Sunday 23 December 2018

Skandal TH dan konsep sebenar hibah

Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin  -  22 Disember, 2018
Berdasarkan dapatan siasatan dalaman terhadap Tabung Haji (TH) oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) baru-baru ini, TH didakwa mengalami defisit RM4.1 billion bagi 2017 dengan jumlah aset RM70.3 billion, berbanding jumlah liabiliti RM74.4 billion.
Ironinya, defisit ini bukan disebabkan oleh kecurian, tetapi kerana pemberian hibah (dividen) yang lebih tinggi daripada sepatutnya bagi beberapa tahun yang lalu.
Siasatan dalaman yang dijalankan juga mendapati TH memanipulasi laporan perakaunannya dengan melakukan dua kaedah perakaunan kreatif dalam memberikan gambaran hibah yang diberikan adalah berdasarkan keuntungan.
Ini termasuk beli balik jualan terhadap saham pegangannya dalam Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi mencatatkan keuntungan RM553 juta dan juga pengumuman dividen tinggi oleh anak syarikat TH sebagai pulangan pelaburan oleh TH, namun jumlah masih berbaki RM222 juta tidak dibayar penuh kepada TH.
Berdasarkan pendedahan ini, rumusan dibuat bahawa dividen (hibah) yang dibayar TH kepada pendeposit menggunakan simpanan pendeposit itu sendiri, sekali gus bertentangan Seksyen 22(3) Akta Tabung Haji 1995, iaitu hibah hanya boleh dibayar jika nilai aset melebihi nilai liabiliti.
Konsep sebenar hibah
Justeru, isu pengagihan hibah yang tidak mengikut prosedur ini mengundang persoalan mengenai konsep sebenar hibah dari sudut syariah dan kewajaran TH mengisytihar hibah di dalam isu ini.
Dari sudut definisi secara literal, hibah berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud hadiah.
Dari sudut konseptual, Kamus Dewan Bahasa Edisi Ke-4 mendefinisikan hibah satu pemberian secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik.
Islam menggalakkan hibah berdasarkan dalil berikut: “Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (An-Nisa’ 4:4).
Dalam kewangan Islam, konsep hibah digunakan sebagai satu instrumen pulangan terhadap simpanan deposit yang dilakukan oleh pendeposit di institusi kewangan Islam. Harta yang diletakkan dalam akaun deposit berasaskan kontrak ‘wadiah yad dhamanah’ bermaksud simpanan dengan jaminan.
Berdasarkan kontrak ini, pendeposit telah memberikan kuasa kepada institusi kewangan Islam untuk menyimpan harta bagi tujuan menjamin keselamatan harta daripada risiko kehilangan, kemusnahan, kecurian dan sebagainya.
Selain itu, institusi kewangan Islam juga telah diberikan kuasa untuk menggunakan simpanan pendeposit sepanjang dalam simpanan mereka, termasuk untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan.
Berdasarkan hukum syarak, keuntungan dijana daripada penggunaan simpanan pendeposit sebenarnya hak milik institusi kewangan Islam sepenuhnya.
Namun, atas budi bicara pihak institusi kewangan Islam ke atas pelanggannya, mereka memberikan sebahagian tertentu daripada keuntungan itu kepada pelanggan yang dianggap sebagai hibah atau hadiah.
Dalam erti kata lain, tidaklah menjadi satu kewajipan bagi institusi kewangan Islam, termasuklah TH dalam memberikan hibah bagi simpanan pendeposit.
Tekanan dorong manipulasi
Berbalik kepada konsep hibah, sekiranya sesuatu pemberian tidak dilakukan secara sukarela atau dalam erti kata lain, pemberian itu datangnya daripada tekanan untuk mengisytiharkan hibah, perlu untuk kita mempersoalkan kewajaran pemberian berkenaan.
Disebabkan norma masyarakat yang berpendapat bahawa semua simpanan di institusi kewangan Islam mesti mempunyai pulangan, TH didapati bukan sahaja mengalami tekanan untuk mengisytihar hibah lebih tinggi daripada sepatutnya, bahkan turut menyebabkan berlaku manipulasi keuntungan seperti yang didakwa.
Masyarakat terutama pendeposit perlu tahu bahawa objektif asal penubuhan TH adalah sebagai satu inisiatif, terutama kepada orang Islam untuk menyimpan sebahagian daripada harta mereka bagi tujuan melakukan ibadat haji dan umrah.
Berdasarkan objektif asal ini, TH kemudiannya memanfaatkan penggunaan simpanan pendeposit dengan melakukan pelaburan bagi menjana keuntungan dan seterusnya memberikan hibah kepada pendeposit.
Tambahan pula, selain membantu orang Islam dalam menunaikan haji dan umrah, TH juga bertanggungjawab membantu pendeposit membayar zakat apabila hibah yang diterima telah pun melalui proses zakat.
Justeru, pendeposit sepatutnya bersyukur kerana TH bukan sahaja membantu dalam urusan haji dan umrah, malah menawarkan perkhidmatan untuk menyimpan harta dan memberikan pulangan terhadap pelaburan simpanan itu mengikut hukum syarak.
Namun, ini bukan satu alasan, terutama kepada pengurusan TH untuk memandang ringan tanggungjawab ini.
Mereka perlu lebih bekerja keras memastikan amanah diberikan mestilah dilaksana sebaik-baiknya, di samping mengharapkan keredaan dan keberkatan daripada Tuhan.
Penulis merupakan Felo Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment

Popular Posts