Sunday, 9 December 2018

Sabtu selepas tahun-tahun kotor

Abdullahjones  -  09 Disember, 2018.

Wan Farid datang dari singapura pada awal 1970-an dan membuka kedai membaiki kasut di bandar kami.
Farid Kulitkraf nama kedainya. Di situlah kami berkumpul setiap Sabtu.
Tidak ada janji temu dibuat, cuma secara automatik kami tahu yang setiap Sabtu - lebih kurang jam 9 hingga 10 pagi - kami akan berkumpul di kedai Kepok.
Kepok ialah anak Wan Farid yang diberi kepercayaan oleh bapanya dan abangnya Wan Kamaruzaman untuk menguruskan kedai.
Sementara menunggu 'cukup korum', kami akan berbual dengan Kak Timah si tukang jahit. Atau kadang-kadang dengan Leha, anak Tengku Ali Shahdan yang mengusahakan toko jamu dan ikut berbual.
Leha jarang-jarang datang kekedai bapanya namun sesekali dia ikut juga kami merambu. Keluarganya orang kuat agama. Bapa beliau yakni Tengku Ali Shahdan antara orang awal yang kami kenal dikaitkan sebagai kaum muda, atau hari ini dipanggil Wahabi.
Leha adalah anak beliau yang paling gerago.
Yang biasanya berkumpul setiap sabtu di kedai Kepok - selain kami - ialah Eddie, Abu Nasa, Deri dan kadang-kadang Saudi.
Duduk tak buat apa-apa
Setelah cukup, kami akan bergerak menuju panggung Rex untuk menonton tayangan murah. Cheap Matinee. Kami sudah lupa harga tiketnya. Jika tak salah, 80 sen.
Setelah habis tayangan filem, kami akan bergerak pula ke satu-satunya kompleks beli-belah yang ada di bandar kami untuk bertumbuk.
Saja kami tulis "untuk bertumbuk" supaya kelihatan cool.
Sebetulnya kami akan ke sana untuk bertemu kawan-kawan yang juga akan berkumpul setiap Sabtu tanpa sebarang janji temu.
Kami datang kerana ianya sudah ditanam dalam benak muda kami waktu itu bahawa setiap Sabtu kami harus begini: keluar ke bandar dan cuba untuk bertumbuk. Jika tidak berjaya, kami akan duduk saja sambil menghisap banyak rokok.
Untuk rekod, Zaini Abdul Rahim iaitu kawan kami sejak tadika hingga hari ini rabit sebelah hidungnya akibat salah satu acara bertumbuk di kompleks beli-belah berkenaan.
Setelah beracara di kompleks beli-belah kami akan kembali ke kedai Farid Kulitkraf. Dalam perjalanan kami akan singgah di perhentian bas berhampiran.
Ia adalah perhentian untuk bas yang datang dari kawasan sedikit dalam dari bandar kami.
Kami akan duduk sekejap di situ untuk mentertawakan budak-budak darat yang datang ke bandar. Biasanya yang sangat membuat kami tertawa ialah cara berpakaian mereka. Kami memang jahat begitu.
Gembira berkumpul hari Sabtu
Setelah puas di perhentian bas kami akan ke kedai Kepok dan duduk di sana hingga petang sebelum kami pun pulang ke rumah masing-masing.
Semua yang kami lakukan sepanjang berkumpul tidak mendatangkan apa-apa hasil selain kemudiannya menjadi kenangan, dan kami tulis di sini dan dibaca oleh kamu hari ini.
Kami sedikit beruntung kerana tulisan ini dibayar sedang kamu pula tumpang senyum membaca pengalaman kami, dan kami yakin kamu juga ada pengalaman baik dalam berkumpul pada hari Sabtu.
Tentu ada antara kamu yang matanya sakit hingga hari ini akibat berkumpul setiap Sabtu pada tahun-tahun kotor lalu. 
Dan tentu saja ada antara kamu yang baru saja bergembira berkumpul juga pada hari Sabtu dan bertekad untuk menceritakan kepada anak cucu betapa jalan raya di Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk itu ditutup. Kamu solat Zuhur berjemaah di atasnya.
Kami harap kita semua boleh kekal dalam solat berjemaah setiap hari tanpa perlukan solidariti untuk partai atau apa saja. Hendaknya kita boleh lakukannya demi tuhan.
Berkumpul bukan budaya kita adalah slogan yang bodoh.
Kami telah melihat bagaimana manusia berkumpul kerana politik di India, Bangladesh, Indonesia dan beberapa bandar di Eropah.
Di India dan Bangladesh, apabila berlaku perhimpunan begitu ia akan terus melumpuhkan bandar terbabit dan ini tentu akan merumitkan keadaan.
Dua gadis diperkenalkan
Di Indonesi pula perhimpunan mempertahankan barongan sebagai milik asli mereka diuar-uarkan mewakili kemarahan seluruh 264 juta penduduknya.
Tapi kami yakin sebenarnya ia satu daripada ratusan tunjuk perasaan yang diadakan di bandar-bandar di negar tersebut. Biasanya ianya dihadiri beberapa kerat mamat yang terlebih semangat.
Di Eropah pula perhimpuan seperti itu hanya menjadi penting apabila diakhiri dengan keganasan. Cuma ia jarang berlaku di Eropah jika dibandingkan dengan Amerika.
Di Amerika kebanyakan perhimpunan akan diakhiri dengan kejadian ganas kesan daripada ada pihak yang mengambil kesempatan.
Perhimpunan yang baru berlaku di negara kita pula kelihatan aman. Justeru kami berharap ianya dilaporkan seperti yang berlaku.
Kita telah menumbangkan satu kerajaan dengan beberapa siri perhimpunan pada suatu masa dulu. Kini ada pula percubaan untuk membuktikan kegagalan kerajaan baru ini - juga melalui siri perhimpunan - telah bermula.
Adakah ini sihat atau tidak? Kami tidak tahu namun kebebasan untuk meluahkan rasa dalam apa cara sekalipun hendaklah dibenarkan.
Sedikit tambahan daripada catatan kami pada zaman lalu:
Suatu hari kedai kedai Kepok berlaku sedikit kekecohan apabila sebuah keluarga dari Kelantan datang membuka restoran betul-betul di belakang premis Kepok.
Orang yang paling terkesan ialah Kepok sendiri.
Keluarga berkenaan datang bersama dua orang anak gadis yang cantik, dan itu tentu saja merubah landskap di sekitar kedai Kepok yang biasanya hanya dihiasi Kak Timah si tukang jahit dan Leha anak tauke jamu yang rambu itu.
Kedua anak gadis itu kemudian diperkenalkan kepada pelawak A R Badul yang kebetulan datang membuat persembahan di bandar kami.
Agak lama kemudian kedua-dua gadis itu dikenali sebagai pelakon terkenal. Mereka dikenali dengan panggil Kuna dan Kuza.
Sedikit lagi mengenai perhimpunan:
Setelah satu perhimpuan besar di Indonesia pada 2016 maka lahir satu gerakan yang giat untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam negara tersebut.
Kita juga mengharapkan perhimpunan rakyat untuk menutut hak akan menjadi sesuatu yang normal. Pada masa sama ia secara tidak langsung menjadi amaran kepada kerajaan supaya sentiasa cekap memerintah.
Kita juga mengharapkan penganjur perhimpunan bukan pula sekadar mahu berbangga dengan kehadiran yang ramai namun tiada menghasilkan apa-apa.
ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair serta jurufoto amatur.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts