Saya sekali lagi terpaksa membaca dan mengamati tulisan sahabat saya, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang kini tiba-tiba menjadi agak hangat.
Hakikatnya, tidaklah idea Kamarul Zaman itu datang secara mendadak atau tiba-tiba, tetapi ia melalui proses berterusan dan menjadi hangat apabila sampai saat ia meletup.
Beberapa persoalan pernah dibawa Kamarul Zaman telah pun saya ulas sebelum ini. Oleh itu saya akan cuba tidak mengulangi perbahasan lalu dalam tulisan ini.
Secara umum, polemik yang wujud adalah kerana perbezaan pendekatan dan kelemahan mencerakinkan fakta dengan konteks sesuatu isu yang timbul. Ini juga adalah persoalan perbezaan bahasa yang akan dihuraikan dalam artikel ringkas ini.
Bagaimana perbezaan bahasa mencetuskan keributan ini?
Bahasa memberikan makna yang besar dalam kehidupan. Kepelbagaian jenis dan laras bahasa dalam masyarakat memungkinkan ketegangan - dan juga ketenangan - dalam berkomunikasi. Sifat bahasa adalah pragmatik dan sangat membantu manusia yang juga memiliki sifat dinamik dan pragmatik.
Bahasa adalah sarana komunikasi yang dipengaruhi tahap intelektual sesuatu masyarakat atau kelompok. Walaupun menggunakan bahasa sama tetapi ada kalanya sesuatu kelompok itu membawa makna yang berbeza.
Ia bergantung kepada daya pemikiran dan laras bahasa di kalangan mereka.
Fungsi bahasa sebagai sarana komunikasi berkait juga dengan fungsi idealogi dan budaya. Perbezaan-perbezaan ini jika tidak diurus dengan baik memungkinkan perseteruan yang panjang kerana bahasa adalah "pembawa mesej" dari satu pihak ke pihak yang lain.
Berbalik kepada Kamarul Zaman. Bahasa yang digunakan beliau adalah bahasa politik dengan menjadikan sejarah sebagai wacananya. Lalu, seharusnya bahasa sebegini dilihat dari kaca mata politik. Pinggirkan dahulu fakta-fakta sejarah yang dipamerkan Kamarul Zaman.
Jangan tuduh bodoh
Beliau seakan bertindak sebagai kurator dalam balai pameran. Bahan yang dibawanya cantik dipandang dan mempunyai nilai seninya tersendiri.
Novelis satira terkenal, George Orwel, mengatakan bahawa bahasa politik direka untuk mengatakan pembohongan sebagai suatu kebenaran, dan pembunuhan ditampilkan mulia.
Kamarul Zaman adalah seorang penutur bahasa politik yang baik. Adalah tidak benar jika beliau dituduh sebagai sarjana bodoh. Lebih daripada itu, jangan diheret sama universiti yang menaunginya dalam perbahasan wacananya.
Universiti itu tidak bersalah dan tidak perlu dihukum kerana bahasa Kamarul Zaman.
Pihak yang menuduh beliau sebagai bodoh - pada mata saya - adalah pembaca suatu doktrin politik juga.
Noam Chomsky membahagikan bahasa kepada dua; bahasa mengikut kamus dan bahasa mengikut doktrin. Mana mungkin graduan Indiana Univesity dengan pointer tinggi, serta anak didik Prof Dr Redzuan Othman (gambar) di Universiti Malaya (UM) boleh dihukum bodoh semudah itu?
UM adalah universiti tempat saya belajar. Ia universiti tertua dan unggul di tanah air. Kita boleh mengatakan hujah dibawa Kamarul Zaman sebagai bodoh; ratusan pandangannya tidak memiliki jiwa. Tetapi untuk meletakkan hukuman "bodoh" pada tuan badan, perlu juga berhemah. Badan itu memiliki sekeping hati.
Mungkin makna yang kedua itu lebih tepat bagi merujuk penggunaan istilah bodoh oleh pengkritik Kamarul Zaman. Biarlah mereka kata. Sedaya upaya saya akan kekal berbudi sebagai mana susilanya orang Melayu bertelingkah.
Ingatlah pesanan SN Usman Awang:
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Bahasa politik tidak sama seperti bahasa harian yang sifatnya tiada jarak semantik antara yang ditulis atau diperkatakan. Tiada penyimpanan makna melainkan dipengaruhi kepentingan berbeza.
Bahasa politik lahir dari tembuni yang berbeza. Bahasa politik dibidankan masyarakat terpelajar yang sedang meraih kekuasaan. Ia tidak sekadar menyampaikan mesej tetapi lebih utama ialah menggerakkan masyarakat membuat keputusan.
Bahasa politik berlapis-lapis. Ia tidak semestinya berlumuran dengan pembohongan tetapi asasnya adalah kekuasaan dan pengaruh. Justeru, bahasa politik perlu diteliti garis pemisah halus antara jujur-bohong atau fakta-fiksyen dengan melihat motif penulis atau penuturnya.
Macam Pak Pandir dengan kambing
Bahasa politik berlapis-lapis lebih daripada kuih lapis. Apabila terhidang di depan mata, sebaiknya ia tidak ditelan serta-merta. Perhatikan setiap bait kata-kata dari pembahas politik. Pada satu lapis ia mungkin manis namun pada lapis lain ia terkandung racun.
Dalam politik, data adalah senjata sama ada untuk menyerang atau bertahan. Data itu sifatnya kaku dan dihidupkan atas tafsiran dan pengamatan seseorang.
Sebagai seorang sarjana yang terlatih dalam bidang sejarah, Kamarul Zaman memiliki kelebihan mengolah data-data berupa dokumen, artifak dan sebagainya untuk menjadi ramuan wacananya.
Bagi saya Kamarul Zaman bijak menggunakan bahasa sebagai modal sosial yang berharga bagi Umno dan PAS. Gagasannya mudah difahami oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu. Sikit atau banyak yang faham, itu persoalan lain.
Hampir keseluruhan tulisan Kamarul Zaman cuba membina persepsi bahawa pembangkang - terutamanya Pakatan Harapan - sebagai bermasalah dan salah. Itu objektifnya. Itu motif akhirnya.
Sepintas lalu, beberapa terma digunakan Kamarul Zaman seperti, bacul, bodoh, ekstrim, hipokrasi, rakus, dominan, tidak siuman dan lain-lain bolehlah saya kategorikan sebagai persoalan seputar isu Melayu dan Islam yang bersifat etniksiti dan agama. Inilah dogma yang hendak dikemukakan oleh beliau kepada khalayak.
Khalayak yang memiliki tahap bahasa yang selari dengan bahasa yang digunakan oleh Kamarul Zaman akan mudah menerima hujah pensyarah universiti itu.
Dalam cerita jenaka Melayu lama terdapat kisah Pak Pandir yang membawa kambing yang dianggapnya sebagai 'pak lebai’. Pada bahasa Pak Pandir, kambing sebagai pak lebai adalah betul. Ini kerana ia dibuat berdasarkan tahap dan cara pemikiran Pak Pandir itu sendiri.
Pak Pandir menggunakan logik mudah sebagaimana Pak Pandir memujuk Mak Andeh, isterinya yang kesedihan kematian anak mereka. Pak Pandir mengatakan bahawa anak orang lain pun meninggal dunia juga.
Hujah itu mudah dan diterima. Bahasa, empirikal dan logik Pak Pandir adalah bahasa masyarakat Melayu biasa. Pak Pandir bukan bodoh. Beliau adalah Machiavelli Melayu dalam versi Mr Bean. Lucu tetapi berkesan menimbulkan perasaan.
Kaedah itu kelihatan jenaka, bersahaja, tidak cerdik tetapi itulah bahasa yang mudah untuk dikongsi oleh bangsa yang berkomunikasi dengan laras bahasa tersebut.
Perlu difahami bahawa laras bahasa dalam masyarakat juga berbeza. Bagi kelompok yang menguasai laras bahasa berbeza daripada apa yang digunakan Kamarul Zaman, mereka tidak boleh menerima hujah dikemukakannya.
Dalam bahasa analogi, situasi yang berlaku ialah, anggota badan lain yang sakit, lain yang diubatnya.
Islam dan Melayu tidak sekadar dilihat sebagai suatu agama dan bangsa melainkan ia adalah suatu modal yang dapat membangkitkan emosi, kesan dan perasaan dalam politik.
Modal "Islam" dan "Melayu" adalah kelangsungan kuasa Umno, dan PAS kini pula berperanan menjadikan dua faktor itu sebagai hujahnya untuk meneruskan kecenderungan semasanya.
Suka ringkas, cepat menyimpul
Umno adalah Melayu. PAS adalah Islam. Modal ini telah terbina sekian lamanya sehingga berakar umbi dalam pemikiran dan bahasa bangsa Melayu.
Ini yang disebutkan - dan dituliskan - oleh Faris M Noor sebagai Islam Embedded atau "Islam Yang Tertanam".
Modal yang baik mampu menggambarkan keadaan tertentu dan disekaliguskan bagi membangkitkan perasaan yang dikehendaki.
