Saturday, 22 December 2018

Dividen ASB rendah bukan kerana k'jaan flip-flop, kata pakar ekonomi

M Fakhrull Halim  -  22 Disember, 2018
Kenyataan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mengaitkan pulangan rendah Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan tindakan kerajaan membuat pusingan-U dan "flip-flop" dalam beberapa keputusan, disifatkan sebagai tidak tepat.
Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (gambar), pelaburan boleh menerima kesan daripada faktor luaran yang tidak boleh dikawal oleh kerajaan seperti ketidakstabilan harga komoditi dan dolar Amerika, selain pengaruh ekonomi global.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru menerajui Malaysia pada bulan Mei lalu mempunyai polisi dan dasar pelaburan yang kebanyakannya bersifat jangka masa panjang.
“Ulasan Khairy adalah tidak tepat sama sekali, lebih-lebih lagi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif indeks pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun ini, melebihi pencapaian tahun lepas,” katanya. 
Semalam, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 6.5 sen dan bonus 0.5 sen seunit Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember.
Kadar itu, menurut Khairy, adalah paling rendah sejak 1990.
“Perkara yang terjadi ini adalah berkait rapat dengan keyakinan pelabur, baik dari dalam atau luar negara.
“Ditambah dengan banyak tindakan u-turn (pusingan u) dan keputusan flip-flop (bolak-balik) oleh kerajaan hari ini, ia hanya memburukkan lagi keadaan,” kata Khairy.
Mengulas lanjut, biarpun mengakui dividen dan bonus yang diisytiharkan itu sebagai terendah dalam sejarah, Ahmed Razman mengingatkan pelabur bahawa PNB masih lagi mencatatkan keuntungan yang membolehkan dividen dibayar tanpa menggunakan rizab atau pinjaman.
“Tindakan ini sekurang-kurangnya tidak akan menjejaskan kemampanan dan kemampuan PNB untuk terus menjana pulangan ke atas pelaburan pada masa hadapan.
“[..] Pasaran saham tempatan dan ekonomi global agak merudum sejak kebelakangan ini dan dizahirkan melalui pengumuman dividen dan bonus tersebut. Zaman di mana dividen dan bonus diisytiharkan tinggi tanpa mengira keadaan ekonomi semasa telah berlalu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambah Ahmed Razman, biarpun berdepan dengan cabaran ekonomi di peringkat global, Malaysia masih menunjukkan perkembangan ekonomi yang kukuh.
“Berbanding negara lain, Malaysia masih mempunyai kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang masih bagus (sekitar 5 peratus) dan Ringgit Malaysia bukannya matawang yang mengalami penyusutan yang teruk berbanding dolar Amerika.
“Kita masih lagi mengalami lebihan akaun semasa dan rizab antarabangsa melebihi AS101.4 bilion. Secara ringkas, ekonomi Malaysia masih lagi kukuh berbanding negara lain,” tambahnya lagi.
Justeru, beliau menyifatkan pengumuman pulangan ASB sebagai ‘langkah sesuai’ yang telah mengambil kira faktor ekonomi semasa.
“Seperti negara lain, kita juga terdedah kepada faktor global seperti ketidaktentuan harga komoditi seperti minyak, pergerakan dolar Amerika, perang tarif antara AS dan China serta kedudukan pasaran ekonomi AS.
“Oleh itu langkah berhati-hati, berjimat cermat, menguruskan hutang dengan berhemah perlu diteruskan.
“Langkah mengumumkan dividen dan bonus yang mengambil kira faktor-faktor yang disebut di atas adalah langkah yang sesuai,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts