Wednesday, 23 January 2019

Sentimen Melayu-Islam diguna untuk lawan Malaysia Baru

Zin Mahmud  -  22 Januari, 2019
Daripada perkembangan yang disaksikan melalui media sosial dapat dirasakan Pakatan Harapan (PH) berada dalam keadaan defensif sejak kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bermula.
Lebih-lebih lagi apabila bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan saja turun berkempen tetapi pasukan media sosial yang menyokong Barisan Nasional (BN) turut melancarkan ofensif dengan memberi gambaran beliau masih relevan. Hinggakan timbul penyataan rakyat rindukan kepimpinan Najib.
Bagi rakyat yang peka terhadap banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan, umpamanya mengenai penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) atau peruntukan bagi anak golongan B40 untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan lain-lain dasar pembersihan, maka mereka boleh merindui pentadbiran BN.
Sedangkan selepas PRK DUN Sungai Kandis, Najib tidak turun lagi berkempen. Lebih-lebih lagi proses perbicaraan beliau sudah bermula. Bukan itu saja, sejak kekalahan pada 9 Mei lalu, BN mengalami pelbagai cabaran yang melemahkannya.
Bukan saja BN berpecah sehingga tinggal 3 parti iaitu Umno, MCA dan MIC tetapi parti dominannya juga tergugat. Najib digantikan dengan Datuk Seri Zahid Hamidi yang turut kemudian menyerahkan kepimpinan parti kepada Datuk Seri Mohamad Hassan.
Dalam pada itu, perbalahan antara penyokong Zahid dan Khairy Jamaluddin terus berlaku. Dengan akhirnya Umno kehilangan banyak kerusi Parlimen apabila banyak ahlinya keluar parti.
Tetapi apa yang jelas, strategi Umno adalah untuk mengukuhkan kedudukan penyokong Melayu dengan menonjolkan perjuangan yang mengutamakan sentimen Melayu dan Islam.
Untuk memainkan isu lain, ia kehilangan krebiliti. Perkiraannya ialah dengan menarik sebanyak mungkin undi orang Melayu dari PH, maka akhirnya BN akan mengatasi mereka. Maka kerjasama antara Umno dan PAS dijadikan teras. Maka sokongan PAS terhadap calon BN di PRK Cameron Highlands adalah menjadi tonggak bukan saja bagi kemenangan pilihan raya itu, tetapi juga dalam PRU15 kelak.
Kritikan dalam Umno yang menolak pendekatan Melayu-Isla dapat diketepikan apabila sentimen perkauman dan keagamaan dijadikan pertimbangan bagi setiap perkembangan politik di negara ini.
Keadaan ini memberi tekanan besar kepada PH. Bukan saja kerajaan persekutuan terpaksa bersikap defensif tetapi juga terdorong untuk melayan kritikan yang berbau perkauman dan keagamaan itu dengan mengendurkan pegangannya terhadap ideaisme Malaysia Baru.
Gagasan Malaysia Bau menuntut sikap mengutamakan tadbir urus baik, kedaulatan undang-undang serta kepelbagaian dan kesaksaaan kaun dan agama. Kebangsaan Malaysia dijadikan teras idealisme, dan bukannya sentimen perkauman Melayu dan keagamaan Islam.
Ketika PH bersikap defensif, Umno mengatur ofensif dengan mengorak langkah mengenakan tindakan terhadap ahli Parlimennya yang keluar parti. Hinggakan terdapat petanda mereka akan melakukan pusingan U dan kembali kepada Umno.
Di pihak PH pula, mereka tidak padu sepanjang 7 bulan memegang tampuk pemerintahan. Gelagat bukan saja pemimpin mereka, bahkan penyokongnya tidak mengutamakan perpaduan sesama sendiri. Atas hujah mereka bersikap terbuka terhadap kritikan, maka mereka mengecam satu sama lain, yang selanjutnya tidak menyumbangkan perpaduan dalaman PH. Keadaan ini menjadi ketara dengan berleluasanya penggunaan media sosial.
Bukan saja terdapat tanda keresahan dari sudut perkauman antara parti majoriti Melayu iaitu PPBM, PKR dan Amanah dengan parti majoriti Cina iaitu DAP, umpamanya dari segi isu bahasa dan pendidikan tetapi juga dalam kalangan sesama parti majoriti Melayu khususnya PPBM dengan PKR, serta PKR dengan Amanah.
Isu utama PPBM dengan PKR ialah soal kepastian Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan penerimaan ahli bekas Umno. Sementara, antara PKR dan Amanah adalah mengenai pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Bukan saja kelihatan timbul keretakan perpaduan antara parti PH tetapi lebih mengecewakan adalah juga dalam parti itu sendiri, khususnya PKR. Persaingan antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli mendedahkan perpecahan dalam PKR yang boleh mencalar perpaduan keseluruhan PH.
Gelagat pemimpin dan penyokong PH ini adalah seolah-olah mereka berasa kuat dan selesa hingga tidak perlu bimbang terhadap BN. Hakikatnya, dalam politik Malaysia, mana-mana pihak yang dapat mengukuhkan perpaduannya akan berjaya. Mereka yang berpecah akan dapat dikalahkan.
Setiap parti PH pula tidaklah mempunyai kekuatan sendiri. Mereka terpaksa bergantung kekuatan di antara satu sama lain. PKR tidak boleh berdiri sendiri dan perlu bergantung kekuatan pada Dr Mahathir dan DAP. Walaupun PPBM dan Amanah merupakan parti kecil, tetapi tanpa mereka PH boleh terburai bila-bila masa.
Sebab itu, untuk mempertahankan kedudukannya, PH, para pemimpin dan penyokongnya mesti merapatkan persepakatan dengan bersikap toleran di antara satu sama lain. Usahlah turut serta pihak pembangkang untuk membesar-besarkan lagi kesilapan langkah sendiri. Sebarang perselisihan antara parti perlu diselesaikan oleh majlis bersama. Maknanya bukan saja ada Majlis Presiden di peringkat pusat, tetapi juga majlis rundingan di peringkat negeri hinggalah ke peringkat kawasan bagi mengurangkan pergeseran.
Tetapi lebih penting lagi ialah perpaduan dalam parti masing-asing, terutamanya PKR yang keretakannya mengecewakan penyokong PH. “Politiking” pasti berlaku. Sudah namanya parti politik tentulah perkara seumpama itu tidak dapat dielakkan. Tetapi demi kelangsungan PH, ia wajar dikurangkan atau tidak terdedah pada umum.
Selain perpaduan dalaman parti dan antara parti PH, ia juga perlu mesra dengan semua golonga yang menolak BN, sama ada parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO). Ada golongan besar dalam kalangan rakyat yang menolak BN tetapi mereka bukanlah penyokong PH. Tetapi dalam PRU14 itu, mereka mengundi PH untuk menolak BN. Maka golongan ini tidak wajar ditinggalkan. Mereka perlu diajak untuk kekal bersama PH.
Perbezaan pendapat pasti berlaku. Begitu juga dengan kritikan terhadap kerajaan. Tetapi ia tidak bermakna mereka perlu menjadi penyokong BN. Malah PH turut perlu mengajak serta golongan kiri seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) walaupun mereka tersilap langkah dengan bertanding sendirian dalam pilihan raya lalu.
Begitu juga dengan parti yang meninggalkan BN. Mereka perlu didekati oleh PH supaya tidak kembali kpada BN. Akhir sekali, perpaduan antara Umno dan PAS tidak boleh dibiarkan. Adalah suatu sikap yang salah bagi PH terutamanya Amanah untuk berasa gembira PAS akhirnya bekerjasama dengan Umno seperti mana sentiasa disyaki oleh mereka sejak awal lagi. Ini kerana gagasan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan mengatasi soal amanah dalam pemerintahan adalah suatu ancaman pada kemajuan dan keharmonian negara.
Agama menjunjung nilai-nilai murni bagi kehidupan berasyarakat. Tetapi sentimen agama yang dikaitkan dengan perkauman tanpa menghirau soal amanah dalam pemerintahan adalah suatu percanggahan untuk kehidupan beretika bagi masyarakat. Sebab itu parti-parti PH wajar menahan diri daripada turut terjebak dalam pemikiran perkauman dan keagamaan hanya kerana melayan sentimen itu untuk meraih undi.
Sesungguhnya Malaysia berada dalam keadaan sukar apabila terdapat persaingan PH dan BN yang dikaitkan dengan kaum dan agama. Tetapi pertimbangan waras rakyat umum untuk memelihara keharmonian kaum diharap akan dapat mengelakkan negara daripada terjerumus pada keadaan yang tidak diingini. Setiap seorang rakyat Malaysia akan sama ada menjadi penyumbang atau perosak pada keharmonian kaum melalui sikap dan tindak-tanduk mereka.
Zin Mahmud adalah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia dengan pengalaman lebih tiga dekat sebagai wartawan.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts