mengukuhkan kedudukan kewangan secepat mungkin kerana kegagalan berbuat demikian mendatangkan pelbagai implikasi.
Mereka yang membantah penjualan aset kepada SPV sepatutnya menawarkan pilihan-pilihan lain yang mampu mengembalikan TH pada kedudukan kewangan lebih baik dan bukan sekadar menentang usaha pemulihan yang cuba dilakukan.
Mungkin, barangkali mereka patut mengambil alih atau memulihkan aset-aset berkenaan melalui pelan sendiri yang siapa tahun mungkin lebih baik dan berdaya maju.
Usaha memulihkan TH dibuat dengan pelantikan peneraju ditentukan sendiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed dan bukannya Guan Eng, begitu juga penjualan aset diputuskan Lembaga Pengarah Urusharta Jamaah yang turut dianggotai empat pengarah beragama Islam tanpa melibatkan sebarang campur tangan MoF.
Pastinya Mahathir masih jauh lebih waras meskipun sudah berusia dan pastinya tidak  mahu hilang kepercayaan umat Islam  kerana gagal menangani masalah kewangan TH. Tentunya kesan terhadap  parti politik yang diterajuinya juga besar.
Malah, beliau sendiri berjanji bahawa partinya akan menjadi pengganti kepada UMNO dalam melindungi kepentingan orang Melayu amnya dan umat Islam khasnya.
Sebagai pendeposit TH, siapa yang menjadi penggerak pemulihan tidak penting tetapi apa yang pasti kita mahu institusi itu teguh dan bukan menjadi bahan mainan parti politik.
Sehubungan itu, rakyat dan  pendeposit yang bermaklumat. Kita tidak sepatutnya menjadi ‘ikan yang mudah terpesona dengan kail bersalut umpan’  dan meragutnya tanpa berfikir panjang sehingga akhirnya menyesal sendiri.

Mowardi Mahmud adalah bekas wartawan Utusan Malaysia selama 24 tahun. Pernah memegang jawatan Pengarang Kanan Luar Negara, Suplemen dan Pengarang Ekonomi. Sebelum itu, beliau adalah wartawan Ekonomi di Bernama.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts