Dr Zaharuddin Abd Rahman
Saya berpandangan agar tidak tidak wajar berlebihan berpolitik dalam hal Lembaga Tabung Haji (TH) ini kerana institusi itu menuntut tadbir urus yang professional lagi kemas, melangkaui kepentingan politik kepartian.
TH adalah untuk semua umat Islam di Malaysia malah menjadi suri teladan (role model) di peringkat antarabangsa.
Meletakkan TH di bawah pemantauan dan seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak sama sekali patut dilihat negatif, apatah lagi mengaitkannya dengan sentimen perkauman dan agama.
Atau kononnya untuk melemahkan TH. Bahkan sebenarnya langkah itu adalah untuk meningkatkan daya saing, integriti dan ketelusan, malah menguatkan TH.
BNM sudah lama berfungsi dan berpengalaman meregulasi, memantau dan memastikan keutuhan sesebuah institusi kewangan yang beroperasi di Malaysia.
Ia mengamalkan tadbir urus dan perakaunan yang memenuhi syarat, malah pemilihan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan lembaga pengarah setiap bank juga perlu kelulusan dan tapisan kelayakan oleh BNM.
Justeru BNM sangat berpengalaman dan pakar sejak sekian lama menjaga seluruh institusi kewangan iaitu bank, insuran dan takaful.
Bertanggungjawab dan profesional
Sangat banyak syarat ketat - tapi perlu - dilaksanakan,. Contohnya memastikan institusi perbankan untuk "maintain high-quality loss-absorbing capital" yang terdiri daripada Common Equity Tier 1 (CET1), which comprises paid-up capital, retained earnings and disclosed reserves, iaitu mesti mencecah 7 peratus daripada keseluruhan banking institution’s risk-weighted assets.
Ia adalah peningkatan berbanding 2 peratus sebelumnya.
Ini semua penting bagi menjaga kelangsungan sesebuah bank.
Berdasarkan kenyataan wakil TH, bukanlah keseluruhan agensi itu diletakkan di bawah BNM seperti bank-bank komersial, sebaliknya hanya untuk sebahagian aspek penting.
BNM diyakini sangat berpengalaman dan pakar dalam urus tadbir dan audit kewangan (governance and financial audit). Audit BNM ini kelak mungkin bakal merangkumi:
- Amalan perniagaan adil, bertanggungjawab dan profesional
- Dasar berhemah, pengurus dan penyeliaan risiko
- Peralatan untuk pengurusan krisis dan pencegahan
- Rangkaian keselamatan kewangan
- Pasaran kewangan yang teratur
- Patuh syariah
Justeru tidak perlu risau sama sekali akan campur tangan orang bukan Muslim ke atas TH kerana BNM bekerja dengan profesional berdasarkan Akta Bank Pusat 2009 serta sudah seakan mempunyai autonomi daripada Kementerian Kewangan dalam melaksanakan tugasnya.
Ia juga melangkaui politik kepartian. BNM sendiri mempunyai Majlis Penasihat Syariah. TH pula - sebagaimana dalam Akta Tabung Haji - tidak terikat dengan BNM seperti bank-bank komersial.
Dikompromi orang politik
Lembaga Pengarah TH adalah pihak yang mesti menentukan hala tuju dan strategi terbaru badan itu. Mereka semua beragama Islam. Merekalah juga yang mempunyai kuasa menentukan pelaksanaan bersama pengurusan kanan TH yang lain, bukannya BNM.
BNM hanya bertindak sebagai auditor bagi sebahagian bidang yang diserahkan oleh TH.
Justeru, Muslim dan semua pencarum TH patut lebih gembira apabila agensi itu diletakan di bawah pemantauan BNM kerana ia bakal menjamin:
- Tiada - atau sekurang-kurangkan minimum - isu salah tadbir urus berlaku pada masa akan datang, khususnya yang melibatkan kepentingan politik kepartian
- Sebarang perubahan polisi tertentu yang menyalahi amalan pentadbiran kewangan sihat dan perakaunan yang betul akan cepat dapat dikenal pasti
- Pengurusan risiko yang kemas lagi ketat bagi menjaga jangka hayat TH serta menghalang TH daripada melabur ke tempat berisiko tinggi. Sebelum ini aspek berkenaan mungkin telah dikompromikan dengan arahan ‘orang politik’.
Kesimpulannya, adalah bagus TH diletak di bawah kawal selia BNM yang professional dan juga ketat bagi aspek audit dan tadbir urus.
Menurut sumber berautoriti yang saya saya perolehi, TH tetap di bawah kuasa langsung perdana menteri dan menteri hal ehwal agama, bukannya BNM atau Kementerian Kewangan.
DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), pakar kewangan Islam dan profesor adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Unisel. Rencana ini asalnya disiarkan pada akaun Facebook beliau.
No comments:
Post a Comment