Monday, 1 May 2017

Harapan Baru buat Pekerja Malaysia


Perutusan sempena Hari Pekerja.
Pakatan Harapan  mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup, mengurangkan pengangguran di kalangan anak muda, mempertahan hak pekerja sambilan, dan membantu rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara .
Pimpinan Pakatan Harapan dalam satu kenyataan bersama diwakili Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang menjadi cuti umum pada 1 Mei setiap tahun.
Pakatan Harapan cukup prihatin tentang kebajikan pekerja di Malaysia.Kejayaan yang dinikmati negara hari ini adalah hasil daripada keringat dan usaha para pekerja, dan tanpa mereka ekonomi tidak akan berjaya. Amatlah penting hak dan kebajikan pekerja di Malaysia dipertahan demi masa depan negara malah juga ekonomi.
Untuk Hari Pekerja 2017, Pakatan Harapan mengetengahkan empat fokus isu pekerja di Malaysia untuk mencari penyelesaian lebih baik sekiranya berjaya memegang tampuk kuasa nanti.
1. Kos sara hidup
Kos sara hidup merupakan satu isu penting buat semua pekerja di Malaysia, terutama bagi mereka yang mempunyai gaji yang mendatar atau tidak meningkat pada kadar melebihi kadar inflasi terutama bagi dua tahun kebelakangan ini, yang berlaku antara lain akibat pengenalan GST dan kejatuhan nilai matawang ringgit.
Kami akan:
* Menghapuskan GST yang merupakan satu cukai regresif yang menzalimi rakyat terutamanya golongan miskin;
* Meningkatkan mutu pengangkutan awam secara menyeluruh untuk mengurangkan kos pengangkutan bagi rakyat terbanyak, oleh kerana kos pengangkutan - terutama bagi pemilik kenderaan - merupakan antara kos (malah juga hutang) terbesar bagi sesebuah keluarga;
* Menghapuskan kapitalisme kroni (crony capitalism) dan memastikan persaingan sihat dalam penyediaan pelbagai barangan dan perkhidmatan, seperti beras, jalan bertol, perkhidmatan telco dan internet.
2. Pengangguran di kalangan anak muda

Pakatan Harapan cukup bimbang dengan peningkatan kadar pengangguran, terutama pengangguran anak muda pada skala jangkamasa panjang.
Pengangguran dianggarkan pada 3.5% pada 2016, iaitu peningkatan dari 3.1% (2015) dan 2.9% (2014).
Laporan Bank Negara Malaysia 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017 mengandungi seksyen khusus mengenai pengangguran anak muda, dengan dapatan-dapatan berikut:
* Pengangguran anak muda di Malaysia dianggar mencecah 10.7% pada 2015, iaitu lebih tiga kali ganda pengangguran di peringkat nasional iaitu 3.1%;
* Anak muda merupakan separuh dari jumlah pekerja yang menganggur, walaupun mereka merupakan satu pertiga jumlah tenaga kerja di negara kita;
* Kadar pengangguran pada 2015 di kalangan mereka yang mendapat pengajian tinggi adalah 15.3% dan 9.8% bagi mereka yang tiada pengajian tinggi;
* Dari segi pendapatan, 54% graduan menerima gaji kurang dari RM2,000 sebulan. Gaji permulaan bagi graduan masih kekal sama sejak 2007.
Anak muda adalah masa depan negara, dan pengangguran di kalangan anak muda bakal mendatangkan kesan negatif jangkamasa panjang kepada masyarakat dan negara, terutama jika kita gagal membendung masalah ini pada kadar yang segera.
Oleh itu, Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan serta Pemuda Pakatan Harapan telah diarah untuk bertemu dengan pelbagai kumpulan sasar serta pihak berkepentingan pada Mei ini untuk mewujudkan satu pelan tindakan untuk mengurangkan pengangguran anak muda di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.
3. Hak pekerja sambilan, terutama pemandu teksi dan 'e-hailing'
Pakatan Harapan amat prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia terutama mereka yang bekerja secara sambilan mahupun bersendirian. Satu laporan Bank Dunia menganggar 35% kepala isirumah di Malaysia bekerja di sektor tidak formal, seringkali sebagai pekerja sambilan atau bekerja bersendirian.
Sebagai contoh, terdapat lebih 70,000 pemandu teksi berdaftar dan dianggarkan terdapat 200,000 pemandu perkhidmatan 'e-hailing'.
Oleh kerana Parlimen bakal membahaskan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 untuk membenarkan perkhimatan e-hailing, terdapat satu keperluan untuk memastikan kebajikan kedua-dua pihak iaitu pemandu teksi dan juga pemandu 'e-hailing' terjaga.
Rang undang-undang ini tidak mampu menjaga hak pemandu 'e-hailing' kerana pihak Kerajaan hanya berurusan dengan syarikat seperti Uber dan Grab manakala syarikat-syarikat tersebut yang akan mengawal sendiri para pemandu mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menggubal sebuah rang undang-undang khusus buat pemandu 'e-hailing' tanpa mengabai nasib dan kebajikan para penandu teksi serta lain-lain pekerja sambilan.
4. Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri
Lebih dari sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara, terutama di Singapura. Hampir 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari di antara Johor dan Singapura. Jumlah yang begitu besar ini merupakan satu kegagalan ekonomi negara yang jelas tidak mampu menjana pekerjaan yang diharapkan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara kerana ekonomi Malaysia yang suram terutama dua dekad mutakhir ini, iaitu sejak krisis ekonomi Asia.
Bagi jangkamasa pendek, Pakatan Harapan berjanji membantu untuk memudahkan proses perjalanan pekerja Malaysia di antara Johor dan Singapura. Pada jangkamasa panjang, Kerajaan Pakatan Hatapan akan berusaha untuk menghidupkan semula ekonomi negara untuk memastikan lebih ramai pekerja Malaysia akan memilih untuk bekerja di Malaysia berbanding di luar negara.
Tatkala para pekerja di Malaysia menyambut Hari Pekerja tahun ini, pasukan Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan akan terus mendengar suara, aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dan juga pihak-pihak berkepentingan untuk menjaga para pekerja dan memberi harapan baru buat semua rakyat Malaysia.
SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA 2017.

Sumber: Malaysia Dateline/Mei 01, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts