Kebimbangan Tabung Haji (TH) yang kini secara teknikalnya, bangkrap diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dikawal selia menyaksikan sesetengah pihak terutamanya pihak pembangkang memilih untuk mengadakan bantahan mereka.
Ketakutan juga membelenggu minda mereka kononnya apabila ada yang mendakwa seorang menteri kewangan bukan Islam akan mengawal institusi milik umat Islam itu dan tidak kurang juga yang mengatakan aset-aset TH akan dikuasai oleh orang lain.
Penaakulan atau pun reasoning yang digembar-gemburkan begitu rapuh.
Tidakkah mungkin bantahan itu lebih bermotifkan politik untuk melindungi tindakan pihak-pihak tertentu yang ingin terus mengeksploitasikan TH?
Sebelum ini, kita sendiri dikejutkan bagaimana kegagalan Tabung Haji dikawal selia dengan betul menyaksikan seorang pelabur individu boleh melabur sehingga RM190 juta.
Menariknya difahamkan individu berkenaan bukan orang biasa-biasa.
Bagaimana pula mereka yang turut melabur dalam jumlah jutaan dan puluhan juta ringgit?
Ketamakan individu-individu tertentu perlu dihentikan. TH bukan alat untuk mengkayakan sebilangan mereka melalui sumber kewangan yang tidak diketahui asalnya kerana matlamat penubuhan adalah memudahkan umat Islam mengerjakan ibadah haji.
Bayangkan betapa TH terpaksa bekerja keras berkali-kali ganda untuk memenuhi tuntutan pulangan berjuta-juta ringgit, apabila ada yang mahu melihat hibah atau dividen lumayan antara enam hingga lapan peratus.
Tindakan untuk membenarkan kawalan selia oleh Bank Negara ke atas entiti ini akan mengelakkan berlakunya lagi salah urus dan penyelewengan.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa TH ditubuhkan ketika menteri kewangan waktu itu adalah mendiang Tan Siew Sin, dan diputuskan untuk diletakkan di bawah kawalan selia BNM ketika menteri kewangannya, Lim Guan Eng.
Bank Negara, sebuah bank pusat yang amat disegani termasuk dari luar negara dalam keupayaannya mengendalikan kewangan negara, mempunyai kuasa sendiri yang luas di bawah aktanya.
Entiti-entiti di bawah seliaannya termasuklah bank-bank dan institusi kewangan pembangunan (DFI) tempatan. Kesemua entiti itu dipastikan mencapai kepatuhan yang ditetapkan atau bakal berdepan dengan tindakan sekiranya gagal memenuhi.
Pemilihan peneraju dan ahli lembaga pengarah dilakukan secara ketat dan hanya mereka yang dirasakan benar-benar layak akan dipilih.
Ia sekali gus tidak memungkinkan lagi ahli-ahli politik termasuk mereka yang tidak berkelayakan menerajuinya.
Penglibatan ahli politik menyaksikan banyak entiti penting kepada umat Islam dan rakyat Malaysia runtuh.
Bahkan, tidak sukar untuk membayangkan betapa banyaknya masa telah dihabis untuk memulihkannya dan mengembalikan kecemerlangan yang ada.
Mereka yang membantah BNM mengawal selia Tabung Haji harus mendapatkan maklumat yang betul dan tepat tentang apa yang dipertikaikan agar keputusan yang dibuat adalah benar-benar memanfaatkan umat Islam.
Dan, bukan kerana sentimen politik semata-mata.
Percayalah, Tabung Haji tidak mampu untuk berdepan dengan satu lagi skandal!
No comments:
Post a Comment