Monday, 31 December 2018

Bangsa mangsa

Lim Hong Siang   -  31 Disember, 2018
Bagaimana sesebuah negara boleh maju seandainya bangsanya menganggap diri sebagai mangsa, malah berebut-rebut untuk menjadi mangsa, dan mahu menjadi mangsa selama-lamanya?
Fenomena ini pelik tetapi lumrah di Malaysia. Melayu gusar bumi yang dipijaknya menjadi milik orang (Cina), ekonominya dikuasai Cina dan kini kuasa politiknya semakin tergugat. Cina merungut dirinya dilayan bagai rakyat kelas kedua, disekat daripada mengembangkan potensinya dalam sistem negara yang didominasi Melayu-Muslim.
India pula mengeluh, teriakan protesnya tidak kedengaran – dianggap terlalu minoriti (apatah lagi berpecah belah sesama diri) oleh media tempatan, dan tiada nilai berita berbanding kaum orang asal dari lensa kamera media antarabangsa. Orang asal barangkali “bumiputera” yang lebih teruk kedudukannya ekonomi dan politiknya berbanding bukan bumiputera.
Sentimen ini berlegar-legar dalam satu kitaran untuk saling menebalkan prejudis masing-masing. Dari kaca mata Cina, kegusaran Melayu itu sekadar alasan untuk menutup “kemalasan” sendiri, dan mahu terus bergantung kepada “tongkat”. Untuk Melayu pula, Cina umpama dapat betis mahu paha – tidak pernah bersyukur dengan kemurahan hati “tuan milik bumi ini”, malah menuntut lebih tanpa sehiris kesediaan untuk menerapkan dirinya ke dalam budaya masyarakat Melayu-Muslim.
Jurang lebar meninggalkan komuniti India yang terpinggir merasakan dirinya tidak memiliki apa-apa, lantas nothing to lose jikalau bangkit menentang – menjelaskan pendekatan perjuangan mereka yang ada kalanya, nampak keras dan ganas, sebagai reaksi minoriti terhadap sang penguasa. Orang asal yang diperah sumber semula jadinya, hanya mampu mendoakan agar trak besar tidak mencerobohi tanah adat mereka, memunggah balak dan kemudian meninggalkan mereka dalam habuk yang berterbangan.
Sentimen-sentimen ini terus menghantui Malaysia, sungguhpun kita bebas dari cengkaman kuasa Umno-BN pada 9 Mei 2018. Kontroversi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), ratifikasi Icerd, malah rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang berakhir dengan tragedi kematian seorang anggota Bomba, Muhammad Adib – kesemuanya menemui jalan buntu dalam perbincangan ke arah penyelesaian. Antara puncanya, masyarakat kita diselubungi sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”.
Persoalannya, tidakkah kita sebagai warga Malaysia harus khuatir, bahawa kitaran sentimen sebegini jikalau dibiarkan terus berkisar, bakal jadi pusaran deras yang akhirnya menenggelamkan Malaysia pada masa depan?
Hilang yakin diri
Biasanya “mangsa” merujuk kepada pihak yang dizalimi, ditindas malah dikorbankan, dan sebagaimana yang sedia maklum, ia dari pihak yang “lemah”. Mentaliti “mangsa” ini akan menghakis keyakinan dalam diri satu bangsa. Memandang diri sebagai mangsa bermakna tidak yakin dengan kemampuan diri untuk melawan, atau bersaing dengan pihak yang lain.
Apabila sesuatu bangsa enggan menguji kemampuan diri, sudah tentu ia gagal membuktikan kemampuan diri. Misalnya, pilihan raya tempatan ditolak di Malaysia dengan alasan bahawa kaum Cina akan menguasai bandar-bandar besar, dengan andaian bahawa Melayu-Muslim gagal menyaingi calon Cina di gelanggang pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan).
Persoalannya, bagaimana Sadiq Khan boleh menjadi Datuk Bandar Muslim pertama di London pada tahun 2016, jikalau tiada pilihan raya tempatan? Mengapa Muslim sebagai minoriti di United Kingdom mampu menampilkan keyakinan untuk memimpin di Barat, sebaliknya Muslim sebagai majoriti di Malaysia, sering rasa tergugat dengan demokrasi tempatan?
Sesungguhnya Sadiq Khan menjadi lambang kemegahan dunia Muslim, kerana kepimpinannya diiktiraf oleh masyarakat non Muslim di Barat. Namun, tatkala masyarakat Muslim mengagumi dan berbangga dengan kehebatan Sadiq Khan, pernahkah masyarakat Melayu-Muslim merenung sejenak, bukankah ia juga mencerminkan “kehebatan” masyarakat non muslim untuk menobatkan seorang pemimpin dari kalangan minoriti yang berbeza anutan agama dengan majoriti?
Di sini bezanya antara bangsa yang berkeyakinan diri dengan bangsa yang melihat dirinya mangsa. Untuk masyarakat yang matang dan berkeyakinan, kaum majoritinya akan memilih pemimpin mereka tanpa dikaburi sentimen kaum dan agama yang sempit, dengan keyakinan bahawa sistem demokrasi yang utuh mampu mewujudkan persaingan untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber. Komuniti minoriti pula merasakan dirinya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum majoriti, diberi peluang yang sama rata untuk menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya. Hak asasi mereka terjamin di bawah sistem demokrasi yang mantap.
Akhirnya, Kristian sebagai majoriti dalam masyarakat ditampilkan sebagai bangsa yang bukan sahaja tidak menindas komuniti minoriti, malah memberi hak kepada yang berhak, dan kedudukan yang sama rata sesama manusia. Sementara Muslim sebagai masyarakat minoriti di kota London, membuktikan potensi dan pengaruhnya, dengan kepimpinan yang diiktiraf manusia sejagat. Warga kota London hidup bermaruah di depan mata antarabangsa.
Kuasa besar, jiwa besar?
Alangkah indahnya negara dan masyarakat sebegitu, yang mana warganya sudah tentu mengharungi liku-liku sebelum mengecapi apa yang ada pada hari ini. Mustahil ia dicapai dalam jangka sekelip mata, sungguhpun dengan kepantasan teknologi 5G pada hari ini. Cuma, tepuk dada tanya selera, apakah ia matlamat yang dikongsi bersama dalam masyarakat Malaysia, untuk kita menuju ke destinasi ini pada masa depan?
Jikalau itulah destinasi yang dikongsi bersama, maka kita perlu menghentikan kitaran sentimen tersebut dari mana-mana titiknya, tanpa sehiris rasa apologetik bahawa diri kita sebagai pengecut yang “berganjak langkah”, atau pengkhianat yang menggadaikan kepentingan bangsa.
“Kuasa yang besar disusuli dengan tanggungjawab yang besar.” Demikianlah quote dalam filem Spiderman. Bukan itu sahaja, bangsa yang bercita-cita untuk menggarap kuasa yang besar, seharusnya juga berjiwa besar. Bagaimana seseorang pemimpin politik boleh menjadi negarawan di Malaysia, jikalau perjuangannya hanya disempitkan untuk satu-satu kaum tertentu? Bagaimana seseorang pemimpin politik meraih penghormatan seluruh rakyat, andainya beliau hanya mampu menggertak dengan kuasa yang ada dalam tangan, dan bukannya memukau dengan aura ketokohannya?
Di sini kita terperangkap. Bukan sahaja tokoh, malah komuniti kaum tertentu menuntut kuasa yang lebih besar, tanpa kesediaan untuk menampilkan dirinya sebagai seorang tokoh atau bangsa yang beramanah, berjiwa besar dan bertanggungjawab. Kuasa yang dihambat dipergunakan untuk mengayakan diri, mengugut mereka yang mendedah dan mempersoalkan penyelewengan diri, kemudian mengerah kaum diri untuk menutup skandal dan menegakkan benang basah atas semangat assabiyah.
Kegagalan ini menghakis asas moral kepimpinan Melayu, khususnya, lantas diambil kesempatan sesetengah komuniti minoriti yang lain untuk menghalalkan pendekatan protesnya yang keras. Mereka memandang rendah bangsa Melayu lantaran pemimpin Melayu yang korup; mereka menolak budaya Melayu kerana prejudisnya bahawa bangsa ini tidak berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri, sebaliknya menuntut hak istimewa untuk menutup kemalasan dirinya.
Semakin kaum bukan Melayu menolak kepimpinan dan kebudayaan Melayu, semakin kuat penolakan Melayu terhadap kaum lain. Kitaran ini berlaku bertahun-tahun, malah berdekad-dekad. Pergeseran dan pergolakan sedemikian melahirkan ketidakpercayaan antara satu sama lain, yang kemudiannya berkembang menjadi kebencian dan permusuhan. Kesemua sentimen ini bertakung bagai minyak tanah, yang menunggu masa untuk dinyalakan apabila ada pihak memetik api hasutan, sama ada kaum mahupun agama.
Apakah rakyat Malaysia mahu meneruskan ketegangan sedemikian, untuk dekad-dekad akan datang? Sejauh manakah Malaysia boleh pergi, andainya setiap warganya diselubungi sentimen “mangsa”, diperdayakan untuk bermusuhan sesama diri agar “pemangsa” sebenar tidak dikesan? Bagaimana Malaysia mara ke depan, jikalau kaum majoritinya hilang keyakinan, dan kaum minoritinya pula hilang semangat kekitaan, kerana tidak merasakan bumi ini dimilikinya, sungguhpun “tanah tumpahnya darahku” keluar dari bibirnya setiap kali lagu kebangsaan didendangkan?
Yakinlah, mustahil masalah boleh diselesaikan dengan menimbulkan masalah yang lain. Jangan sesekali kita mengemis simpati dengan memainkan sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”, padahal ia hanya alasan untuk menyembunyikan kelemahan, kejahatan, kegagalan, dan prejudis dalam diri kita. Kita menagih simpati dengan menampilkan diri kita sebagai mangsa, malah mangsa yang lebih kasihan berbanding mangsa lain. Tidak pernah kita menggariskan tempoh bila ia harus dihentikan, kerana nampaknya tiada mana-mana pihak yang yakin dengan kemampuan dirinya.
Tiada mangsa yang akan berjaya. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membebaskan dirinya dari sentimen “mangsa”. Tiada sesiapa yang harus menjadi mangsa di bumi ini, andainya kita ingin menjayakan Malaysia.

LIM HONG SIANG bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Bani Israel dan Malaysia 2019

Izmil Amri   -  31 Disember, 2018
Wajar kiranya kita memulakan langkah menuju 2019 dengan berhenti seketika dan mengambil masa untuk beralih pandang ke belakang.
Seperti memandu kereta; ada baiknya jika kerap menjengah cermin pandang belakang, mana tahu ada kereta lain yang ‘bagi lampu’ atau ada puntianak sedang menyeringai di tempat duduk belakang.
Demikianlah pentingnya sekali sekala untuk memeriksa keadaan, sambil bergerak maju ke depan, dan mendapatkan teladan daripada masa silam yang sedang kita tinggalkan.
Antara kisah yang diulang sebut berkali-kali dalam Al-Quran, adalah kisah Bani Israel. Kisah mereka diceritakan secara ad nauseam. “Sampai naik loya” kalau kita terjemahkan kata ad nauseam itu.
Bani Israel dikisahkan hidup dalam pengabdian kepada firaun. Diperhamba untuk membangun binaan-binaan yang sehingga kini masih tegak berdiri di padang pasir Kaherah.
Maka datanglah Musa untuk menyelamatkan mereka ini, dan membawa amaran kepada si firaun yang mengaku dirinya Tuhan.
Setidaknya itulah yang cuba digambarkan filem Exodus: Gods and Kings, dibintangi Christian Bale sebagai Moses dan diarahkan Ridley Scott.
Si Moses ini yang awalnya membesar di istana firaun, akhirnya mengepalai revolusi Bani Israel, menuntut pembebasan daripada belenggu perhambaan. Mereka meninggalkan Memphis, ibu kota kerajaan firaun beramai-ramai, sehingga berhenti di tebing Laut Merah.
Di adegan ini, ada dialog yang sangat relevan dengan Malaysia pasca PRU14.
But we all have the same goal.”
We do now. What happens when we stop running?”
Menyeberangi Laut Merah
Ketika Bani Israel meninggalkan kota Mesir purba menuju Kan’an, mereka bergerak bersama-sama mengikut arahan dan petua si Moses ini. Tiada lain yang mereka fikirkan selain menjauh sejauh-jauhnya dari kehidupan diperhamba firaun. Maka tujuan mereka satu: Asalkan bukan firaun.
Setelah selamat menyeberang Laut Merah, dan firaun sudah jauh ditinggalkan; maka banyaklah songeh yang muncul. Hatta diberi makan manna dan salwa dari syurga pun, mereka minta diberi bawang, timun dan kacang.
“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak sabar dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan kacang dalnya, serta bawang merahnya.”
Demikian dirakam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah, ayat 61.
Jika difikirkan betul-betul, tidak jauh beza sebenarnya dengan Malaysia setelah terlepas bebas daripada rejim BN pada 9 Mei 2018.
Setelah sama-sama bergelut dan berjuang untuk melepas bebas daripada bahaya Umno-BN, masing-masing mula memperlihatkan songeh dan cengkadak yang bersangatan.
Masing-masing juga turut mula memperlihatkan perangai yang aneh-aneh; termasuklah menunjukkan belang perkauman yang selama ini disimpan rapi. Itu belum campur spesis yang meski sudah bebas dari Umno, masih lagi terbawa-bawa perangai parti melingkup itu. Tidak kurang juga yang “rindu zaman Najib” meski melihat betapa panjang senarai pertuduhan terhadap pemimpin pujaan hati mereka.
Tidak jauh beza dengan Bani Israel yang diberi makan burung syurga, tetapi minta bawang dan timun.
Malaysia Baharu, Malaysia tanpa Umno
Sukar sebenarnya bagi kita untuk mendepani hari-hari muka dengan berbekal kesedaran bahawa sisa kehancuran Umno masih lagi diseret bersama memasuki era baharu seperti tahi kucing yang melekat di tapak kasut.
Ia masih wujud meski dalam bentuk dan bungkusan yang berbeza; seperti naib presiden BERSATU yang menyokong sala hguna sumber kerajaan misalnya, serta mereka yang bertepuk tangan menyambut cadangan itu.
Namun itu tidak bermakna bahawa susah payah kita sebagai sebuah bangsa untuk membebaskan diri dari belenggu hegemoni Umno hanyalah kerja sia-sia.
Seperti juga kisah Bani Israel, bergelut menyeberangi Laut Merah hanyalah satu permulaan kepada proses yang panjang.
Tanggal 9 Mei 2018 hanyalah satu langkah pertama kepada proses panjang memulihkan ekonomi, politik dan masyarakat Malaysia menuju sebuah negara yang lebih baik untuk semua; tanpa mengira latar keturunan, pendapatan, pendidikan, budaya, cara hidup, umur, orientasi seksual dan sebagainya.
Ya, memang ada banyak perkara yang harus dilaksanakan, sama banyak dengan perkara yang kita mahu laksanakan. Tetapi Malaysia Baharu harus jelas perbezaan antara kehendak dan keperluan; kemudian menyusun awlawiyat kerjanya, yang mana satu mesti didahulu dan diutamakan.
Kecelaruan dan kegagalan mengurus perubahan akan akhirnya berkesudahan dengan kecuaian yang menjahanamkan.
Dan di tengah-tengah kecuaian itu ada golongan kecewa yang akan sanggup berbuat apa sahaja demi meraih keuntungan atas kesilapan kita.
Melangkah masuk ke 2019, Malaysia Baharu seharusnya sudah boleh belajar daripada kesilapan lampau dan memastikan kesilapan tidak diulangi.
Seperti memandu kereta. Sambil bergerak maju ke depan, ada baiknya menjeling cermin pandang belakang dan mendapatkan teldan daripada masa silam yang sedang kita tinggalkan. Selamat tahun baru 2019.

IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.

Ke mana Mat Hasan nak bawa Umno

Mohamad Hasan  -  31 Disember, 2018
Saya telah diamanahkan untuk menjalankan tugas presiden Umno. Berat tanggungjawab yang membayangi tugas ini. Umno kini berada di kedudukan paling kritikal dalam perjalanan panjangnya, dan pelbagai ketidaktentuan menanti.
Pada masa ini, Umno memerlukan segala daya usaha dan komitmen anggota-anggota setia, untuk mendukung, memulih dan membangunkan semula parti kita sebagai gerakan politik dan amal bakti.
Sebelum membentangkan iltizam baru Umno untuk tanahair, ada dua perkara yang perlu saya jelaskan kepada semua ahli Umno dan rakyat Malaysia tentang arah baru yang akan diambil parti kita.
Yang pertama, membangunkan semula Umno akan mengambil masa. Sejujurnya, tiada rumus yang mudah dan tepat yang boleh diambil untuk terus digunakan. Lebih-lebih lagi dinamik politik Malaysia dan global sangat deras berubah.
Justeru saya meminta semua ahli Umno, rakan dan taulan Umno, untuk bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku ini bersama-sama. Biar apa pun yang menanti di hadapan, kita akan tempuh dan lalui bersama dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Sabar jodoh bahagia
Cuma, janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas. Tetapi yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia.
Semoga dengan muafakat ini, tugas kita untuk memulihkan Umno akan menjadi amal soleh dan menempah kejayaan.
Yang kedua, dalam membangunkan semula Umno sebagai parti berwibawa dan diyakini, kita mesti mencari kelaziman baharu atau ‘a new normal’.
Umno memerlukan kecerdasan yang baru dan radikal. Bukan lagi retorik dan slogan kosong.
Maka sikap dan landasan pemikiran kita juga harus disesuaikan untuk memanfaatkan peranan baru Umno. 
Gejala politik lama yang telah melemahkan Umno dari dalam, harus dihentikan, dan ahli-ahli perlu membuka telinga kepada maklum balas rakyat walaupun ia mungkin sukar didengari.
Ramai yang tertanya-tanya ke mana Umno akan dibawa selepas tahun yang penuh cabaran ini. Oleh itu, di bawah, saya menggariskan lima iltizam Umno untuk tanahair, yang akan kita jadikan pedoman dalam membangunkan jalan ke hadapan.
Suburkan demokrasi
Pertama, Umno akan membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.
Umno mesti melupakan dahulu hajatnya untuk berkuasa semula. Umno hanya ada satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.
Kita tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak, atau hijack keputusan PRU-14 dengan kembali membanjiri dan menyibuk dalam pasukan kerajaan. 
Iltizam baru bagi Umno adalah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip. 
Rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baru tidak akan dikhianati oleh Umno.
Pembangkang disegani
Kedua, kita akan membangunkan wibawa Umno sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani.
Selama empat setengah tahun yang berbaki ini, Umno akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.
Umno akan memberikan alternatif yang baik kepada segala yang dijanjikan oleh pihak kerajaan, dan terus menyuarakan pendapat dan menyatakan sebarang kelemahan yang didapati.
Ketiga, Umno akan memerangi politik wang.
Politik kewangan telah menjerumuskan Umno ke tahap sekarang. Ia bukan sahaja menyebabkan Umno tewas, tetapi menjadikan rakyat semakin lemah dan tidak berketahanan.
Kepada semua ahli, sedarlah bahawa politik wang adalah keji pada agama, dan keji pada adat dan amalan.
Saya dan rakan-rakan dalam parti akan membersihkan parti sebersih-bersihnya. Sesiapa yang tidak ingin bersama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana, atau ke mana-mana pihak yang boleh memberikan anda habuan yang diharapkan.
Umno yang baru hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan Umno.
Modal politik 
Keempat, idea akan dijadikan modal politik Umno.
Umno akan menjadi ‘a learning political party’ yang menyerap keunggulan intelektual dari semua pendukungnya, baik ahli parti mahupun daripada rakyat yang bersedia menyumbang kepada tanahair.
Perjuangan politik kurun ke-21 adalah tentang percaturan dasar terbaik, program paling memanfaatkan, kepimpinan paling kompeten dan institusi paling moden dan termaju. Gerakan Umno akan berorientasikan data, kajian, ilmu baru dan pendekatan termaju.
Lebih penting, menjadikan idea sebagai modal politik Umno akan membenarkan berlakunya perubahan generasi atau generational change yang sangat diperlukan oleh parti ini.
Kita tidak akan menjadikan usia sebagai kelebihan mana-mana pemimpin Umno. Parti ini akan digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa, yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini.
Semak agenda Melayu
Kelima, Umno beriltizam untuk menyemak kembali agenda Melayu.
Memperjuangkan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara. Sudah tiba masa agenda Melayu Umno disemak. Ia mesti direkayasa dan diberikan lonjakan baru.
Seperti yang saya ungkapkan dalam ucapan sulung sebagai timbalan presiden, Umno mesti menggalas usaha ‘the Malay Renaissance’. 
Langkah yang konkrit dan berkemajuan akan diambil agar bangsa Melayu dalam dekad pencerahan ini akan lebih kompeten, berdaya saing dan maju.
Dengan semakan semula agenda Melayu ini, Umno akan ada tawaran baru atau a new deal kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.
Inilah iltizam baharu Umno yang akan dijadikan pedoman dalam perjalanan ke hadapan. Saya berharap bahawa semua pendukung Umno berkongsi dalam iltizam ini. 
Seruan ke arah kebaikan adalah seruan yang mesti kita bangunkan bersama. Dengan kerjasama kita semua, akan bermulalah episod pengislahan sebenar Umno, insya-Allah.
MOHAMAD HASAN ialah pemangku presiden Umno.

Friday, 28 December 2018

Sedapnya mulut perlekeh kematian orang

Abdullah Jones  -  28 Disember, 2018
"Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf. Ini tiga orang boleh kita kutuk kematian dia sebab memang confirm geng ni masuk neraka. 
"Yang lain kita jangan memandai nak jadi pak guard syurga. Sibuk nak humban orang ikut suka hati ke neraka," kata ustaz dari atas masjid. 
Kebetulan kami sedang minum kopi setelah penat main bola di padang. Kebetulan juga masjid terletak betul-betul di sebelah kedai kopi tempat kami minum itu. 
Berlaga bumbung dek dekatnya kedai kopi dan masjid. Maka mahu tidak mahu kami dengar jugalah kuliah Maghrib itu.
Ustaz berkenaan kemudian menceritakan satu persatu tabiat jahat ketiga-tiga manusia yang semua orang tahu adalah pembawa kemurkaan itu. 
Dan benarlah kata ustaz berkenaan, yang selain tiga ekor itu, kita tidak ada hak untuk menjadi pemegang kunci syurga untuk menentukan siapa yang patut masuk ke dalamnya.
Kami dengar dengan tekun sambil menghirup kopi o ais tanpa gula kegemaran kami itu.
Sebagai tambahan, boleh juga kita masukkan nama Abu Jahal dan Abu Lahab ke dalam senarai mereka yang dilaknat tuhan.
Kematian dalam apa keadaan pun adalah pembawa hiba. Manusia yang paling baik sekalipun apabila meninggal dunia akan ditangisi dan mereka yang kita sangka jahat pula apabila meninggal dunia tentu paling tidak diratapi orang yang menyayangi mereka.
Ulang kesilapan orang
Kita yang tidak tahu hujung pangkal dan melihat kematian mereka yang kita anggap jahat itu tidak ada langsung hak untuk menjatuhkan hukuman ke atas mayat mereka.
Dibaham tsunami semasa sedang bernyanyikah, atau sedang asyik berbuat apa yang dikenali sebagai maksiatkah, mereka itu bukan satu helah yang melepaskan kita untuk bebas menuding jari kononnya mereka mati maksiat.
Bahkan jika benarlah mereka itu mati sedang dalam derhaka, maka kita seharusnya sangat-sangat bersedih kerana kita telah gagal sebagai seorang manusia yang baik untuk pergi kepada mereka dan memberi berita gembira perihal agungnya cinta tuhan dan murahnya maaf Yang Maha Berkuasa itu.
Kita memang handal dalam bab menilik keislaman orang lain. Dengan senang hati kita menjaja cerita bagaimana kononya Mustafa Kamal Atartuk di Turki sana tidak diterima bumi oleh kerana jahatnya dia.
Cerita sebenarnya kita tidak tahu tetapi kerana sedapnya memperlekehkan amalan orang, kita ulang dan ulang kesilapan orang sedangkan amalan kita tidak bertambah.
Mendengar ceramah agama pun kerana kebetulan minum di kedai kopi di sebelah masjid. Eh! Terkata ke diri sendiri pulak dah.
Nak mati esok lusa pun masih sibuk dengan kubur orang lain.
Perbuatan tolol
Bercakap fasal mati dan tidak sensitif membuka mulut sesuka hati, apabila kami katakan bahawa menteri perpaduan harus meletak jawatan setelah kematian pegawai bomba tempoh hari adalah kerana kenyataan yang beliau keluarkan sejurus anggota berkenaan dimasukan ke hospital akibat cedera parah dipukul.
Beliau sepatutnya menenangkan keadaan dengan mengeluarkan kenyataan yang menyatukan dan bukannya sibuk meletakkan kesalahan.
Hanya kerana itu maka kami merasakan beliau sepatutnya bertanggungjawab dan bukan kerana arwah Adib adalah Melayu dan menteri perpaduan adalah berbangsa India.
Kami tidak pernah peduli akan apa bangsa siapapun dan siapapun yang melakukan kesalahan wajib bertanggungjawab. Apa lagi apabila kesilapan mereka itu membawa kepada kematian.
Bersorak gembira dan memperlekeh kematian siapapun adalah perbuatan tolol yang mungkin boleh dimaafkan sekiranya si pelaku meminta ampun.
Namun kita lihat hingga hari ini tidak ada sebarang kenyataan meminta maaf dari mereka yang memperlekehkan kematian mereka yang dilanda bencana tsunami di negara jiran itu.
Dalam hal kematian pegawai bomba berkenaan pula, sekurang-kurangnya pihak kuil yang menuduh kononya arwah Adib dilanggar jentera bomba ada membuat kenyataan meminta maaf atas kesilapan mereka itu.
Sebagai selingan, juga fasal kematian, ingin kami nyatakan di sini bahawa meminta tuhan segerakan kematian sesiapa pun adalah perbuatan yang langsung tidak bermoral. 
Dan meminta kematian untuk diri sendiri pula adalah satu perbuatan putus asa atas rahmat tuhan pemberi segala.
Kepada sahabat yang Islam, berputus asa atas rahmat tuhan adalah dosa yang tidak terampunkan. Hindarkan diri dari putus harap dan yakinlah dengan kekuasaan tuhan lalu bersegeralah dalam menuju kebaikan.
Itu saja dari kekanda minggu ini. Diharapkan adinda dapat tidur lena.
Abdullahjones adalah pelukis, penyair, penulis, jurufoto amatur dan binatang jalang yang mahu hidup seribu tahun lagi.

Thursday, 27 December 2018

Bolehkah Melayu berfikiran kritis?

Tajuddin Rasdi  -  27 Disember, 2018
Setelah menganalisa beberapa berita yang disebar di WhatsApp saya dan isteri dalam kumpulan saudara mara dan rakan handai yang berjumlah lebih dari 10 “group”, saya membuat kesimpulan orang Melayu tidak boleh berfikiran waras, tidak tahu menilai secara kritis dan tak mahu fikir langsung jika sesuatu berita itu dikaitkan dengan isu Melayu dan Islam.
Boleh dikatakan kalau diceritakan dongeng 1001 malam tetapi ia berkait dengan menegakkan ketuanan Melayu dan melindungi Islam dari tercemar, orang Melayu akan percaya bulat-bulat dan tungang langgang.
Kalau berita atau isu yang dicoretkan itu mempunyai “watak jahatnya” sebagai orang Cina, orang India, DAP, Kristian, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, maka orang Melayu akan “totally lose it” atau dia hilang akal, tak tahu di mana otak dan fikirannya. Yang dia tahu adalah marah yang membuak-buak dan muka yang merah padam.
Melayu akan jadi tidak waras dan akan percaya bulat-bulat, akan tidak perlu selidik fakta atau sumber berita, akan percaya habis-habis dan tidak perlu tahu hujung pangkal; yang jahat memang Cina, Kristian, DAP, India, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Sekarang pula kita kena tambah senarai hitam musuh ketat orang Melayu yang disarankan seorang mufti seperti P Waytha Moorthy, P Ramasamy, M Kulasegaran dan V Ganavaritsu. Nasib baik Karpal Singh dah meninggal dunia, kalau tidak tsunami terjadi pun boleh dipersalahkan orang tua tu! Itulah lojik Melayu yang saya analisa.
Siapa orang Melayu yang tidak boleh berfikiran waras ini? Adakah mereka orang kampung? Adakah mereka sekolah setakat darjah 6? Adakah mereka ini kaki kedai kopi dan kedai mamak? Kalau itu sajalah golongannya, tuan-tuan, saya tak tulis artikel ini.
Kalau orang berpendidikan rendah berfikir macam tu memang kita boleh agak dan fahami dan maafkan. Tetapi sebaliknya, bukan golongan macam ini saja. Kebanyakan 99% Melayu kenalan saya yang pernah belajar di universiti luar negara, universiti tempatan, dah ada Master dan dah ada PhD, semuanya sama macam orang kampung dan kaki kedai kopi yang tidak berpendidikan tinggi.
Saya mempunyai ramai kenalan Melayu dan saya berani katakan yang tidak boleh berfikiran rasional, tidak tahu berfikiran kritis, tidak mahu berfikir panjang-panjang adalah orang-orang yang jawatannya tinggi-tinggi belaka.
Apa jawatan mereka? Guru sekolah menengah, guru besar, profesor madya, profesor VK7-6-5, arkitek, jurutera, pegawai tinggi GLC, pegawai eksekutif dan doktor. Bukan calang-calang pendidikan, tuan-tuan. Semuanya extra hebat belaka. Tapi fikiran? Macam tak sekolah tinggi pun. Percaya bulat-bulat, tunggang langgang dan habis-habis. Sebab? Nak menegak ketuanan Melayu dan keagungan Islam. Dosa fitnah? Tak kisahlah. Dosa mencerca? Sikit saja. Dosa menyampai-nyampai? Tak ada hal punya beb.
Apa nak jadi dengan orang Melayu macam ini saya pun tak tahu. Negara kita ni bakal hancur dengan Melayu yang tak boleh nak urus emosi dan berfikiran rasional. Tengoklah kes Kuil Seafield dan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.
Waytha dituduh tak semena-mena. Kenapa tuduh dia bertanggungjawab? Dia pukulkah? Polis kata samseng yang pukul. Dia arah kah? Polis kata mungkin One City punya lawyer bagi upah. Belum tahu lagi sebab penyiasatan tak habis. Tetapi orang Melayu dalam kumpulan WhatsApp mempunyai “karamah” dan ilmu ghaib. Tak payah siasat. Tak payah soal suspek. Tak payah “post mortem”. Waytha salah. Dia perlu dipecat serta merta dan dihadapkan ke mahkamah. Boleh kita gantung dia minggu depan hari Jumaat? Begitu fikiran kaumku, orang Islam seagamaku. Malu saya dengan kawan-kawan bukan sekaumku, bukan seagamaku. Di mana nak sorok batang hidungku?
Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menulis satu bab kegemaran saya. Tajuknya adalah Bencana Lisan. Kitab panjang lebar ini diringkaskan oleh seorang hamba Allah dan dibukukan dalam buku berjudul Bimbingan Mukminin. Dalam lebih 100 buku yang saya baca tentang Islam, ini adalah buku “favourite” saya. Saya khatam “cover-to-cover”.
Dalam bab Bencana Lisan, Imam Al-Ghazali menukilkan 20 bencana lidah kita yang bakal mengheret kita ke neraka. Tak kiralah kita dah pergi haji 4 kali, umrah 12 kali, lidah kita yang menginterpretasi maklumat berita dan cerita bakal menjerumus kita ke api neraka jahanam.
Saya amat takut dan berhati-hati dalam tulisan dan cakapan saya setelah membaca kitab itu. Pernahkah orang Melayu yang bukan ustaz atau ustazah menatap kitab ini? Saya berani kata kalau tanya 50 orang Melayu, mereka akan kata mereka tak pernah dengar pun kitab ini. Kalau tanya 100 Melayu ada kemungkinan yang kata pernah dengar tapi tak pernah beli. Kalau tanya 200 orang Melayu kemungkinan ada yang membeli tapi tak tahu simpan di mana. Kalau tanya 400 Melayu mungkin jawapan yang ada adalah pernah beli, ada kat rak buku tapi takut nak baca sebab ustaz kata kalau baca buku sendiri kita jadi sesat.
Minda kritis orang Melayu setakat itu saja. Mereka suka dengar ceramah dan celoteh Ustaz Kazim Elias, Ustaz Zamihan Mat Zin dan Ustaz Mat Don. Buat apa nak baca? Tanya ustaz sajalah. Kalau ustaz kata Ramasamy salah, maka salah Ramasamy lah tu. Kalau mufti yang ada PhD kata Waytha tu orang jahat maka jahatlah Waytha tu. Tak payah bukti, tak payah hujah panjang. Dua-dua mereka Hindu. Orang Hindu memang sembah berhala dan pakai sistem kasta. Zakir Naik pun cakap macam tu. Tapi Zakir Naik bukan ustaz. Tak apa, dia pandai cakap orang putih dan pandai ilmu agama Hindu. Kalau dia cakap dia memang betul dan tak ada yang salah. Dari orang Melayu jual goreng pisang sampai Pak Profesor mendokong Zakir, Azhar Idrus, Zamihan, Datuk Seri Hadi Awang dan siapa-siapa lagi yang pandai cakap Arab, serban besar, jubah panjang, selendang pula “style” Akil Hayy.
Kenapa orang Melayu suka sangat percaya pada fitnah dan dongeng WhatsApp? Tak takutkah pada dosa? Kenapa perlu takut? Tak pernah pun dengar khutbah Jumaat kata percaya kat WhatApp tu berdosa. Tak ada dalam kitab lama pun tentang bencana Instagram, WhatApp, Facebook atau Twitter. Maka itu tak berdosalah. Lagi pula kalau tersilap pun, kita nak jaga kedaulatan Melayu dan Islam. Perjuangan suci kononnya.
Aduhai, kesian orang Melayu, kata Datuk Ismail Kamus selalu. Beliau pernah berpesan, “Kita harus membetulkan yang biasa dan biasakan yang betul”. Kata-kata hikmat itu saya pegang sehingga hari ini. Kita umat Islam harus ada integriti. Kita perlu menilai maklumat, cerita dan berita dengan kritis, jika tidak, kita tumpang sekaki di neraka nanti. Bagaimana berfikiran kritis? Ada 4 perkara perlu ditanya untuk memastikan sesuatu berita, cerita dan maklumat itu kemungkinan besar sahih atau tidak.
Pertama, tahukan sumber berita itu. Tanya di mana berita ini didapati. Siapa penulis? Di mana ia diterbitkan? Perlu ada nama penuh penulis, walaupun penulis itu menggunakan nama samaran. Perlu tahu di mana ia diterbitkan. Sinar Harian kah, Berita Hariankah dan sebagainya. Kalau Facebook, Instagram, Twitter, semua tak boleh pakai. Sebabnya? Tidak ada penyunting berita dan cerita. Tidak ada editor yang bertanggungjawab.
Kedua, tanyakan apakah cerita keseluruhannya? Jangan reaksi apabila dengar India pukul Melayu. Lepas tu pergi demonstrasi di Dataran Merdeka. Mungkin Melayu kacau anak dara India maka dia kena belasah. Itu cerita penuhnya. Kebanyakan orang Melayu suka dengan sekerat cerita, bukan separuh pun, sekerat. Orang Melayu hebat, ada firasat dan ilmu ghaib jin. Maklumat sekerat dia boleh jadikan satu buku ceritanya. Tak boleh macam tu. Tidak kritis namanya. Tahu cerita sepenuhnya sebelum bertindak.
Ketiga, apa niat pembawa cerita, penulis isu dan pembawa bicara? Kalau dia boleh untung dari berita itu kerana dia parti lawan maka itu ada “conflict of interest” atau konflik kepentingan peribadi. Kena cuba teka-teka niat orang yang tulis. Mungkin dia nak bodek supaya dapat jadi menteri atau dapat projek atau menang pilihan raya.
Kempat, rujuk sumber lain tentang isu dan berita yang sama. Sekali-sekala tu tengok dan baca Roketkini. Ini Roketkini pun tak tahu binatang apa, tahu DAP juga yang salah. Cuba rujuk FMT atau Malaysiakini, jangan asyik baca Kosmo, Sinar Harian atau Utusan Malaysia berkurun-kurun sampai cucu pun dah nak masuk universiti.
Itulah dia empat petua nak tahu cerita sahih ke tak sahih dan petua nak lindung dari kita tersadai di neraka. Tak laku solat kita, puasa kita, haji kita dan sedekah kita. Lidah kita melalui WhatsApp, Instagram, Facebook dan Twiter menjunamkan masa depan kita di dunia dan di akhirat. Nasib-nasib kena tangkap polis menyebar berita palsu. Dunia pun terbang akhirat entah ke mana.
Wahai orang Melayu, tolong betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.
Dr Mohd Tajuddin Rasdi bertugas sebagai Professor of Architecture di sebuah universiti tempatan.

Wednesday, 26 December 2018

Sultan Nazrin lantang tegur pemimpin

Salawaty Supardi  -  26 Disember, 2018.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah merupakan antara raja yang terkenal dengan kelantangan menegur pemimpin yang tidak amanah, menyeleweng dan cuai dalam tugas hingga menyusahkan rakyat jelata.
Raja yang mempunyai daya intelektual dan budi pekerti yang tinggi ini sentiasa menunjukkan keprihatinan mendalam terhadap nasib dan masa depan rakyat dan negara.
Pada 2 Nov lalu, baginda selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong menandatangani pengisytiharan menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong bila penyandang Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan.
Beberapa hari selepas itu, ketika berangkat ke sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, baginda 'menjentik' para pemimpin apabila menegur golongan yang tidak amanah dan berintegriti hingga mengakibatkan ummah berada dalam sengsara.
Sultan Nazrin, 62, yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat tidak pernah jemu memberikan nasihat serta mencetuskan pelbagai idea baru untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.

Ketinggian daya intelektual baginda cukup terserlah apabila titah baginda memberi pencerahan terhadap pelbagai kemelut yang dihadapi masyarakat dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.
Baginda bertitah kemiskinan ummah akan bertambah buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda peribadi membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah melalui kaedah yang meragukan.
Teguran baginda terhadap pemimpin tidak terhenti di situ saja, pada 1 Dis lalu Sultan Nazrin dengan lantang bertitah mengingatkan pemimpin agar tidak menjadi dalang melakukan provokasi yang boleh menyalakan bara kebencian dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan agama.
Baginda turut menzahirkan rasa dukacita kerana suasana harmoni yang menjadi budaya rakyat negara ini sejak sekian lama kini mahu dimusnahkan disebabkan persaingan politik.
"Terdapat sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.
"Pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat," titah Sultan Nazrin pada Istiadat Konvokensyen ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.
Sebagai seorang yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk bangsanya, baru-baru ini Sultan Nazrin menzahirkan kekecewaan terhadap sikap orang Melayu yang dilihat beransur-ansur lemah, hilang semangat ukhuwah dan jati diri akibat bersaing merebut kuasa.
Titah baginda, orang Melayu telah terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama mereka sehingga ma­sing-masing ghairah menepuk air di dulang dan akhirnya terpercik ke muka sendiri.
Bersikap ambil peduli terhadap semua perkara, Sultan Nazrin turut mengikuti perkembangan politik tanah air terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertukaran tampuk pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).
Pada istiadat angkat sumpah Menteri Besar Perak 12 Mei lalu, baginda menegur pemimpin dengan bertitah agar semua wakil rakyat yang dipilih pada PRU14 menghormati keputusan dan menghargai kepercayaan rakyat terhadap mereka.
Baginda bertitah wakil rakyat yang dipilih perlu mengabdikan diri untuk berkhidmat kepada orang yang memilih mereka dan ia merupakan amanah baharu.

Keprihatinan baginda terhadap PRU14 menjangkau segenap aspek apabila dalam ucaptama pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) 2018 Julai lalu baginda bertitah bahawa perubahan itu adalah kerana rakyat membawa perubahan politik besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menerusi peti undi.
Malah, baginda mahu golongan muda sebagai aset negara dan pemacu perubahan diperkasa selain dilibatkan secara aktif dalam proses membuat keputusan hari ini.
Kata-kata, teguran yang dilontarkan oleh Sultan Nazrin memang sering mendapat tempat di muka hadapan akhbar, berita utama di televisyen, malah sering dikongsi oleh netizen di media sosial.
Daulat Tuanku!
-- Bernama

Popular Posts