Wednesday, 19 December 2018

Periksa dan imbang – siapa nak buat?

Mohsin Abdullah  -  19 Disember, 2018
Secara afdalnya pembangkang bertindak sebagai pihak yang membuat pemeriksaan dan keseimbangan ke atas pemerintah dengan ikhlas tanpa prejudis.
Jika pemerintah melakukan penyelewengan atau pembaziran, tegur dan bertindak mengikut lunas undang-undang.
Sebaliknya jika apa yang dilakukan pemerintah sesuatunya yang betul atau elok untuk negara, akuilah hakikat itu. Tidak mengapa mengakui secara senyap. Tidak perlu puji walaupun jika puji juga afdal kerana membuktikan pembangkang gentleman. Namun tidak puji rasanya ramai akan faham mengapa pembangkang bertindak demikian.
Yang penting jangan bangkang hanya untuk bangkang, oppose just for the sake of opposing. Perbuatan ini kerap membabitkan tuduhan liar.
Malangnya ini kerap berlaku di negara ini walaupun tidak dinafikan ada kritikan teguran dan pendedahan yang dibuat pembangkang tepat dan benar.
Lebih menyedihkan apabila pembangkang mengambil jalan pintas untuk meraih sokongan umum dengan mengapi-apikan sentimen agama dan bangsa.
Saya membebel pasal pembangkang kerana apa yang sedang berlaku dalam arena politik tanah air – gejala lompat parti. Tak perlu dijelaskan siapa yang lompat dan ke mana mereka sudah lompat atau akan lompat. Ramai sudah maklum. 
Sememangnya saya tidak gemar dengan angka, kira-kira dan statistik. Tapi kali ini untuk artikel ini terpaksa juga guna perangkaan. Sikit.
Akibat lompat parti, BN kini hanya ada 39 kerusi parlimen. Daripada jumlah itu Umno pegang 37. MCA dan MIC masing-masing satu (sebelum ini MIC ada dua tapi kerusi parlimen Cameron Highlands dikosongkan setelah mahkamah membatalkan kemenangan parti itu).
Ketika anda baca artikel ini mungkin keadaan dah berubah. Jumlah kerusi Umno khususnya kemungkinan berkurangan .
“Rakan” Umno – iaitu PAS - punya 18 kerusi.
Ini berpandukan statistik agensi berita Bernama. Dan menurut statistik itu Gabungan Parti Sarawak ada 19 kerusi. Di Sabah empat parti iaitu Star, Upko, PBRS dan PBS masing-masing ada satu.
Parti Warisan Sabah mempunyai sembilan kerusi parlimen.
Calon bebas ada 13 buat masa kini. Mungkin akan berubah. Majoritinya ahli parlimen Umno yang keluar Umno.
'Super majority'
Gabungan memerintah – Pakatan Harapan – unggul dengan 119 kerusi. Sedikit peningkatan hasil kemasukan YB Umno ke Bersatu.
Masa PRU14 Mei lalu, Warisan memeterai satu pakatan pilihan raya dengan DAP dan PKR. Justeru parti itu kini adalah sebahagian daripada kerajaan apabila Pakatan Harapan menang.
Jika kerusi milik Warisan dicampurkan dengan bilangan kerusi parlimen Pakatan Harapan, kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad bertambah kukuh kedudukannya. Apatah lagi ahli parlimen bebas sudah berikrar menyokong Mahathir dan Pakatan Harapan. Jangan lupa ada 13 orang buat masa ini.
Maknanya Pakatan Harapan boleh menikmati super majority di parlimen - sesuatu yang bagus untuk memudahkan pentadbiran negara. Apa yang dicadang dan dibawa ke parlimen pasti diluluskan dengan sokongan majoriti.
Persoalannya di mana check and balance? Siapa yang laksanakan? Periksa dan imbang yang sepatunya dilakukan oleh pembangkang. Berdasar status dewasa ini, tanggungjawab itu seharusnya dipikul oleh PAS. Sejauh mana keberkesanan PAS melakukannya terpulanglah kepada tafsiran masing-masing.
BN yang sepatutnya menjadi pembangkang utama sudah mengucil suaranya.
YB bebas boleh memberi check dan balance tapi bolehkah mereka lakukannya setelah mengakui mesra Mahathir dan Pakatan Harapan?
Tentu kita belum lupa ketika BN memerintah dulu. Setiap pilihan raya BN memberitahu rakyat, mereka perlu kemenangan besar untuk mendapat majoriti dua pertiga di parlimen.
Ini kata BN untuk memudah urusan dan mentadbir negara. Mereka tidak mahu “rancangan yang baik “untuk rakyat digagalkan pembangkang di parlimen jika BN tidak ada suara majoriti besar.
Dan rakyat pun memberi BN apa yang dipinta. Untuk sekian lama. Dan kita lihat sendiri bagaimana majoriti besar dan kepercayaan rakyat dinodai.
Lantas kita tidak mahu itu semua berulang, diulangi Pakatan Harapan.
Namun sesuatu yang pada saya memberangsangkan ialah nampak gayanya periksa dan keseimbangan akan dibuat ahli parlimen Pakatan Harapan sendiri. Mereka yang berada di luar kerajaan.
Pada zaman BN dulu ahli parlimennya wajib mengikut konvensyen iaitu mematuhi arahan parti. Setiap usul yang dibentang BN selaku kerajaan ketika itu mesti disokong oleh semua ahli parlimennya. Walaupun mungkin mereka ada pandangan peribadi yang bertentangan.
Ahli parlimen Pakatan Harapan rasanya tidak terikat dengan peraturan seperti itu. Mereka boleh malah sewajarnya mesti tegur dan kritik jika kepincangan dilakukan kerajaan. Ini telah disaksikan walau di luar parlimen.
Elak tragedi lama
Dan jika keadaan di parlimen memerlukan pengundian, mereka wajar mengundi berdasarkan conscience bukan sentimen atau arahan parti semata-mata.
Nik Nazmi Nik Ahmad, ahli parlimen Setiawangsa dari PKR antara ahli parlimen Pakatan Harapan yang kerap menegur dan mengkritik kerajaan.
Dan beliau juga percaya pembangkang yang kuat amat diperlukan untuk “mengelakkan tragedi lama berulang”. Kita tahu apa “tragedi lama” yang dimaksudkan. Tidak perlu huraian.
Pada hemat saya ramai yang setuju dengan beliau termasuk pandangannya mengenai gejala lompat parti.
Kata beliau meskipun kebebasan menyertai mana-mana parti politik mesti dihormati, cukup penting juga dipelihara pilihan yang dibuat pengundi pada PRU14 .
Bagi Nik Nazmi, menerima secara terbuka mereka yang melompat parti merupakan “penghinaan terhadap proses pilihan raya dan akan menghancurkan kewibawaan demokrasi kita”.
Lalu beliau mengingatkan Pakatan Harapan bahawa “kita bukan kerajaan baru semata-mata tapi perlu mentadbir dengan cara yang baru”.
Secara peribadi saya setuju – kerana itulah antara harapan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Harapan.
Mensia-siakan harapan rakyat hanya mengundang padah.

MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts