Abdullahjones - 15 Disember, 2018
Sepatutnya orang Umno yang melompat partai itu masuk PAS, bukannya bergabung dengan partai lain.
Sepatutnya orang Umno yang melompat partai itu masuk PAS, bukannya bergabung dengan partai lain.
Setelah hanya memperjuangkan Islam tapi tak menang-menang juga, PAS hari ini dengan terbuka telah memberitahu seluruh penduduk Malaya bahawa mereka adalah pejuang bangsa (Melayu) dan islam.
(PAS pula memang sangat faham bahawa memperjuangkan Islam itu tidak seharusnya terus menang. Ia bukan wajib menang atau mati, tetapi perlu tegakkan agama hingga mati. Namun siapalah kami untuk bercakap mengenai partai suci ini.)
Kalaulah kami ini ahli PAS, kami akan terasa hati atas perbuatan orang atas yang mengumumkan untuk bersetia kawan dengan Umno tetapi alih-alih orang Umno berbondong-bondong meninggalkan partai mereka.
Bekas orang Umno itu kemudian secara terang-terangan bekerjasama dengan partai kafir yang seperti semua orang tahu sangat benci akan bangsa Melayu dan Islam.
Pendapat peribadi kami ialah, perkahwinan PAS dan Umno itu ibarat walimah yang diatur. Pengantin - terutamanya orang PAS - pula terpaksa menurut kehendak orang tua kerana bimbang digelar derhaka.
Kita semua tahu bahawa penyokong PAS ialah kumpulan yang paling taat kepada ketua mereka. Tidak mungkin terjadi ahli tergamak mengingkari apa saja keputusan dibuat pimpinan.
Terpaksa tinggalkan partai
Pada tebing lain, berdiri ahli Umno yang ibarat enau dalam belukar. Mereka berlumba-lumba mahu melepaskan pucuk apabila berasa kedudukan terancam.
Sementelah pula kini Umno hanya dilihat sebagai sebuah partai yang akan terkubur.
Bukan tidak ada penyokong Umno yang ikhlas memperjuangkan nasib bangsa namun dalam suasana panas seperti sekarang, mencari tempat dingin adalah pilihan yang paling baik.
Apakah pilihan yang ternyaman jika bukan duduk menempek dengan pemegang kuasa?
Tidak semua orang Umno mempertahankan partai mereka kerana keuntungan wang, namun siapakah yang dapat menafikan bahawa siapa saja yang memegang jawatan dalam Umno adalah kaya-raya.
Tidak semua orang Umno mempertahankan partai mereka kerana keuntungan wang, namun siapakah yang dapat menafikan bahawa siapa saja yang memegang jawatan dalam Umno adalah kaya-raya.
Boleh jadi kerana mereka faham cara kerja Dr Mahathir Mohamad maka partai bunga itu menjadi pilihan mereka - yakni ahli Umno - selepas terpaksa meninggalkan partai.
Mereka bertindak begitu demi kelangsungan politik dan potensi berdepan segala kepayahan betahun-tahun untuk menumbangkan partai berkenaan bakal menjadi kerja sia-sia.
Walhasil balik asal. Muka yang sama duduk dalam politik Malaya baru. Baru celah mana pun, entah siapa yang tahu.
Tak perlu tabur wang
Hampir seluruh pengundi yang memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu berbuat demikian kerana bencikan kebongkakan politikus dari partai Umno.
Lihat saja betapa dalam setiap perhimpunan tahunan partai itu ia disiarkan secara langsung di TV. Lihat juga bagaimana angkuhnya mereka pada ketika itu.
Mereka mendabik dada atas jasa-jasa yang dilakukan sambil menempelak sesiapa saja yang dikira manusia tidak reti bersyukur (hanya kerana tidak menyokong mereka).
Setahun sekali secara terbuka dan lantang mereka mengherdik sesiapa saja yang meluahkan rasa tidak puas hati atas ketidakadilan atau dalam isu keadilan.
Hari ini mereka dengan tidak malunya menyertai partai komponen PH yang dulunya mereka ejek-ejek sebagai kumpulan jahat yang kerjanya tidak lain adalah untuk menjahanamkan negara ini.
Kamu tidak mungkin dapat mengubah etika dalam bekerja hanya dengan menukar partai politik.
Untuk mana-mana ahli politik yang sekian lama duduk dalam amalan salah bagi meraih sokongan, sukar untuk faham bahawa apa yang perlu mereka lakukan ialah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa perlu manabur wang.
Zaman cash is king ialah zaman bodoh. Ialah zaman jahat, zaman huru-hara dan zaman orang parti berkuasa berasakan diri mereka kebal daripada segala ancaman.
Fahaman sebegitu bermula sejak lama dulu dan dipopularkan dengan giat oleh perdana menteri kita yang dulu.
Musuh wajib dilawan
Kita tidak tahu apa sebab sebenar mereka menjadi katak, melompat-lompat dengan tidak malu namun kita berdoa yang wang bukanlah motivasi mereka berbuat demikian.
Memalukan juga apabila sesebuah partai politik menerima dengan tangan terbuka kumpulan manusia yang dulunya mereka cemuh hanya kerana mahu menguatkan partai mereka.
Seperti yang kami katakan, menguatkan partai ialah dengan cara berkhidmat dengan jujur, bukannya ke pasar dan memborong segala hasil tanpa mengira buruk baiknya barang jualan.
Tapi itulah, politikus ini kerjanya satu saja, iaitu meraih sokongan untuk terus kekal berkuasa. Mereka peduli apa jika kita menjerit-jerit tidak puas hati.
Mereka akan lakukan apa saja demi kepentingan politik. Terkincit kita menahan geram pun, mereka dengan senyum mengatakan bahawa siapapun yang menyokong mereka adalah kawan.
Sesiapa yang menentang adalan musuh yang wajib dilawan habis-habisan.
Seperti juga selalu kami katakan, yang bodohnya kita.
Menyokong partai membabi buta, melalak merata berlawan sama sendiri mempertahankan pimpinan partai - semua itu sebenarnya melayakkan kita ini diperkuda. Kerana kita ialah baghal yang lapar, justeru sesiapa saja yang memberi makan, mereka adalah tuan.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair, jurufoto amatur dan juga pengkritik tetap partai-partai politik malaya.
No comments:
Post a Comment