Orang Melayu yang mempunyai laras bahasa selapis, adalah bangsa yang naif. Kamarul Zaman dalam tulisannya begitu istiqamah menggunakan ganti nama "saya" bagi memancing imaginasi pembaca bahawa seluruh wacana itu adalah pemikirannya sendiri. Tiadalah beliau dipengaruh oleh orang lain, dan tiada melibatkan kepentingan pihak lain.
Ini menggambarkan bahawa beliau bertindak secara ‘lone ranger’ dan pembaca yang memiliki pemikiran selapis akan menganggap beliau adalah seorang profesional atau tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Dalam politiknya, beliau cuba untuk dilihat sebagai seorang yang berpegang pada kebenaran sahaja. Namun 'bahasa' Kamarul Zaman itu hanya sesuai untuk orang yang membawa tahap pemikiran selapis.
Kamarul Zaman menggunakan bahasa masyarakat umum yang mahu ringkas dan mendapat kesimpulan yang cepat.
Bahasa dan budaya Melayu sepertilah kuih lapis atau kuih seri muka. Setiap lapisnya mengandung rasa, maksud dan fungsi tersendiri. Kuih lapis bukan sekadar juadah pembuka selera tetapi berfungsi mengajak orang Melayu berfikir tentang warna dan rasa pada setiap lapis serta potongannya.
Inilah santapan ilmu pada orang Melayu yang mahu berfikir.
Elok juga novel Faisal Tehrani, Ketupat Cinta yang membedah falsafah kuih-muih Melayu supaya dibaca. Malangnya ramai orang Melayu tidak suka membaca novel yang berat-berat ini.
Mereka lebih suka baca akhbar yang memaparkan sensasi dan menonton rancangan lawak hingga menghilangkan ketajaman akal berfikir. Lalu, sebahagian orang Melayu terbiasa membaca makna selapis sahaja tanpa ingin memikirkan lapis-lapis lain yang ada.
Lemas dalam retorik
Begitu juga tatkala orang Melayu berbahasa. Contohnya, di dalam pantun. Sebelum menyampaikan maksud, dicipta pembayang supaya orang Melayu diajar berfikir terlebih dahulu sebelum bersuara.
Sudah menjadi budaya orang Melayu mendidik masyarakat agar menggunakan akal fikiran dalam tindakan. Itu tidak masuk lagi gedung bidalan kata dan perumpamaan yang hampir dilupai oleh masyarakat Melayu sendiri yang disampuk semangat taasub pada demokrasi tanpa memperhitungkan ketinggian akal dan budi pekerti insan.
Kerana itu, menjadi peranan utama para sarjana untuk mengajak masyarakat mencapahkan pemikiran mereka. Sarjana janganlah hanya menumpukan kerja-kerja menyangkut data, dokumen, artifak, angka dan sebagainya untuk bahan tontonan publik tanpa memaknai ia secara terbuka.
Sarjana juga perlu mengajak masyarakat berfikir berlapis-lapis sebelum membuat keputusan. Kaum sarjana perlu keluar dari lingkaran birokrasi yang merosakkan potensi diri mereka. Kaum sarjana usah disibukkan dengan rutin dan disiplin sendiri. Tenggelam dalam asyik sendiri.
Inilah penderitaan kaum sarjana yang sepi dan kosong kerana kesedaran fungsi kesarjanaan itu pupus sedikit demi sedikit. Kaum sarjana perlu menyibukkan diri mereka mencipta situasi kritis yang mengajak masyarakat berfikir dan menggunakan akal mereka. Bukan menyuapkan mimpi-mimpi indah atau menuang minyak pada api yang marak.
Itu kerja orang politik. Biarkan saja pada ahli politik. Bahasa politik hanya untuk melahirkan perasaan senang, marah, kesal, semangat yang segala macam jenis perasaan yang pada akhirnya membuahkan satu tindakan. Itulah tindakan politik!
Bahasa Kamarul Zaman sudah separuh berjaya mencipta ilusi, memanipulasi pengetahuan dan menghadirkan mitos sehingga kelompok bangsa Melayu tertentu menemui keserasian padanya.
Bagi saya, kelompok naif ini gagal mengidentitikan persoalan sebenar di sebalik lambakan data-data yang mengelabui mata dan pemikiran. Bangsa begini akan lemas dengan retorika peragaan data-data.
Untuk akhirnya, Kamarul Zaman, kita sebenarnya berbicara berlainan bahasa!
DR MUHAIMIN SULAMseorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Ketika ini berkhidmat di Universiti Teknologi Petronas. Ini adalah lanjutan daripada polemik sedang berlangsung antara beliau dengan Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Sumber: Malaysiakini/May 24 2017.
No comments:
Post a Comment