Tuesday 25 December 2018

Apalah malangnya nasib Utusan Melayu?

Gamal Nasir Mohd Ali  -  22 Disember, 2018

APALAH malangnya nasib institusi besar dan syarikat akhbar, yang pernah berpengaruh kepada orang Melayu, iaitu Utusan Melayu (M) Berhad.
Ia umpama orang politik sama orang politik berperang, budak suruhan mati di tengah-tengah.
Sudahlah nasib syarikat itu seperti telur di hujung tanduk, kini menanti pula untuk tersadung ke bumi.
Semalam 21 Disember, Datuk Dr. Ibrahim Yahaya a.k.a Tiger meletak jawatan selaku Pengarah Eksekutif (GE) Kumpulan Utusan selepas hanya lapan hari dilantik ke jawatan itu pada 13 Disember lalu.
Difahamkan, Tiger turut meletak jawatan selaku Ketua Pengarang Kumpulan, yang memiliki akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo, Kosmo Ahad, beberapa majalah serta akhbar-akhbar atas talian.
Apa sebenarnya berlaku? Sudahlah syarikat itu begitu tenat dengan masalah tunai, ditambah pula dengan suasana kelam-kabut di peringkat pengurusannya.
Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ibrahim, 58, meletakkan jawatan atas komitmen peribadi.
Sebagai rekod, Tiger ialah Setiausaha Akhbar kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi dan terus berkhidmat di masa Zahid selaku Presiden UMNO.
Ramai pengamal media melihat perkembangan itu dengan sinis dan berkata “Tiger menjadi Ketua Pengarang tersingkat dalam sejarah kewartawanan Malaysia”.
Ketidaktentuan kedudukan dua jawatan tertinggi di syarikat  Utusan Melayu ini bermula selepas Datuk Aziz Sheikh  Fadzir melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif  syarikat Utusan Melayu pada 13 Disember lalu.
Aziz Sheikh Fadzir, 55, bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, dilantik  enam bulan lalu pada 7 Jun bagi menggantikan Datuk Mohd. Noordin Abbas, 59, yang kontraknya tidak disambung sebagai Pengarah Urusan Kumpulan (GED) pada 26 Julai.
Selain dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif, Aziz Sheikh Fadzir turut  memangku jawatan Ketua Pengarang Kumpulan selepas jawatan itu dikosongkan oleh Datuk Abdul Aziz  Ishak yang meletakkan jawatan pada 26 Julai juga.
Aziz Ishak, 54, melepaskan  jawatan kerana merasa bertanggungjawab atas  kekalahan teruk Barisan Nasional yang dipimpin UMNO  pada PRU-14, 9 Mei lalu sekali  gus menyaksikan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan.
Ketika pelbagai perubahan dan pembaharuan dilakukan oleh  Aziz Sheikh Fadzir terhadap hala tuju dan susun atur  organisasi syarikat, termasuk pelaksanaan program  Pemberhentian Pekerjaan Sukarela (VSS), beliau mengumumkan pula peletakan jawatannya secara mengejut.
Peletakan jawatan itu disambut dengan perasaan bimbang dan  ketidaktentuan mendalam, terutama oleh 700 kakitangan Utusan yang mengambil VSS secara en bloc.
Perasaan yang sama turut dirasai para staf yang kekal berkhidmat di syarikat Utusan.
Ada yang berkata Tiger tiba-tiba diarah menerajui Utusan ekoran haluan Aziz Sheikh Fadzir yang dilihat mulai menongkah arus dan membelakangkan UMNO.
Beberapa tulisan Aziz Sheikh Fadzil dalam kolum Awang Selamat Mingguan Malaysia dilihat ‘menghentam keras’ ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, kepemimpinan UMNO dan memuji ‘secara terbuka’ kerajaan semasa.
Mungkin atas faktor itu, ada yang berkata Tiger dibawa masuk untuk menerajui Utusan. Aziz Sheikh Fadzir yang dilihat tidak begitu selesa dengan perkembangan itu terus mengumumkan peletakan jawatan dan menghilangkan diri.
Namun, pada Selasa lepas, 18 Disember atas alasan mahu menyelamatkan UMNO daripada terus rebah, Zahid pula mengumumkan untuk berundur dan memberi laluan kepada timbalannya Mohamad Hassan untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.
Tindakan Zahid menyerahkan tugas kepada Mat Hasan juga dilihat akan turut menjejaskan kedudukan ‘budak Zahid’ iaitu Tiger sendiri.
Ternyata ia benar. Semalam Tiger juga meletak jawatan.
Semasa Tiger mengambil alih dari Aziz Sheikh Fadzir, syarikat itu sedang melalui proses penstrukturan semula. Syarikat Utusan berada di bawah senarai Practice Note 17 (PN17) Bursa Saham kerana mengalami masalah kewangan meruncing.
Sebagai akauntan dan ahli perniagaan Aziz Sheikh Fadzir sedang melakukan proses penstrukturan itu, sedangkan Tiger dilihat tidak berupaya melakukannya.
UMNO, dalam pada itu sepatutnya mengambil langkah lebih proaktif bagi mengatasi kemelut Utusan ketika ini.
Anehnya, sumber dalaman memberitahu, tiada sedikit pun rasa terpanggil dalam kalangan “peringkat tertinggi” UMNO untuk bersama-sama bersepakat menghulur bantuan kewangan membantu Utusan yang ketika ini amat memerlukan “dana luaran” bagi meneruskan proses penstrukturan semula Kumpulan Utusan yang telah dirancang.
Di samping itu, Utusan juga tersepit kerana statusnya sebagai sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia kerana terpaksa akur dan patuh terhadap beberapa garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan dan menjadikan beberapa usaha pemulihan yang telah disusun atur tersekat.
Belum jelas lagi dengan keluarnya Tiger, siapa pula yang akan menerajui Utusan?
Mungkin Mat Hassan mempunyai ‘orang beliau’ sendiri?
Yang jelas Utusan terus menjadi mangsa. Ia umpama pesakit dalam ICU, yang kemudian mengalami serangan jantung berkali-kali.
Hanya Allah sahaja yang mengetahui sama ada Utusan akan terus hidup atau sebaliknya.
UMNO sendiri pun mempunyai pelbagai masalah struktural dan politik yang perlu diselesaikan.
Tidak pasti apakah UMNO masih menganggap Utusan masih sebagai berlian, atau hanya batu jed yang tiada lagi nilai.
Kita tunggu dan lihat…

Gamal Nasir Mohd Ali bersama akhbar Utusan Malaysia selama hampir 30 tahun sebelum melepaskan tugas pada 30 November 2018. Menjawat jawatan seperti Ketua Meja Rencana, Pengarang Kanan The Leader, Pengarang Luar Negara, Pengarang Online, Pengarang Prosesan, Pengarang Kanan Prosesan, Pengarang Kanan Perkhidmatan Online dan Pengarang Kanan Mega Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts