Zainal Rashid Ahmad - 16 Disember, 2018
KALAU Umno seorang seniman, bererti rebab sudah putus tali; muzik sudah mati.
Cuma Umno sebuah parti. Sekali pun sudah berduyun ahli Parlimen lari, Umno masih hidup lagi. Cuma, hidupnya segan mati tak mahu.
Mengapa Umno yang berhayat sejak Mei 1946 itu kini hampir mati tiba-tiba?
Pertama, kerana Najib Razak mengkhianati kepercayaan rakyat. Di mata rakyat, ketika Najib mengetuai Umno dan BN serta menguasai kerajaan, parti ini penuh dengan penyamun.
Kedua, apabila Ahmad Zahid Hamidi menang kerusi Presiden menggantikan Najib akhir Jun lalu, ia tidak mengubah apa-apa. Umno dilihat masih berwajah penyamun.
Ketiga, kuasa pemilihan di peringkat undi perwakilan bahagian yang memilih dan mengekalkan banyak penyamun dalam Umno, rupa-rupanya tidak menggambarkan pendirian majoriti ahli Parlimen Umno.
Ini persepsi awam apabila hampir semua legasi Najib menang dan berada dalam saf kepimpinan Zahid. Bukan Zahid pilih, ini perwakilan yang undi. Ia mencetuskan kejutan pada masyarakat awam. Seolah-olah perwakilan tidak faham protes rakyat melalui keputusan PRU14.
Justeru, hari ini Umno jadi parti yang lesu.
Ia terperangkap antara mimpi puak yang mahu menjadi kerajaan bersama bakal Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan cita-cita puak yang menyokong PM sekarang. Penyokong Dr Mahathir Mohamad pun memulakan langkah melompat ke parti Bersatu.
Ini punca berduyun-duyun ahli Parlimen lari bermigrasi. Apabila parti secara relatifnya sudah berpecah tiga – itu tanda-tanda awal Umno menuju mati.
Puak pro Anwar memilih untuk kekal berada dalam parti. Puak pro Dr Mahathir pula sudah mula angkat kaki. Puak mandiri yang mahu terus bertahan dengan semangat Umno, kini mula memberontak dengan gerakan menjatuhkan Zahid.
Setakat ini Umno tinggal 37 kerusi berbanding 54 yang dimenangi pada 9 Mei lalu. Sudah hilang 17 kerusi akibat protes migrasi ini.
Protes Sabah pada 12 Disember lalu menyebabkan Umno hilang lima kerusi. Diikuti protes Malaya 14 Disember, di mana lesap lagi enam kerusi. Lima kerusi pula melayang lebih awal tidak lama selepas BN kalah PRU 14.
Bukan rahsia, parti keramat itu akan hilang lebih ramai wakil rakyat dalam gelombang migrasi ketiga selepas ini.
Ada yang kata 10 kerusi, tetapi berdasarkan komitmen 36 ahli Parlimen Umno untuk menyokong Dr Mahathir, angka migrasi minggu depan dijangka lebih ramai.
Akhirnya, Zahid akan terus hidup dengan saki-baki ahli Parlimen Umno yang percaya pada mimpi bodoh untuk menjadi kerajaan. Dilamun dongeng karut Setiausaha BN, Nazri Aziz. Konon PKR dan DAP akan menjemput Umno sebagai kerajaan apabila Anwar menjadi PM.
Apa punya analogi: Monyet paling bodoh pun tidak akan percaya teori ini!
Orang macam Nazri kerjanya hanya menyebarkan dongeng: Bakal PM, Anwar dan dua teraju utama DAP, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng akan memilih Umno. Seolah-olah PKR dan DAP akan menghapuskan Bersatu apabila Dr Mahathir melepaskan jawatan PM.
Sudah tentu ahli Parlimen bukan spesis monyet dan tidak akan percaya pada idea konspirasi bodoh ini. Sudah tentu ahli Umno akan kecewa sebab Setiausaha BN menyebut pakatan dengan PKR dan DAP ini direstui Presiden Umno.
Kalau sampai ke tahap ini dongengnya, monyet liar ahli biasa Umno pun akan berkata pada tuannya: “Ini bukan lagi dongeng, tuan. Itu bohong hidup-hidup!”
Mana yang lari keluar parti pun, sebenarnya ramai juga jenis penyamun. Wajah-wajah yang rakyat dan ahli Umno sendiri sudah tidak lagi percaya akan kredibilitinya.
Semua kelaknatan ini berlaku kerana Umno sejak lebih sedekad lalu, dibangunkan oleh wang, komisen, projek dan nilai RM. Itu persepsi rakyat.
Walaupun selepas SPRM mengheret ramai pemimpin kanan Umno ke mahkamah dalam tempoh tiga bulan terakhir ini, sebelum PRU14 pun, rakyat sudah mengesyakinya. Rakyat tahu Umno dipenuhi penyamun.
Justeru, persepsi inilah punca Umno dihukum dan BN kalah teruk serta ditendang keluar dari Putrajaya.
Bagi yang menghargai Umno atas semangat Mei 1946, harapan pada parti itu akan kekal ada. Umno bukan sembarangan parti. Sejarah Umno ialah sejarah kemerdekaan dan sejarah Perlembagaan Negara. Semua realiti pembentukan negara bangsa ini diusahakan Umno.
Cuma dengan baki 37 kerusi dan lebih sepuluh Ahli Parlimen akan lari minggu depan, Umno akan jadi parti ‘melukut di tepi gantang’ di Parlimen.
Parti hebat ini akan kehilangan suara. Kalau ada pun jeritan saki-baki rejim tua yang tidak dipedulikan rakyat.
Prestasi kaum tua wakil rakyat Umno ini sudah dilihat pada dua sesi perdebatan Parlimen selepas PRU14. Hakikatnya, tahap perbahasannya tidak lagi relevan. Idea dan IQnya polos dan kuno.
Apabila wakil rakyat yang berakal sudah pergi meninggalkan parti, di parlimen Umno akan diwakili pelawak dan pelembam yang bakal berhujah dengan idea-idea bodoh. Imej parti itu akan makin dangkal di mata rakyat.
Selamat tinggal Umno. Anda sedang melalui hari-hari terakhir sebuah parti. Esok lusa anda mati!
https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment