Tuesday 16 May 2017

Lim: PAS tak mungkin menang 40 kerusi tanpa Umno


Matlamat PAS untuk menang 40 kerusi parlimen dan lima negeri tidak mungkin menjadi kenyataan, melainkan jika parti itu mempunyai ikatan dengan Umno, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
"Jika sejarah pilihan raya umum lalu boleh dianggap sebagai panduan, tidak mungkin dalam pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya umum ke-14, PAS boleh menang lebih daripada 12 kerusi Parlimen.
"Bagaimanapun senario akan berbeza, sekiranya terdapat ikatan atau pakatan di antara PAS dan Umno, sama ada di peringkat parlimen mahupun negeri atau campuran kedua-duanya,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
PAS berharap dapat mengekalkan Kelantan, di samping merampas Terengganu, Pahang, Kedah dan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Parti itu bercadang meletakkan kira-kira 100 calon di peringkat parlimen dalam usaha untuk mencapai sasaran bagi mendapatkan 40 kerusi itu.
Pada pilihan raya umum 2013, PAS meletakkan 73 calon dan memenangi 21 kerusi di Dewan Rakyat.
Berhubung cita-cita PAS untuk menguasai lima negeri, Lim mempersoalkan sama ada parti itu mampu mempertahankan Kelantan dalam ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Bagi Terengganu dan Kedah, Lim yang juga adalah ahli parlimen Gelang Patah melahirkan keraguan bahawa PAS boleh memenangi bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
"Impian PAS untuk menguasai kerajaan negeri Pahang dan Selangor akan hanya tinggal impian.
“Malah, peluang terbaik semasa di bawah Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013, PAS hanya mampu menang tiga daripada 42 kerusi di Pahang dan 15 daripada 56 kerusi di Selangor," kata Lim.
Justeru, katanya, semua sasaran PAS itu akan meleset tanpa pakatan atau ikatan dengan Umno.
Walau bagaimanapun, Lim mempersoalkan sama ada presiden Umno Datuk Seri Najib Razak boleh meyakinkan akar umbi parti itu untuk memberi laluan dan memastikan kemenangan untuk calon PAS.
Beliau berkata jika Umno menyerahkan 40 kerusi kepada PAS, parti itu akan hanya mempunyai 100 kerusi untuk bertanding di Semenanjung Malaysia.
"Buat pertama kali, PAS mungkin akan mempunyai kerusi yang lebih atau hampir sama kerusi parlimen dengan Umno di Semenanjung Malaysia," katanya.
Sumber: Malaysiakini/May 16, 2017.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts