Monday 17 December 2018

REALITI POLITIK KINI IALAH INTEGRITI

Jahabar Sadiq  -  17 Disember, 2018
KEBANYAKAN ahli politik, kalau pun tidak semua, lidahnya bercabang.
Sebelum 9 Mei, segerombolan ahli politik yang marah dengan perdana menteri ketika itu Najib Razak bergabung dengan pembangkang pada masa itu iaitu PKR, DAP dan Amanah untuk membentuk Pakatan Harapan (PH). Matlamatnya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib.
Puak itu ialah Bersatu, diketuai Dr Mahathir Mohamad dan bekas orang nombor dua Umno, Muhyiddin Yassin. Sejarah akan menulis bahawa mereka berjaya, dengan sokongan sejumlah rakyat Malaysia ditokok dengan kurangnya undi pengundi tradisi BN.
Setelah menang tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen yang akan membolehkan mereka meminda Perlembagaan Persekutuan, PH setuju pada masa itu untuk tidak menerima mereka yang lompat parti sehingga dibersihkan daripada sebarang salah laku semasa BN memerintah.
Tiba-tiba saja mereka boleh masuk Bersatu atau menyertai mana-mana parti lain dalam PH, kerana realiti politik dan bukannya dengan melihat sejarah lepas, kata Muhyiddin selaku presiden Bersatu.
Barangkali ahli politik veteran yang dua tahun lalu dipecat tanpa hormat oleh Umno itu boleh memaafkan bekas rakan-rakannya itu. Atau realiti politik beliau ialah membina Bersatu daripada 16 ahli Parlimen, termasuk tiga bekas Umno, sehingga jadi sebuah parti yang lebih besar dalam PH.
Tetapi mengutip orang seperti Rahim Thamby Chik atau pemimpin Umno lain yang keluar parti yang pernah ada kedudukan kanan dalam kerajaan BN tidak ubah seperti memulihkan Najib dan kemudian menerima jadi ahli parti.
Semua itu atas nama realiti politik?
Realiti apakah ini? Untuk meluaskan kuasa di Parlimen dan dewan undangan negeri? Untuk melaksanakan janji yang dibuat sebelum pilihan raya umum 9 Mei?
Setakat ini, kerajaan Mahathir sekarang memberi alasan tiadanya majoriti dua pertiga di Parlimen untuk menangguhkan sesetengah janji pilihan raya. Adakah wakil rakyat Umno yang lompat parti ini jujur mahu menyokong janji-janji itu?
Ceritanya mudah saja. BN kalah pilihan raya 9 Mei. Ahli politik Umno yang mendukung Najib bermati-matian, sehinggakan meminjam slogan kelab bola sepak Liverpool “You’ll Never Walk Alone” (Anda tidak sendirian) untuk menunjukkan sokongan mereka yang tidak berbelah bagi terhadap beliau dan dasar-dasarnya.
Daripada 54 kerusi Parlimen yang dimenangi Umno sebelum ini, sekarang sudah tinggal 37 saja. Bakinya sudah cabut dan menunjukkan mereka hanya ahli politik yang hanya mementingkan diri sendiri, bukan parti atau pemimpin mereka.
Apa alasan yang ada untuk menerima orang yang tidak setia ini? Apa alasan yang ada untuk menerima ahli politik yang membuntuti Najib dan memperlekehkan PH sepanjang kempen pilihan raya 9 Mei? Apa alasan yang ada untuk percaya bahawa mereka jujur?
Daripada cuba mengukuhkan sokongan di dewan perundangan, lebih eloklah Bersatu dan parti-parti dalam PH yang lain berusaha memenuhi janji pilihan raya dan memastikan kemakmuran dinikmati oleh semua.
Ahli politik Umno ini, terutama wakil rakyat, bukan jaminan untuk menang pilihan raya akan datang. Mereka bukan jaminan untuk apa-apa pun bagi jangka masa panjang, melainkan untung politik jangka pendek dalam pakatan yang memerintah.
Realiti politik PH hari ini ialah integriti, bukannya lebih banyak sokongan dalam gabungan atau di Parlimen. Tunjuklah apa yang kerajaan boleh buat dengan sokongan yang sedia ada, bukannya dengan berangan menambahkan jumlah sokongan.
Kerajaan sudah ada mandat rakyat. Kenapa membazirkan mandat yang ada?
* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.
https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Popular Posts