Sama ada kita suka mahupun tidak, dua parti politik Melayu paling besar di negara ini, tidak bersama kerajaan.
Kita boleh sahaja mempertikaikan sama ada dua parti politik ini benar-benar mewakili Melayu mahupun tidak, tetapi itu tidak akan menyelesaikan apa-apa.
Apatah lagi untuk menjawab polemik keresahan Melayu yang sejak malam 9 Mei lalu tidak surut-surut. Malah, pergelutan politik kepartian, mungkin meningkatkan keresahan ini, akan tetapi bukan punca terasnya.
Ketiadaan – yang digambarkan sebagai peminggiran – dua parti politik Melayu dalam kerajaan hanya memudahkan artikulasi sentimen yang sedia ada terpendam dalam masyarakat Melayu.
Sebarang usaha untuk menunjukkan bahawa keresahan ini sebagai semata-mata propaganda parti pembangkang hanyalah helah kita untuk tidak jujur kepada diri kita, bahawa sehingga kini kita belum lagi benar-benar menjawab akan segala keresahan yang muncul ini.
Lalu, apakah punca kepada keresahan ini?
Sekian lama, orang Melayu disuruh percaya bahawa mereka ini tidak akan mampu bersaing dengan adil dan seimbang dengan kaum lain tanpa dibantu dan ditopang.
Bantuan dan topang ini dimanifestasikan dalam bentuk institusi kerajaan, institusi beraja dan institusi agama. Maka, sebarang usaha yang dilihat – atau cuba digambarkan – menyentuh perjalanan institusi ini akan dirumuskan sebagai usaha menamatkan survival bangsa Melayu.
Taktik perdaya Melayu
Meskipun sejak peralihan kerajaan, tidak ada satupun dakwaan ini benar; malah sebaliknya institusi ini kini sedang diperkasakan kembali.
Namun, memandangkan dua parti politik Melayu terbesar ini tidak bersama kerajaan, mereka melihat usaha ini dengan penuh curiga dan ditambah pula dengan anasir-anasir jahat yang cuba menangguk di air keruh.
Buktinya, segala usaha baik kerajaan untuk memperkasa institusi ini, contohnya dengan menambah peruntukan pendidikan untuk sekolah agama dan sekolah berasrama penuh dilihat sebagai semata-mata taktik politik untuk memperdaya orang Melayu.
Ya, wujud defisit keyakinan, namun bukan hanya terhadap kerajaan, malah terhadap kemampuan diri mereka sendiri.
Maka, jika kita serius untuk menangani keresahan Melayu ini, kita harus pergi terus kepada teras keresahan ini; mengembalikan semula keyakinan bangsa ini terhadap dirinya.
Sejak sekian lama, orang Melayu hanya disogokkan dan dipaksakan untuk percaya dengan hanya satu naratif dominan; bahawa mereka adalah bangsa yang tidak berupaya dan lemah yang menciptakan siege mentality.
Ya, hal ini telah pun lama disanggah oleh ramai sarjana, termasuk oleh Syed Hussein Alatas dalam karya popularnya The Myth of The Lazy Native (Mitos Peribumi Pemalas) yang ditulis seawal 1977.
Bagi membina naratif Melayu yang baharu ini, kita tidak perlu mencipta mitos atau propaganda baru. Kita hanya perlu kembali menghubungkan orang Melayu dengan sejarah ketamadunannya yang gagah dan kosmopolitan – era sebelum kolonialisme.
Era di mana ketinggian dan kekaguman terhadap bangsa ini dinikmati dengan pencapaian diri dan bukannya dengan merendah atau menghina bangsa lain.
Orientasi inilah yang harus dikembalikan, memikir dan mengembangkan potensi diri dan bukannya meremeh dan menyekat orang lain.
Kembalikan keyakinan Melayu
Malangnya, akibat kolonialisme, bangsa Melayu maritim yang kosmopolitan ini telah diputuskan daripada dunia mereka yang luas; secara literal mahupun secara falsafahnya.
Melayu tidak lagi menguasai lautan dan perlabuhan di mana interaksi dan perdagangan berlaku (semua perlabuhan utama, Singapura, Melaka, Pulau Pinang diambil oleh kolonial), sebaliknya Melayu dipaksakan ke hulu sungai, masuk jauh ke daratan menjadi petani yang insular yang mengakibatkan keterasingan.
Hal inilah yang disebut sebagai pemertanian (peasantisation) sebagaimana yang disinggung oleh Pramoedya Ananta Toer itu dalam novelnya, Arus Balik (1995).
Orang Melayu sejak itu disuruh percaya bahawa mereka tidak akan mampu bersaing di dunia luar, kerana dunia mereka hanya di kampung ini. Mereka disuruh percaya bahawa Melayu ini tidak pandai berdagang dan merantau; maka dunia Melayu menjadi kecil.
Malangnya setelah merdeka, naratif ini tidak dilawan apatah lagi dibongkar. Malah diperkukuhkan oleh Umno sebagaimana yang dihimpunkan dalam Revolusi Mental (1971).
Oleh yang demikian, adalah mustahak pada fikiran saya untuk kita dengan penuh insaf memanfaatkan kesempatan ini untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap kemampuan diri dan bangsanya.
Tanpa perlu menafikan kepentingan reformasi ekonomi dan sosial orang Melayu, perubahan terhadap mentaliti ini memerlukan reformasi budaya dan intelektual, memerlukan keseriusan dalam menghubung dan menyambung kembali sejarah ketamadunan bangsa ini yang putus lebih 500 tahun lalu.
Hanya dengan ini Melayu akan kembali berani dan yakin di tanah air sendiri. Jika dua buah parti Melayu terbesar di negara ini tidak pernah menyanggupi tugas ini, kerajaan baru kita kini tanpa perlu mendabik dada menjulang keris, mesti memikul amanah bangsa yang telah sekian lama diabaikan ini.
SHEIKH OMAR ALI ialah ADUN Paloh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penerangan dan Ekonomi Kreatif Johor.
No comments:
Post a Comment