JOHOR BAHRU, 11 MEI: Meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak melakukan tangkapan sejak akhir-akhir ini, mereka dilihat masih gagal melaksanakan tugas menyiasat pemimpin negara yang didakwa rasuah dan menyalahguna kuasa.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, beliau pernah membuat laporan kepada SPRM Johor dua tahun lepas bagi menyiasat kekayaan luar biasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya namun jawapan yang diterima amat mengecewakan.
Menurut SPRM, kata Nie Ching, memiliki barang mewah bukanlah satu kesalahan kecuali pemilikan harta-harta ini adalah hasil dari kesalahan rasuah oleh seseorang individu itu.
“Tetapi, jika SPRM boleh merampas harta benda seorang pegawai imigresen yang dipercayai berpunca daripada hasil rasuah, mereka sepatutnya boleh merampas beg tangan berjenama Birkin, barang kemas dan semua barang mewah Najib dan keluarganya untuk disiasat sama ada ia berpunca daripada 1MDB dan rasuah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tangkapan terbaru SPRM melibatkan pegawai kanan imigresen Padang Besar yang berusia 37 tahun di Alor Setar pada Selasa lepas.
Dalam tangkapan itu SPRM merampas lima kereta mewah, 13 jam tangan, 13 beg tangan berjenama dan deposit tetap hampir RM1 juta yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2.5 juta.
Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, bukanlah satu dosa untuk menjadi kaya, namun sebagai pegawai kerajaan adalah penting untuk bersikap telus mengenai punca kekayaan bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.
“Saya memuji usaha SPRM menentang rasuah. Namun mereka tidak boleh buat tidak nampak perkara yang jelas di depan mata.
“Tidak ada gunanya memburu pegawai muda dan pembantu pentadbiran, tetapi terus tidak mengendahkan hakikat bahawa Perdana Menteri dan keluarganya hidup secara mewah dengan gaji yang tidak setimpal,” ujarnya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment