Wednesday, 3 May 2017

Badan pemikir cadang logo PKR sebagai alternatif PH


Pakatan HarapanPakatan Harapan
Pakatan Harapan harus menyediakan pelan alternatif bagi menghadapi situasi kemungkinan pendaftaran gabungan dengan satu logo baharu ditolak atau dilengah-lengahkan sehingga parlimen dibubarkan.
Pengarah Eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng berkata, dalam situasi sedemikian, harus ada satu logo alternatif supaya Pakatan Harapan dapat menampilkan dirinya sebagai gabungan parti yang bersatu padu dalam PRU14.
"Pimpinan Pakatan Harapan sedang berusaha menuju ke arah pendaftaran gabungan dengan satu logo dan satu manifesto. Ini satu perkembangan yang positif.

"Tetapi pelan alternatif harus ada. Pelan alternatif yang dimaksudkan adalah apabila pendaftaran gabungan dengan satu logo baru ditolak atau dilengah-lengahkan sehingga parlimen sudah dibubarkan tetapi pendaftaran logo baru masih belum dimuktamadkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, apabila logo baru gagal didaftarkan sebelum PRU14, secara praktikalnya, salah satu logo daripada kalangan parti-parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan hendaklah digunakan sebagai logo calon Pakatan Harapan dalam PRU14.

Daripada empat logo sedia ada katanya, logo Amanah dan Bersatu masih baru buat pengundi seluruh pelosok negara sebaliknya yang dikenali pengundi adalah logo KeADILan (PKR) dan DAP.

"DAP telah berusia 51 tahun sementara KeADILan telah berusia 18 tahun. Apabila faktor penerimaan oleh pengundi pelbagai etnik diambil kira, seharusnya logo KeADILan digunakan sebagai logo calon Pakatan Harapan jika tiba PRU-14 nanti, logo baru Pakatan Harapan masih gagal didaftarkan," katanya.

Dalam hal berkaitan manifesto, beliau berkata, adalah penting Pakatan Harapan menyambung tradisi manifesto era Pakatan Rakyat yang menunjukkan imej Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan parti yang menawarkan kebijaksanaan secara inklusif, mengangkat kepedulian rakyat, bertanggungjawab dan membawa pembaharuan.

"Namun, manifesto sebaik mana pun tidak mampu membawa impak yang diingini jika sekiranya pemimpin, ahli atau penyokong yang dilihat sebagai mewakili mana-mana parti dalam Pakatan Harapan membawa mesej yang berlainan dengan manifesto Pakatan Harapan apabila mereka berdepan dengan kumpulan masyarakat yang berbeza," jelasnya.

Menurut beliau juga, umum sedia maklum bahawa faktor-faktor seperti dana PRU, jentera akar umbi, media, persempadanan kawasan pilihan raya dan bilangan kerusi yang berdepan dengan lawan tiga atau lebih penjuru juga menjadi syarat-syarat yang mempengaruhi sesebuah PRU.

"Tetapi dari perspektif pengundi, perkara paling asas adalah sama ada sebuah gabungan parti memaparkan imej dan mesej pembaharuan yang konsisten, pimpinan Melayu yang berkesan dan bersifat menyatupadukan serta harapan gabungan parti itu membentuk kerajaan khususnya di peringkat persekutuan.

"PRU14 mungkin diadakan dalam masa enam bulan. Secara praktikalnya, penggunaan logo sedia ada sebagai logo alternatif calon Pakatan Harapan harus dibincangkan selari dengan pendaftaran logo baru," katanya.
Sumber: Malaysia Dateline/Mei 03, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts