Tuesday, 4 December 2018

Nasihat Kepada Adinda Husam bin Datok Sheikh Badarudin

Dr Hapiz Kodiang - 3 Dis 2018

Dalam kesempatan ini, saya ingin menyampaikan sedikit nasihat kepada saudara Husam. Walaupun jarak umur antara kita amat jauh berbeza, saudara lebih dikenali ramai dan bertaraf selebriti. Namun saya perhatikan terdapat beberapa tingkahlaku saudara sebagai pendakwah mendatangkan backfire yang negatif pada imej saudara dan parti dokongan saudara. 

1. Saudara perlu berwaspada dalam setiap kali berkuliah. Jaga tutur bicara agar tidak keterlaluan dan menggayakan aksi ganas yang dirakam sehingga menimbulkan salah faham netizen. Kuliah saudara dirakam dan diviralkan. Ia bagus utk dakwah tetapi jika hanya imej negatif yg disebarluaskan, tentu tidak bagus. 

2. Saudara kena ingat tingginya makam ayah saudara sebagai mantan mufti Kedah yg lembut tutur bicaranya, disenangi kalamnya dan diikuti kuliahnya. Datok saudara, TG Haji Ahmad Keplu juga seorang ulama hebat, mempunyai pondok yang menyediakan pendidikan agama kpd masyarakat setempat. Al-Marhum Sultan Kedah kenal datok saudara. Saudara membawa imej keluarga berilmu dan contoh masyarakat. Tiada kami mendengar apa-apa tidak elok tentang bapa dan datok saudara melainkan yang elok-elok saja. Namun tentang saudara, banyak yang negatif kami dengar. 

3. Sebagai pendakwah muda, jgn terlalu diikutkan semangat semata-mata. Jadilah pendakwah berilmu dan menguasai disiplin agama dengan betul melalui proses pendidikan formal. Ilmu yang benar akan memimpim saudara ke jalan yang lurus, tenang dan berfakta. Dakwah tidak boleh berpandukan "cakap-cakap berapi", "menyalahi fakta asli dan belajar untuk menghormati perbezaan politik dan manhaj berfikir. 

4. Perjuangan agama dan parti yg saudara dokong memang memerlukan ramai ilmuan, pendakwah dan pejuang tetapi bukan dengan cara kasar, maki hamun dan jeritan terhadap orang lain. Jika tidak berubah, saudara bakal menjadi liabiliti pada parti dan dakwah yang diperjuangkan. Kita mungkin "benar", tetapi kelakuan kita yang "terlampau" menghijabkan orang ramai pada kebenaran. Mereka lebih terpesona dgn bicara lembut yg menusuk ke kalbu. Zaman ini bukan era bergocoh penumpuk tetapi pertempuran idea dan gagasan pemikiran ke atas manusia. Lumrah, manusia Melayu ramai yg sukakan kelembutan. Sebab itu kedai Cina di kampung boleh hidup berbanding kedai Melayu kerana Cina pandai jek dan ambil hati. 

5. Jika berseteru dengan kerajaan PH pun, janganlah over dan membenci. Kadang-kadang kita kena jaga hati orang sekeliling sama. Setahu saya, abang atau adik saudara sendiri menjadi pegawai agama MB Kedah. Jadi, maki hamun dan kelakuan liar saudara menyusahkan beliau berurusan. Dahulu, saudara ambil inisiatif untuk membuat munajat perdana selepas ayah saudara tidak lagi menjadi mufti. Membayangkan seolah-oleh ayah saudara dianiaya dan mufti baharu merampas jawatan. Walhal kedua-dua mereka bersahabat baik sejak di Al-Azhar malah berasal dari Kodiang juga. Jika saya berada di tempat mantan Mufti, saya akan berasa malu dgn kelakuan saudara. Apa pun, Allah memberi kemuliaan kpd kita kerana dua orang mufti Kedah datangnya dari kawasan kita. 

6. Saya tidak tahu samada sahabat atau kerabat terdekat pernah menegur saudara. Tetapi saya pernah dengar yg al-Marhum Dr Abdul Aziz Hanafi pernah tegur saudara supaya pergi belajar. Saya juga berpendirian sama. Bersabarlah sebentar daripada dakwah. Dakwah di Malaysia tidak akan sunyi jika saudara tiada. Malah dakwah akan lebih menarik jika ilmu dan akhlak saudara nanti setaraf dengan keilmuan dan adab ayah dan datok saudara. 

Kodiang dan sekitarnya adalah pusat ilmu. Malah Kubang Pasu diangkat sebagai Bandar Ilmu. Harus diingat bahawa Kodiang adalah tempat bermulanya laungan MERDEKA oleh Dr Burhanuddin al-Helmi sebelum ditahan oleh tentera Jepun di Tikam Batu. Waktu itu bangsa Melayu tidak tahu erti merdeka tetapi orang Kodiang sudah mendokongnya.

Jangan dirosakkan imej Kodiang dengan kalam yang kasar, aksi tidak terkawal dan semangat muda yang menjejaskan peluang dakwah dan parti Islam yang sememangnya bertapak kuat dalam jiwa orang sebelah sana. 

ربنا يهديك و يسدد امرك الى الحق

Nanti saya hadiahkan pada saudara buku MEMAHAMI PROSES ISTINBAT HUKUM SYARAK EDISI KEMAS KINI sebagai bacaan tambahan. 

No comments:

Post a Comment

Popular Posts