Friday, 28 December 2018

Sedapnya mulut perlekeh kematian orang

Abdullah Jones  -  28 Disember, 2018
"Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. Ini tiga orang boleh kita kutuk kematian dia sebab memang confirm geng ni masuk neraka. 
"Yang lain kita jangan memandai nak jadi pak guard syurga. Sibuk nak humban orang ikut suka hati ke neraka," kata ustaz dari atas masjid. 
Kebetulan kami sedang minum kopi setelah penat main bola di padang. Kebetulan juga masjid terletak betul-betul di sebelah kedai kopi tempat kami minum itu. 
Berlaga bumbung dek dekatnya kedai kopi dan masjid. Maka mahu tidak mahu kami dengar jugalah kuliah Maghrib itu.
Ustaz berkenaan kemudian menceritakan satu persatu tabiat jahat ketiga-tiga manusia yang semua orang tahu adalah pembawa kemurkaan itu. 
Dan benarlah kata ustaz berkenaan, yang selain tiga ekor itu, kita tidak ada hak untuk menjadi pemegang kunci syurga untuk menentukan siapa yang patut masuk ke dalamnya.
Kami dengar dengan tekun sambil menghirup kopi o ais tanpa gula kegemaran kami itu.
Sebagai tambahan, boleh juga kita masukkan nama Abu Jahal dan Abu Lahab ke dalam senarai mereka yang dilaknat tuhan.
Kematian dalam apa keadaan pun adalah pembawa hiba. Manusia yang paling baik sekalipun apabila meninggal dunia akan ditangisi dan mereka yang kita sangka jahat pula apabila meninggal dunia tentu paling tidak diratapi orang yang menyayangi mereka.
Ulang kesilapan orang
Kita yang tidak tahu hujung pangkal dan melihat kematian mereka yang kita anggap jahat itu tidak ada langsung hak untuk menjatuhkan hukuman ke atas mayat mereka.
Dibaham tsunami semasa sedang bernyanyikah, atau sedang asyik berbuat apa yang dikenali sebagai maksiatkah, mereka itu bukan satu helah yang melepaskan kita untuk bebas menuding jari kononnya mereka mati maksiat.
Bahkan jika benarlah mereka itu mati sedang dalam derhaka, maka kita seharusnya sangat-sangat bersedih kerana kita telah gagal sebagai seorang manusia yang baik untuk pergi kepada mereka dan memberi berita gembira perihal agungnya cinta tuhan dan murahnya maaf Yang Maha Berkuasa itu.
Kita memang handal dalam bab menilik keislaman orang lain. Dengan senang hati kita menjaja cerita bagaimana kononya Mustafa Kamal Atartuk di Turki sana tidak diterima bumi oleh kerana jahatnya dia.
Cerita sebenarnya kita tidak tahu tetapi kerana sedapnya memperlekehkan amalan orang, kita ulang dan ulang kesilapan orang sedangkan amalan kita tidak bertambah.
Mendengar ceramah agama pun kerana kebetulan minum di kedai kopi di sebelah masjid. Eh! Terkata ke diri sendiri pulak dah.
Nak mati esok lusa pun masih sibuk dengan kubur orang lain.
Perbuatan tolol
Bercakap fasal mati dan tidak sensitif membuka mulut sesuka hati, apabila kami katakan bahawa menteri perpaduan harus meletak jawatan setelah kematian pegawai bomba tempoh hari adalah kerana kenyataan yang beliau keluarkan sejurus anggota berkenaan dimasukan ke hospital akibat cedera parah dipukul.
Beliau sepatutnya menenangkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan yang menyatukan dan bukannya sibuk meletakkan kesalahan.
Hanya kerana itu maka kami merasakan beliau sepatutnya bertanggungjawab dan bukan kerana arwah Adib adalah Melayu dan menteri perpaduan adalah berbangsa India.
Kami tidak pernah peduli akan apa bangsa siapapun dan siapapun yang melakukan kesalahan wajib bertanggungjawab. Apa lagi apabila kesilapan mereka itu membawa kepada kematian.
Bersorak gembira dan memperlekeh kematian siapapun adalah perbuatan tolol yang mungkin boleh dimaafkan sekiranya si pelaku meminta ampun.
Namun kita lihat hingga hari ini tidak ada sebarang kenyataan meminta maaf dari mereka yang memperlekehkan kematian mereka yang dilanda bencana tsunami di negara jiran itu.
Dalam hal kematian pegawai bomba berkenaan pula, sekurang-kurangnya pihak kuil yang menuduh kononya arwah Adib dilanggar jentera bomba ada membuat kenyataan meminta maaf atas kesilapan mereka itu.
Sebagai selingan, juga fasal kematian, ingin kami nyatakan di sini bahawa meminta tuhan segerakan kematian sesiapa pun adalah perbuatan yang langsung tidak bermoral. 
Dan meminta kematian untuk diri sendiri pula adalah satu perbuatan putus asa atas rahmat tuhan pemberi segala.
Kepada sahabat yang Islam, berputus asa atas rahmat tuhan adalah dosa yang tidak terampunkan. Hindarkan diri dari putus harap dan yakinlah dengan kekuasaan tuhan lalu bersegeralah dalam menuju kebaikan.
Itu saja dari kekanda minggu ini. Diharapkan adinda dapat tidur lena.
Abdullahjones adalah pelukis, penyair, penulis, jurufoto amatur dan binatang jalang yang mahu hidup seribu tahun lagi.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts