Wednesday 17 May 2017

PAS tendang bola, PKR sambut dan tendang semula - Kamaruddin

Oleh Shuhaniza Said
Datuk_Kamaruddin_Jaafar_banjir.jpg
 SHAH ALAM: Keputusan PKR yang mengarahkan semua wakilnya dalam kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS agar melepaskan jawatan masing-masing, adalah reaksi kepada tindakan PAS yang memutuskan tahaluf siyasi antara dua parti itu.
Pengarah Politik dan Dasar PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, PAS patut melihat semula tindakannya yang mencetuskan pergolakan mutakhir ini.    
"Keputusan dibuat oleh Biro Politik Keadilan (PKR) adalah daripada perkembangan politik yang dicetuskan oleh PAS apabila Majlis Syura Ulamanya buat keputusan membatalkan tahaluf siyasi dengan Keadilan.
"Kita harap tindakan oleh Keadilan ini dilihat sebagai reaksi kepada tindakan PAS. Oleh itu kita serah kepada PAS untuk menilai semula sikap dan dasar yang PAS telah lakukan yang mencetuskan perkembangan mutakhir politik ini," katanya kepada Antarapos.
Ahli Parlimen Tumpat itu yang juga bekas pemimpin PAS berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang masih mengalu-alukan wakil PKR untuk kekal dalam kerajaan negeri pimpinan PAS itu.
Ketika diajukan sama ada PKR mahu menerima 'pelawaan' atau kekal dengan keputusan asal, ulang Kamaruddin, PKR hanya memberikan reaksi atas tindakan yang dimulakan PAS.  
"Bola sekarang sudah kembali kepada PAS, dia yang menendang mula-mula. Dia yang tendang bola, kita terpaksa sambut dan tendang balik, jadi dia kena fikir kenapa dia tendang pada mulanya," ujar beliau.   
Menurut Kamaruddin, terdapat sekitar 40 orang wakil PKR dalam kerajaan negeri, termasuk Ahli Majlis dan ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC). 
Sementara itu, Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir dilaporkan berkata, pihaknya akur dengan keputusan jawatankuasa pusat parti supaya ahli PKR yang memegang jawatan lantikan politik di negeri itu melepaskan jawatan masing-masing.
Sumber: Antarapos/May 17, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts